Salam Ma’al Hijrah 1448H
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bersempena Ma’al Hijrah 1448H ini, saya dengan penuh rasa kesyukuran mengucapkan Selamat Menyambut Ma’al Hijrah 1448H kepada seluruh umat Islam khususnya warga Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), para mualaf, sukarelawan, penyumbang serta seluruh masyarakat yang sentiasa menyokong usaha dakwah dan kebajikan Islam di negara ini.
Peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah bukan sekadar perpindahan tempat, bahkan merupakan titik perubahan besar dalam sejarah Islam yang mengajar kita tentang pengorbanan, keikhlasan, kesabaran, perpaduan dan pembinaan sebuah masyarakat yang berteraskan nilai-nilai Islam.
Semangat hijrah ini wajar diterjemahkan dalam kehidupan kita dengan melakukan perubahan ke arah yang lebih baik, memperkukuhkan iman dan takwa serta meningkatkan amal soleh demi memperoleh keredaan Allah SWT.
Dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa, marilah kita menjadikan Ma’al Hijrah sebagai medan muhasabah diri untuk memperbaiki kelemahan, memperkukuhkan institusi keluarga, menyemarakkan semangat ukhuwah dan mempertingkatkan komitmen dalam menyebarkan rahmat Islam kepada seluruh masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Bagi warga PERKIM, semangat hijrah hendaklah terus menjadi pemangkin untuk memperkasa agenda dakwah, pendidikan, kebajikan dan pembangunan mualaf secara lebih berkesan dan berimpak tinggi.
Marilah kita bersama-sama berganding bahu meneruskan legasi perjuangan dakwah yang diasaskan oleh para pemimpin terdahulu demi memastikan Islam terus difahami, dihayati dan disebar luaskan dengan hikmah serta kasih sayang.
Saya berdoa semoga tahun 1448 Hijriah ini membawa keberkatan, kesejahteraan, perpaduan dan kejayaan yang lebih gemilang kepada umat Islam serta negara yang kita cintai ini.
Selamat Menyambut Ma’al Hijrah 1448H.
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
YBhg. Dato’ Dr. Haji Mohamad Marzuki Mohamad Omar
Setiausaha Agung Kehormat
Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM)
1 Muharam 1448H




