Jaulah Dakwah PERKIM Santuni Penduduk Ban Cha Pa, Pergunungan Chiang Rai
ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ
𝗖𝗛𝗜𝗔𝗡𝗚 𝗥𝗔𝗜, 𝟯𝟬 𝗠𝗘𝗜 𝟮𝟬𝟮𝟲 – Perjalanan sejauh kira-kira 120 kilometer merentasi laluan berbukit, berliku dan mencabar tidak menghalang semangat sukarelawan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan, Kumpulan Jom Buat Baik dan Madrasah Yayasan As-Siddiqin untuk meneruskan misi dakwah serta kebajikan ke sebuah perkampungan pedalaman di utara Thailand.
Penjelajahan Jaulah Dakwah dan Korban 2026 itu membawa rombongan ke Kampung Cha Pa yang terletak di kawasan pergunungan berhampiran sempadan Thailand-Myanmar di wilayah Chiang Rai.
Rombongan berlepas dari Madrasah Yayasan As-Siddiqin di Ban Mae Pao dengan menggunakan tiga kenderaan pacuan empat roda bersama 20 pelajar madrasah yang berasal dari kampung berkenaan.
Madrasah Yayasan As-Siddiqin yang beroperasi di Ban Mae Pao merupakan pusat perlindungan serta pendidikan bagi anak-anak yatim, mualaf dan golongan asnaf Islam di wilayah tersebut.
Sepanjang perjalanan yang mengambil masa hampir tiga jam, rombongan melalui beberapa pekan dan perkampungan termasuk Mae Kao Tom, Mae Sai, Mae Chan, Chiang Saen dan Ban Hua Mae Kam sebelum memasuki laluan tanah merah yang berliku di kawasan perbukitan.
Mereka turut melalui kawasan ladang getah, kebun mangga dan sawah padi yang menghijau sebelum tiba di destinasi yang perlu melalui jalan berbukit yang berlurah dan sempit.
Sebelum meneruskan perjalanan ke kawasan pedalaman, rombongan singgah di Masjid Hidayatul Fatah, Mae Da Luang bagi menunaikan solat jamak qasar Zuhur dan Asar secara berjemaah.

𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗙𝗮𝗿𝗵𝗮𝗻 𝗧𝗲𝗲 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 berkata, misi tersebut bertujuan menziarahi sebanyak mungkin keluarga penduduk kampung selain menyampaikan sumbangan hasil korban dan bantuan makanan kepada masyarakat setempat.
“Insya-Allah kita akan menziarahi keluarga-keluarga yang berada di Kampung Cha Pa bersama pasukan PERKIM, Kumpulan Jom Buat Baik dan pihak Madrasah Yayasan As-Siddiqin.
“Kami membawa bekalan daging lembu hadiah, bakul makanan sebanyak 160 pek serta goodies bag untuk kanak-kanak. Semoga bantuan ini dapat dimanfaatkan oleh penduduk kampung,” katanya.
Turut menyertai program tersebut ialah Eksekutif Kewangan PERKIM Kebangsaan, Mohd Aizat Rosli; Pengasas Bersama Madrasah Yayasan As-Siddiqin, Haji Abdullah Othman serta Pengasas Kumpulan Jom Buat Baik, Ustaz Azatul Ridzuan Hassan.
Ketibaan rombongan sekitar pukul 3 petang disambut mesra penduduk Kampung Cha Pa yang majoritinya terdiri daripada etnik Muser atau Lahu, salah satu komuniti suku bukit yang menetap di kawasan pergunungan utara Thailand.
Menurut Farhan, sebahagian penduduk kampung lebih selesa menggunakan dialek etnik Muser berbanding bahasa Thai, menyebabkan komunikasi memerlukan bantuan penterjemah dalam kalangan penduduk setempat.
“Alhamdulillah, kami membawa goodies bag untuk kanak-kanak dan turut mengagihkan daging lembu hadiah serta pek makanan kepada keluarga penduduk.
“Majoriti penduduk di sini bukan beragama Islam. Oleh itu, kita menyampaikan daging lembu hadiah hasil sumbangan orang ramai sebagai pendekatan dakwah melalui kebajikan dan kasih sayang,” katanya.
Beliau berkata, setiap keluarga menerima bantuan makanan yang mengandungi antara lain sardin dalam tin, minyak masak dan mi segera.
Menurutnya, pendekatan dakwah menerusi kebajikan itu mampu memperlihatkan keindahan Islam kepada masyarakat yang masih belum mengenali agama tersebut.

Dalam pada itu, rombongan yang diketuai 𝗠𝘂𝗱𝗶𝗿 𝗠𝗮𝗱𝗿𝗮𝘀𝗮𝗵 𝗬𝗮𝘆𝗮𝘀𝗮𝗻 𝗔𝘀-𝗦𝗶𝗱𝗱𝗶𝗾𝗶𝗻, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗔𝘂𝘀𝗺𝗮𝗻 𝗖𝗵𝗲 𝗗𝗶𝗻 berkata, lawatan ke Kampung Cha Pa memberi peluang kepada pihak madrasah menziarahi keluarga pelajar-pelajar yang sedang menuntut di Yayasan As-Siddiqin.
Menurut beliau, kebanyakan pelajar tersebut terdiri daripada anak yatim, anak keluarga miskin serta golongan yang berdepan pelbagai cabaran kehidupan.
“Kita datang untuk menziarahi keluarga pelajar dan melihat sendiri keadaan kehidupan mereka di kampung asal.
“Apabila masyarakat kampung melihat perubahan positif yang berlaku kepada anak-anak mereka selepas mengikuti pendidikan Islam di madrasah, mereka semakin terbuka untuk memahami Islam,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa penduduk kampung yang terdiri daripada penganut Buddha, Kristian dan kepercayaan tradisional sentiasa memberikan kerjasama baik kepada pihak madrasah.
Menurutnya, hubungan baik yang dibina selama bertahun-tahun membolehkan usaha dakwah dijalankan secara harmoni dan penuh hikmah.
“Walaupun hanya terdapat beberapa orang pelajar dari kampung ini yang belajar di madrasah, mereka menjadi jambatan yang menghubungkan kami dengan masyarakat setempat.
“Melalui mereka, penduduk kampung dapat melihat perubahan akhlak, kebersihan dan disiplin yang dibentuk melalui pendidikan Islam,” katanya.
Lebih menggembirakan, hasil pendekatan dakwah dan ziarah yang dilaksanakan, seorang remaja lelaki di Kampung Cha Pa menyatakan persetujuan untuk memeluk Islam dan mengikuti pendidikan di Madrasah Yayasan As-Siddiqin.
Detik paling menyentuh hati dalam program tersebut apabila Ustaz Farhan Tee berkesempatan membimbing seorang remaja lelaki etnik Muser, Chak Ehh, 18, mengucapkan dua kalimah syahadah.
Lebih mengharukan, remaja itu merupakan abang kepada pelajar Madrasah Yayasan As-Siddiqin, Saifullah, 15, yang sedang menuntut di madrasah berkenaan.
Proses pengislaman itu berlangsung dalam suasana penuh syahdu apabila Ustaz Ausman bertindak menerjemahkan lafaz dan maksud syahadah ke dalam bahasa Thai, manakala Saifullah turut membantu menjelaskan maksud pengakuan keimanan tersebut dalam Bahasa Muser kepada abangnya.
Kehadiran adik yang terlebih dahulu menerima pendidikan Islam di madrasah itu menjadi antara faktor yang membuka hati Chak Ehh untuk mengenali dan seterusnya menerima Islam sebagai pegangan hidupnya.
Peristiwa bersejarah itu disaksikan ahli rombongan serta penduduk kampung yang hadir, sekali gus menjadi bukti bahawa pendekatan dakwah melalui pendidikan, kebajikan dan ziarah mampu menyentuh hati masyarakat pedalaman secara berhikmah dan berkesan.
Perkembangan tersebut disifatkan sebagai antara hasil penting usaha dakwah berterusan yang dijalankan oleh pihak madrasah sejak sekian lama.
Menurut Farhan, kehadiran pelajar-pelajar sedia ada dari kampung tersebut yang pulang menziarahi keluarga masing-masing turut memainkan peranan besar dalam melembutkan hati ibu bapa dan penjaga.
“Mereka melihat sendiri perubahan yang berlaku kepada anak-anak yang belajar di madrasah.
“Keadaan itu memberi keyakinan kepada keluarga untuk membenarkan anak-anak mereka mengikuti pendidikan Islam dan tinggal bersama kami di madrasah,” katanya.
Program tersebut turut menyaksikan suasana penuh emosi apabila pelajar-pelajar Madrasah Yayasan As-Siddiqin diberi peluang bertemu ahli keluarga masing-masing setelah sekian lama berjauhan.
Ada dalam kalangan mereka bertemu semula dengan abang, kakak, bapa saudara, ibu saudara dan waris terdekat yang tinggal di kawasan pedalaman itu.
Majoriti pelajar yang menuntut di madrasah berkenaan merupakan anak yatim dan berasal daripada keluarga yang serba kekurangan.
Pertemuan itu bukan sahaja mengubat kerinduan, malah mengukuhkan lagi hubungan antara pihak madrasah dengan komuniti setempat.
Sepanjang program berlangsung, Ustaz Farhan dan Mohd Aizat menyampaikan 100 bungkusan daging lembu hadiah serta pek makanan kepada penduduk Kampung Cha Pa.
Kanak-kanak pula menerima goodies bag yang mengandungi pelbagai makanan ringan, keropok dan gula-gula.
Rombongan kemudian meneruskan perjalanan sejauh kira-kira 700 meter ke Kampung Cha Pa Bawah untuk menyantuni penduduk di kawasan tersebut.
Di kampung berkenaan, sebanyak 60 lagi bungkusan daging lembu hadiah dan pek makanan diagihkan kepada penduduk manakala kanak-kanak menerima goodies bag sebagai tanda ingatan.
Penduduk yang ditemui melahirkan rasa syukur dan penghargaan atas keprihatinan rakyat Malaysia yang sanggup meredah perjalanan jauh semata-mata untuk menyampaikan bantuan dan berkongsi kegembiraan Aidiladha bersama mereka.
Selesai program, rombongan bertolak pulang ke Madrasah Yayasan As-Siddiqin dan sempat singgah di Masjid Fatimah Pakuk, Mueang Ban Du, Chiang Rai bagi menunaikan solat jamak takdim Maghrib dan Isyak secara berjemaah.
Program Jaulah, Dakwah dan Korban 2026 anjuran PERKIM Kebangsaan dengan kerjasama Madrasah Yayasan As-Siddiqin dan Kumpulan Jom Buat Baik itu membuktikan bahawa dakwah melalui kebajikan, pendidikan dan sentuhan kemanusiaan mampu membuka pintu hati masyarakat sekali gus memperkukuhkan syiar Islam di kawasan pedalaman utara Thailand.

Anak-anak Madrasah Yayasan As-Siddiqin memotong daging hadiah yang baru disembelih untuk diagihkan kepada penduduk Kampung Cha Pa.

Urus setia bersama anak-anak Madrasah Yayasan As-Siddiqin membuat penyediaan dan persiapan pek barangan makanan untuk diagihkan kepada penduduk kampung.

Anak-anak Madrasah Yayasan As-Siddiqin memasukkan makanan ringan seperti keropok, biskut dan gula-gula ke dalam goodies bag untuk diberikan kepada kanak-kanak.

Ustaz Farhan Tee dan Aizat Rosli meletakkan 160 pek makanan dan 160 goodies bag di belakang kenderaan sebelum di bawa ke Kampung Cha Pa.

Ustaz Farhan Tee yang duduk di belakang kenderaan pacuan empat roda itu memastikan agar barang yang dibawa tidak terjatuh.

Tiga kenderaan dibawa melalui jalan bandar, jalan berbukit, tanah merah, jalan sempit dan simpang siur.

Rombongan jaulah berhenti seketika untuk menunaikan solat bersama anak-anak Madrasah Yayasan As-Siddiqin di Masjid Hidayatul Fatah, Mae Da Luang.

Ustaz Azatul Ridzuan Hassan selaku Pengasas Kumpulan Jom Buat Baik memimpin solat jamak qasar Zohor dan Asar berjemaah.

Aizat Rosli menyampaikan pek barangan makanan dan daging korban kepada ibu kepada salah seorang pelajar Madrasah Yayasan As-Siddiqin yang berketurunan Cina.

Anak-anak Madrasah Yayasan As-Siddiqin melepaskan rindu dengan bertemu dengan waris dan ahli keluarga setibanya di Kampung Cha Pa.

Penduduk Kampung Cha Pa mengalu-alukan ketibaan rombongan kami dengan senyuman dan gembira.

Ustaz Ausman menceritakan sejarah berkenaan etnik kabilah Muser yang di Kampung Cha Pa.

Pemuda Kampung Cha Pa menyatakan minatnya untuk belajar di Madrasah Yayasan As-Siddiqin seperti mana adiknya.

Ustaz Farhan Tee menyampaikan goodies bag kepada kanak-kanak kampung.

Aizat Rosli dan Farhan Tee menyampaikan agihan daging hadiah serta pek makanan sempena Aidiladha.

Pemuda kampung, Chak Ehh yang menyatakan hasrat untuk memeluk Islam mengangkat jari telunjuknya sambil mengucapkan dua kalimah syahadah dibimbing oleh Ustaz Farhan Tee.

Aizat Rosli menyampaikan bungkusan goodies bag kepada kanak-kanak Kampung Cha Pa Bawah.

Farhan Tee pula menyampaikan pek makanan dan daging hadiah kepada penduduk Kampung Cha Pa Bawah.

Penduduk kampung bergembira dan berterima kasih kepada PERKIM, RISEAP, Jom Buat Baik dan Madrasah Yayasan As-Siddiqin di atas kesudian ziarah, penyampaian sumbangan pek makanan dan daging hadiah.



