Aktiviti Dakwah

Ibu Ikuti Jejak Anak Lepas 5 Minit Peluk Islam

oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 7 OGOS 2023 – Seorang ibu telah menemani anaknya, Nur Shazrin Aisyah Abdullah, 20 ke Ibu Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan di Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini setelah sekian lama menyimpan hasrat untuk memeluk agama Islam.

Demi memenuhi impian anaknya, beliau bersama anak perempuannya berjalan kaki dari rumahnya sejauh 2 kilometer dari Titiwangsa ke Ibu Pejabat PERKIM.

Bergenang air mata dikesat oleh Shazrin selepas melafazkan dua kalimah syahadah di hadapan Pegawai Unit Pembangunan Insan dan Operasi, Ustaz Sulaiman Ding Yu Zhong dan disaksikan oleh ibu kandungnya berbangsa India.

Menurut Shazrin, ini merupakan saat bahagia yang dinanti-nantikan olehnya sejak sekian lama dan beliau berhasrat untuk mempelajari Islam dengan lebih mendalam seperti solat, mengenali Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Kata Shazrin, perasaan untuk memeluk Islam itu telah wujud sejak beliau berpindah ke sekolah di Pahang ketika usia 12 tahun di mana beliau merupakan seorang sahaja pelajar bukan Islam di kelasnya.

Setelah mengikuti ceramah agama di surau tanpa dipaksa disebabkan tiada kelas pendidikan moral, beliau terdetik di dalam hatinya untuk mengenal Islam.

Perasaan yang mendalam kepada Islam itu hadir sekali lagi ketika usia Shazrin atau nama asalnya Sugasini menjangkau 18 tahun selepas beliau bermimpi bertemu dengan wanita berpakaian putih dan memberikan salam kepadanya.

Sulaiman Ding turut memberi penerangan mengenai Rukun Iman, Rukun Islam dan kewajipan sebagai seorang Islam kepada Shazrin.

Shazrin juga diberi penerangan mengenai tanggungjawab terhadap keluarga bukan Islam serta larangan menyembah selain Allah dan larangan membuat perkara yang ditegah dalam Islam.

Sedang Shazrin melengkapkan butir-butir pengislaman sekitar lima minit, ibu Shazrin yang lengkap berpakaian tradisional India itu turut menyatakan hasrat untuk mengikuti jejak anaknya untuk memeluk Islam.

Selepas mengikrarkan dua kalimah syahadah dalam Bahasa Arab diikuti dalam Bahasa Inggeris, ibu Shazrin memilih nama Nurul Hidayah Kerashnan kerana Allah SWT telah memberikannya hidayah menjadi seorang Islam.

Menurut Nurul Hidayah, sudah menjadi kebiasaan buat dirinya menyesuaikan diri dalam cara kehidupan Islam kerana tiga orang anaknya sebelum ini telah memeluk Islam.

Beliau sebelum ini telah mengamalkan dan mempraktikkan perkara haram dan halal dalam Islam.
Katanya, di atas berkat doa anak-anak dan rakan-rakan Muslimnya, hari ini beliau telah menjadi seorang Islam.

Nurul Hidayah yang juga merupakan seorang chef makanan barat berhasrat untuk belajar dan mendalami Islam bersama anaknya Shazrin di Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan.

Di akhir majlis pengislaman, Sulaiman Ding menyampaikan kit pengislaman dan al-Quran Edisi Khas Saudara Baharu kepada Shazrin dan Nurul Hidayah.


Ibu menemani anaknya, Shazrin ke Ibu Pejabat PERKIM untuk menunaikan hasratnya memeluk Islam.


Sulaiman Ding memberi penerangan mengenai panduan pengislaman, Rukun Iman dan Rukun Islam kepada Shazrin.


Shazrin dan ibunya mendengar penerangan yang disampaikan.


Shazrin melafazkan dua kalimah syahadah dalam Bahasa Arab diikuti dalam Bahasa Inggeris di hadapan Sulaiman Ding.


Shazrin melengkapkan butir-butir diri di dalam borang pengislaman MAIS.


Usai pengislaman, Sulaiman Ding menyerahkan senaskah al-Quran kepada Shazrin.


Ibu Shazrin menyatakan hasratnya untuk memeluk Islam kerana telah diberi hidayah oleh Allah SWT.


Sulaiman Ding menyampaikan senaskah al-Quran Edisi Khas Saudara Baharu kepada ibu Shazrin, Nurul Hidayah Kerashnan.


Shazrin memakaikan tudung kepada ibunya lantas memeluk selepas selesai upacara pengislaman.

Related Articles

Back to top button