Majlis Korban Sempena Hari Raya Aidiladha 1434 H Bersama Saudara Muslim
Oleh: MUHAMMAD FARHAN TEE ABDULLAH
“Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya”. (Al-Kautsar: 1-3)
Hari Raya Aidiladha merupakan hari bersejarah yang menuntut umat Islam melakukan haji di Mekah di samping melakukan ibadah korban. Setiap kali tibanya musim haji, pasti akan mengimbau kembali detik-detik mencemaskan dan penuh perasaan pilu, iaitu kisah Nabi Ibrahim a.s dan anaknya, Nabi Ismail a.s.
Tidak dapat digambarkan dengan perasaan, hatta walaupun seorang Rasul, apabila mendapat perintah daripada Allah SWT untuk menyembelih anak kesayangannya sendiri. Pastinya melakukan penyembelihan begitu sedih sekali tatkala pisau menekan leher Nabi Ismail a.s, yang meruntun kegelisahan hati terhadap darah daging sendiri. Namun, Nabi Ibrahim a.s merupakan seorang insan terpilih yang diuji Allah SWT dengan ujian yang begitu berat hingga digelar salah satu Rasul ‘Ulul Azmi.
Segala perintah yang diutuskan perlu dilunaskan walaupun dengan bayaran nyawa, begitulah cinta dan kasihnya Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s kepada Allah SWT lebih daripada segala-galanya.
Tanggal 10 Zulhijjah pada setiap tahun Hijrah, masyarakat Islam di seluruh dunia mengerjakan ibadah haji bagi mengabdikan diri kepada Allah SWT dan menunaikan rukun Islam yang kelima. Sesungguhnya meraikan 10 terawal Zulhijjah dan hari ‘Iduladha adalah lebih besar dan bermakna pengertiannya berbanding hari raya ‘Idulfitri berikutan fadhilatnya yang cukup banyak.
Menurut Al-Hafiz Ibnu Nasir Al-Din Al-Dimasyqi di dalam buku beliau bertajuk Kelebihan 10 Terawal Zuhijjah dan Hari Arafah, diriwayatkan daripada Jabir ibn Abdullah, daripada Nabi s.aw. bersabda : “Tiadalah dari hari-hari yang lebih afdhal di sisi Allah daripada 10 hari terawal bulan Zulhijjah”. Juga dalil yang lain, daripada Ibnu Abbas r.a, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda : “Tiadalah dari hari-hari itu yang lebih suci, lebih dikasihi oleh Allah SWT, dan lebih besar kedudukannya daripada kebaikan yang diamalkan pada sepuluh hari terawal bulan Zulhijjah”.
Lantaran itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan tidak melepaskan peluang untuk menyertai Majlis Ibadah Korban Bersama Asnaf bertempat di Perkarangan Asrama Darul Falah (Asdaf), Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur pada 15 Oktober 2013 lalu.
Majlis yang dianjurkan oleh Perkim Cawangan Asdaf dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Perkim Bahagian Wilayah Persekutuan dan Perkim Kebangsaan itu disertai seramai 200 orang yang terdiri daripada Saudara Muslim yang berketurunan Cina, India, Orang Asli, Siam, Indonesia, Filipina dan kaum Melayu.
Sebanyak lapan ekor lembu telah dikorbankan melalui sumbangan masyarakat awam yang melakukan ibadah tersebut.
Asdaf merupakan pusat pendidikan akademik rasmi yang berperanan mendidik anak-anak Orang Asli ke peringkat sekolah rendah, menengah hingga ke institut pengajian tinggi. Di samping itu, ia juga sebagai langkah dalam membantu kerajaan memperbaiki kehidupan mereka ke tahap yang lebih baik melalui pendidikan.
Majlis tersebut bertujuan memberikan pendedahan kepada Saudara Muslim mengenai ibadah korban dan meraikan Aidiladha bagi mereka yang tidak dapat pulang beraya di kampung. Selain itu, ia juga bertujuan untuk mendidik dan memberi pengalaman kepada mereka mengenai sambutan perayaan tersebut.
Peserta sebelum itu, menunaikan fardu kifayah dengan bertakbir raya dan bersolat sunat Aidiladha di Surau Bangunan Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur yang diketuai oleh Mohd. Zanafi Mustaffa.
Zanafi turut memberikan taklimat mengenai tatacara mendirikan solat ini kepada makmum yang hadir dan menyampaikan khutbah Aidiladha bertajuk ‘Pengorbanan Kudus’.
Beliau dalam khutbahnya mengingatkan jemaah supaya menilai diri mengenai erti pengorbanan menurut Islam.
“Apa ertinya sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan puteranya Nabi Ismail a.s jika kita bersikap dingin dengan ibadah korban yang dilakukan pada setiap tahun? Apalah gunanya kita berbangga dengan sejarah Rasulullah SAW dan para sahabat, jika kita hanya berpeluk tubuh tanpa menghulurkan sumbangan untuk membangunkan Islam? Malah kita tidak merasa malu menerima agihan daging korban yang sepatutnya diserahkan kepada golongan yang lebih memerlukan,” jelas beliau.
Zanafi turut menjelaskan mengenai pengorbanan yang perlu dilakukan oleh seorang Muslim mencakupi pelbagai perkara iaitu pengorbanan harta, kepentingan peribadi dan jiwa. Pengorbanan tersebut adalah semata-mata untuk meraih keredaan Allah dan menyumbang ke arah kejayaan agama Islam.
Beliau turut memberi peringatan terhadap umat Islam yang begitu sibuk dengan urusan peribadi hingga mengabaikan kepentingan agama. Allah SWT telah memberikan kenikmatan yang melimpah ruah, namun sifat umat Islam itu sendiri yang sering lalai dan alpa dengan hasutan nafsu syaitan.
“Hilang semangat dan jiwa untuk berkorban umat Islam merupakan punca dari penyakit al-wahan, iaitu cinta kepada dunia dan takut mati. Penyakit tersebut yang merencatkan jiwa beragama dan berkorban di jalan Allah SWT,” tambah beliau.
Peserta juga tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama ahli jawatankuasa korban dalam aktiviti penyembelihan. Ada di antara mereka melontar tali dan menggunakan pelbagai kaedah untuk mengikat dan menumbangkan binatang korban dengan tujuan untuk disembelih.
Setelah binatang korban disahkan tidak bernyawa, proses mengasingkan daging dan kulit serta melapah dilakukan. Terdapat juga Saudara Muslim yang pertama kali menyertai ibadah korban tersebut tidak mampu untuk menghulurkan bantuan berikutan tidak bersedia untuk melihat penyembelihan secara langsung.
Pengerusi Jawatankuasa Korban, Datuk Paduka Hj. Md. Isa Hussin menjadi penyembelih bagi lapan ekor lembu korban manakala Pengetua Asdaf, Ustaz Zulyadain Mohd. Radzi turut membantu dalam menjalankan kerja ibadah korban tersebut.
Ia juga turut dibantu oleh warga kakitangan Perkim Bahagian Wilayah Persekutuan dan penghuni Asdaf yang begitu sibuk menguruskan pelbagai tugas yang diagihkan.
Ahli jawatankuasa turut mengasingkan daging dan tulang serta menimbang berat daging sebelum diagihkan kepada golongan asnaf.
Katering R&N turut membantu bagi penyediaan makanan kepada ahli jawatankuasa dan peserta.
Sebilangan jemaah sedang bertakbir.
Antara jemaah muslimat yang hadir.
Ustaz Zanafi memberikan taklimat mengenai solat Aidiladha.
Imam sedang membacakan khutbah bertajuk Pengorbanan Kudus.
Jemaah sedang mendengar khutbah Aidiladha yang disampaikan oleh khatib.
Petugas sedang menumbangkan seekor lembu bersama petugas yang lain.
Petugas mengalami sedikit kesukaran menumbangkan salah seekor lembu.
Saudara Muslim turut membantu petugas menjatuhkan lembu.
Lembu seterusnya yang berjaya dikorbankan.
Lembu terakhir dikorbankan dengan kehadiran orang ramai untuk melihat.
Mohd. Jogi, Pegawai PERKIM Wilayah (kanan) membantu untuk melapah daging.
Lembu sedang dilapah oleh para petugas.
Petugas Saudara Muslim mengerah kekuatan untuk memotong tulang.
Saudari Muslim turut mengambil pengalaman memotong daging.
Makan tengah hari bersama penghuni Asdaf.