Aktiviti Kelab PERKIMPendidikan

PERKIM UPSI Anjur Program Bicara Tokoh

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”. (al-Ahzab: 21)
Bagi meningkatkan kualiti di dalam pendidikan serta suntikan semangat dan motivasi kepada mahasiswa, Kelab Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Program Bicara Tokoh Bersama Bendahari Kehormat Perkim, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim bertempat di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning, UPSI, Tanjung Malim, Perak pada 10 Oktober 2013 lalu.
Program yang mendapat kerjasama Perkim Kebangsaan itu dihadiri seramai 50 mahasiswa Kelab Perkim UPSI dan pensyarah serta kakitangan UPSI.
Pengarah program, Mohd. Ahzam Che Mat berkata, ianya diadakan bagi memberi pendedahan dan perkongsian maklumat berkenaan ilmu kepimpinan serta pengalaman seorang tokoh khususnya kepada ahli Kelab Perkim UPSI.
Selain itu, ianya turut mengeratkan hubungan di antara mahasiswa Kelab Perkim UPSI dengan Perkim Kebangsaan sejajar dengan moto ‘Kepimpinan Melalui Teladan’.
Ahzam yang juga Yang Dipertua Kelab Perkim UPSI berkata, program itu juga turut menghargai jasa dan sumbangan Dr. Muhammad Rais dalam membangunkan dan meningkatkan sistem pendidikan di UPSI sewaktu beliau menyandang jawatan Naib Canselor UPSI pada Januari 2004 hingga Ogos 2007 lalu.
Ahzam yang mewakili seluruh ahli Kelab Perkim UPSI turut mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim di atas penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat Kepimpinan Pendidikan yang disampaikan oleh Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan merangkap Canselor UPSI, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Zara Salim di Istiadat Konvokesyen UPSI ke-15 bertempat di Dewan Besar Kampus Sultan Azlan Shah UPSI, Proton City, Tanjung Malim pada 10 September 2013 lalu.
dr-muhammad-rais-abdul-karim Dr. Muhammad Rais dalam sesi bicara tokoh itu berkata, Perkim merupakan antara organisasi Islam yang tertua daripada jabatan agama, majlis agama dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) iaitu pada tahun 1960.
Penubuhan Perkim selepas tiga tahun kemerdekaan Malaysia itu diasaskan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan misinya iaitu dakwah di dalam kebajikan menerusi masyarakat berbilang kaum.
Dr. Muhammad Rais turut memberikan penerangan kepada mahasiswa mengenai sejarah, latarbelakang dan prosedur pengislaman yang dilakukan di Perkim.
Jelasnya, Islam merupakan agama yang cepat berkembang di negara-negara luar seperti di Eropah, Perancis, Czech Republik serta terdapat beberapa gerakan-gerakan yang menentang kebangkitan perkembangan agama Islam.
“Saya menggalakan pertumbuhan Kelab Perkim Universiti di semua universiti awam mahu pun swasta agar dapat melatih mahasiswa menjadi pendakwah supaya Islam mudah disebarkan dengan pelapis baharu,” jelas Dr. Muhammad Rais.
Beliau turut menyarankan supaya mahasiswa yang bakal bergelar guru itu memperkasakan ilmu mereka di dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris serta menguasai Bahasa Mandarin.
“Selain itu bahasa juga memainkan peranan dalam usaha untuk berkomunikasi dan sebagai alat bantuan dalam berdakwah,” kata mantan Ketua Pengarah Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).
“Langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam mewujudkan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBM-MBI) adalah baik dan pelaksanaan yang berjaya,” ujarnya.
Ulasnya, Bahasa Inggeris merupakan bahasa utama antarabangsa dan penggunaannya begitu meluas meliputi seluruh negara-negara komenwel dan Amerika Utara. Tambahan lagi negara-negara besar bukan ‘anglophone’ seperti Perancis, German, India, Russia, Jepun, Korea, Belanda dan lain-lain kini mengiktiraf dan berorientasikan banyak pendidikan mereka dalam Bahasa Inggeris walaupun mereka menyanjung bahasa kebangsaan mereka sendiri.
“Sistem pendidikan kita telah pun wujud di mana menggunakan Bahasa Inggeris untuk mengajar Matematik dan Sains beberapa tahun lalu menerusi dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI),” jelasnya.
Katanya, selain dua bahasa tersebut sebagai bahasa pengantar (sekolah aliran kebangsaan), rakyat wajar juga diberi peluang untuk belajar beberapa bahasa penting dunia yang lain seperti bahasa Arab, Mandarin, Perancis, Sepanyol sebagai satu subjek optional.
“Dalam hal bahasa ketiga ini, saya menyokong sepenuhnya apa yang dihasratkan oleh Pelan Pendidikan 2013-2025,” ujar Dr. Muhammad Rais yang juga mantan Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).
“Guru-guru bahasa global hendaklah dilatih dan dibawa masuk sebilangan Native Speaker sebagai penyelia bahasa dan peruntukan yang besar hendaklah disediakan untuk membina makmal-makmal bahasa,” hasratnya.
Jelasnya lagi, jika kita mengagumi dengan warga asing bertutur dalam Bahasa Melayu, mengapa pula kita menghalang anak-anak Melayu mahir dalam bahasa-bahasa dunia kerana  anak-anak Melayu kita tidak sedikit pun menghakis jati diri sebagai seorang Melayu.
Ujarnya, tanpa disedari kemakmuran negara telah secara langsung memperkaya penutur Bahasa Melayu daripada orang-orang Bangladesh, Nepal, Kemboja, Filipina, Burma dan lain-lain yang datang bekerja di negara ini serta menjadi pengembang Bahasa Melayu apabila mereka balik ke negara asal.
“Saya yakin aliran dwi bahasa utama akan melebarkan pemikiran guru supaya bersifat lebih terbuka sesuai dengan budaya dunia tanpa sempadan. Wawasan 2020 hanya tinggal tujuh tahun lagi dan dalam masa yang cukup singkat ini kita perlu siapkan satu generasi yang kompeten bukan sahaja dari segi ilmu dan kemahiran tetapi hendaklah diperkasa dengan menguasai Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan sesetengah bahasa dunia sesuai dengan Malaysia sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020,” hasratnya.
Selain itu turut diadakan sesi soal jawab bersama mahasiswa.

Pengarah Pusat Penasihatan dan Penempatan Kerjaya Graduan UPSI, Prof. Madya Dr. Mohd. Sahandri Gani Hamzah mewakili Naib Canselor UPSI, Prof Dato’ Dr. Zakaria Kasa menyampaikan cenderahati berbentuk trofi dan tesis penyelidikan bertajuk ‘Potensi Dakwah Dalam Kalangan Mahasiswa Non-Muslim dan Mahasiswa Muslim Baru di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta Malaysia’ kepada Dr. Muhammad Rais.

Bendahari Kehormat turut menyerahkan cek RM2000 kepada Dr. Mohd. Sahandri bagi pengurusan hal ehwal Kelab Perkim UPSI.

Turut hadir ialah Ketua Timbalan Pendaftar UPSI, Mohd. Faizi Othman serta Penyelaras Majlis Permuafakatan Kelab Perkim Universiti (Mampu) merangkap Pegawai Pembangunan dan Aset Perkim, Suariza Hidayah Muhammad.

 

 1
Tahniah kepada Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim atas kurniaan Anugerah Ijazah Doktor Kehormat Kepimpinan Pendidikan yang disampaikan oleh Canselor UPSI, Tuanku Zara Salim di Istiadat Konvokesyen UPSI ke-15, 10 September 2013 lalu.

2
Antara mahasiswa Kelab Perkim UPSI yang hadir di program tersebut.

3
Mohd. Ahzam Che Mat selaku Yang DiPertua Kelab Perkim UPSI menyampaikan ucapan aluan di program tersebut.

5
Dr. Muhammad Rais selaku Bendahari Kehormat Perkim menyampaikan amanat dan nasihat kepada mahasiswa di program bicara tokoh.

4
Program bicara tokoh bersama Bendahari Kehormat Perkim, Dr. Muhammad Rais diadakan di Dewan Konvensyen E-Learning, UPSI.

6
Dr. Muhammad Rais turut memperkenalkan sejarah dan latarbelakang Perkim kepada mahasiswa.

7
Dr. Muhammad Rais (kanan) menyerahkan cek sumbangan Perkim berjumlah RM2000 bagi pengurusan Kelab Perkim UPSI kepada Dr. Mohd Sahandri (kiri).

8
Dr. Mohd. Sahandri (kiri) menyampaikan tesis penyelidikan bertajuk ‘Potensi Dakwah Dalam Kalangan Mahasiswa Non-Muslim dan Mahasiswa Muslim Baru di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta Malaysia’ kepada Dr. Muhammad Rais (kanan).

9
Dr. Mohd. Sahandri menyampaikan cenderahati berbentuk trofi kepada Dr. Muhammad Rais.

10
Mahasiswa Kelab Perkim UPSI bergambar bersama-sama tokoh kehormat yang dihormati, Dr. Muhammad Rais.

LAGI GAMBAR PROGRAM BICARA TOKOH >>> 

Related Articles

Back to top button