Tun Dr Mahathir Pengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-61
“Saya berasa amat bangga kerana setelah dua tahun kita tidak dapat berjumpa sebegini akibat COVID-19, kali ini kita berasa selesa bahawa kita boleh mengadakan perjumpaan secara langsung bagi Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kali-61,” ucap Yang Dipertua PERKIM, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berucap ketika menyampaikan ucapan dasarnya di Dewan Dato’ Shahir, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bandar Baru Bangi, Selangor pada 18 Jun 2022 lalu.
Turut hadir ialah Timbalan Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim; Naib Yang Dipertua PERKIM, YB Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim, YBhg Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, YBhg Ustaz Haji Muhammad Fitri Abdullah dan YBhg Dato’ Haji Mohd Nakhaie Haji Ahmad; Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa; Pengerusi Tetap, YBhg Dato’ Dr Haji Abu Bakar Shaari; Timbalan Pengerusi Tetap, YBhg Haji Wan Abdul Halim Wan Ismail.
Lebih 180 orang yang menghadiri mesyuarat terdiri daripada Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM serta Perwakilan PERKIM Bahagian Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Sarawak.
Sebelum itu, para perwakilan bersama-sama Ahli Majlis Kebangsaan turut menyanyikan lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan diawal mesyuarat diketuai oleh Pasukan Koir PERKIM Kebangsaan.
Dr Mahathir dalam ucapan dasarnya mengucapkan rasa syukur kepada Allah SWT, walaupun penyakit wabak ini belum tamat tetapi ianya sudah reda dan dapat mengadakan perjumpaan sebegini supaya dapat menjalinkan hubungan yang rapat di antara yang menjadi ahli PERKIM yang berminat untuk mengembangkan agama Islam dalam kalangan orang Islam dan juga menjelaskan tentang Islam dalam kalangan orang bukan Islam.
Ini adalah matlamat kita. Matlamat ini menjadi lebih penting kerana hari ini kita melihat agama Islam dihina oleh ramai orang bukan Islam di dunia ini. Bukan sahaja agama kita dihina, tetapi orang Islam juga dipandang rendah kerana tidak mengamalkan ajaran Islam dan tidak mencapai kejayaan sebagai orang Islam. Rata-rata kita melihat negara-negara Islam tidak ditadbir secara baik dan ramai orang Islam yang lari dari negara mereka untuk mendapat perlindungan di negara bukan Islam.
Ini adalah suatu perkara yang harus kita berasa malu kerana sepatutnya orang Islam lebih selesa tinggal di negara Islam daripada menjadi kumpulan minoriti di negara bukan Islam. Hari ini juga kita dapati ramai pelarian Islam di negara bukan Islam kerana mereka merasakan lebih terselamat di negara bukan Islam berbanding negara Islam itu sendiri. Ini disebabkan oleh negara Islam yang tidak ditadbir dengan baik dan sering menghadapi rusuahan dan juga tiada tindakan yang adil terhadap orang Islam di negara Islam sendiri.
“Saya baru sahaja berada di London yang merupakan negara bukan Islam, namun saya dapati bahawa orang Islam diberikan kebebasan untuk menerangkan tentang agama Islam di beberapa saluran di televisyen setiap hari. Hal ini berlaku di negara bukan Islam, tetapi di negara Islam ramai orang Islam yang tidak dibenarkan bersuara walaupun ingin menegur penyelewengan yang berlaku di negara Islam,” kata Dr Mahathir.
Tambahnya, mereka lebih berminat untuk menjayakan tafsiran dan pegangan yang dibuat oleh mereka sehingga menganggap orang yang tidak bersependapat dengan mereka yang bukan beragama Islam serta mereka rela berperang dan membunuh orang Islam yang tidak sefahaman dengan mereka.
“Saya yakin ini bukanlah ajaran Islam kerana dalam Al-Quran kerana kita tahu bahawa terdapat amalan-amalan yang berlainan sedikit daripada kita namun mereka masih dianggap Islam asalkan mereka mengucapkan dua kalimah syahadah iaitu menyembah hanya satu sahaja Tuhan iaitu Allah Taala dan menerima Nabi Muhammad itu sebagai Rasul pilihan yang mendapat wahyu daripada Allah SWT untuk dikembangkan kepada umat manusia. Selagi kita berpegang kepada dua kalimah syahadah, kita adalah orang Islam,” katanya.
“Saya berkata sebegini kerana saya juga sering terlibat dalam pengislaman dengan orang bukan Islam. Cara yang digunakan hanyalah dengan berjabat tangan dan meminta mereka mengucap dua kalimah syahadah untuk menjadi Islam. Mungkin mereka melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh agama Islam dan tidak mengamalkan segala kewajipan sebagai orang Islam, namun mereka masih dianggap sebagai orang Islam selagi mereka masih menyembah Allah yang satu dan menerima Nabi Muhammad sebagai pesuruh Allah SWT,” ujar beliau.
Namun ada pihak yang beranggapan orang yang tidak mengikut tafsiran yang dibuat oleh mereka itu bukan orang Islam ataupun kurang Islam. Seolah-olah ada ukuran tentang kedudukan seseorang itu dalam pegangan kita dalam Islam.
Ada yang dianggap bukan Islam, kurang Islam ataupun lebih Islam dan sebagainya, seolah-olah ada pemarkahan dalam pegangan kita kepada agama Islam. Tetapi selagi kita menyembah Allah yang satu dan mengakui Nabi Muhammad itu pesuruhNya, maka itulah yang menjadikan kita sebagai orang Islam.
Jika terdapat perselisihan antara tafsiran-tafsiran yang dibuat, kita perlu merujuk kepada Al-Quran. Namun begitu, kita dapati ramai di kalangan orang Islam bahkan pensyarah, para ulama’ dan sebagainya mengetepikan ajaran agama Islam seperti yang terdapat dalam Al-Quran.
Al-Quran melarang kita daripada membunuh tetapi ada pemimpin Islam yang menyuruh orang Islam membunuh saudara sesama Islam lain yang kononnya tidak mengikut tafsiran yang sama dengan mereka dan dianggap kurang Islam.
Tiada peruntukan dalam Al-Quran bahawa kita boleh membunuh sesiapa sahaja termasuk orang yang bukan Islam dan kita tidak boleh membunuh golongan yang kononnya tidak menerima agama Islam yang ditafsirkan oleh orang tertentu. Oleh itu, kita perlu sentiasa berpegang kepada panduan kita yang sebenar iaitu Al-Quran.
Baru-baru ini, saya telah berbincang dengan ramai ulama’ dan pemimpin Islam yang datang berjumpa saya di Kuala Lumpur dan orang Islam di London untuk menjelaskan masalah yang dihadapi oleh Islam dan negara Islam sekarang ini yang berasaskan daripada penolakan ajaran Islam yang terdapat dalam Al-Quran.
Sebaliknya ramai orang Islam lebih mengutamakan ajaran dan tafsiran oleh orang-orang tertentu yang dianggap bijak dan sebagainya. Walaupun bijak dan memahami agama Islam, tetapi apabila bertentangan dengan ajaran Al-Quran, maka ianya bukanlah ajaran Islam. Kita berpandu pada Al-Quran, kerana Al-Quran lah yang mengumpul segala wahyu daripada Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW dan selepas itu agama Islam disampaikan kepada kita.
Ujar Dr Mahathir lagi, sebelum Al-Quran diturunkan tiada agama Islam, hanya ada agama Kristian dan Hebrew ataupun Yahudi yang menyembah satu Tuhan sahaja. Tetapi apabila datangnya Islam, Islam memperbetulkan ajaran-ajaran yang silap yang terdapat di kalangan agama terdahulu tetapi apabila kita ketepikan ajaran Islam seperti yang terdapat dalam Al-Quran dan membuat tafsiran yang berbeza-beza, hari ini kita dapati ramai umat Islam berpecah, berpuak-puak dan merusuh sesama mereka.
Inilah yang kita lihat sekarang di mana ramai orang Islam bermusuhan dan berperang sesama mereka kerana tafsiran yang terpesong daripada apa yang terkandung dalam Al-Quran. Al-Quran menegaskan bahawa orang Islam itu adalah bersaudara tetapi kita dapati mereka tidak bersaudara. Yang menjadi masalah ialah agama Islam yang disampaikan kepada penganut agama Islam, kepada anak-anak kita tidak mengikut apa yang terdapat dalam Al-Quran.
Ajaran-ajaran ini kerap kali bertentangan dengan ajaran Islam. Dengan itu, mereka akan membesar dan mempunyai fahaman yang sempit dan hanya menerima ajaran Islam seperti yang disampaikan kepada mereka walaupun ajaran tersebut bukanlah seperti yang terdapat dalam Al-Quran.
Saya telah ditanya ketika itu, apakah perlu dilakukan oleh orang Islam supaya mereka akan berpegang pada ajaran Islam yang sebenar? Jawapan saya ialah kembali pada Al-Quran dan tidak mengikut tafsiran itu dan ini, tetapi mengikut ulama’ tertentu.
Apabila kita mengikut tafsiran yang berlainan antara pentafsir-pentafsir, kita akan berpecah kepada kumpulan-kumpulan yang sering bermusuh sesama kita. Al-Quran hanyalah satu tidak seperti agama-agama lain yang mempunyai kitab Bible mereka yang berlainan mengikut tafsiran oleh pihak-pihak tertentu.
Sebaliknya kitab Al-Quran hanyalah satu walaupun pengikutnya adalah terdiri daripada Syiah, Sunni ataupun mazhab-mazhab lain. Jika kita kembali kepada Al-Quran, maka kita tidak akan berpecah belah melainkan kalau kita dengan sengaja menyalah tafsirkan ajaran agama Islam.
Kita dilarang bermusuh, dan disuruh bersaudara, kita dilarang membunuh, bermakna kita dilarang berperang sesama kita atau pun dengan pihak lain dan kita harus bersedia untuk mempertahankan umat Islam.
Namun di zaman Rasulullah SAW, persediaan terhad kepada mempunyai kuda perang, senjata-senjata seperti memanah, tombak dan sebagainya. Di zaman ini, jika kita tidak mempunyai senjata yang moden, maka kita tidak dapat mempertahankan umat Islam dan apabila kita tidak dapat mempertahankan umat Islam, kita telah melakukan sesuatu yang salah daripada ajaran agama Islam. Yang penting bukanlah memilih kuda atau menaiki kuda atau memilih menggunakan pemanah, yang penting adalah menyelamatkan umat Islam.
Oleh itu, kita perlukan senjata yang moden dan canggih yang boleh mempertahankan umat Islam, namun kita tidak mempunyai kebolehan untuk menghasilkan senjata ini sehingga terpaksa membeli senjata daripada orang bukan Islam kerana kita tiada pengetahuan dan kebolehan untuk membuat senjata.
Hal ini disebabkan oleh kita menghadkan ilmu pelajaran kepada hanya yang berkaitan dengan agama Islam sahaja tetapi tidak mengambil berat tentang masalah yang disebut dalam Al-Quran iaitu kita perlu mempertahankan dan menyelamatkan umat Islam.
Oleh itu, kita perlu ada kekuatan dan kebolehan untuk menghasilkan senjata canggih kita sendiri dan tidak bergantung kepada pihak lain. Maka pelajaran seperti ilmu Sains, Algebra, Matematik, Fizik, Kimia dan sebagainya perlu diterapkan di kalangan umat Islam, tetapi apabila kita menyampaikan ilmu kepada anak-anak atau penuntut di sekolah, kita ketepikan ilmu Sains dan tidak menekankan kepentingan ilmu tersebut sehingga kita tidak mampu mencipta senjata kita sendiri sehingga terpaksa membeli senjata daripada orang yang sebenarnya tidak bersimpati dan bermusuh dengan kita.
Mereka membekalkan kita senjata-senjata tersebut supaya kita berperang sesama kita dan membunuh sesama Islam, sedangkan kita tahu bahawa sesiapa yang membunuh orang Islam, maka tempatnya adalah di neraka buat selama-lamanya.
Hal ini telah disebut dalam Al-Quran tetapi tidak diajar kepada anak-anak atau pun penuntut-penuntut kita di sekolah. Kita mengadakan kelas-kelas tetapi tumpuannya ialah untuk melakukan fardu ain untuk bekalan akhirat kelak.
Namun, Al-Quran juga menyebut bahawa kita juga mempunyai bahagian kita dalam dunia ini, maka di dunia ini juga kita perlu mempunyai kebolehan mempertahankan negara Islam, mentadbir negara Islam dengan baik, membangunkan negara Islam supaya tidak ditindas oleh negara-negara bukan Islam.
Hari ini kita dapati banyaklah negara-negara Islam yang bergerak mengikut telunjuk orang yang bermusuh dengan kita kerana kita lemah dan memerlukan bantuan mereka dan mereka tidak akan memberikan bantuan melainkan kita dijadikan hamba dan mengikut kehendak mereka. Kita perlu menentukan kedudukan umat Islam dan ajaran agama Islam ini supaya sentiasa terpelihara selagi kita hidup di dunia ini.
Tidak disebutkan dalam Al-Quran bahawa dunia ini hanya untuk orang kafir, sebaliknya tempat kita adalah di akhirat. Pendapat seperti ini menyebabkan ramai orang Melayu dan orang Islam lain memberikan tumpuan hanya kepada akhirat sahaja tanpa mengambil berat dan tanggungjawab mereka di dunia ini.
Oleh sebab itu, kita perlu kembali pada Al-Quran kerana Al-Quran memberikan panduan yang banyak berkenaan cara hidup orang Islam. Apabila kita mengikuti apa yang disebut dalam Al-Quran, saya yakin orang Islam akan berjaya di dunia dan tidak kurang akhirat.
Dr Mahathir berharap, PERKIM bertanggungjawab untuk mengembangkan agama Islam, memperbetulkan pelajaran-pelajaran agama Islam di kalangan orang Islam dan orang bukan Islam supaya berpegang pada ajaran agama Islam seperti dalam Al-Quran dan tidak mengenepikan ajaran yang terdapat dalam Al-Quran kerana mengikut arahan dan tafsiran yang dibuat oleh orang tertentu yang mempunyai kepentingan yang lain, khususnya orang menggunakan agama Islam untuk kepentingan politik mereka, sebaliknya kita perlu mengikut ajaran Islam supaya kita betul-betul menjadi orang Islam yang menurut Ad-Din iaitu cara hidup Islam.
“PERKIM mempunyai tanggungjawab yang lebih kerana kita perlu memperbetulkan salah faham dan salah tafsir yang berlaku berkenaan dengan agama Islam sehingga menyebabkan orang Islam hari ini berpecah, menjadi lemah, dihina dan dikenali sebagai pengganas,” ujar Mantan Perdana Menteri.
Ajaran Islam tidak menjadikan kita sebagai pengganas, sebaliknya, kita perlu mendapat tempat di dunia ini untuk menyelamatkan agama Islam yang sebenar. Kita tidak patut mengikut ajaran-ajaran yang berlainan. Ada pihak yang mengaku bahawa mereka adalah Nabi dan perkara ini adalah tidak benar kerana Nabi Muhammad SAW ialah Nabi terakhir yang diberi tugas untuk mengembangkan agama Islam di kalangan umat manusia.
Kita perlu mengamalkan ajaran Islam untuk menunjuk bahawa Islam ialah agama yang baik, prihatin, bertimbang rasa, dan adil supaya orang bukan Islam akan tertarik dengan ajaran Islam.
“Saya dapati bahawa ramai orang Islam yang berhijrah ke negara bukan Islam dan mendapat perlindungan di negara bukan Islam, tetapi sebaliknya orang Islam yang mendapat perlindungan di negara bukan Islam ini, melakukan perkara-perkara ditegah seperti meletupkan bom, membunuh orang yang tidak bersalah,” kesalnya.
Terdapat kes di mana orang Islam dengan sendirinya tanpa arahan sesiapa ingin membalas dendam dan mencuri sebuah kereta, lori dan menindih 80 orang yang mati kerananya. Ini bukan ajaran Islam sebaliknya orang Islam mestilah berasa tanggungjawab untuk menyelamatkan bukan sahaja orang Islam tetapi orang bukan Islam juga perlu diselamatkan oleh kita kerana dengan itu agama Islam akan dipandang tinggi dan mulia oleh masyarakat bukan Islam dan mungkin mereka akan memeluk agama Islam atau sekurang-kurangnya bersimpati dengan orang Islam.
Kita dapati perbuatan-perbuatan sebahagian orang Islam dengan sendirinya meletup bom di sana sini dan membunuh orang yang tidak berdosa termasuk kanak-kanak yang tidak faham apa masalah yang dihadapi.
Mereka juga telah dibunuh oleh orang Islam, dengan ini agama Islam mendapat imej yang buruk sebagai satu agama yang menggalakkan perbuatan zalim dan tidak bertimbang rasa terhadap pihak lain.
Sebaliknya kalau kita ikut ajaran Islam, kita akan menjaga bukan sahaja orang Islam tetapi juga orang bukan Islam yang menunjukkan betapa kita prihatin dan berasa bertanggungjawab untuk menyelamatkan semua umat manusia kerana dengan perbuatan seperti itu barulah agama Islam akan mendapat imej yang baik dan membuatkan mereka tertarik untuk memeluk agama Islam.
Hari ini ramai daripada orang lain menolak Islam kerana menganggap Islam sebagai agama pengganas yang tidak bertimbang rasa dan dengan mudah membunuh orang yang tidak bersalah sama sekali. Ini menunjukkan bahawa kita sebenarnya tidak mengikut ajaran Islam seperti yang terdapat dalam al-Quran malah kita bertindak mengikut nafsu ketika kita marah dan memberi gambaran yang buruk terhadap agama Islam.
Dr Mahathir berharap, PERKIM tidak akan mengembangkan agama yang silap ini sebaliknya kembali kepada al-Quran dan perlu faham ajaran Islam kerana kalau kita hanya membaca al-Quran dalam bahasa Arab mungkin kita tidak faham ajaran Islam dan panduan agama Islam, sebaliknya kalau kita baca al-Quran dengan bahasa yang kita faham, Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris maka barulah kita akan dapat panduan yang sebenar tentang ajaran Islam.
Ada pihak yang berkata bahawa terjemahan al-Quran itu bukan al-Quran, tetapi kalau kita ajar seseorang itu dalam bahasa yang dia tidak faham maka dia tidak akan faham apa itu ajaran Islam yang sebenar.
Sebab itu sementara kita boleh baca al-Quran, hafal al-Quran, kita juga perlu faham dalam bahasa yang difahami seperti Bahasa Melayu atau Inggeris barulah kita akan memahami ajaran Islam dan menjadi umat yang berjaya dan mampu mempertahankan umat Islam dan agama Islam.
Inilah tugas PERKIM, bukan mengikut ajaran orang yang cuma menumpukan kepada akhirat semata-mata. Ya, kita perlu tahu tentang akhirat, perlu beribadat untuk akhirat tetapi di masa yang sama kita jangan lupa bahagian kita di dunia ini dan kita juga jangan lupa tanggungjawab kita terhadap agama Islam dan umat Islam seperti yang dikehendaki dalam al-Quran.
Beliau berharap PERKIM, ulama-ulama dalam PERKIM akan membincang perkara ini kerana kalau tidak kita akan turut sahaja kitab-kitab yang kita pilih dan melakukan perkara yang di larang oleh agama Islam.
Dalam Islam, salah satu yang diutamakan adalah keadilan. Banyak ayat- ayat al-Quran tentang keadilan. “Apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil.” Tetapi kita dapati ramai daripada kita yang tidak adil. Kadang-kadang kita sengaja melakukan perkara yang tidak adil kerana mengikut hawa nafsu semata-mata.
Sebab itu, untuk menjayakan agama Islam, kita perlu kembali kepada al-Quran dan PERKIM terutamanya perlu menentukan setiap orang yang dilatih menjadi pendakwah faham al-Quran lebih daripada kitab-kitab yang lain.
Jika kita tumpu kepada ajaran al-Quran barulah kita berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar dan kalau kita hanya tumpu kepada kitab-kitab tertentu yang popular, mungkin kita akan lari dari ajaran Islam.
Kita juga perlu patuh kepada hadis, tetapi kita harus ingat bukan semua hadis itu sahih. Ada hadis yang tidak sahih dan ada juga hadis yang lemah. Sebaliknya ahli-ahli fikir yang meneliti sahih-sahih hadis ini menerima 7,ooo hadis berbanding 600,000 hadis yang ada.
Selain dari itu, mereka tolak sebagai hadis palsu atau tidak sahih ataupun lemah. Jadi kalau kita pegang hadis sehingga ketepikan al-Quran, maka kita akan lari dari ajaran Islam.
Sepertimana yang kita tahu, kajian mengenai sahih atau tidak hadis-hadis ini dibuat hampir 200 tahun selepas wafat Nabi Muhammad SAW dan dalam 200 tahun itu, terjemahan dan tafsiran yang disampaikan kepada pengkaji-pengkaji hadis ini sudah pun lari dari yang sebenarnya.
Kerana kita tahu bahawa manusia ini pelupa. Mereka tidak ingat tentang apa yang sebenarnya berlaku kalau diriwayatkan bahawa Nabi melakukan sesuatu atau mengatakan sesuatu. 200 tahun selepas Nabi berkata, mungkin ada kesilapan dan kalau ada hadis yang bertentangan dengan agama Islam atau al-Quran, maka kita tidak boleh terima dengan sewenang-wenangnya hadis itu.
Tambah Dr Mahathir lagi. tujuan kita adalah untuk kembalikan umat Islam kepada ajaran Islam seperti yang terdapat dalam al-Quran dan hadis-hadis yang sahih sahaja. Itulah yang patut dilakukan oleh PERKIM.
PERKIM adalah satu organisasi dakwah untuk menerangkan agama Islam dan sebab itu kita perlu faham apa sebenarnya agama Islam dan ini terdapat dalam al-Quran dan kita perlu faham dalam bahasa yang difahami dan bukan hanya menghafal dan membaca tanpa memahami isi kandungan al-Quran.
Ahli-ahli PERKIM perlu beri perhatian yang serius terhadap banyak penyelewengan yang berlaku sehingga ada yang meminum air basuh kaki seorang pemimpin Islam kononnya. Tetapi ini bukanlah ajaran Islam. Inilah tugas PERKIM.
Beliau berdoa, meminta dan merayu supaya kita kembali kepada ajaran Islam sebenar yang terdapat dalam al-Quran dan hadis-hadis yang sahih.
Sebelum itu, Yang Dipertua telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan PERKIM Bil.1/60 bersama 60 Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM bagi membincangkan dakwah, kebajikan, pendidikan dan kerjasama PERKIM selain melulus serta menyokong agenda mesyuarat.
Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor dalam ucapannya mengucapkan penghargaan tahniah dan terima kasih kepada Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad kerana baru pulang dari Jepun dan London yang membawa imej PERKIM setelah bertemu dengan pemimpin-pemimpin Islam.
Dr Yusof Noor turut mengucapkan syukur kerana dapat bertemu secara fizikal setelah bermaya beberapa tahun disebabkan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.
Kehadiran perwakilan pada persidangan hari ini adalah terdiri daripada keseluruhan perwakilan Bahagian PERKIM, Ahli Majlis Kebangsaan, Badan Gabungan PERKIM yang berstatus Bahagian, serta perwakilan Wanita Kebangsaan. Sementara itu, status Majlis Belia PERKIM masih dalam semakan.
Saya ingin maklumkan bahawa untuk mendapat tempat persidangan yang sesuai dalam suasana sekarang bukanlah perkara mudah, oleh itu PERKIM merakamkan terima kasih kepada pihak pengurusan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) kerana memberi kelulusan menggunakan dewan ini, dan PERKIM telah dapat menjimatkan kos perbelanjaan dengan jumlah yang sangat baik.
Dr Yusof Noor turut mengucapkan terima kasih kepada tenaga kerja yang bertungkus lumus berjaga malam untuk melaksanakan segala persiapan dan keperluan dengan penuh cemerlang.
Persidangan mesyuarat telah berlangsung dan membincangkan beberapa agenda antaranya ialah, meluluskan Minit Mesyuarat Agung PERKIM Kebangsaan Kali Ke-60; menerima Laporan Tahunan 2021 bagi PERKIM Kebangsaan, PERKIM Bahagian-bahagian dan Wanita PERKIM Kebangsaan; meluluskan Akaun Kewangan PERKIM Kebangsaan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2021; meluluskan Anggaran Pendapatan dan Perbelanjaan Bagi Tahun 2023 serta membincangkan dan meluluskan usul.
Selain itu, para perwakilan dari setiap negeri turut menyampaikan ucapan penangguhan manakala Yang Dipertua PERKIM membuat ucapan penggulungan di akhir mesyuarat.
Ahli Majlis Kebangsaan dan para perwakilan berkesempatan membuang undi bagi Pemilihan Ahli Majlis Kebangsaan yang baharu dan keputusan Pemilihan Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM Penggal 2022-2025 ialah:
Pengerusi Tetap
YBhg Dato’ Dr Haji Abu Bakar Shaari
Timbalan Pengerusi Tetap
YBhg Haji Abd Ghafar Mamat
Yang Dipertua
YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad
Naib Yang Dipertua
1 – YB Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim
2 – YBhg Haji Muhammad Fitri Abdullah
3 – YBhg Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah
4 – YBhg Prof Dr Ramle Abdullah
Ahli Majlis Kebangsaan
1 – YB Dato’ Sri Hajah Rohani Abdul Karim
2 – YBhg. Prof Madya Dr Nur’azah Dato’ Abd Manaf
3 – YBhg Dr. Haji Ann Wan Seng
4 – YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa
5 – YBhg Dato’ Haji Ali Abd. Majid
6 – YBhg Datuk Kapt. (B) Haji Mohd Najmuddin Elias
7 – YBhg Haji Hushim Haji Salleh
8 – YBhg Prof Madya Dr Amin Malik Shah Abd Majid
9 – YBhg Tan Sri Dato’ Dr. Ismail Ibrahim
10 – YBhg Haji Mohamad Shaiful Bahri Abdullah
11 – YB Dato’ Sri Hasan Arifin
12 – YBhg Dato’ Haji Khairi Hasan
13 – YBhg Datin Paduka Hajah Norsiah Harun