Ziarah, Sukaneka, Gotong-Royong Eratkan Silaturahim PERKIM Bersama Orang Asli Kampung Pisang
ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ
𝗦𝗨𝗡𝗚𝗔𝗜 𝗦𝗜𝗣𝗨𝗧, 𝟭𝟲 𝗠𝗘𝗜 𝟮𝟬𝟮𝟲 – Perjalanan sejauh hampir 350 kilometer yang memakan masa lebih tiga jam dari Bangunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan di Kuala Lumpur nyata berbaloi apabila rombongan PERKIM Kebangsaan berjaya menjejakkan kaki ke Kampung Pisang, Jalong Tinggi di sini bagi menjayakan Program Muhibbah Komuniti Masyarakat Majmuk Orang Asli anjuran bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Laluan menuju ke perkampungan pedalaman itu bukan mudah apabila rombongan terpaksa meredah jalan sempit dan tidak rata selain melalui kawasan hutan tebal, ladang getah serta kelapa sawit sebelum tiba di destinasi yang terletak jauh di pedalaman Sungai Siput (Utara), Perak.
Namun segala kepenatan terubat sebaik melihat sambutan mesra penduduk Kampung Pisang yang menanti kehadiran rombongan dengan penuh keterujaan dan semangat kekeluargaan.

Menurut 𝗧𝗼𝗸 𝗕𝗮𝘁𝗶𝗻 𝗞𝗮𝗺𝗽𝘂𝗻𝗴 𝗣𝗶𝘀𝗮𝗻𝗴 𝗝𝗮𝗹𝗼𝗻𝗴, 𝗕𝗮𝘁𝗶𝗻 𝗡𝗮𝘀𝗶𝗿𝗶 𝗡𝗴𝗮𝗵, Kampung Pisang merupakan sebuah perkampungan Orang Asli etnik Temiar yang dihuni lebih 300 penduduk pelbagai latar belakang agama dan budaya.
Katanya, kira-kira 80 peratus penduduk di kampung tersebut beragama Islam manakala selebihnya masih berpegang kepada kepercayaan animisme, namun mereka hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati antara satu sama lain.
“Kampung Pisang terletak di kawasan pedalaman Jalong Tinggi dan dikelilingi hutan semula jadi serta rangkaian sungai yang menjadi nadi kehidupan masyarakat di sini.
“Kawasan ini juga mempunyai keunikan geografi kerana berada di tanah tinggi berbukit berhampiran banjaran gunung serta kawasan eko-pelancongan air terjun,” katanya ketika ditemui sempena program tersebut hari ini.
Beliau berkata, majoriti penduduk terdiri daripada suku kaum Temiar yang masih mengekalkan adat dan budaya tradisional di samping menerima perkembangan dakwah Islamiah yang semakin berkembang di kawasan tersebut.
Program dimulakan dengan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan padang dan persekitaran kampung termasuk memotong rumput, menyapu kawasan sekitar serta mengumpul rumput yang dipotong ke dalam plastik sampah.
Turut sama turun padang menjayakan aktiviti tersebut ialah urus setia PERKIM Kebangsaan, Azura Abdul Rahman, Fatin Akmal Aksah, Muhamad Fardly Johan serta pelajar latihan industri USIM, Nurul ‘Izzah Salimi dan Ummul Murshida Mat Shuqi yang membantu membersihkan surau serta kawasan sekitarnya.
Suasana bertambah meriah apabila program diteruskan dengan pelbagai acara sukaneka melibatkan kanak-kanak, wanita dan lelaki.
Bagi kategori kanak-kanak, peserta menyertai aktiviti membawa bola menggunakan sudu, memasukkan air ke dalam botol dan makan biskut tanpa menggunakan tangan yang mencuit hati serta mengundang gelak tawa penduduk kampung.
Golongan wanita pula menyertai acara boling kelapa, tarik bola menggunakan gelung dan kerusi berirama manakala kaum lelaki menunjukkan semangat kesukanan menerusi pertandingan tarik upih, belon beracun dan sumpit yang merupakan antara permainan tradisional masyarakat Orang Asli.
Kemuncak program pada sebelah petang diteruskan dengan sesi ziarah rumah ke rumah yang diketuai sendiri oleh Batin Nasiri Ngah bersama Eksekutif PERKIM Bahagian Negeri Perak, Ustaz Muhammad Ariff Abdul Aziz; Pembantu Tadbir PERKIM Bahagian Negeri Perak, Muhammad Hani Waran G. Ratnasamy; Wakil Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Ustaz Wan Mas Indra Juja; Mubaligh Islam JAIPk, Ustaz Mohamad Noor PK Osman serta wakil Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Azri Aliong.

𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝟭 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗝𝗮𝗶𝘀 𝗠𝗮𝗿𝗶𝗮𝗽𝗽𝗮𝗻 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 berkata, program tersebut menjadi medan penting untuk mendekati masyarakat Orang Asli secara lebih dekat melalui pendekatan dakwah dan kebajikan.
“Hari ini Alhamdulillah, kami daripada rombongan PERKIM Kebangsaan telah hadir ke Kampung Pisang, Jalong Tinggi, Sungai Siput, Perak.
“Sejak pagi tadi kami mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan kampung dan memotong rumput selain melaksanakan aktiviti sukaneka melibatkan kanak-kanak, golongan dewasa serta ibu-ibu.
“Semua golongan kami libatkan supaya wujud semangat kebersamaan dan ukhuwah dalam komuniti,” katanya.
Menurut beliau, sesi ziarah rumah ke rumah pada sebelah petang berjaya menziarahi sebanyak 16 buah rumah yang majoriti penghuninya bukan Islam.
Katanya, 34 buah keluarga turut diberikan bakul makanan di balai adat di mana ia merupakan sebahagian daripada misi dakwah dan kebajikan PERKIM bersama MAIWP.
“Antara sumbangan yang diberikan kepada penduduk kampung ialah bakul makanan yang mengandungi beras, minyak masak, tepung, gula dan susu tajaan MAIWP.
“Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan lancar dan kami amat teruja melihat kesungguhan penduduk kampung dalam membantu menjayakan Program Muhibbah Komuniti Masyarakat Majmuk Kampung Orang Asli ini,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada JAKOA, JAIPk dan Pertubuhan Informasi Islam Negeri (PIIN) Perak yang banyak membantu dari segi persiapan, pelaksanaan dan logistik sepanjang program berlangsung.
“Daripada awal sehingga ke penghujung program, mereka sentiasa bersama membantu kami menjayakan misi dakwah dan kebajikan ini.
“Selepas sesi ziarah rumah ke rumah, kami akan membahagikan peserta kepada dua kumpulan. Satu kumpulan membantu golongan ibu merewang dan memasak manakala satu lagi bergotong-royong mengemas Surau Nur Hidayah Kampung Pisang,” katanya.
Menurut beliau, perkara paling menyentuh hati sepanjang program berlangsung ialah semangat perpaduan masyarakat kampung tanpa mengira agama apabila penduduk bukan Islam turut hadir membantu menyediakan makanan dan menyertai gotong-royong.
“Penglibatan penduduk kampung amat memberangsangkan. Daripada anak-anak hinggalah ibu bapa semuanya saling bantu-membantu dalam mewujudkan ukhuwah Islamiah.
“Yang paling menarik perhatian kami ialah penduduk bukan Islam juga turut datang membantu memasak dan bergotong-royong bersama-sama.
“Di sini, hubungan antara Islam dan bukan Islam sangat erat, seperti sebuah keluarga besar dan adik-beradik,” katanya penuh terharu.
Program Muhibbah Komuniti Masyarakat Orang Asli itu dilihat bukan sahaja menjadi platform dakwah dan kebajikan, malah berjaya menyemai nilai perpaduan, toleransi dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat pelbagai agama serta budaya di kawasan pedalaman negara ini.

Kampung Pisang, Jalong Tinggi di Sungai Siput merupakan sebuah perkampungan Orang Asli etnik Temiar yang dihuni lebih 300 penduduk pelbagai latar belakang agama dan budaya.

Ustaz Jais Mariappan memotong rumput dengan mesin di kawasan padang Kampung Pisang ketika aktiviti gotong-royong.

Urus setia PERKIM Kebangsaan bersama masyarakat kampung mencakar rumput bagi mengumpulkan rumput yang telah dipotong bagi memastikan kebersihan padang.

Rumput yang telah dipotong dimasukkan ke dalam plastik sampah sebelum di buang.

Penduduk Kampung Pisang turut menyertai aktiviti gotong-royong.

Urus setia memastikan laman dibersihkan, mengelakkan lapisan rumput mati tebal sebelum dimasukkan ke dalam plastik sampah.

Urus setia meneruskan aktiviti gotong-royong dengan membersihkan dalam dan persekitaran surau.

Ustaz Jais Mariappan dibantu urus setia membuka jaring dan bilah kipas untuk dicuci habuk dan kekotoran.

Urus setia PERKIM membasuh kekotoran habuk pada jaring dan bilah kipas dengan menggunakan sabun dan air.

‘Izzah menyusun buku-buku Yasin dan buku-buku agama secara teratur dan tersusun.

Ummul mendaftarkan nama kanak-kanak ketika menyertai sukaneka.

Bawa bola guna sudu merupakan aktiviti sukaneka pertama yang disertai kanak-kanak kampung.

Urus setia memegang botol ketika kanak-kanak memerah span yang mengandungi air ke dalam botol.

Urus setia memerhati kanak-kanak memerah span yang mengandungi air ke dalam botol dalam aktiviti sukaneka.

Aktiviti cabaran makan biskut tanpa menggunakan tangan.

Aktiviti sukaneka boling kelapa khusus buat kaum ibu.

Wanita kampung melontar buah kelapa ketika berlansungnya aktiviti sukaneka boling kelapa.

Aktiviti membawa bola menggunakan gelung yang disertai wanita kampung.

Kerusi berirama merupakan aktiviti yang mendapat rebutan antara kaum ibu.

Tarik upih kategori lelaki merupakan aktiviti tradisi yang meriah di antara sukaneka.

Sumpit merupakan aktiviti kebudayaan masyarakat Kampung Pisang turun temurun.

Penduduk kampung beraksi di antara satu sama lain dalam aktiviti sukaneka sumpit.

Urus setia mengangkat barangan makanan ke dalam van untuk program ziarah rumah penduduk kampung.

Penduduk kampung menerima sumbangan barangan makanan berserta sagu hati tajaan MAIWP disampaikan oleh Ustaz Jais Mariappan bersama urus setia dan Tok Batin Nasiri.

Ustaz Wan Mas Indra bersama rombongan ziarah menyampaikan sumbangan barangan makanan beserta sagu hati MAIWP kepada penerima.

Orang Asli Kampung Pisang menerima barangan makanan dan sagu hati MAIWP disampaikan oleh Ustaz Jais Mariappan bersama Tok Batin Nasiri dan rombongan ziarah.

Dua pelajar latihan industri USIM, Nurul ‘Izzah dan Ummul bersama Tok Batin Nasiri dan urus setia menyampaikan sumbangan barangan makanan MAIWP kepada penduduk kampung.

Azura turut menyampaikan wang sagu hati beserta barangan makanan tajaan MAIWP kepada orang kampung.

Penduduk Kampung Pisang menerima sumbangan barangan makanan MAIWP daripada Nurul ‘Izzah.

Ummul Murshida menyampaikan sagu hati dan barangan makanan seperti beras, minyak masak, tepung, gula dan susu tajaan MAIWP kepada orang kampung.



