Iftar Bersama Yang DiPertua PERKIM
Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguh, Allah beserta orang-orang yang berbuat baik.” (Surah Ar-Rum: 69)
Bagi mewujudkan suasana ukhwah Islamiah di bulan Ramadan yang penuh berkat, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Bersama Yang Dipertua Perkim dan Kelab Perkim Universiti bertempat di Dewan Merak Kayangan, Balai Felda, Jalan Gurney, Kuala Lumpur pada 4 Julai 2014 lalu.
Program itu dihadiri lebih daripada 300 tetamu yang terdiri daripada Ahli Majlis Kebangsaan Perkim, Saudara Muslim dan Asrama Darul Falah (Asdaf) Perkim.
Ianya turut disertai oleh Majlis Permuafakatan Kelab Perkim Universiti (MAMPU) yang terdiri daripada Kelab Perkim Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Tun Abdul Razak (UniRAZAK), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Universiti Taylor.
Majlis diberkati dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Ustaz Yus Ondre.
Wakil Yang Dipertua Kelab Perkim Universiti, Mohamad Syubhana Mufti Mohamad Noordin dalam ucapannya berkata, kami berasa amat bertuah kerana diberikan peluang untuk terlibat dalam aktiviti Kelab Perkim dengan melakukan aktiviti di dalam dan di luar kampus, sehingga ke kawasan perkampungan Orang Asli.
Katanya lagi, kami yang telah beberapa kali menyertai program dakwah sememangnya berasa amat berbaloi dengan pengisian agama yang diterapkan kepada golongan sasaran.
“Kami yakin dan percaya bahawa Perkim amat sesuai dengan kehendak kami yang menginginkan aktiviti dakwah diadakan walaupun pada masa yang sama kami masih menuntut ilmu di universiti dan kolej,” jelas Syubhana dari Kelab Perkim UUM.
Jelasnya lagi, Saudara Muslim atau mualaf yang menjadi core business Perkim menjadi antara platform terbaik dalam membimbing golongan tersebut dan ibadah pengislaman yang telah dilakukan sejak bertahun-tahun membuatkan Perkim dikenali sebagai pusat yang menjadi tumpuan Saudara Muslim.
Ucapnya lagi, kami juga tidak boleh lari dengan aktiviti yang diadakan di perkampungan Orang Asli kerana kami semua telah banyak menganjurkan program Orang Asli di merata negeri untuk menabur bakti serta memperoleh pengalaman untuk berdakwah di kawasan pedalaman.
“Melalui Perkim yang kini dipimpin oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kami akan menyokong dan membantu Perkim dalam melaksanakan aktiviti atau dasar demi membangunkan Islam sekali gus kami bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada Perkim yang banyak mendidik dan membantu dari sudut ilmu, nasihat dan kewangan dalam mengadakan program.,” jelas Syubhana.
Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor dalam kata-kata aluannya, kehadiran generasi baru berpunca daripada suntikan semangat dan idea daripada Yang DiPertua Perkim, Tun Dr. Mahathir Mohamad, di mana beliau ingin melihat kesinambungan usaha-usaha Perkim melalui Kelab Perkim Universiti.
“Saya percaya bahawa generasi baru sudah bersedia untuk melaksanakan tugas-tugas dan amanah yang diberikan dari masa ke semasa walaupun Perkim pada masa ini mungkin terpaksa mengumpulkan usaha untuk mendapatkan kekuatan dan semangat,” jelasnya.
Jelasnya lagi, beliau berharap menerusi perjumpaan itu, ahli-ahli kelab dapat mendengar dan mengambil saranan daripada amanat Tun Dr. Mahathir.
Majlis diserikan dengan ucapan Yang Dipertua Perkim, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Dr. Mahathir dalam ucapannya berkata, umat Islam perlulah sedar kerana di negara-negara lain mereka tidak mampu mengadakan majlis seperti ini bahkan mereka tidak mampu berpuasa kerana tekanan-tekanan kezaliman yang dilakukan terhadap mereka.
“Sudah tentu kita akan berasa sedih jika kita melihat negara-negara Islam kini di mana mereka dibunuh, negara mereka diserang, kerajaan mereka ditumbang, dikejar dan dihalau keluar dari negara serta berperang sesama sendiri,” jelasnya.
Katanya, al-Quran ada menyebut bahawa apabila dua orang Islam bermusuh hendaklah pihak ketiga mendamaikan mereka, jika ada pihak yang tidak menerima untuk berdamai barulah pihak ketiga boleh cuba mengalahkannya.
Beliau beranggapan bahawa di Malaysia bebas daripada keganasan tetapi rupa-rupanya ramai juga yang berminat untuk menjadi pengganas dengan berlatih melilit bom keliling badan untuk membunuh diri bersama orang Islam yang lain.
“Adakah kita disuruh membunuh orang yang sama mengucap dua kalimah syahadah, bersolat, berpuasa, berzakat, menunaikan haji?” soal Dr. Mahathir.
Ulasnya, mereka menjadi pengganas dan berjihad untuk menumbangkan sebuah kerajaan Islam walaupun berbeza sedikit pendapat.
Beliau turut kesal kerana sehingga ke hari ini para ulama di Malaysia masih belum memberikan penjelasan mengenai menuduh orang lain yang beragama Islam sebagai kafir dan membunuh mereka adalah halal merupakan suatu perkara yang disuruh.
“Membunuh orang yang bukan Islam pun bukan suatu yang disuruh tetapi sekiranya mereka menyerang dan membinasakan kita, barulah kita mengangkat senjata berperang dengan mereka,” jelas Dr. Mahathir.
Saya khuatir kalau tidak ada satu penjelasan yang dibuat tentang syahid, lebih ramai lagi dengan sukarela membunuh diri kononya mereka berjihad untuk mendapat tempat di syurga.
Saya dapati ramai daripada pensyarah lebih kerap menyebut nama penulis-penulis tertentu yang umumnya telah telah menafsir agama Islam dengan baik, sekiranya tafsiran mereka itu baik, sudah tentu umat Islam kini berada dalam keadaan yang cukup baik dan berada di tamadun yang cemerlang tetapi didapati itu bukanlah keadaan yang dilihat sekarang sebaliknya ianya dilihat pelbagai malapetaka penindasan yang dilakukan ke atas orang Islam.
Kita haruslah kembali kepada al-Quran dan hadith kerana ia merupakan catitan wahyu yang disampaikan kepada Nabi Muhammad dan al-Quran juga menentukan pegangan agama kita sebagai cara hidup atau pun mati .
Saya berharap sekolah-sekolah tahfiz bukan sahaja berperanan untuk menjadikan pelajar penghafal al-Quran tetapi juga menjadikan mereka memahami isi kandungan al-Quran. Kalau dibaca tanpa pengetahuan ianya tidak akan menjadi pemandu kepada kita.
Al-Quran adalah panduan utama bagi agama Islam sebab itu harus memahami isi kandungan al-Quran lebih daripada hanya membaca dengan suara yang enak tetapi kita tidak memahami isi kandungannya.
Beliau berharap, Perkim dapat menjalankan tugasnya dengan kerjasama generasi muda yang bakal mengambil alih genenasi lama dengan berbekalkan persediaan yang sempurna supaya apabila mereka mengambil alih tugas, mereka akan meneruskan tugas dengan tanggungjawab sebagai suatu amanah dan meneruskan aktiviti agama Islam sekali gus dapat menarik orang bukan Islam supaya memeluk agama Islam.
Dr. Mahathir turut menyampaikan sijil penghargaan dan wang pengurusan berjumlah RM500 kepada wakil setiap kelab.
Tetamu menjamu selera dengan pelbagai hidangan jenis juadah berbuka puasa dan diikuti dengan solat berjemaah serta menunaikan solat sunat tarawih yang dipimpin oleh imam bertugas.
Majlis berbuka puasa itu turut disajikan dengan tayangan video korporat Perkim dan persembahan multimedia aktiviti Kelab Perkim Universiti.
Turut hadir ialah Naib Yang Dipertua Perkim 1, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim; Naib Yang Dipertua Perkim 2, Prof. Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah; Naib Yang Dipertua Perkim 3, Datuk Dr. Hj. Mustapha Ma; Naib Yang Dipertua Perkim 4, Dato’ Hj. Mohd. Nakhaie Ahmad; Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim dan Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Hj. Hasbullah L. Isa dan mantan Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi.
Tetamu kehormat bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di majlis berbuka puasa.
Wanita Perkim bersama Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Tetamu mengaminkan ketika doa dibacakan.
Mahasiswa Kelab Perkim PAUIAPJ menyertai majlis tersebut.
Saudara Muslim turut diundang untuk berbuka puasa bersama.
Lebih daripada 300 tetamu yang hadir bagi memeriahkan majlis berbuka puasa.
Mohamad Syubhana mewakili Yang DiPertua Kelab Perkim menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.
Dr. Mohd. Yusof menyampaikan kata-kata aluan di majlis berbuka puasa tersebut.
Tetamu kehormat mendengar ucapan yang disampaikan oleh Dr. Mohd. Yusof.
Tun Dr. Mahathir menyampaikan ucapan dan amanat kepada tetamu yang hadir.
Tetamu jemputan juga turut memeriahkan majlis berbuka puasa.
Dr. Mahathir (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Kelab Perkim IDIP sambil disaksikan oleh Dr. Yusof Noor (tengah).
Sebelas mahasiswa Kelab Perkim Universiti menerima sijil penghargaan dan bergambar bersama Dr. Mahathir.
Dr. Mohd. Yusof (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Dr. Mahathir Mohamad (kanan).
Mahasiswa dan tetamu yang hadir membaca doa ketika tibanya waktu berbuka puasa.
Tetamu mengambil makanan dan menikmati juadah berbuka puasa yang disediakan secara bufet.
Mahasiswa dan tetamu turut menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih berjemaah.