Aktiviti Kelab PERKIM

PERKIM Raikan Anugerah Kecemerlangan KPU, Sambutan Aidilfitri

oleh : SRZ

KUALA LUMPUR, 1 MEI 2024 – Bagi memberikan pengiktirafan kepada Kelab Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Universiti (KPU), PERKIM Kebangsaan menganjurkan Majlis Anugerah KPU 2023 dan Sambutan Aidilfitri bertempat di Dataran Dakwah, Bangunan PERKIM pada pagi Rabu.

Majlis tersebut dihadiri seramai 250 orang terdiri daripada pegawai dan kakitangan PERKIM dan 10 buah KPU iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Utara Malaysia (UUM), Unibersiti Kuala Lumpur (UniKL MIIT), Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Universiti Antarabangsa Islam Selangor (UIS), Universiti Islam Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM) Cawangan Kuantan, dan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS).

Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Nordin Ibrahim dalam ucapannya berkata, PERKIM Kebangsaan mengadakan majlis pada cuti umum iaitu Hari Pekerja untuk memberikan kesempatan kepada ahli KPU untuk hadir kerana tiada kuliah yang diadakan pada hari ini.



Menurut Datuk Nordin, KPU merupakan tunggak utama dari kalangan belia yang menjadi tulang belakang pergerakan dakwah di dalam mahu pun di luar kampus.

Katanya, sepanjang tahun 2023, saya dimaklumkan bahawa sebanyak 106 program dan aktiviti yang telah diadakan oleh KPU dan ini menunjukkan semangat serta kesediaan ahli KPU untuk terus mengembangkan syiar Islam melalui beberapa metodologi dan sasaran.

Tambahnya, PERKIM merupakan pertubuhan dakwah yang boleh menjadi platform kepada ahli KPU untuk menjadi kader.

Pada tahun lalu, Program Kader Dai diadakan sebanyak empat kali khusus untuk melatih dari kalangan ahli KPU dan pendakwah pelbagai kaum mempelajari teknik berdakwah yang lebih berkesan.

Aktiviti turun ke lapangan dakwah turut diadakan bagi memberikan pengalaman yang cukup bernilai kepada peserta.

Insya-Allah, PERKIM Kebangsaan akan meneruskan lagi Program Kader Dai pada tahun ini untuk menarik seramai mungkin barisan pelapis pendakwah.

Datuk Nordin turut merakamkan ucapan dan penghargaan terima kasih kepada pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang turut sama membantu di dalam menaja program tersebut.

Ulas beliau, kami masih lagi berusaha untuk menambah bilangan KPU yang sedia ada, khususnya dari institut pengajian tinggi awam (IPTA).

Semakin bertambah bilangan ahli KPU, ia menunjukkan bahawa PERKIM sentiasa relevan dan diterima dari kalangan golongan muda.

Inilah harapan PERKIM agar generasi muda ini akan menjadi pelapis PERKIM pada masa akan datang, ibarat pepatah “patah tumbuh hilang berganti”.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua PERKIM, YB Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim dalam ucapan ringkasnya turut merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada hadirin yang hadir.


Ucapnya, PERKIM mesti bergerak ke hadapan dengan berlandaskan misinya iaitu dakwah, kebajikan, pendidikan, kerjasama dan lain-lain.

Kita hadir di majlis seumpama ini untuk meraikan kemenangan kita sebagai umat Islam di Aidilfitri di samping memberi pengiktirafan anugerah kecemerlangan kepada Kelab PERKIM Universiti.

Dr Shahidan Kassim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran dan Kewangan PERKIM Kebangsaan berkata akan sama-sama menggerakkan PERKIM supaya kita akan maju ke hadapan.

“Jauhkan persepsi tanggapan buruk sangka di antara kita,” kata Dr Shahidan Kassim sambil memetik Surah Al-Hujurat, ayat 12 bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakkan dari sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari kesalahan orang.”

Kalau sesiapa buruk sangka, sudah pasti organisasi itu tidak boleh bergerak dengan baik. Jauhilah buruk sangka dan amalkanlah baik sangka dengan semua orang.

“Pendekatan baik sangka yang dilazimi oleh Rasulullah SAW dapat penyatu padukan umat Islam,” jelas Dr Shahidan.

Timbalan Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim turut menyampaikan ucapan perasmian pada majlis tersebut.



Tun Ahmad Fairuz dalam ucapannya berkata, KPU telah diwujudkan sejak tahun 1996 lagi dengan nama Kelab Universiti.

Pada tahun 2004, ia ditukar dengan nama Majlis Permuafakatan Kelab PERKIM Universiti (MAMPU) dan kemudiannya pada tahun 2016, penjenamaan semula telah dilakukan dengan nama baharu, iaitu KPU hinggalah sekarang.

Kini, PERKIM mempunyai sebanyak 20 KPU di seluruh negara, merangkumi 16 IPTA dan empat Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Status KPU di IPT adalah sebagai persatuan pelajar yang tertakluk kepada Akta Tatatertib Pelajar IPT berkenaan.

Jelas Tun Ahmad Fairuz lagi, antara objektif utama penubuhan KPU ialah memupuk keharmonian kaum yang berbilang bangsa dan agama di Malaysia supaya dapat mengikis segala salah faham bagi perpaduan bangsa di Malaysia serta melakukan kerja-kerja kebajikan yang memartabatkan akhlak dan keharmonian kaum.

Pada saban tahun, PERKIM Kebangsaan akan meraikan ahli KPU dengan mengadakan Majlis Anugerah Kecemerlangan KPU untuk menobatkan KPU yang berjaya dari segi pertambahan ahli, program yang memberi impak, dan pengurusan KPU yang sistematik.

Tambahnya, KPU banyak membantu PERKIM Kebangsaan dari segi pelaksanaan aktiviti di dalam dan luar kampus di samping sumbangan dana dari PERKIM Kebangsaan bagi membiayai program-program yang diadakan.

Menurut Tun Ahmad Fairuz lagi, KPU seharusnya melakukan kerjasama dengan PERKIM bahagian negeri dan cawangan terdekat untuk mengadakan program.

Jalinan hubungan yang baik ini akan memudahkan urusan dan perjalanan program serta membuatkan KPU lebih dikenali.

Tenaga muda seperti ahli KPU amat diperlukan dalam mengadakan program dan aktiviti.

“Saya juga dimaklumkan bahawa Majlis Belia PERKIM Negeri-negeri juga telah ditubuhkan di seluruh Malaysia sejak tahun lalu dan ahli KPU boleh bekerjasama dengan Majlis Belia PERKIM Negeri untuk mengadakan apa jua bentuk aktiviti dan program.

“KPU juga sinonim dengan penggunaan media sosial bagi memberi informasi berkenaan struktur organisasi KPU di universiti masing-masing.

Ia merupakan salah satu platform untuk menghebahkan program yang telah diadakan bagi menarik minat lebih ramai ahli baru dan sukarelawan.

Pada masa yang sama, ahli KPU seharusnya menumpukan perhatian utama terhadap akademik di IPT.

Jangan disebabkan terlalu aktif di dalam sesuatu kelab atau persatuan menyebabkan akademik terjejas dan mengakibatkan tekanan emosi.

Bahagikan masa dan gerak kerja anda dengan teratur supaya akademik dan aktiviti kelab atau persatuan seimbang.

Tun Ahmad Fairuz mengucapkan tahniah dan syabas kepada KPU yang berjaya, manakala KPU yang tidak berjaya perlulah lebih giat lagi untuk memenuhi piawaian yang ditetapkan.

“Terima kasih kepada ahli KPU yang datang dari jauh dan dekat. Teruskan mengharumkan nama PERKIM di kampus masing-masing dan Malaysia secara amnya bagi membuktikan perjuangan dakwah masih belum selesai.

“Zahirkan akhlak dan berdakwahlah secara berhemah kepada sasaran,” kata beliau mengakhiri ucapannya.

Majlis diserikan lagi dengan penyampaian Anugerah Penghargaan Khas Tokoh PERKIM kepada Mantan Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Prof Emeritus Dato’ Dr Ariffin Suhaimi, YBhg Dato’ Mustapha Ma dan kepada bekas Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tuan Haji Yaakob Lazim.

Tun Ahmad Fairuz diringi Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Prof. Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan KPU 2023 kepada tiga KPU iaitu KPU UUM, USM dan UIAM Gombak.

Tiga KPU yang terbaik masing-masing menerima sebuah trofi, sijil anugerah dan wang tunai berdasarkan laporan aktiviti program yang dijalankan serta jumlah penambahan ahli baharu.

Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato Haji Abdul Hanif Harun; Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin; Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, YBhg Dato’ Mansor Ismail dan Tuan Haji Saiful Bahari Choo Abdullah.


Kepimpinan Tertinggi PERKIM bergambar sebelum majlis dimulakan.



Muhammad Farhan Tee Abdullah ditugaskan sebagai juruacara majlis.



Ucapan Naib Yang Dipertua PERKIM, YB Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim.



Ahli KPU berkesempatan bergambar bersama Kepimpinan Tertinggi PERKIM.



Abdul Qawi Navine Abdullah menyampaikan bacaan doa dalam Bahasa Arab, Melayu, Mandarin dan Tamil.



Tetamu kehormat menadah tangan ketika doa dibacakan.



Muhammad Fadhlul Wafi menyampaikan ucapannya bagi mewakili seluruh KPU. 



Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Mohamad Nordin Ibrahim menyampaikan ucapannya.



Menurut Datuk Nordin, semakin bertambah bilangan ahli KPU, semakin PERKIM relevan dan diterima dari kalangan golongan muda.



Tun Ahmad Fairuz menggesa KPU agar terus mengharumkan nama PERKIM di kampus masing-masing.



Tun Ahmad Fairuz menyampaikan Anugerah Penghargaan Khas Tokoh PERKIM kepada mantan Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Prof Emeritus Dato’ Dr Ariffin Suhaimi.



Riduan Zali mewakili YBhg Dato’ Dr Mustapha Ma selaku mantan Naib Yang Dipertua PERKIM untuk menerima Anugerah Penghargaan Khas Tokoh PERKIM.



Tun Ahmad Fairuz menyampaikan Anugerah Penghargaan Khas Tokoh PERKIM kepada Nazsri Othman bagi mewakili Tuan Haji Yaakob Lazim selaku mantan Setiausaha Agung Kehormat PERKIM.



Ahli KPU USM menerima Anugerah Cemerlang KPU Terbaik 2023 daripada Tun Ahmad Fairuz.



Tun Ahmad Fairuz menyampaikan Anugerah Cemerlang KPU Terbaik 2023 kepada ahli KPU UIAM Gombak. 



Anugerah Cemerlang KPU Terbaik 2023 dinobatkan kepada KPU UUM yang disampaikan oleh Tun Ahmad Fairuz.



Tetamu Kehormat PERKIM mengambil gambar kenang-kenangan bersama mahasiswa KPU.



Hadirin menikmati juadah Hari Raya Aidilfitri yang istimewa.



Petugas menyampaikan duit raya kepada mahasiswa-mahasiswa KPU.



Petugas PERKIM mengambil kesempatan bergambar di sudut khas bertemakan klasik Aidilfitri.



Mahasiswa KPU UIS tidak melepaskan peluang bergambar bersama pengacara majlis PERKIM. 


 

 

 

Related Articles

Back to top button