Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-53
Oleh : MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI, WAN NUR FATIHAH W IBRAHIM, SITI HAJAR SHARBINI
“Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya.” (as-Syura : 38)
Islam telah menganjurkan musyawarah dan memerintahkannya dalam banyak ayat dalam al-Quran, ia menjadikannya suatu hal terpuji dalam kehidupan individu, keluarga, masyarakat dan negara serta menjadi elemen penting dalam kehidupan umat, ia disebutkan dalam sifat-sifat dasar orang-orang beriman iaitu Islam dan iman.
Pada kali ini, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan dengan kerjasama Perkim Bahagian Negeri Kedah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Perkim Kebangsaan Kali ke-53 bertempat di TH Hotel and Convention Centre, Alor Setar, Kedah pada 20 hingga 21 Jun 2014 lalu.
Ianya dimulakan dengan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Perkim Bil 2/52 yang disertai seramai 60 Ahli Majlis Kebangsaan Perkim dan dipengerusikan oleh Yang Dipertua Perkim, Tun Dr. Mahathir Mohamad membincangkan pelbagai agenda iaitu mengenai pembentangan dan pengesahan Minit Mesyuarat Majlis Kebangsaan 1/51, laporan pentadbiran, kewangan, dakwah, kebajikan, Saudara Muslim, penerbitan, Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP) serta Pembangunan Aset dan Harta.
Turut diraikan ialah Ahli Majlis Kebangsaan Perkim, Perwakilan dan Pemerhati Perkim dari Wilayah Persekutuan, Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak, Harakah Islamiah Malaysia (Hikmah), Persatuan Islam Seluruh Sabah (Usia), Persatuan Darul Fitrah, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Majlis Permuafakatan Kelab Perkim Universiti (Mampu).
Sebelum itu, rombongan Perkim mengadakan majlis tahlil dan doa buat Almarhum Dato’ Seri Utama Tan Sri Tunku Annuar Al-Haj ibni Almarhum Sultan Badlishah, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah (Tunku Bendahara Kedah Darul Aman) dan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bertempat di Masjid Tunku Kalsom, Langgar, Kedah.
Sejurus itu, rombongan menziarahi pusara dan menghadiahkan surah al-Fatihah kepada Tunku Annuar dan Tunku Abdul Rahman di Makam Diraja Langgar, berhadapan dengan masjid.
Majlis Santapan Malam
Pada malamnya pula, seramai 700 tetamu diraikan dengan Majlis Santapan Malam Sempena Mesyuarat Agung Tahunan Perkim Kebangsaan Kali Ke-53 anjuran Kerajaan Negeri Kedah dengan kerjasama Perkim Bahagian Negeri Kedah bertempat di Grand Ballroom TH Hotel and Convention Centre, Alor Setar.
Majlis santapan malam dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Mufti Negeri Kedah, Sahibus Samahah Dato’ Paduka Syeikh Muhamad Baderudin Hj Ahmad.
Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor dalam ucapan aluannya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada Perkim Bahagian Negeri Kedah kerana telah membuat persiapan sejak berapa bulan yang lalu untuk merancang dan mengambil tindakan sehingga majlis santapan malam dapat dilaksanakan begitu teratur dan baik.
Beliau turut mengucapkan terima kasih pada urus setia Perkim Kebangsaan kerana banyak membantu dan menguruskan semua perkara bagi memastikan mesyurat agung dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Jelas Dr. Mohd. Yusof lagi, mesyuarat agung kali ke-53 itu menunjukkan Perkim sebenarnya sudah cukup matang di dalam melaksanakan semua tugas yang telah diamanahkan khasnya sebagaimana diamanahkan oleh Pengasas Perkim, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj .
Beliau turut berharap supaya perwakilan dan pemerhati dapat bermesyuarat dan berbincang mengenai peranan dan tanggungjawab Perkim di semua peringkat agar dapat berjalan dengan lancar dan berkesan.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Hj. Mukhriz Tun Mahathir dalam ucapannya turut mengucapkan terima kasih kepada Perkim Kebangsaan dan Perkim Bahagian Negeri Kedah kerana menjemput bersama di dalam majlis tersebut serta mengucapkan selamat datang kepada perwakilan dan pemerhati mesyuarat agung ke Negeri Kedah Darul Aman.
Katanya, semasa mengambil alih peneraju pentadbiran kerajaan Negeri Kedah Darul Aman sebagai Menteri Besar ke-10 mulai 6 Mei 2013 yang lalu, beliau telah memperkenalkan misi baru kerajaan negeri dengan tema ‘Kedah Aman Makmur Bersama Memacu Tranformasi.’
Jelas Mukhriz, kini satu persatu cadangan-cadangan yang dirumus sebagai plan tindakan telah dan sedang dilaksanakan dengan matlamat untuk merancakkan lagi pembangunan di Negeri Kedah Darul Aman sekali gus memakmurkan rakyat.
“Salah satu bidang tranformasi yang diutamakan ialah bidang hal ehwal agama dan dakwah kerana kita bukan sahaja mengharapkan negeri maju dari segi aspek fizikal seperti pelbagai kemudahan dan pembangunan, malah yang lebih utama kita mahu rakyatnya memiliki jati diri yang utuh, akhlak dan pekerti yang mulia serta iman yang teguh,” ucapnya.
Kerajaan Negeri Kedah juga telah menganjurkan banyak program- program ilmiah bagi mengimarahkan masjid dan surau, sekolah-sekolah agama, maahad tahfiz dan pondok untuk tujuan tersebut.
Kerajaan Negeri Kedah terus memberi dorongan dan sokongan kepada Perkim untuk bergerak di negeri ini dengan lebih cergas dan berkesan.
Tunku Temenggong Kedah, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, YTM Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah turut menyampaikan titah perasmian sempena Mesyuarat Agung Tahunan Perkim Kebangsaan Kali Ke-53.
Baginda dalam titahnya berasa amat gembira kerana melihat perkembangan Perkim sebagai sebuah organisasi Islam yang telah ditubuhkan sejak tahun 1960 berkembang dengan teguh sebagai sebuah pertubuhan dakwah bukan sahaja untuk orang-orang Islam malahan orang bukan Islam turut mendapat faedah.
Perkim berjaya menjadi suatu wadah yang memupuk permuafakatan dan perpaduan di kalangan orang-orang Islam khasnya dan seluruhnya rakyat Malaysia amnya.
Sukacitanya beliau, apabila melihat penglibatan bekas-bekas pemimpin negara termasuk para ilmuan Islam dan alim ulama di dalam Perkim.
Jelas Tunku Sallehuddin lagi, sebagai orang Islam kita wajib menerima sepenuhnya ketetapan dan hukuman yang ditentukan oleh Allah SWT seperti mana yang terdapat di dalam al-Quran dan tidak ada undang-undang yang lebih adil untuk seluruh alam melainkan undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Baginda berharap, perlu ada satu iltizam dan keazaman yang cukup tinggi di kalangan kita semua untuk mengeratkan usaha agar pada suatu masa undang-undang syariah Islamiyah seperti yang telah ditentukan oleh Allah SWT di dalam al-Quran karim dapat dilaksanakan di bumi Malaysia.
Titahnya lagi, urusan dakwah Islamiyah tidak lagi boleh dilakukan secara sukarela dan bila ada kelapangan sahaja sebaliknya urusan dakwah Islamiyah ini hendaklah dilaksanakan sebagai suatu kewajipan yang terancang dan berterusan.
“Ini adalah kerja Rasulullah SAW yang diamanahkan kepada kita untuk meneruskannya titah perintah Allah SWT hendaklah disampaikan dan dijelaskan kepada seluruh umat manusia dengan sebenar-benarnya tanpa boleh ditokok tambah dan diubah mengikut nas seperti mana yang disebut di dalam surah Ibrahim ayat 4: “Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya dia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka.”
Tambahnya lagi, kini negara Islam telah ditohmah dan difitnah dengan begitu hebat sekali secara terbuka dan terang terangan pula di dalam banyak keadaan ummat Islam termasuk alim ulama tidak pula tampil untuk membetulkan keadaan yang menyatakan yang benar .
Tunku Sallehuddin turut bimbang dengan tindakan mereka tertentu terutama di dalam media-media elektronik dan sosial kerana menghina institusi raja, intitusi agama Islam, kitab suci al-Quran, sistem kehakiman Negara, institusi keselamatan negara dan berbagai-bagai lagi.
Baginda berasa dukacita apabila melihat perpecahan yang berlaku di kalangan umat Islam di Malaysia dan ketika ini juga pihak musuh berusaha meruntuhkan dan merobekkan kekuatan umat dengan pelbagai cara.
“Ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada kepimpinan Perkim baik di peringkat pusat, bahagian dan cawangan di atas segala pengorbanan masa, tenaga, buah fikiran malahan wang ringgit bagi memastikan Perkim ini terus hidup subur cergas dan terus aktif dengan program dakwah Islamiyah,”
Majlis diserikan lagi dengan penyampaian pengurniaan Anugerah Ahli Kehormat Perkim kepada Dato’ Seri Mukhriz yang disampaikan oleh Tunku Sallehuddin.
Tunku Sallehuddin juga perkenan menyampaikan pengurniaan cenderamata kenangan kepada waris tokoh Perkim iaitu Tun Omar Ong Yoke Lin, Tan Sri SOK Ubaidullah, Datuk Hj Ibrahim TY Ma dan Tan Sri Abd Mubin Sheppard yang diterima oleh waris masing-masing.
Selain itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Baharom menyampaikan replika cek daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berjumlah RM22.26 kepada Tunku Sallehuddin dan cek tersebut kemudiannya diserahkan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Yang DiPertua Perkim.
Tun Dr. Mahathir kemudiannya menyampaikan cenderamata potret kenangan kepad Tunku Sallehuddin. Potret tersebut memaparkan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj bersama Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, AlMutasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku AlHaj Abdul Halim Mua’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah.
Majlis santapan itu diserikan lagi dengan persembahan tayangan video korporat Perkim.
MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PERKIM KALI KE-53
Mesyuarat Agung Tahunan Perkim Kebangsaan Kali Ke-53 pada 21 Jun 2014 dimulakan dengan lagu Negaraku, Perkim Perkasa dan bacaan doa.
Ianya diikuti dengan ucapan dasar oleh Yang Dipertua Perkim, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Dr. Mahathir dalam ucapannya berkata, Perkim sudah berusia 53 dan Perkim ditubuh untuk membuat kerja-kerja kebajikan dan juga untuk berdakwah walaupun tiada tercatat dalam nama Perkim tetapi sebahagian daripada tugas dan tanggungjawab Perkim ialah berdakwah.
Berdakwah bermakna mengembangkan ajaran Islam di kalangan orang Islam dan juga di kalangan orang bukan Islam dengan cara memberi gambaran yang menarik kepada agama yang kita anuti supaya menarik perhatian orang bukan Islam kepada agama Tuhan Yang Maha Esa.
“Kalau kita memberi gambaran yang tidak menarik, maka sudah tentu bukan sahaja orang bukan Islam akan menolak agama Islam bahkan mereka akan memberi pandangan yang tidak baik kepada agama Islam tetapi terdapat juga segelintir orang yang beragama Islam yang tidak berminat dan tidak mengamal ajaran Islam bahkan akan meninggalkan agama Islam,” jelas mantan Perdana Menteri keempat itu.
Tun Dr. Mahathir turut mendapati bahawa terdapat orang Islam menetap di seluruh dunia termasuk di negara-negara yang bukan Islam bahkan ada yang tinggal di negara yang anti Islam.
Kini malangnya imej agama Islam, imej orang Islam dan imej negara-negara Islam tidak begitu baik serta tidak begitu menarik dan sukar bagi kita untuk menjelaskan bahawa Islam ini adalah agama keamanan dan agama yang bukan sahaja terhad kepada kepercayaan tetapi juga ianya adalah agama yang menjadi satu cara hidup.
Kita lihat di mana-mana sahaja orang Islam bersengketa, berperang dan membunuh sesama sendiri serta mereka juga tidak dapat mendirikan kerajaan-kerajaan yang berwibawa yang dapat memajukan negara dan penduduk-penduduknya.
Didapati banyak negara Islam tidak dapat ditadbir dengan baik sama sekali dan kadang-kadang dilihat negara Islam ditadbir secara kuku besi dan diktator.
Di Syria berlaku peperangan di antara orang Islam sesama orang Islam secara dahsyat sehingga ada di antara mereka terpaksa lari ke negara lain untuk mencari perlindungan dan meneruskan kehidupan walaupun secara tidak cukup sempurna, tidak mendapat keperluan makanan dan mereka menderita terutama kanak-kanak dan wanita.
Terdapat orang Islam yang mendakwa bahawa mereka akan ke syurga sekiranya mereka meletupkan diri mereka dengan membunuh orang Islam yang lain, malah terdapat orang di Malaysia berminat dan menyertai misi tersebut untuk meraih syurga dengan membunuh orang Islam yang lain.
Saya tidak tahu apa pendapat dan pandangan ulama-ulama bahawa mereka yang meletupkan diri itu akan ke syurga setelah mereka membunuh ramai daripada saudara seagama termasuk kanak-kanak, wanita dan ibu yang mengandung?
Semua ini memberi gambaran yang amat buruk terhadap agama Islam, umat Islam dan negara Islam dengan imej yang buruk adakah kita dapat menunjukkan kepada orang lain bahawa Islam adalah addin iaitu suatu cara hidup yang berlandaskan al-Quran, sedangkan ajaran Islam secara terang-terangan berkata orang Islam itu adalah bersaudara.
“Perkim bertanggungjawab untuk berdakwah dan memberi imej yang baik terhadap tentang agama islam, apakah orang Islam harus berperang sesama mereka dan apakah mereka tidak boleh mendirikan pentadbiran yang berwibawa dan yang dapat memajukan negara mereka?”
Agama Islam berasas kepada keamanan yang akan menentukan bahawa pemerintahan Islam adalah adil, bertimbang rasa, tidak zalim, tidak memaksa sesiapa.
Terdapat banyak kecaman dan cemuhan terhadap agama Islam yang disebabkan oleh orang Islam sendiri. Jika orang Iislam dapat bersatu padu dan mendirikan kerajaan yang kuat maka tiada siapa yang berani mencabar kedudukan agama Islam, tetapi oleh kerana kita lebih utama kan kepentingan orang tertentu yang ingin menjadi kerajaan, menjadi perdana menteri kita sanggup berpecah.
Apabila kita berpecah maka kita menjadi lemah dan lebih daripada itu kita berpecah dan kita sanggup menyokong orang yang benci kepada agama Islam. Mereka secara terang-terangan berkata bahawa mereka pandang hina pada agama Islam dengan membuat ucapan-ucapan yang memburukkan burukkan agama Islam.
Sesungguhnya kalau kita ingin berdakwah, kita mestilah menunjukkan kepada masyarakat Islam atau bukan Islam bahawa Islam itu adalah agama yang baik dan mampu mentadbir negara dengan cekap, bijak dan adil.
Al-Quran datang daripada wahyu Allah SWT sebaliknya hadith datang daripadanya ingatan manusia akan apa yang mereka lihat suatu masa dahulu dan dikaji selepas 200 tahun oleh seorang pakar hadith dan dia yang menentukan daripada 600 000 hadis hanya 7000 sahaja yang boleh diterima, tetapi kita harus ingat bahawa orang yang membuat kajian itu juga manusia biasa dan manusia biasa boleh buat kesalahan.
Al-Quran merupakan himpunan daripada wahyu Allah SWT kepada Rasulullah. Ianya jika dibandingkan di antara dahulu dan sekarang, tidak mempunyai perbezaan tetapi ianya terdapat banyak perbezaan di dalam tafsiran.
Walaupun ada tafsiran pendapat yang berbeza kita tidak seharusnya bermusuh melainkan mereka menolak Allah Tuhan Yang Maha Esa dan Nabi Muhammad merupakan pesuruh Allah. Jika mereka menolak dan mereka tidak mengucap dua kalimah syahadah barulah kita boleh lebelkan mereka tidak Islam, akan tetapi selagi mereka boleh mengucap dua kalimah syahadah kita tidak harus bermusuh dengan mereka walaupun tafsiran mereka berbeza.
Kita sepatutnya tidak ada permusuhan di kalangan orang Islam di Malaysia kerana kita berpegang kepada satu tafsiran dan satu ajaran sahaja malangnya kita membenarkan diri kita terpengaruh dengan politik dan kita sudah berpecah sehingga kita bermusuh dan melemahkan diri kita.
Kita diseru supaya berilmu pengetahuan dan tidak tertumpu kepada satu ilmu sahaja sebaliknya ilmu-ilmu yang lain itu dapat menentukan kekuatan serta keupayaan kita melindungi umat Islam.
Kita adalah daripada ahli sunnah wa jamaah pengikut imam syafie di mana semua daripada orang Melayu adalah daripada mazhab tersebut berbeza dengan ajaran puak wahabi, syiah dan lain-lain.
Di Malaysia apabila sahaja kerajaan mengadakan bahagian mengutip zakat sehingga satu-satu kawasan dapat mengutip sehingga satu billion ringgit setahun. Dengan adanya zakat tersebut, kita dapat memberi pertolongan kepada kelapan-lapan asnaf seperti yang disuruh oleh agama Islam.
Saya berpendapat bahawa Perkim harus meneroka pendekatan baru yang menunjuk bahawa kita memegang kepada ajaran islam daripada pelbagai segi bukan sahaja daripada membuat ibadat-ibadat tertentu sembahyang, puasa, zakat, haji, mengucap dua kalimah syahadah tetapi kita perlu tunjukkan kepada masyarakat kita dan masyarakat lain bahawa orang Islam adalah orang yang berjaya dalam dunia ini.
Kalau kita lihat dalam sejarah pada suatu ketika dahulu umat Islam berjaya mendirikan satu tamadun yang canggih sehingga ia mengagumkan orang-orang eropah yang beragama Kristian.
Hari ini orang Islam tidak dapat mempertahankan diri mereka melainkan membeli senjata daripada musuh-musuh dan mereka tidak akan menjual kepada kita senjata yang terbaik kerana senjata yang terbaik mereka gunakan untuk menyerang orang-orang Islam.
Saya harap Perkim akan berdakwah dan memberi gambaran yang baru kepada orang lain tentang apa itu Islam.
Inilah sepatutnya menjadi sebahagian daripada tugas Perkim dan saya harap kita akan berusaha ke arah ini di masa hadapan di samping menjalankan tanggungjawab kebajikan yang menjadi sebahagian hasrat Perkim di Malaysia ini.
Selain itu, beberapa agenda yang dibincangkan pada mesyuarat tersebut ialah ucapan pengerusi tetap, meluluskan minit Mesyuarat Agung Tahunan Perkim Kebangsaan kali ke-52, menerima laporan tahunan Perkim Kebangsaan, Perkim Bahagian, Wanita Perkim dan badan-badan gabungan, meluluskan akaun bagi tahun berakhir pada 31 Disember 2013, meluluskan anggaran pendapatan dan perbelanjaan bagi tahun 2015, membincangkan usul-usul serta ucapan penangguhan.
Rombongan Perkim mengadakan majlis tahlil dan doa buat Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra dan Almarhum Tan Sri Tunku Annuar.
Dr. Yusof Noor (lima dari kanan) menyampaikan sumbangan buku Yasin kepada imam Masjid Tunku Kalsom di Langgar, Kedah.
Rombongan Perkim menghadiahkan surah al-Fatihah dan membaca doa di pusara Aalmarhum Tunku Abdul Rahman.
Persidangan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Perkim Bil 2/52.
Ahli Majlis Kebangsaan bersidang di Mesyuarat Majlis Kebangsaan Perkim Bil 2/52.
Mesyuarat Majlis Kebangsaan Perkim yang dihadiri oleh Ahli Majlis Kebangsaan.
Ahli Majlis Kebangsaan bergambar kenang-kenangan bersama Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah dan Menteri Besar Kedah.
Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor selaku Setiausaha Agung Kehormat Perkim menyampaikan kata-kata aluan.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Hj. Mukhriz Tun Mahathir menyampaikan ucapannya di Majlis Santapan Malam.
Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah menyampaikan titah ucapannya.
Majlis Santapan Malam sempena Mesyuarat Agung Tahunan Perkim Kali Ke-53.
Tunku Sallehuddin (kanan) memperkenan menyampaikan pengurniaan Ahli Kehormat Perkim kepada Mukhriz (kiri) sambil diperhatikan oleh Tun Dr Mahathir (tengah).
Toh Puan Aishah Ong (kanan) menerima pengurniaan anugerah tokoh Perkim mewakili arwah suaminya Tun Omar Ong Yoke Lin daripada Tunku Sallehuddin (kiri).
Tunku Sallehuddin (dua dari kiri) memperkenan menyampaikan pengurniaan anugerah tokoh Perkim kepada Allahyarham Tan Sri SOK Ubaidullah yang diwakili oleh anaknya.
Datuk (Dr) Hj Mustapha Ma (kanan) mewakili arwah bapanya, Datuk Hj Ibrahim TY Ma menerima anugerah tokoh Perkim daripada Tunku Sallehuddin (kiri).
Tunku Sallehuddin (dua dari kiri) memperkenan menyampaikan pengurniaan anugerah tokoh Perkim kepada Allahyarham Tan Sri Hj Abd. Mubin Sheppard yang diwakili oleh Azhar Steven (kanan).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Jamil Khir Baharom (kiri) menyampaikan replika cek berjumlah RM22.26 juta kepada Tunku Sallehuddin (dua dari kiri) untuk diserahkan kepada Tun Dr. Mahathir selaku Yang Dipertua Perkim.
Mesyuarat Agung Tahunan Perkim Kebangsaan Kali Ke-53 bersidang dimulakan dengan bacaan doa.
Ahli Majlis Kebangsaan Perkim di Mesyuarat Agung Tahunan Perkim Kebangsaan Kali Ke-53.
Yang DiPertua Perkim, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan dasar di mesyuarat tersebut.
Antara 300 perwakilan dan pemerhati Perkim bahagian-bahagian bersidang.
Klik pada gambar bagi melihat album sepanjang berlangsungnya Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-53.