Latar Belakang Wanita
WANITA PERKIM
1. Latar Belakang
Wanita PERKIM telah berjalan sekian lama sebagai satu Bahagian tetapi tidak pernah didaftarkan demikian. Adalah difahamkan bahawa usaha-usaha telah dibuat untuk mendaftarkan Bahagian Wanita PERKIM tetapi Pendaftar Pertubuhan berpendapat Bahagian Wanita tidak perlu didaftarkan kerana ia adalah sebahagian daripada PERKIM. Dalam pada itu beberapa PERKIM Cawangan Wanita telah ditubuhkan dan didaftarkan. Cawangan-cawangan ini dianggap menjadi Cawangan kepada Bahagian Wanita PERKIM dan bukan Cawangan kepada Bahagian Negeri. Wanita PERKIM pada semua peringkat bolehlah ditubuhkan dengan tujuan-tujuan seperti di bawah Perkara 5 Perlembagaan PERKIM. Maka Majlis Kebangsaan berkuasa membuat peraturan-peraturan dari satu masa ke satu masa sesuai dengan Perlembagaan PERKIM. Peraturan tersebut dinamakan PERGERAKAN WANITA PERKIM atau ringkasnya WANITA PERKIM. Pergerakan ini boleh ditubuhkan diperingkat Kebangsaan, Bahagian dan Cawangan.
2. Pertubuhan Wanita PERKIM
Pada tahun 1974, Y.A.Bhg. Datuk Amar Puan Sri Dr.Hajjah Laila Taib sebagai ahli seumur hidup PERKIM telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan bahagian wanita atas nasihat Y.T.M Tunku Abdul Rahman Al Haj memandangkan betapa ramainya wanita di kalangan saudari baru yang mempunyai masalah dengan keluarga asal mereka yang bukan Islam setelah mereka menganuti Agama Islam. Sebilangan kecil daripada mereka berminat untuk mengetahui dan mempelajari agama Islam atas kerelaan hati mereka sendiri setelah melihat contoh yang baik dalam keluarga sahabat mereka yang Islam. Ada juga kalangan wanita bukan Islam telah terpedaya dengan janji manis lelaki yang durjana yang telah mengambil mereka sebagai isteri dan tidak memberi bimbingan agama Islam. Setelah beberapa tahun berkahwin, mereka ditinggalkan oleh suami yang tidak bertanggungjawab bersama-sama beberapa orang anak. Maka sinilah peranan Wanita PERKIM untuk member bantuan kemanusiaan dan kerohanian.
3. Peranan Wanita PERKIM
Atas daya usaha Y.A.Bhg Datuk Amar Puan Sri Dr.Hajjah Laila Taib, kini Wanita PERKIM mempunyai sebanyak 66 cawangan di bawah seliaan 11 bahagian dengan keahlian seramai 20,257 ahli. Dengan itu, Wanita PERKIM mempunyai peranan yang besar mencurahkan sepenuh tenaga bagi merealisasikan hasrat Kerajaan meningkatkan martabat wanita sebagai nadi pembangunan Malaysia menuju ke tahap kecemerlangan. Perencanaan Allah memilih Wanita PERKIM untuk menjalankan amanah besar ini sudah tentunya mengandungi hikmah yang tersendiri.
4. Akitiviti yang telah diusahakan oleh Wanita PERKIM
Pada tahun 1980 setelah Wanita PERKIM ditubuhkan dengan rasminya di bawah seliaan Y.A.Bhg. Datuk Amar Puan Sri Dr.Hajjah Laila Taib berbagai aktiviti telah dijalankan menjadikan Wanita PERKIM begitu sinonim dengan Kebajikan dan Agama Islam di seluruh Asia Tenggara dan Timur Tengah. Selain dari menjadi Ketua Wanita Y.A.Bhg. Datuk Amar juga adalah pengerusi pergerakan Wanita Pertubuhan Dakwah Islamiah Rantau Asia Tenggara dan Pasifik ringkasnya RISEAP.