PERKIM Perkukuh Jalinan Ukhuwah Bersama Komuniti Orang Asli Kampung Pisang
ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ
𝗦𝗨𝗡𝗚𝗔𝗜 𝗦𝗜𝗣𝗨𝗧, 𝟭𝟳 𝗠𝗘𝗜 𝟮𝟬𝟮𝟲 – Program Muhibah Komuniti Masyarakat Majmuk Orang Asli Kampung Pisang, Jalong Tinggi dekat sini diteruskan dengan jayanya pada hari kedua menerusi pelbagai pengisian ilmiah, dakwah dan kemasyarakatan yang berlangsung dalam suasana penuh harmoni serta muhibah antara masyarakat pelbagai kaum.
Program anjuran bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu turut mendapat kerjasama PERKIM Bahagian Negeri Perak, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Kuala Kangsar, Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) dan Pertubuhan Informasi Islam Negeri Perak (PIIN) Perak.
Program dimulakan dengan Dialog Harmoni yang menghimpunkan lebih 60 penduduk kampung majoritinya daripada suku kaum Temiar bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan dakwah, pendidikan, pembangunan komuniti serta sensitiviti budaya masyarakat Orang Asli.
Dialog yang berlangsung dalam suasana terbuka dan penuh rasa hormat itu dimoderatorkan oleh 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗝𝗮𝗶𝘀 𝗠𝗮𝗿𝗶𝗮𝗽𝗽𝗮𝗻 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 dengan menampilkan ahli panel daripada 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗴𝗶𝗮𝗻 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝗝𝗔𝗜𝗣𝗸, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗪𝗮𝗻 𝗠𝗮𝘀 𝗜𝗻𝗱𝗿𝗮 𝗝𝘂𝗷𝗮.
Dalam sesi tersebut, Wan Mas Indra berkongsi pengalaman luas beliau mendampingi komuniti Orang Asli di seluruh negara serta menekankan kepentingan pendekatan berhikmah dan beradab ketika berinteraksi dengan masyarakat berkenaan.
Menurut beliau, masyarakat Orang Asli amat menghargai individu yang benar-benar memahami kesusahan mereka dan sanggup bersama komuniti tanpa mengira penat lelah.
“Pendekatan dakwah dan kebajikan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa atau memaksa. Segala urusan perlu dibuat dengan penuh hikmah, hormat dan melalui saluran yang betul termasuk mendapatkan izin Tok Batin serta pihak berkaitan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan peserta supaya menjaga tutur kata dan mengelakkan penggunaan istilah yang boleh menyinggung perasaan masyarakat Orang Asli kerana sensitiviti budaya perlu dihormati demi mengekalkan keharmonian masyarakat majmuk.
“Kadang-kadang sesuatu perkataan itu dianggap biasa oleh orang luar, tetapi sangat sensitif bagi masyarakat Orang Asli. Sebab itu penting untuk kita menjaga tutur kata dan memahami budaya mereka,” jelas beliau lagi.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa pendekatan dakwah terhadap masyarakat Orang Asli perlu mendahulukan pengukuhan akidah dan nilai tauhid sebelum menyentuh perkara-perkara cabang yang lain.
Katanya, penghayatan Islam yang baik mampu membentuk kehidupan masyarakat Orang Asli yang lebih teratur, berdisiplin dan mempunyai jati diri yang kukuh dalam mendepani cabaran semasa.
Beliau turut menyentuh kepentingan pendidikan dan penguasaan teknologi dalam kalangan generasi muda Orang Asli agar mereka tidak terus tercicir dalam arus pembangunan negara.
“Kalau kita tidak menguasai ilmu dan teknologi, kita akan terus ketinggalan. Sebab itu anak-anak Orang Asli perlu terus belajar dan jangan tercicir daripada sistem pendidikan,” katanya.
Dalam pada itu, Ustaz Jais Mariappan berkata, masyarakat luar perlu memahami bahawa komuniti Orang Asli memiliki identiti dan budaya tersendiri yang wajib dihormati.
Menurut beliau, hubungan baik dengan masyarakat Orang Asli tidak boleh dibina dalam tempoh singkat sebaliknya memerlukan keikhlasan, kesabaran dan kesediaan memahami budaya setempat.
“Hubungan yang baik tidak boleh dibina sehari. Ia memerlukan keikhlasan, rasa hormat dan kesediaan untuk memahami budaya masyarakat setempat,” katanya.
Beliau turut menyeru generasi muda Orang Asli supaya terus menimba ilmu dan menjadikan tokoh-tokoh berjaya dalam komuniti mereka sebagai inspirasi untuk membina masa depan yang lebih cemerlang.

Sementara itu, 𝗧𝗼𝗸 𝗕𝗮𝘁𝗶𝗻 𝗞𝗮𝗺𝗽𝘂𝗻𝗴 𝗣𝗶𝘀𝗮𝗻𝗴 𝗝𝗮𝗹𝗼𝗻𝗴 𝗧𝗶𝗻𝗴𝗴𝗶, 𝗕𝗮𝘁𝗶𝗻 𝗡𝗮𝘀𝗶𝗿𝗶 𝗡𝗴𝗮𝗵 menzahirkan penghargaan kepada PERKIM dan semua agensi yang terlibat kerana terus memilih Kampung Pisang sebagai lokasi program kemasyarakatan dan dakwah.
Katanya, program anjuran PERKIM yang memasuki kali ketiga sejak tahun 2008 dan 2010 di kampung ini berjaya menyatukan penduduk kampung melalui aktiviti gotong-royong, ziarah rumah ke rumah serta pelbagai bentuk bantuan yang disalurkan kepada penduduk.
“Alhamdulillah program ini sangat menggalakkan dan mendapat kerjasama penduduk kampung. Semalam kita pergi ziarah rumah-rumah sambil menyampaikan sumbangan makanan dan masyarakat menerima kedatangan rombongan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata, bantuan yang diberikan bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk malah menjadi saham pahala kepada penyumbang selagi ia digunakan masyarakat kampung.
Dalam ucapannya, beliau turut berharap ibu bapa Orang Asli mengambil berat soal pendidikan anak-anak supaya mereka mampu mengubah masa depan komuniti.

𝗣𝗲𝗻𝗴𝗮𝗿𝗮𝗵 𝗣𝗲𝗻𝘁𝗮𝗱𝗯𝗶𝗿𝗮𝗻 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗦𝘂𝗮𝗿𝗶𝘇𝗮 @ 𝗛𝗶𝗱𝗮𝘆𝗮𝗵 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 yang mewakili 𝗦𝗲𝘁𝗶𝗮𝘂𝘀𝗮𝗵𝗮 𝗔𝗴𝘂𝗻𝗴 𝗞𝗲𝗵𝗼𝗿𝗺𝗮𝘁 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠, 𝗬𝗕𝗵𝗴 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗗𝗿. 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱 𝗠𝗮𝗿𝘇𝘂𝗸𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱 𝗢𝗺𝗮𝗿 pula menyifatkan Kampung Pisang mempunyai nilai sentimental tersendiri buat beliau kerana pernah mengendalikan program anak angkat bersama pelajar Kelab PERKIM Universiti Islam Selangor (UIS) di kampung tersebut pada tahun 2008.
Katanya, selepas 18 tahun kembali semula ke Kampung Pisang, beliau berasa terharu apabila hubungan baik antara PERKIM dan masyarakat Orang Asli di kampung itu masih kekal erat.
“Saya masih ingat kami berkampung di sini selama tiga hari dua malam bersama pelajar universiti dan masyarakat kampung menerima kami dengan sangat baik. Hari ini saya kembali semula dan rasa hubungan itu masih sangat dekat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa program berkenaan dilaksanakan hasil sumbangan zakat daripada MAIWP bagi memperkukuh agenda dakwah dan kebajikan masyarakat Orang Asli.

Majlis perasmian program pula disempurnakan oleh 𝗦𝗲𝘁𝗶𝗮𝘂𝘀𝗮𝗵𝗮 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗴𝗶𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗣𝗲𝗿𝗮𝗸, 𝗬𝗕𝗿𝘀. 𝗧𝘂𝗮𝗻 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗠𝗲𝗼𝗿 𝗛𝗮𝗿𝘂𝗻 𝗠𝗲𝗼𝗿 𝗢𝘀𝗺𝗮𝗻 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝘄𝗮𝗸𝗶𝗹𝗶 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗲𝗿𝘂𝘀𝗶 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗴𝗶𝗮𝗻 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗣𝗲𝗿𝗮𝗸, 𝗬𝗕 𝗞𝗮𝗽𝘁. (𝗕) 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗡𝗮𝗷𝗺𝘂𝗱𝗱𝗶𝗻 𝗘𝗹𝗶𝗮𝘀 𝗔𝗹 𝗛𝗮𝗳𝗶𝘇.
Menurut beliau, program seumpama itu mampu memberi impak besar kepada masyarakat Orang Asli melalui pengukuhan ukhuwah, perpaduan dan semangat persaudaraan sejajar moto PERKIM iaitu “Islam Itu Persaudaraan”.
“Program seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan masyarakat, malah mampu menyuntik semangat kepada anak-anak Orang Asli untuk berjaya sehingga ke peringkat negeri dan kebangsaan,” katanya.
Beliau turut berharap lebih banyak program seumpama itu dapat dilaksanakan di kawasan pedalaman seluruh negeri Perak bagi memperkukuh hubungan antara masyarakat dan agensi dakwah.
Suasana program turut dimeriahkan dengan pelbagai acara sukaneka tradisional dan santai sepanjang hari semalam yang mendapat sambutan hangat daripada penduduk kampung pelbagai peringkat umur.
Antara acara yang dipertandingkan ialah membawa bola menggunakan sudu, memasukkan air ke dalam botol dan makan biskut tanpa menggunakan tangan.
Golongan wanita pula menyertai acara boling kelapa, tarik bola menggunakan gelung dan kerusi berirama, manakala kaum lelaki menunjukkan kemahiran masing-masing dalam pertandingan tarik upih, belon beracun dan sumpit tradisional.
Lebih menceriakan suasana apabila Pengarah Pentadbiran PERKIM Kebangsaan, Dr. Suariza; Setiausaha PERKIM Negeri Perak, Haji Meor Harun serta Tok Batin Kampung Pisang, Batin Nasiri menyampaikan sendiri hadiah kepada para pemenang sukaneka dan cabutan nombor bertuah.
Gelak tawa dan sorakan penduduk kampung yang memenuhi kawasan program jelas menggambarkan kemeriahan aktiviti tersebut sekali gus berjaya mengeratkan hubungan antara masyarakat Orang Asli dengan para sukarelawan serta agensi yang terlibat.
Turut sama menjayakan program tersebut ialah 𝘶𝘳𝘶𝘴 𝘴𝘦𝘵𝘪𝘢 𝘗𝘌𝘙𝘒𝘐𝘔 𝘒𝘦𝘣𝘢𝘯𝘨𝘴𝘢𝘢𝘯, 𝘈𝘻𝘶𝘳𝘢 𝘈𝘣𝘥𝘶𝘭 𝘙𝘢𝘩𝘮𝘢𝘯, 𝘍𝘢𝘵𝘪𝘯 𝘈𝘬𝘮𝘢𝘭 𝘈𝘬𝘴𝘢𝘩, 𝘔𝘶𝘩𝘢𝘮𝘢𝘥 𝘍𝘢𝘳𝘥𝘭𝘺 𝘑𝘰𝘩𝘢𝘯 serta 𝘱𝘦𝘭𝘢𝘫𝘢𝘳 𝘭𝘢𝘵𝘪𝘩𝘢𝘯 𝘪𝘯𝘥𝘶𝘴𝘵𝘳𝘪 𝘜𝘯𝘪𝘷𝘦𝘳𝘴𝘪𝘵𝘪 𝘚𝘢𝘪𝘯𝘴 𝘐𝘴𝘭𝘢𝘮 𝘔𝘢𝘭𝘢𝘺𝘴𝘪𝘢 (𝘜𝘚𝘐𝘔), 𝘕𝘶𝘳𝘶𝘭 ‘𝘐𝘻𝘻𝘢𝘩 𝘚𝘢𝘭𝘪𝘮𝘪 𝘥𝘢𝘯 𝘜𝘮𝘮𝘶𝘭 𝘔𝘶𝘳𝘴𝘩𝘪𝘥𝘢 𝘔𝘢𝘵 𝘚𝘩𝘶𝘲𝘪.
Hadir sama 𝘌𝘬𝘴𝘦𝘬𝘶𝘵𝘪𝘧 𝘗𝘌𝘙𝘒𝘐𝘔 𝘕𝘦𝘨𝘦𝘳𝘪 𝘗𝘦𝘳𝘢𝘬, 𝘜𝘴𝘵𝘢𝘻 𝘔𝘶𝘩𝘢𝘮𝘮𝘢𝘥 𝘈𝘳𝘪𝘧𝘧 𝘈𝘣𝘥𝘶𝘭 𝘈𝘻𝘪𝘻; 𝘗𝘦𝘮𝘣𝘢𝘯𝘵𝘶 𝘛𝘢𝘥𝘣𝘪𝘳 𝘗𝘌𝘙𝘒𝘐𝘔 𝘕𝘦𝘨𝘦𝘳𝘪 𝘗𝘦𝘳𝘢𝘬, 𝘔𝘶𝘩𝘢𝘮𝘮𝘢𝘥 𝘏𝘢𝘯𝘪 𝘞𝘢𝘳𝘢𝘯 𝘎. 𝘙𝘢𝘵𝘯𝘢𝘴𝘢𝘮𝘺; 𝘔𝘶𝘣𝘢𝘭𝘪𝘨𝘩 𝘐𝘴𝘭𝘢𝘮 𝘑𝘈𝘐𝘗𝘬, 𝘜𝘴𝘵𝘢𝘻 𝘔𝘰𝘩𝘢𝘮𝘢𝘥 𝘕𝘰𝘰𝘳 𝘗𝘒 𝘖𝘴𝘮𝘢𝘯; 𝘔𝘶𝘣𝘢𝘭𝘪𝘨𝘩 𝘐𝘴𝘭𝘢𝘮 𝘋𝘢𝘦𝘳𝘢𝘩 𝘒𝘶𝘢𝘭𝘢 𝘒𝘢𝘯𝘨𝘴𝘢𝘳, 𝘜𝘴𝘵𝘢𝘻 𝘐𝘴𝘮𝘢𝘪𝘭 𝘈𝘩𝘮𝘢𝘥 𝘴𝘦𝘳𝘵𝘢 𝘸𝘢𝘬𝘪𝘭 𝘗𝘦𝘨𝘢𝘸𝘢𝘪 𝘑𝘈𝘒𝘖𝘈 𝘋𝘢𝘦𝘳𝘢𝘩 𝘒𝘶𝘢𝘭𝘢 𝘒𝘢𝘯𝘨𝘴𝘢𝘳, 𝘈𝘻𝘳𝘪 𝘈𝘭𝘪𝘰𝘯𝘨.

Ustaz Jais Mariappan memulakan sesi Dialog Harmoni selaku moderator pada hari kedua bersama masyarakat Orang Asli Kampung Pisang.

Penduduk Kampung Pisang yang terdiri daripada kaum wanita mengikuti sesi Dialog Harmoni.

Ustaz Wan Mas Indra dalam sesi dialog mengingatkan supaya menjaga tutur kata dan mengelakkan penggunaan istilah yang boleh menyinggung perasaan masyarakat Orang Asli.

Beliau turut menyentuh kepentingan pendidikan dan penguasaan teknologi dalam kalangan generasi muda Orang Asli agar mereka tidak terus tercicir dalam arus pembangunan negara.

Antara tetamu yang hadir termasuk Pengarah Pentadbiran PERKIM Kebangsaan, Dr Suariza.

Fatin Akmal memulakan acara perasmian penutup selaku pengacara majlis.

Tok Batin Nasiri Ngah dalam ucapannya berkata, program anjuran PERKIM kali ketiga sejak tahun 2008 dan 2010 di kampung ini berjaya menyatukan penduduk kampung melalui aktiviti gotong-royong, ziarah dan lain-lain.

Dr. Suariza menyifatkan Kampung Pisang mempunyai nilai sentimental tersendiri buat beliau kerana pernah mengendalikan program anak angkat bersama pelajar Kelab PERKIM UIS di kampung tersebut pada tahun 2008.

Menurut Haji Meor Harun, program ini memberi impak besar kepada masyarakat Orang Asli melalui pengukuhan ukhuwah, perpaduan dan semangat persaudaraan sejajar moto PERKIM iaitu “Islam Itu Persaudaraan”.

Haji Meor Harun menyampaikan hadiah alat tulis kepada pemenang sukaneka kanak-kanak.

Kaum ibu menerima hadiah sukaneka perkakasan dapur daripada Tok Batin Nasiri.

Dr. Suariza menyampaikan hadiah peralatan pertukangan kepada pemenang sukaneka lelaki.

Penduduk Kampung Pisang menerima sumbangan barangan makanan dan sagu hati tajaan MAIWP disampaikan oleh Haji Meor Harun.

Haji Meor Harun menyampaikan hadiah hamper kepada pemenang nombor cabutan bertuah.

Setiausaha Kehormat PERKIM Perak menyampaikan plak cenderamata PERKIM kepada Ustaz Wan Mas Indra mewakili JAIPk.

Azli Aliong mewakili JAKOA menerima plak cenderamata PERKIM daripada Haji Meor Harun.

Azri Aliong menyampaikan cenderamata tempok Orang Asli kepada Dr. Suariza.

Dr. Suariza menyampaikan sebuah potret gambar kenangan tahun 2008 Program PERKIM Bersama Orang Asli Kampung Pisang kepada Tok Batin Nasiri.

PERKIM berkesempatan bergambar kenang-kenangan bersama masyarakat Orang Asli Kampung Pisang di akhir program.



