Aktiviti Dakwah

PERKIM Anjur Halaqah Al-Quran Bersama Mualaf

oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 9 FEBRUARI 2024 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan telah menganjurkan Halaqah Al-Quran Bersama Mualaf bertempat di Surau PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, dekat sini pada pagi Jumaat.

Majlis tersebut dipimpin oleh Pengasas Akademi Sohibul Quran, Ustazah Noor Suhaiza Chulan bersama enam saudara baharu wanita yang telah memeluk Islam lebih daripada lima tahun.

Majlis tersebut dihadiri 30 saudara baharu berketurunan Cina, India, Iban, Kadazan dan warga negara daripada Filipina, Indonesia dan Myanmar.

Noor Suhaiza membuka majlis itu dengan Surah Al-Fatihah dan doa menuntut ilmu serta memperdengarkan sebutan huruf hijaiyah dengan betul sambil diikuti oleh saudara baharu.

Noor Suhaiza yang juga merupakan Johan Qariah Peringkat Wilayah Persekutuan 2015 dan 2017 turut membimbing mualaf memperbaiki surah al-Fatihah dari segenap aspek hukum-hakam tajwid, sebutan makhraj huruf, qiraat dengan tartil dan tepat.

Sementara itu, Pegawai Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan berkata, program itu diadakan untuk membantu mualaf memahami dan mempelajari ajaran Al-Quran serta menguatkan keimanan mereka dalam agama Islam.

Selain itu, ia memantapkan bacaan al-Quran dengan memperbetulkan tahsin dan sebutan mengikut makhraj serta lahjah (pelat) Arab yag tepat.

Ia juga merupakan platform yang ampuh bagi mualaf untuk mendalami agama Islam dan kebersamaan di antara peserta mualaf bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan baru mereka sebagai Muslim.

“Secara tidak langsung penganjuran aktiviti sebegini boleh memahirkan bacaan mualaf sekali gus mencapai tahap kesempurnaan solat mereka,” katanya.

Peserta memperdengarkan bacaan masing-masing sambil diperbetulkan oleh Noor Suhaiza yang juga panel jemputan program MaiNgaji TV AlHijrah.

Jelas Siti Munirah lagi, membaca al-Quran tanpa diperdengarkan kepada guru yang mahir boleh membawa bacaan tidak sempurna termasuk boleh memberikan pengertian berbeza.

Majlis diakhiri dengan bacaan doa khatam al-Quran oleh Noor Suhaiza diikuti saudara baharu.

Turut hadir ialah Pengarah Unit Komunikasi dan Media, Firdaus Lokman Tah dan Pegawai Wanita PERKIM Kebangsaan, Fatin Hamizah Ismail.


PERKIM Kebangsaan menganjurkan Halaqah Al-Quran Bersama Mualaf baru-baru ini.


Pengasas Akademi Sohibul Quran, Ustazah Noor Suhaiza Chulan memimpin Halaqah Al-Quran bersama enam saudara baharu.


Mualaf memperdengarkan bacaan mereka.


Saudara baharu membaca surah sambil diperbetulkan makhraj sebutan.


Antara saudara baharu yang mengikuti majlis Halaqah Al-Quran.


Suhaiza membaca potongan ayat dari surah sambil diikuti oleh peserta mualaf.


Alunan surah yang dibaca oleh Suhaiza mengikut bacaan harakat dan makhraj yang tepat.


Suhaiza memperbetulkan bacaan salah seorang peserta mualaf.


Peserta mualaf bersama urus setia Halaqah Al-Quran merakamkan gambar kenang-kenangan di akhir program.

Related Articles

Back to top button