Aktiviti DakwahBerita PERKIM Bahagian & Cawangan

Mesyuarat Agung PERKIM Selangor Perkukuh Agenda Dakwah, Integriti dan Kesatuan

ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ

𝗦𝗛𝗔𝗛 𝗔𝗟𝗔𝗠, 𝟵 𝗠𝗘𝗜 𝟮𝟬𝟮𝟲 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia Bahagian Negeri Selangor terus memperkukuhkan peranan sebagai antara pertubuhan dakwah dan kebajikan Islam paling aktif di negara ini menerusi penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-37 yang berlangsung penuh harmoni, semangat ukhuwah dan iltizam bertempat di Kompleks PERKIM Negeri Selangor, Seksyen 8 dekat sini pagi Sabtu.

Mesyuarat yang menghimpunkan lebih 120 perwakilan daripada seluruh cawangan di Selangor itu dimulakan dengan ucapan aluan oleh Setiausaha Kehormat PERKIM Bahagian Negeri Selangor, Tuan Haji Mohamed Ibrahim Nar Hussain yang turut bertindak sebagai pengacara majlis.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Eksekutif PERKIM Bahagian Negeri Selangor, Ustaz Mohd Yusoff Ahmad bagi memohon keberkatan dan kelancaran perjalanan mesyuarat.


Sementara itu, 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗲𝗿𝘂𝘀𝗶 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗴𝗶𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗦𝗲𝗹𝗮𝗻𝗴𝗼𝗿, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 Haji 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗙𝗶𝘁𝗿𝗶 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 dalam ucapan dasarnya menyampaikan amanat penuh menyentuh hati berkaitan sejarah perjuangan PERKIM Selangor, kepentingan kesatuan ummah serta cabaran memperkukuhkan gerakan dakwah dalam landskap masyarakat semasa.

Beliau berkata, PERKIM Selangor telah melalui pelbagai fasa perkembangan sejak pemisahan Wilayah Persekutuan daripada Negeri Selangor yang memberi kesan kepada struktur organisasi pertubuhan itu suatu ketika dahulu.

Menurut beliau, selepas pemisahan tersebut, PERKIM Selangor yang sebelum itu berpusat di Petaling Jaya terpaksa menyusun semula gerak kerja dan pentadbirannya sebelum berjaya membentuk identiti serta kekuatan tersendiri dalam meneruskan perjuangan dakwah dan kebajikan umat Islam di negeri berkenaan.

“Alhamdulillah, walaupun melalui pelbagai cabaran, PERKIM Selangor terus berdiri kukuh sehingga hari ini hasil sokongan semua ahli dan pimpinan cawangan yang sentiasa bersama-sama mempertahankan perjuangan ini,” kata Ustaz Fitri yang juga Naib Yang Dipertua PERKIM.

Beliau turut mengimbau kembali perjalanan kepimpinan pertubuhan itu apabila bangunan PERKIM dirasmikan pada tahun 2017 oleh Allahyarham Dato’ Muhammad Yassin yang ketika itu memegang jawatan pengerusi.

Ulas beliau lagi, namun, Allahyarham terpaksa melepaskan jawatan atas faktor kesihatan sebelum tugas tersebut disambung oleh Dato’ Mokhtar Shafie selaku Naib Pengerusi 1.

“Tidak lama selepas itu beliau juga berundur kerana faktor kesihatan dan saya yang ketika itu Naib Pengerusi Dua dipertanggungjawabkan memangku jawatan pengerusi sebelum dipilih secara rasmi pada Mesyuarat Agung tahun 2018,” jelas Ustaz Fitri.

Dalam nada penuh rendah diri, beliau memaklumkan bahawa penggal semasa merupakan penggal terakhir beliau menerajui PERKIM Selangor selepas menyatakan hasrat tersebut sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau secara berseloroh berkata, sehingga kini tiada individu tampil menawarkan diri untuk bertanding jawatan pengerusi walaupun kebanyakan NGO lain lazimnya menyaksikan persaingan sengit.

Menurut beliau, keadaan itu membuktikan bahawa perjuangan dalam PERKIM bukan bertujuan mencari kedudukan atau populariti, sebaliknya didorong oleh keikhlasan dan pengorbanan demi agama.

“Dalam banyak NGO lain, jawatan pengerusi diperebutkan sehingga ada yang berkempen seperti pilihan raya, tetapi di PERKIM Selangor tiada siapa berebut jawatan. Ini menunjukkan perjuangan di sini adalah perjuangan untuk akhirat,” katanya.

Beliau berkata, ramai ahli PERKIM terdiri daripada golongan usahawan dan peniaga berjaya yang sanggup meninggalkan urusan dunia demi menghadiri mesyuarat dan melaksanakan kerja-kerja dakwah secara sukarela.

Katanya, penglibatan dalam PERKIM merupakan satu platform untuk mengumpul saham akhirat melalui gerak kerja kebajikan dan dakwah secara berjemaah.

Dalam pada itu, beliau turut memuji kejayaan PERKIM Cawangan Bandar Tasik Puteri yang aktif melaksanakan pelbagai misi kemanusiaan termasuk membantu mangsa kebakaran besar di Sandakan, Sabah.

Beliau berkata, kejayaan menyalurkan bantuan sehingga ke Sabah membuktikan bahawa gerakan PERKIM Selangor tidak terbatas di negeri ini sahaja, malah mampu bergerak ke seluruh negara demi membantu umat Islam yang memerlukan.

Pada masa sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Setiausaha Kehormat, Tuan Haji Mohamed Ibrahim Nar Hussain yang terlibat dalam misi dakwah antarabangsa termasuk baru pulang dari Nigeria.

Menurut beliau, hasil sumbangan dan sokongan ahli-ahli PERKIM, organisasi itu berjaya membina tiga buah masjid di Nigeria dalam tempoh singkat sekali gus menjadi simbol kejayaan dakwah PERKIM Selangor di peringkat antarabangsa.

“PERKIM bukan sahaja bergerak di Selangor atau Malaysia, malah kini aktif bekerjasama dengan badan dakwah di Thailand, Indonesia, Kemboja, Vietnam, Sri Lanka dan beberapa negara lain,” katanya.

Beliau berkata, hubungan erat antara ibu pejabat dan cawangan juga perlu terus diperkukuhkan agar segala masalah dan cabaran dapat diselesaikan secara bersama.

“PERKIM tidak membezakan antara cawangan aktif atau kurang aktif kerana kita semua berada dalam satu keluarga besar yang sama. Semangat persaudaraan dan saling membantu perlu diperkasakan,” ujarnya.

Selain menyentuh aspek dakwah dan kebajikan, beliau turut memberi penekanan serius terhadap soal integriti serta tadbir urus organisasi yang telus.

Beliau berkongsi pengalaman apabila dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menasihati NGO supaya memastikan semua keputusan dan transaksi kewangan direkodkan secara teratur.

Katanya, setiap keputusan mesyuarat walaupun kecil perlu mempunyai dokumentasi lengkap bagi mengelakkan sebarang masalah atau pertikaian pada masa depan.

“Banyak NGO menghadapi masalah kerana gagal menyimpan rekod dengan baik. Bila timbul isu, tiada laporan atau dokumen sokongan. Sebab itu saya minta semua cawangan pastikan pengurusan kewangan dibuat secara telus dan teratur,” katanya.

Beliau turut menyentuh isu nepotisme dalam organisasi dengan mengingatkan bahawa pengerusi cawangan tidak seharusnya melantik ahli keluarga sendiri sebagai setiausaha atau bendahari.

Menurut beliau, langkah itu penting bagi mengelakkan konflik kepentingan dan menjaga imej organisasi daripada dipersoalkan masyarakat.

Katanya, pihak negeri kini sedang merangka garis panduan lebih jelas bagi memastikan pengurusan organisasi berjalan secara profesional dan diyakini ramai.

Dalam aspek pembangunan mualaf pula, beliau menjelaskan bahawa PERKIM perlu terus memainkan peranan besar membantu saudara baharu memahami Islam secara lebih menyeluruh.

Beliau berkata, tugas PERKIM bukan sekadar mengislamkan seseorang, sebaliknya memastikan mereka mendapat pendidikan agama yang sempurna menerusi kelas bimbingan dan kursus yang tersusun.

Katanya, beberapa cawangan PERKIM di Selangor kini aktif menguruskan kelas mualaf dengan kerjasama institusi agama termasuk Lembaga Zakat Selangor bagi memastikan saudara baharu mendapat sokongan sewajarnya.

“Ramai mualaf memerlukan bimbingan berterusan supaya mereka benar-benar memahami Islam dan mampu mengamalkannya dengan baik,” katanya.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap cadangan memperbanyakkan kursus khas serta program pembangunan ahli pada masa akan datang.

Menurut beliau, pihak negeri akan menyediakan takwim program lebih tersusun melibatkan semua zon dan cawangan bagi memastikan gerak kerja dakwah serta kebajikan dapat diperkasakan secara lebih berkesan.

𝙈𝙚𝙨𝙮𝙪𝙖𝙧𝙖𝙩 𝙖𝙜𝙪𝙣𝙜 𝙩𝙚𝙧𝙨𝙚𝙗𝙪𝙩 𝙩𝙪𝙧𝙪𝙩 𝙢𝙚𝙣𝙮𝙖𝙠𝙨𝙞𝙠𝙖𝙣 𝙥𝙚𝙢𝙞𝙡𝙞𝙝𝙖𝙣 𝘼𝙝𝙡𝙞 𝙅𝙖𝙬𝙖𝙩𝙖𝙣𝙠𝙪𝙖𝙨𝙖 𝙋𝙀𝙍𝙆𝙄𝙈 𝘽𝙖𝙝𝙖𝙜𝙞𝙖𝙣 𝙉𝙚𝙜𝙚𝙧𝙞 𝙎𝙚𝙡𝙖𝙣𝙜𝙤𝙧 𝙗𝙖𝙜𝙞 𝙨𝙚𝙨𝙞 2026 𝙝𝙞𝙣𝙜𝙜𝙖 2028.

𝗣𝗲𝗻𝗴𝗲𝗿𝘂𝘀𝗶 𝗧𝗲𝘁𝗮𝗽: 𝗧𝘂𝗮𝗻 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗿𝗶 𝗧𝗮𝗷𝘂𝗱𝗱𝗶𝗻 (𝗺𝗲𝗻𝗮𝗻𝗴 𝘁𝗮𝗻𝗽𝗮 𝗯𝗲𝗿𝘁𝗮𝗻𝗱𝗶𝗻𝗴)

𝗧𝗶𝗺𝗯𝗮𝗹𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗲𝗿𝘂𝘀𝗶 𝗧𝗲𝘁𝗮𝗽: 𝗧𝘂𝗮𝗻 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗦𝘂𝗯𝗸𝗶 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗛𝗮𝗺𝗶𝗱

𝗣𝗲𝗻𝗴𝗲𝗿𝘂𝘀𝗶: 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗙𝗶𝘁𝗿𝗶 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 (𝗺𝗲𝗻𝗮𝗻𝗴 𝘁𝗮𝗻𝗽𝗮 𝗯𝗲𝗿𝘁𝗮𝗻𝗱𝗶𝗻𝗴)

𝗡𝗮𝗶𝗯 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗲𝗿𝘂𝘀𝗶 𝗜: 𝗧𝘂𝗮𝗻 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗛𝘂𝘀𝗵𝗶𝗺 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗦𝗮𝗹𝗹𝗲𝗵 (𝗺𝗲𝗻𝗮𝗻𝗴 𝘁𝗮𝗻𝗽𝗮 𝗯𝗲𝗿𝘁𝗮𝗻𝗱𝗶𝗻𝗴)

𝗡𝗮𝗶𝗯 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗲𝗿𝘂𝘀𝗶 𝗜𝗜: 𝗬𝗕𝗵𝗴. 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗦𝗵𝗮𝗺𝘀𝘂𝗱𝗱𝗶𝗻 𝗛𝗮𝘆𝗿𝗼𝗻𝗶 (𝗺𝗲𝗻𝗮𝗻𝗴 𝘁𝗮𝗻𝗽𝗮 𝗯𝗲𝗿𝘁𝗮𝗻𝗱𝗶𝗻𝗴)

𝗕𝗮𝗿𝗶𝘀𝗮𝗻 𝗔𝗵𝗹𝗶 𝗝𝗮𝘄𝗮𝘁𝗮𝗻𝗸𝘂𝗮𝘀𝗮 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗱𝗶𝗽𝗶𝗹𝗶𝗵 𝗶𝗮𝗹𝗮𝗵:

𝟭. 𝗧𝘂𝗮𝗻 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗲𝗱 𝗜𝗯𝗿𝗮𝗵𝗶𝗺 𝗡𝗮𝗿 𝗛𝘂𝘀𝘀𝗮𝗶𝗻

𝟮. 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗚𝗵𝗮𝗻𝗶 𝗞𝗿𝗶𝘀𝗵𝗮𝗻𝗮 𝗠𝗼𝗼𝘁𝗵𝘆

𝟯. 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗔𝗶𝗺𝗮𝗻 𝗔𝘇𝗶𝗺 𝗔𝘇𝗮𝗳𝗿𝗶

𝟰. 𝗗𝗿. 𝗡𝗮𝗸𝗼𝗼 𝗠𝘂𝘀𝘁𝗮𝗻

𝟱. 𝗣𝘂𝗮𝗻 𝗨𝗺𝗮𝗶𝘇𝗮 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵

𝟲. 𝗬𝗕𝗵𝗴. 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗥𝗮𝘇𝗮𝗹𝗶 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗦𝗵𝗮𝗵𝗮𝗯𝘂𝗱𝗶𝗻

𝟳. 𝗬𝗕𝗵𝗴. 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗛𝗮𝗷𝗮𝗵 𝗡𝘂𝗿𝘇𝗮𝗿𝗶𝗻𝗮 𝗦𝗲𝗽𝗿𝗮𝗻

𝟴. 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗙𝗮𝗿𝗵𝗮𝗻 𝗔𝗷𝗶𝘆𝗮𝗻

Mesyuarat turut meluluskan Minit Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-36 dan Laporan Tahunan PERKIM Bahagian Negeri Selangor Tahun 2025 yang dibentangkan oleh Setiausaha Kehormat.

Selain itu, Bendahari Kehormat, YM Tengku Ahmad Tengku Kasim turut membentangkan laporan dan penyata kewangan 2025 serta anggaran belanjawan 2027 yang diluluskan sebulat suara oleh para perwakilan.

Persidangan kemudiannya diteruskan dengan sesi ucapan penangguhan oleh wakil-wakil PERKIM cawangan seluruh Selangor yang menyuarakan komitmen berterusan dalam memperkasakan aktiviti dakwah, kebajikan serta pembangunan mualaf di peringkat akar umbi.

Dalam sesi tersebut, beberapa wakil cawangan turut mengemukakan cadangan memperkukuhkan kerjasama antara negeri dan cawangan, selain menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan negeri yang sentiasa memberikan sokongan kepada gerak kerja dakwah di kawasan masing-masing.

Mengakhiri persidangan, Ustaz Fitri menyampaikan ucapan penggulungan dengan menekankan kepentingan meneruskan kesinambungan perjuangan PERKIM berasaskan keikhlasan, amanah dan kesatuan ummah.

Beliau menyeru seluruh ahli supaya terus mempertahankan semangat ukhuwah, memperkukuhkan integriti organisasi dan mengelakkan sebarang perpecahan yang boleh melemahkan perjuangan dakwah Islamiah.

“PERKIM perlu terus menjadi wadah penyatuan umat yang bergerak atas dasar ikhlas kerana Allah. Selagi kita bersatu dan saling membantu, insya-Allah perjuangan ini akan terus dihormati dan memberi manfaat besar kepada masyarakat,” katanya.

Di penghujung ucapan, beliau menzahirkan penghargaan kepada seluruh ahli jawatankuasa, kakitangan dan ahli-ahli PERKIM yang terus memberikan komitmen tinggi terhadap perjuangan organisasi itu.

Beliau turut memohon maaf atas segala kekurangan sepanjang memimpin pertubuhan berkenaan dan berharap barisan kepimpinan baharu akan terus memperkukuhkan PERKIM sebagai wadah dakwah Islamiah yang dihormati serta memberi manfaat besar kepada masyarakat dan negara.

 


Para perwakilan menurunkan tandatangan pada borang ketika sesi pendaftaran Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Bahagian Negeri Selangor Kali Ke-37.


Ustaz Yusoff memimpin bacaan doa pembuka majlis.

 

 


Ahli Jawatankuasa PERKIM Bahagian Negeri Selangor menadah tangan ketika doa dibacakan.

 


Setiausaha Kehormat, Haji Ibrahim membuka tirai mesyuarat agung dengan ucapan aluan.

 


Ustaz Fitri selaku Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Selangor dalam ucapan dasarnya menyampaikan amanat penuh menyentuh hati berkaitan sejarah perjuangan PERKIM Selangor, kepentingan kesatuan ummah serta cabaran memperkukuhkan gerakan dakwah.

 


Ustaz Fitri turut mengimbau kembali perjalanan kepimpinan pertubuhan itu apabila Kompleks PERKIM Negeri Selangor yang kita sedang berdiri ini telah disempurnakan perasmiannya pada tahun 2017 oleh Allahyarham Dato’ Muhammad Yassin yang ketika itu memegang jawatan pengerusi.

 


Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Bahagian Negeri Selangor Kali Ke-37 bersidang.

 


Pengerusi Tetap, Tuan Haji Bahari Tajuddin (hadapan) memulakan persidangan mesyuarat agung tahunan bagi pertubuhan itu.

 


Ustaz Fitri turut meminta semua cawangan memastikan pengurusan dokumentasi dan kewangan dibuat secara telus serta teratur.

 


Bendahari Kehormat, YM Tengku Ahmad Tengku Kasim turut membentangkan laporan dan penyata kewangan 2025 serta anggaran belanjawan 2027.

 


Wanita Ulu Klang turut hadir mesyuarat dan memberi pandangan serta menyokong persidangan tersebut.

 


Perwakilan PERKIM Cawangan Selayang Baru menyampaikan pandangan dan buah fikiran beliau dalam sesi ucapan penangguhan.

 


Perwakilan PERKIM Cawangan Hulu Langat turut memberi pandangan dalam ucapan penangguhan kepada sidang mesyuarat.

 


Ucapan penangguhan disampaikan oleh perwakilan daripada PERKIM Cawangan Sungai Tua.

 


Ustaz Fitri membahas semula ucapan perwakilan dalam ucapan penggulungannya.

 


Mesyuarat menampilkan semula kepimpinan Ahli Jawatankuasa PERKIM Bahagian Negeri Selangor yang baharu bagi sesi 2026-2028.

Related Articles

Back to top button