Wanita PERKIM Perkukuh Gerak Kerja, Hargai Jasa Pemimpin Lama
ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ
𝗞𝗨𝗔𝗟𝗔 𝗟𝗨𝗠𝗣𝗨𝗥, 𝟵 𝗝𝗨𝗡 𝟮𝟬𝟮𝟲 – Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan, hari ini menegaskan komitmen untuk terus memperkukuhkan peranan wanita dalam gerakan dakwah, kebajikan dan pembangunan ummah meskipun berdepan cabaran kewangan yang semakin mencabar.
Perkara itu dizahirkan dalam Mesyuarat Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan Bilangan 2/2026 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Tingkat 6, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini, dipengerusikan oleh 𝗞𝗲𝘁𝘂𝗮 𝗪𝗮𝗻𝗶𝘁𝗮 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗬𝗧𝗠 𝗧𝘂𝗻𝗸𝘂 𝗣𝘂𝗮𝗻 𝗦𝗿𝗶 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗛𝗮𝗷𝗷𝗮𝗵 𝗡𝗼𝗼𝗿 𝗛𝗮𝘆𝗮𝘁𝗶 𝗧𝘂𝗻𝗸𝘂 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗥𝗮𝗵𝗺𝗮𝗻 𝗣𝘂𝘁𝗿𝗮 𝗔𝗹-𝗛𝗮𝗷.
Turut hadir ialah 𝗡𝗮𝗶𝗯 𝗞𝗲𝘁𝘂𝗮 𝗪𝗮𝗻𝗶𝘁𝗮 𝗜, 𝗬𝗕 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗛𝗮𝗷𝗷𝗮𝗵 𝗛𝗮𝗻𝗶𝗳𝗮𝗵 𝗛. 𝗧𝗮𝗶𝗯-𝗔𝗹𝘀𝗿𝗲𝗲; 𝗡𝗮𝗶𝗯 𝗞𝗲𝘁𝘂𝗮 𝗪𝗮𝗻𝗶𝘁𝗮 𝗜𝗜, 𝗬𝗕𝗵𝗴. 𝗗𝗮𝘁𝗶𝗻 𝗦𝗲𝗿𝗶 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗛𝗮𝗷𝗮𝗵 𝗦𝗵𝗮𝗺𝘀𝗶𝗮𝗵 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗠𝗱. 𝗬𝗮𝘀𝘀𝗶𝗻; 𝗦𝗲𝘁𝗶𝗮𝘂𝘀𝗮𝗵𝗮 𝗞𝗲𝗵𝗼𝗿𝗺𝗮𝘁, 𝗬𝗕𝗵𝗴. 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗛𝗮𝗷𝗮𝗵 𝗠𝗮𝘇𝗻𝗮𝗵 𝗗𝗮𝘀𝗺𝗶; 𝗕𝗲𝗻𝗱𝗮𝗵𝗮𝗿𝗶 𝗞𝗲𝗵𝗼𝗿𝗺𝗮𝘁, 𝗬𝗕𝗵𝗴. 𝗗𝗿. 𝗡𝘂𝗿’𝗮𝘇𝗮𝗵 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗠𝗮𝗻𝗮𝗳.
Hadir sama ialah Pengerusi Tetap, Hajah Hasnah Mohamed; Ahli Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan iaitu YBhg. Datin Hajah Mawanchik Che Jais, YBhg. Datin Paduka Hajah Norsiah Haron, Puan Hajah Sharifah Zubaidah Syed Mahdzar, Puan Hajah Norizan Ismail, YBhg. Dato’ Hajah Nurzarina Sepran, Puan Hajah Faiza Bawumi Sayed Ahmad, YBhg. Datin Hajah Normala Mohmad Zin, Puan Azlifa Md. Idris, YBhg. Datin Hajah Mariah Haji Hitam, YbHg. Datin Hajah Wan Norasyikin Wan Chik, Puan Hajah Rokiah Saad, Puan Gharizah Hashim serta Ahli Majlis Dilantik, YBhg. Datin Hajah Jamaayah Che Ros.
YBhg. Datin Mazlin Darus selaku Timbalan Pengerusi Tetap dan Ahli Majlis Dilantik, YBhg. Dato’ Dr. Hajah Munirah Mohd Hassan hadir menerusi atas talian.

Dalam ucapan pembukaannya, Tunku Noor Hayati menyeru seluruh ahli majlis supaya terus mengukuhkan perpaduan dan memperkasakan agenda wanita PERKIM secara kolektif demi memastikan organisasi itu kekal relevan dalam mendepani cabaran semasa.
Beliau turut mengingatkan bahawa kedudukan kewangan yang terhad memerlukan setiap program dan aktiviti dirancang dengan lebih berhemah serta berimpak tinggi kepada masyarakat.
“Agenda utama kita adalah untuk memajukan wanita PERKIM. Kita perlu terus berjuang dan bergerak ke hadapan dengan semangat kebersamaan demi memastikan misi dakwah dan kebajikan dapat diteruskan,” katanya.
Mesyuarat berkenaan turut mengesahkan Minit Mesyuarat Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan Bilangan 1/2026 serta membincangkan perkara-perkara berbangkit yang berkaitan dengan pentadbiran dan pengurusan organisasi.
Selain itu, laporan kewangan yang meliputi tempoh bermula 1 Januari 2026 hingga 31 Mei 2026 serta ringkasan perbelanjaan program-program wanita sehingga Mei tahun ini turut dibentangkan oleh Dr. Nurazah bagi membolehkan ahli-ahli majlis menilai kedudukan semasa kewangan organisasi.
Mesyuarat juga menyemak Minit Mesyuarat Agung Tahunan Wanita PERKIM Kebangsaan Kali Ke-46 serta membincangkan pelantikan pengerusi-pengerusi jawatankuasa kecil bagi memperkemaskan pelaksanaan program pada masa akan datang.
Dalam perkembangan sama, suasana mesyuarat bertukar penuh emosi apabila Tunku Noor Hayati merakamkan penghargaan kepada Setiausaha Kehormat, Dato’ Hajah Maznah Dasmi dan Bendahari Kehormat, Dr. Nur’azah Abdul Manaf yang memaklumkan hasrat mereka untuk mengundurkan diri daripada kepimpinan Wanita PERKIM bagi sesi 2026 hingga 2029.
Menurut beliau, kedua-dua tokoh berkenaan telah memberikan sumbangan yang amat besar dalam memperkukuhkan kedudukan Wanita PERKIM sejak bertahun-tahun lalu.
“Jasa mereka amat besar dan akan sentiasa dikenang. Mereka telah banyak membantu memperkukuhkan pentadbiran serta memperjuangkan kepentingan wanita PERKIM di seluruh negara,” katanya.
Sementara itu, Dr. Nur’azah ketika menyampaikan ucapan penghargaan berkata, beliau mula berkhidmat sebagai Bendahari Kehormat Wanita PERKIM pada tahun 2007 dan telah menggalas amanah tersebut selama hampir dua dekad.
Beliau menjelaskan bahawa sepanjang tempoh berkenaan, pelbagai usaha dilaksanakan untuk memperkemas sistem pengurusan kewangan termasuk pendigitalan rekod dan penyediaan dokumentasi yang lebih tersusun bagi memudahkan generasi kepimpinan seterusnya meneruskan tugas.
Katanya, antara pencapaian penting yang berjaya direalisasikan ialah usaha mendapatkan peruntukan kewangan yang lebih besar untuk manfaat Wanita PERKIM di peringkat kebangsaan, bahagian dan cawangan di seluruh negara.
“Segala yang saya lakukan adalah demi memastikan Wanita PERKIM terus maju dan mempunyai sistem pengurusan yang kukuh. Walaupun tidak lagi memegang jawatan, saya akan terus membantu organisasi ini pada bila-bila masa diperlukan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua kepimpinan dan kakitangan yang telah bekerjasama sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanan mereka dalam memartabatkan Wanita PERKIM Kebangsaan, Dato’ Hajah Maznah Dasmi dan Dr. Nur’azah Dato’ Abdul Manaf turut diraikan dalam satu majlis ringkas penuh bermakna.
Kedua-duanya berkesempatan memotong kek khas bertemakan “Jasamu Dikenang” yang disediakan sempena penghargaan terhadap sumbangan mereka kepada organisasi itu.
Majlis tersebut turut menyaksikan Tunku Noor Hayati menyampaikan cenderamata kenangan eksklusif kepada Dato’ Maznah dan Dr. Nur’azah sebagai simbol penghargaan atas khidmat bakti, dedikasi serta komitmen yang telah dicurahkan sepanjang tempoh mereka menggalas amanah dalam kepimpinan Wanita PERKIM Kebangsaan.
Suasana penuh sebak dan penghargaan jelas terpancar dalam kalangan ahli-ahli majlis yang hadir apabila kedua-dua tokoh berkenaan menerima penghormatan tersebut, sekali gus mencerminkan penghargaan tinggi terhadap jasa mereka dalam memperkukuh pentadbiran, kewangan dan hala tuju Wanita PERKIM di peringkat kebangsaan selama bertahun-tahun.
Mesyuarat itu turut menzahirkan penghargaan kepada para pemimpin terdahulu yang telah menyumbang kepada pembangunan Wanita PERKIM serta menekankan kepentingan melahirkan lebih ramai pelapis kepimpinan bagi meneruskan kesinambungan perjuangan organisasi.
Dengan semangat kebersamaan yang dipamerkan sepanjang mesyuarat tersebut, Wanita PERKIM Kebangsaan diyakini akan terus memainkan peranan penting dalam memperkasakan wanita Islam, memperkukuh institusi keluarga dan menyokong usaha dakwah serta kebajikan yang menjadi teras perjuangan PERKIM sejak penubuhannya.

Ahli Majlis Wanita PERKIM menyambut ketibaan Ketua Wanita PERKIM Kebangsaan, YTM Tunku Puan Sri Dato’ Hajjah Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Mesyuarat Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan Bilangan 2/2026 mula bersidang.

Tunku Noor Hayati mempengerusikan mesyuarat majlis yang diadakan di Bangunan PERKIM.

Dato’ Dr. Munirah dan Datin Mazlin turut hadir mengikuti mesyuarat secara atas talian.

Tunku Noor Hayati menyeru seluruh ahli majlis supaya terus mengukuhkan perpaduan dan memperkasakan agenda wanita PERKIM secara kolektif demi memastikan organisasi itu kekal relevan dalam mendepani cabaran semasa.

Tunku Noor Hayati mendengar pandangan dan cadangan yang dikemukan oleh Dato’ Hajah Maznah.

Hajah Rokiah Saad dalam sesi taaruf sebagai Ahli Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan sesi 2026-2029.

Ahli Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan sesi 2026-2029, YBhg. Datin Hajah Mariah Haji Hitam memperkenalkan diri kepada sidang mesyuarat.

Ahli Majlis Dilantik, YBhg. Datin Hajah Jamaayah Che Ros turut memperkenalkan diri kepada ahli mesyuarat.

YBhg. Datin Hajah Wan Norasyikin Wan Chik selaku Ahli Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan baharu menyampaikan salam perkenalan kepada ahli mesyuarat.

Dr. Nur’azah ketika menyampaikan ucapan penghargaan berkata, beliau mula berkhidmat sebagai Bendahari Kehormat Wanita PERKIM pada tahun 2007 dan telah menggalas amanah tersebut selama hampir dua dekad.

Dato’ Hajah Maznah Dasmi turut merakamkan penghargaan kepada semua kepimpinan dan kakitangan yang telah bekerjasama sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Dato’ Hajah Maznah dan Dr. Nur’azah turut diraikan dalam satu majlis ringkas penuh bermakna sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanan mereka dalam memartabatkan Wanita PERKIM Kebangsaan.

Dato’ Hajah Maznah dan Dr. Nur’azah berkesempatan memotong kek khas bertemakan “Jasamu Dikenang” yang disediakan sempena penghargaan terhadap sumbangan mereka kepada organisasi itu.

Tunku Noor Hayati menyampaikan cenderamata kenangan eksklusif kepada Dato’ Maznah sebagai simbol penghargaan atas khidmat bakti, dedikasi serta komitmen yang telah dicurahkan.

Tunku Noor Hayati menyampaikan cenderamata eksklusif kepada Dr. Nur’azah sebagai tanda penghargaan dalam menggalas amanah dalam kepimpinan Wanita PERKIM Kebangsaan.

Wanita PERKIM Kebangsaan diyakini akan terus memainkan peranan penting dalam memperkasakan wanita Islam, memperkukuh institusi keluarga dan menyokong usaha dakwah serta kebajikan yang menjadi teras perjuangan PERKIM.



