Aktiviti Kebajikan

PERKIM Raikan Pengantin Mualaf

KUALA LUMPUR, 8 FEBRUARI 2024 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan berkesempatan menghadiri undangan majlis perkahwinan saudara baharu bertempat di Restoran Thai Malaya, Jalan Dato’ Senu, Sentul dekat sini pada petang Khamis.

Pengantin saudara baharu diraikan ialah Nur Amira Abdullah, 31, bersama pasangannya Muhammad Ridzuan Shamsuddin, 35.

Menurut Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan, hari ini PERKIM bersama rakan-rakan saudara baharu dan saudara mara yang bukan Islam meraikan majlis perkahwinan yang serba sederhana diiringi dengan doa-doa yang baik semata-mata untuk mendapatkan rahmat Allah dan keberkatan dariNya.

Katanya, Islam meraikan fitrah dan keperluan hidup manusia seperti ingin dikasihi, mempunyai pasangan hidup dan keluarga sebagai tempat menerima serta mencurahkan kasih sayang. Oleh itu, mereka yang berkemampuan dan cukup syarat dianjurkan berkahwin.

Bersandarkan firman Allah SWT di dalam Surah ar-Rum, ayat 21 bermaksud: “Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan di antara kamu suami isteri perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”

Tambah Munirah lagi, Nur Amira berketurunan Iban yang berasal dari Sarawak itu telah memeluk Islam di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada 4 September 2015 lalu.

Nur Amira juga merupakan seorang pelajar lepasan Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) Pengkalan Chepa, Kelantan yang menamatkan pengajian dan seterusnya menjalani latihan industrinya di Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan pada tahun lalu.

Hanya sekali lafaz sahaja Muhammad Ridzuan Shamsuddin telah melafazkan ikatan ijab kabul kepada Nur Amira Abdullah pada jam tiga petang tadi di JAWI disaksikan oleh ahli keluarga pengantin lelaki dan perempuan.

Pegawai UDPI, Muhammad Farhan Tee Abdullah turut mengacarakan majlis serba ringkas dengan meraikan pasangan pengantin dengan bacaan doa selamat dan kesyukuran.

Beliau turut berharap agar pasangan pengantin berbahagia dalam menempuh alam rumah tangga hingga ke jannah.

Hadirin turut menikmati menu kenduri masakan ala Thai iaitu daging masak merah, sayur kalian ikan masin, ayam masak halia, sup ayam, tom yam dan ulam-ulaman.


Nur Amira Abdullah bersama suaminya Muhammad Ridzuan Shamsuddin yang telah bernikah di JAWI petang tadi.


Farhan Tee mempengerusikan majlis meraikan pengantin yang sederhana.


Antara ahli keluarga pengantin lelaki yang hadir.


Antara ahli keluarga yang belum Islam sebelah pengantin perempuan hadir di majlis tersebut.


Pengantin mengukirkan senyuman manis setelah selesai majlis ijab dan kabul di JAWI.


Antara rombongan PERKIM dan saudara baharu yang hadir meraikan pengantin.


Pengantin, saudara baharu dan rombongan PERKIM berkesempatan bergambar kenang-kenangan di akhir majlis.

Related Articles

Back to top button