Mesyuarat Agung PERKIM Kebangsaan

YAB Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Johari Dilantik Sebagai Yang Dipertua PERKIM Baharu

ᵒˡᵉʰ: ˢᴿᶻ

𝐁𝐀𝐍𝐆𝐈, 𝟏𝟎 𝐌𝐄𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) hari ini mencatatkan detik bersejarah apabila 𝐘𝐀𝐁 𝐃𝐚𝐭𝐮𝐤 𝐏𝐚𝐭𝐢𝐧𝐠𝐠𝐢 𝐓𝐚𝐧 𝐒𝐫𝐢 (𝐃𝐫) 𝐀𝐛𝐚𝐧𝐠 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥 𝐑𝐚𝐡𝐦𝐚𝐧 𝐙𝐨𝐡𝐚𝐫𝐢 𝐓𝐮𝐧 𝐃𝐚𝐭𝐮𝐤 𝐀𝐛𝐚𝐧𝐠 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐎𝐩𝐞𝐧𝐠 dilantik sebagai 𝐘𝐚𝐧𝐠 𝐃𝐢𝐩𝐞𝐫𝐭𝐮𝐚 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 yang baharu dalam Pemilihan Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM pada tengah hari Sabtu.

Pemilihan itu diadakan ketika persidangan Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kali Ke-64 berlangsung di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) dekat sini pada tengah hari.


Abang Johari dalam ucapan sulungnya sebagai Yang Dipertua berkata, beliau menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas kepercayaan yang diberikan, serta merakamkan terima kasih yang tidak terhingga kepada mantan Yang Dipertua, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad atas kepimpinan beliau yang penuh hikmah, keteguhan prinsip dan komitmen terhadap perjuangan dakwah serta kebajikan.

“Kepimpinan Tun bukan sahaja membawa PERKIM ke tahap yang membanggakan, malah menjadi teladan kepada kita semua dalam erti sebenar perjuangan dakwah dan kebajikan,” katanya di hadapan para perwakilan, kepimpinan tertinggi dan ahli-ahli PERKIM dari seluruh negara.

Abang Johari yang juga selaku Premier Sarawak mengakui bahawa meneruskan legasi kepimpinan ini bukan satu tugas yang ringan, namun dengan kerjasama menyeluruh daripada seluruh warga PERKIM, beliau optimis organisasi ini akan terus memainkan peranan penting dalam landskap dakwah moden, khususnya dalam menghadapi cabaran semasa di peringkat global dan tempatan.

“PERKIM harus kekal vokal dan aktif dalam menyuarakan pendirian serta membela nasib saudara seagama, termasuk isu berterusan di Gaza, dengan pendekatan yang berhemah dan berkesan,” tegas beliau.

Beliau turut menekankan pentingnya pendekatan dakwah yang lebih inklusif, berteraskan kasih sayang, pendidikan dan kesedaran berterusan. Kerjasama antara negeri-negeri, termasuk Sabah dan Sarawak, juga harus diperhebat agar usaha dakwah dilaksanakan secara menyeluruh.

Abang Johari turut menggesa agar pentadbiran PERKIM diperkukuh, kewangan dirancang secara berstruktur dan program dijalankan dengan lebih lestari serta berimpak tinggi, menepati keperluan zaman.

Mengakhiri ucapannya, beliau menyeru seluruh ahli PERKIM agar terus berganding bahu, menyumbang tenaga dan kepakaran demi menjayakan misi organisasi memartabatkan Islam sebagai rahmatan lil ‘alamin.

Majlis diserikan lagi dalam satu majlis penuh simbolik penyampaian penyerahan kepimpinan Yang Dipertua PERKIM daripada Tun Dr Mahathir kepada Abang Johari.

Tun Dr Mahathir menyampaikan sebuah mandat berupa plak eksklusif bertulis khat jawi Penyerahan Kepimpinan Yang Dipertua PERKIM kepada Abang Johari.

Plak tersebut memaparkan perisytiharan rasmi pelantikan Abang Johari sebagai Yang Dipertua PERKIM yang baharu bagi penggal 2025 hingga 2028.

Sejurus itu, Abang Johari turut menyampaikan plak eksklusif bertulis jawi Lantikan Sebagai Penasihat Khas PERKIM kepada Tun Dr Mahathir.

Dengan senyuman, kedua-dua tokoh itu berdiri bersama sambil memegang bingkai tersebut, disaksikan oleh para hadirin termasuk barisan kepimpinan PERKIM dan delegasi dari seluruh negeri.

Tun Dr Mahathir, yang telah lama menerajui PERKIM, menyatakan keyakinan bahawa kepimpinan baharu di bawah Abang Johari akan terus memartabatkan agenda dakwah, kebajikan dan perpaduan umat Islam di Malaysia.

Sementara itu, Abang Johari dalam ucapannya menzahirkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan kepadanya serta berjanji akan meneruskan legasi Tun Dr Mahathir untuk membawa PERKIM ke tahap yang lebih tinggi selaras dengan cabaran semasa.

Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-64 berakhir dengan jamuan makan tengah hari dan sesi fotografi bersama kepimpinan Ahli Majlis Kebangsaan Sesi 2025 – 2028.

Hadir bersama ialah Naib Yang Dipertua PERKIM, YB Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim, YBhg Dr Haji Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Tuan Haji Muhammad Fitri Abdullah dan YBhg Datuk Haji Mohd Nakhaie Haji Ahmad serta Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Sarawak, YB Dato’ Hajah Hanifah Hajar Taib.

Turut hadir ialah Pengerusi Tetap, Tuan Haji Abd Ghafar Mamat; Timbalan Pengerusi Tetap, Mahadi Haji Deraman serta Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, YBrs Tuan Haji Hushim Haji Salleh, YBhg Dr Ann Wan Seng, Tuan Haji Saiful Bahri Abdullah, YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa, YBhg Dr Nur’azah Dato’ Abdul Manaf, YBhg Dr Amin Malik Shah Abdul Majid, YBhg Datin Paduka Hajah Norsiah Haron, YBhg Dato’ Haji Khairi Hasan, SS Datuk Wira Haji Abdul Halim Tawil dan Haji Turedy Abdullah serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Sarawak.


Dr Yusof Noor mengiringi Abang Johari ke Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-64.


Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari bersalaman bersama Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM.


Tun Dr Mahathir akan menyerahkan jawatan Yang Dipertua PERKIM kepada Datuk Patinggi Abang Johari.


Datuk Patinggi Abang Johari selesai menandatangani mandat penyerahan kepimpinan Yang Dipertua PERKIM daripada Tun Dr Mahathir.


Tun Dr Mahathir menyerahkan plak eksklusif Penyerahan Kepimpinan Yang Dipertua kepada Datuk Patinggi Abang Johari.


Datuk Patinggi Abang Johari menyampaikan plak khas eksklusif Pelantikan Penasihat Khas PERKIM kepada Tun Dr Mahathir.


Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Haji Abdul Rahman Zohari menyampaikan ucapan sulungnya sebagai Yang Dipertua PERKIM.


Datuk Patinggi Abang Johari berkata, kepimpinan Tun bukan sahaja membawa PERKIM ke tahap yang membanggakan, malah menjadi teladan kepada kita dalam erti sebenar perjuangan dakwah dan kebajikan.


Ucapnya lagi, PERKIM harus kekal aktif dalam menyuarakan pendirian serta membela nasib saudara seagama, termasuk isu berterusan di Gaza.


Mesyuarat agung yang penuh bersejarah itu ditutup dengan bacaan doa.


Mesyuarat agung menutup tirainya dengan nyanyian lagu Negaraku.


Urus setia PERKIM berkesempatan bergambar bersama mantan Yang Dipertua PERKIM.


Tetamu kehormat menikmati juadah makanan tengah hari yang disediakan.


Delegasi PERKIM Pulau Pinang sedang menjamu selera seusai AGM.


Para delegasi PERKIM Negeri Sarawak menikmati makanan yang disediakan.


Perwakilan PERKIM Terengganu selesai menjamu makan tengah hari.


Datuk Patinggi Abang Johari bergambar bersama Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM sesi 2025-2028.


Datuk Patinggi Abang Johari bersama kepimpinan tertinggi PERKIM ketika mengadakan sidang media.


Kepimpinan PERKIM mengiringi pulang Yang Dipertua PERKIM baharu, YAB Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Haji Abdul Rahman Johari.

Related Articles

Back to top button