Aktiviti Dakwah

PERKIM Anjur Majlis Bacaan Yasin, Tahlil, Doa Selamat Sempena Hari Ulang Tahun Ke-64

oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 10 FEBRUARI 2023 – Bersempena Hari Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Ke-64, PERKIM Kebangsaan menganjurkan Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat bertempat di Surau PERKIM, Bangunan PERKIM Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini pada pagi Jumaat.

Lebih 30 orang hadir terdiri daripada pegawai dan kakitangan PERKIM Kebangsaan, Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIPKL) serta Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE).

Majlis bacaan Yasin itu telah dipimpin oleh Pegawai Dakwah IDIPKL, Muhammad Hizam Abdul Rahim.

Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor dalam ucapannya berkata, majlis itu diadakan bagi menghadiahkan bacaan tersebut kepada Pengasas PERKIM, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj dan pimpinan PERKIM yang telah kembali ke rahmatullah.


Kata Dr Yusof Noor, ia bersempena menyambut Hari PERKIM ke-64 yang juga merupakan hari kelahiran Almarhum Tunku iaitu pada tanggal 8 Februari.

Jelas beliau, walaupun 19 Ogos 1960 merupakan tarikh yang sebenar penubuhan PERKIM, tetapi kita mengabadikan hari lahir pengasasnya yang telah di terima secara rasmi oleh Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM.

Surah Yasin yang merupakan salah satu daripada surah di dalam Al-Quran yang menjadi pegangan dan panduan bagi umat Islam.

Ujar Dr Yusof Noor, Al-Quran merupakan mukjizat yang tidak boleh tidak boleh dicabar oleh sesiapa pun meskipun ahli sains, ahli sastera atau para cendiakawan.

Bila mereka menyedari tentang perkara itu, maka musuh Islam mencari jalan untuk melemahkan Islam  dengan mengatakan bahawa Al-Quran itu adalah rekaan oleh Nabi Muhammad SAW.

Ia terbukti, walaupun Islam telah berkembang lebih 1400 tahun tetapi Al-Quran masih terpelihara dan dijaga oleh Allah SWT.

Katanya, tugas kita di PERKIM ini adalah untuk menyampaikan risalah dakwah kepada bukan Islam kerana pada masa ini di negara kita orang yang bukan Islam sebahagian besarnya walaupun mereka dikelilingi oleh orang Islam yang majoriti tetapi mereka memilih agama selain daripada agama Islam.

Terpulang kepada kita untuk menilai dan berkemungkinan kita mempunyai kelemahan dalam cara penyampaian Islam kepada bukan Islam.

Jelas Dr Yusof Noor lagi, tujuan Almarhum Tunku menubuhkan PERKIM di antara salah satu tujuannya ialah untuk menyatukan semua kaum di Malaysia ini menerusi agama Islam.

Tambah beliau, Al-Quran kita baca itu bukan sahaja kita mendapat kelebihan pada jiwa kita bahkan menyebut huruf sahaja kita telah pun mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT.

Beliau turut memetik hadis Sunan Tirmizi daripada Abdullah bin Mas’ud menyatakan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa membaca satu huruf daripada al-Quran maka dia melakukan satu kebajikan. Dan satu kebajikan itu dilipatgandakan sepuluh kali. Saya tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, melainkan Alif itu satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.”

“Saya juga turut memperbaiki bacaan Al-Quran dan jangan tertinggal satu huruf di dalam bacaan kerana setiap huruf ada ganjaran dan kebaikannya,” kata Dr Yusof Noor mengakhiri ucapannya dengan mengajak warganya bersama-sama mentartilkan bacaan ummul kitab.

Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin; Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa serta Pengarah Komunikasi dan Media PERKIM Kebangsaan, Firdaus Lokman Tah.



Majlis Hari PERKIM ke-64 dipengerusikan oleh Penolong Pegawai Dakwah IDIPKL, Abdul Qawi Navine Abdullah.



Muhammad Hizam memimpin bacaan Surah Yasin, tahlil dan doa selamat.



Pimpinan PERKIM membaca Surah Yasin bagi menghadiahkan kepada Almarhum Tunku.



Warga PERKIM turut menjayakan majlis bacaan Yasin sempena Hari PERKIM.




Warga PERKIM bersama-sama membaca Surah Yasin.



Bacaan tahlil turut dihadiahkan kepada pimpinan PERKIM yang telah pergi menghadap Ilahi.


 
Warga PERKIM bersama-sama membaca tahlil arwah.



Dr Yusof Noor menyampaikan ucapannya sempena Ulang Tahun Hari PERKIM ke-64.



Dr Yusof Noor berkata Al-Quran merupakan mukjizat yang tidak boleh tidak boleh dicabar.



Dr Yusof Noor menganjurkan warganya untuk memperbanyakkan membaca Al-Quran kerana menyebut huruf sahaja pun kita akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT.

 

Related Articles

Back to top button