Kunjungan Hormat 40 Mahasiswa KPU UniSZA Ke PERKIM Kebangsaan
oleh: SRZ
KUALA LUMPUR, 22 DISEMBER 2023 – Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor menyambut mesra dan mengalu-alukan kunjungan hormat 40 pelajar Kelab PERKIM Universiti (KPU) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ke PERKIM Kebangsaan bertempat di Dataran Dakwah, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, pagi Jumaat.
Majlis tersebut dimulakan dengan doa pembuka majlis disampaikan oleh Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan (UDPI) PERKIM Kebangsaan, Muhammad Jais Mariappan Abdullah manakala majlis diacarakan oleh Pegawai UDPI, Muhammad Farhan Tee Abdullah.
Dr Yusof Noor dalam amanatnya mengucapkan terima kasih kerana dapat bertemu dan berkenal-kenalan di antara ahli-ahli KPU UniSZA.
Jelas beliau, PERKIM Kebangsaan sedang berusaha untuk meremajakan PERKIM di kalangan ahli-ahlinya supaya PERKIM akan menjadi satu pertubuhan yang boleh mencapai tujuan penubuhan asal.
“Harapan PERKIM supaya KPU benar-benar dapat merealisasikan hasrat penubuhan PERKIM kerana PERKIM bukan hanya untuk orang Melayu di samping memperkenalkan Islam kepada bukan Islam.
“Agama Islam bukan untuk orang Malaysia sahaja bahkan untuk seluruh umat manusia,” kata beliau.
Ujarnya lagi, ahli-ahli kelab di kampus berbeza dengan KPU kerana penyusunan KPU mestilah terdiri daripada pelbagai kaum selaras dengan struktur organisasi PERKIM di awal penubuhan oleh Pengasas PERKIM, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang menempatkan Allahyarham Tan Sri SOK Ubaidullah Kadir Basha sebagai Yang Dipertua PERKIM pertama berketurunan India manakala Setiausaha Agung Kehormat PERKIM pertama pula ialah Allahyarham Tan Sri Datuk Dr Haji Abdul Mubin Sheppard dari bangsa Inggeris.
Tambah Dr Yusof Noor lagi, ahli KPU UniSZA mestilah berusaha dan mengambil kira ahli jawatankuasa mereka dengan penyertaan dari pelbagai kaum terutamanya mereka dari negeri Sabah dan Sarawak.
Secara tidak langsung, ahli-ahli KPU akan terdiri daripada bukan di kalangan orang Melayu sahaja bahkan terdiri daripada berbilang bangsa dan etnik.
Dr Yusof Noor yang juga Pro-Canselor UniSZA berkata, baru-baru ini ketika menyampaikan Ijazah Sarjana Muda di Majlis Konvokesyen ke-14, ramai di antara graduan-graduan terdiri daripada bangsa Cina, India, Sabah dan Sarawak selain daripada bangsa majoritinya Melayu.
Katanya, penyertaan menjadi ahli KPU ini diharap tidak mengganggu serta menjejaskan tugas utama mahasiswa dalam pengajian dan akademik.
Jelas beliau, dengan kepelbagaian aktiviti di lapangan ia akan menambah nilai sekali gus memantapkan kekedudukan anda sebagai mahasiswa.
Beliau berharap, matlamat mewujudkan kepelbagaian kaum dalam komposisi penyusunan jawatankuasa di setiap KPU akan dilaksanakan kelak.
KPU sekurang-kurangnya dapat memainkan peranan mereka dengan memberikan penerangan Islam dengan cara yang sesuai kepada bukan Islam di kampus mereka.
Sementara itu, EXCO KPU UniSZA, Muhammad Ariff Jamali dalam ucapannya berterima kasih kepada PERKIM Kebangsaan kerana sudi menerima kunjungan daripada KPU UniSZA.
Katanya, lawatan kunjungan hormat adalah untuk membina hubungan strategik antara KPU UniSZA dan PERKIM Kebangsaan serta membincangkan cadangan kerjasama yang boleh dijalinkan bersama di samping memberi peluang kepada KPU UniSZA untuk saling mengenali PERKIM Kebangsaan yang menjadi rujukan global demi memperkasakan agama Islam.
Tambah Ariff lagi, di samping menjalankan aktiviti Dakwah Jalanan Mega 2023 di sekitar ibu negara dengan kerjasama Pertubuhan Mualaf Berbilang Bangsa Kuala Lumpur dan Selangor (MRM) yang diketuai oleh pengerusinya, Firdaus Wong Wei Hung pada 21 hingga 24 Disember ini, kami berkesempatan mengunjungi pertubuhan induk kami iaitu PERKIM Kebangsaan.
Penerimaan daripada PERKIM Kebangsaan memberi tanggapan positif kepada mahasiswa sebagai pemacu penggerak aktiviti-aktitviti terutamanya kepada KPU UniSZA.
Kata Ariff, kunjungan itu diharap mencapai satu motif iaitu hubungan dua hala dan secara tidak langsung ia dapat mengenali dengan lebih dekat tunggak utama PERKIM Kebangsaan.
Selain itu, ia dapat mewujudkan perspektif hubungan yang baik serta kerjasama di antara KPU UniSZA dan PERKIM Kebangsaan.
Yang Dipertua KPU UniSZA, Muhammad Shafizal Haikal Azmi berkesempatan menyampaikan cenderamata, plak KPU UniSZA dan buah tangan kepada Dr Yusof Noor manakala Dr Yusof Noor menyampaikan sebuah Buku Warisan dan Wawasan 60 Tahun PERKIM kepada Shafizal.
Lagu PERKIM Pacu Kemajuan yang dinyanyikan bersama menutup tirai lawatan KPU UniSZA ke PERKIM Kebangsaan.
Turut hadir ialah Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Kedah, YBhg Dato’ Wira Mansor Haji Ismail; Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin; Pengarah Pendidikan dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan; YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad serta Pengarah Penerbitan dan Media Baru, Firdaus Lokman Tah.
Muhammad Farhan Tee Abdullah selaku pengacara majlis mengacarakan Lawatan Kunjung Hormat KPU UniSZA ke PERKIM Kebangsaan.
Tetamu kehormat dan mahasiswa KPU UniSZA menadah tangan ketika doa dibacakan.
Muhammad Jais Mariappan Abdullah memimpin bacaan doa pembuka majlis.
Ahli KPU UniSZA mengaminkan ketika doa dibacakan.
Mahasiswa KPU UniSZA menadah tangan ketika doa dibacakan.
Ariff Jamali selaku EXCO KPU UniSZA menyampaikan ucapannya.
Setiausaha Agung Kehormat PERKIM merangkap Pro-Canselor UniSZA menyampaikan ucapannya di Dataran Dakwah, Bangunan PERKIM.
“PERKIM Kebangsaan sedang berusaha untuk meremajakan PERKIM di kalangan ahli-ahlinya supaya PERKIM akan menjadi satu pertubuhan yang boleh mencapai tujuan asal penubuhan,” kata Dr Yusof Noor.
Mahasiswa KPU UniSZA mendengar ucapan yang disampaikan.
Dr Yusof Noor berharap, matlamat mewujudkan kepelbagaian kaum dalam komposisi penyusunan jawatankuasa di setiap KPU akan dilaksanakan kelak.
Yang Dipertua KPU UniSZA, Muhammad Shafizal Haikal Azmi (dua dari kanan) menyampaikan cenderahati sebuah plak kepada Dr Yusof Noor.
Dr Yusof Noor menyampaikan cenderahati sebuah Buku Warisan dan Wawasan 60 Tahun PERKIM kepada Shafizal.
Kepimpinan PERKIM Kebangsaan bergambar kenang-kenangan dengan 40 mahasiswa KPU UniSZA di akhir majlis.
KPU UniSZA menunjukkan isyarat ke arah Dr Yusof Noor sebagai ‘gaya KPU UniSZA’ ketika sesi fotografi di akhir kunjungan.