Aktiviti Dakwah

SUA PERKIM Sampaikan Anugerah Pelajar, Aktiviti Cemerlang Kelas PERKIM 2022

oleh : SRZ

KUALA LUMPUR, 8 OGOS 2023 – Bagi menghargai kejayaan dan kecemerlangan kepada pelajar mualaf, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan menganjurkan Majlis Anugerah Pelajar dan Aktiviti Cemerlang Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK) 2022.

Majlis yang dihadiri lebih 80 terdiri daripada pelajar saudara baharu KPIPK itu diadakan di Dewan Al-Ilm, Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL), Jalan Sultan Azlan Shah pagi tadi.

Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan serta disusuli dengan bacaan doa disampaikan oleh Penolong Pegawai Dakwah IDIP-KL, Abdul Qawi Navine Abdullah.

Majlis diserikan lagi dengan amanat Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.


Dr Yusof Noor dalam ucapannya mengambil kesempatan mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh pelajar kerana mengikuti kelas anjuran PERKIM Kebangsaan iaitu KPIPK.

“Saya difahamkan bahawa, kelas-kelas yang membimbing saudara baharu ini banyak dan mungkin ada sebahagian pelajar di sini juga menghadiri kelas yang sama di tempat lain,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada mereka telah meraih keputusan cemerlang di dalam ujian, kuiz atau peperiksaan KPIPK bagi tahun lalu.

Tambahnya, bagi pelajar yang masih belum memahami Islam, kita perlu meneliti kerana setiap yang hadir ke kelas PERKIM ada keunikannya di mana mereka mempunyai pengetahuan dan bahasa yang berbeza.

Islam bukan sahaja untuk orang yang belum faham tetapi Islam adalah untuk membimbing mereka walaupun mereka mempunyai pelajaran yang tinggi tetapi mereka ingin mendapatkan petunjuk daripada Allah SWT.

“Di hadapan saya ini, mungkin ada orang yang telah mempunyai pengetahuan yang banyak tentang Islam, tetapi belum ditakdirkan untuk bersama dengan kita sebagai seorang saudara seIslam.

“Sekiranya di antara kita mempunyai pengetahuan yang tinggi, maka kita akan bertukar-tukar fikiran bagaimana kita hendak mendekati insan yang ingin mencari Islam sama ada mereka intelektual atau yang dianggap sebagai belum mempunyai pengetahuan yang banyak,” jelas Dr Yusof Noor.

PERKIM akan berusaha serta merancang melalui Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin untuk kategorikan perbezaan di antara pelajar yang intelektual dan belum agar kandungan kursus disesuaikan untuk mereka.

Menurut beliau, tradisi agama Islam dan ulama’-ulama’ juga telah menjelaskan bahawa guru yang mengajar Islam mesti menyedari bahawa di hadapan mereka mungkin ada yang lebih pandai daripada guru tersebut.

“Kita mesti mengandaikan bahawa di hadapan kita mesti ada orang yang lebih pandai, cuma kita memberi pandangan dan membimbing kerana hidayah dan taufik ini adalah pemberian Allah SWT,” ulasnya.

Kata Dr Yusof Noor, PERKIM Kebangsaan sedang mengorak langkah untuk memenuhi keperluan jika mereka sudah mempunyai pengetahuan tinggi dan profesional maka ada kurikulum berlainan kepada golongan itu.

“Terdapat ramai juga profesor yang memeluk Islam dan salah seorang kenalan saya yang memperkenalkan dirinya sebagai seorang profesor di universiti tempatan dan mereka memeluk Islam serta menyertai PERKIM untuk bertukar-tukar fikiran demi memajukan Islam.

“Islam bukan hanya untuk golongan tertentu sama ada kaya atau miskin kerana di zaman Nabi Muhammad SAW mereka yang memeluk Islam merupakan golongan yang terdiri daripada bangsawan.

“Orang pertama memeluk Islam ialah isteri Rasulullah SAW iaitu Siti Khadijah binti Khuwalid yang merupakan seorang ahli perniagaan yang terkaya.

“Disusuli dengan sahabat Nabi SAW yang juga merupakan golongan usahawan berjaya iaitu Saidina Uthman bin Affan, Saad bin Abi Waqas, Abdul Rahman bin Auf dan lain-lain,” ulasnya.

Tambah Dr Yusof Noor lagi, saudara baharu di England, Amerika dan Perancis kini makin bertambah serta majoriti daripada mereka terdiri daripada kalangan intelektual dan orang berada.

Saudara baharu yang intelektual dan kaya di Perancis pula juga bertambah sehingga terdapat gereja di sana bertukar menjadi masjid.

“PERKIM dilihat sebagai organsasi membantu saudara baharu yang kurang bernasib baik dan kita akan meneruskan semampu daya yang boleh.

Selain itu, intelektual Muslim yang baharu memeluk Islam juga mengharapkan PERKIM mengadakan kegiatan bersama mereka.

Dr Yusof Noor mengajak pelajar berterima kasih dan bersyukur kepada Allah kerana Allah SWT telah memberikan hidayah kepada kita.

Jelas beliau, setelah bergelar Muslim, kita membaca kitab suci, bersolat dan menyembah Tuhan yang sama.

Di antara kebaikan dalam Islam ini kerana kita mempunyai peluang yang baik menerusi ibadah solat.

Menurutnya lagi, bagi mereka yang sudah memeluk agama Islam, kita sama-samalah berusaha untuk menunaikan kewajipan mendirikan solat kerana ia merupakan tiang yang paling mustahak.

Jelasnya, terdapat tiga perkara keunikan dan kelebihan dalam solat iaitu berkomunikasi dengan Allah secara langung, Allah bercakap dengan kita menerusi Al-Quran yang kita bacakan serta bacaan yang kita baca itu didengari oleh orang ketiga iaitu pendengar.

Al-Quran yang kita baca itu merupakan bacaan, sebutan, huruf, versi, perkataan dan kalimah yang sama dan tidak pernah tertukar sejak zaman Nabi Muhammad SAW yang ditulis oleh para sahabat-sahabat Baginda.

Firman Allah itu diutuskan kepada Nabi Muhammad SAW melalui Malaikat Jibril AS untuk disampaikan kepada sekalian umat manusia.

Beliau sekali lagi menyampaikan ucapan tahniah kepada semua pelajar cemerlang dan berharap agar saudara baharu juga dapat menyebarkan Islam kepada mereka yang ingin memahami Islam tanpa sebarang paksaan.

Bagi mereka yang belum Islam dan ingin memahami Islam dialu-alukan mendapat bimbingan melalui KPIPK kerana ia merupakan sebahagian daripada tugas PERKIM seperti mana yang telah diamanahkan oleh Pengasas PERKIM, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Dr Yusof Noor menyeru pelajar dapat menyampaikan Islam kepada orang Islam dan bukan Islam dari semasa ke semasa melalui mulut ke mulut serta mereka diberi ganjaran pahala yang tinggi oleh Allah SWT.

Kita turut berterima kasih kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang memberikan peruntukan untuk PERKIM mengadakan KPIPK khusus kepada pelajar saudara baharu.

Dr Yusof Noor diiringi Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun dan Dato’ Razali menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang tahap Pra Asas, Asas, Pertengahan, Lanjutan dan Tahsin kepada pelajar KPIPK.

Nur Diyana Abdullah dinobatkan pelajar cemerlang tahap asas manakala pelajar cemerlang tahap pertengahan disandang oleh Nur Azlin Mendoza dan Ali Abdullah menerima anugerah pelajar cemerlang tahap lanjutan serta pelajar cemerlang tahap tahsin diraih oleh Nizar Khairunnisa.

Pelajar cemerlang tahap pra asas diterima oleh Muhammad Yusof Kalidas dan mereka masing-masing menerima sijil penghargaan, piala anugerah serta barangan elektrik.

Dr Yusof Noor turut menyampaikan anugerah aktiviti cemerlang kategori tilawah al-Quran, hafazan, laungan azan dan pengetahuan Islam kepada pelajar KPIPK.

Johan pertandingan tilawah al-Quran dimenangi oleh Normah Chew Abdullah manakala johan pertandingan membaca al-Quran pula disandang oleh Fauziah Ibrahim dan Wani Saleha pula mendapat johan bagi pertandingan pengetahuan Islam serta pertandingan laungan azan dijuarai oleh Muhammad Johnson Gantinius.

Dahlia Abdullah merangkul johan bagi pertandingan Hafazan al-Quran dan mereka masing-masing menerima sijil penghargaan, piala pertandingan serta barangan elektrik atau perkakasan dapur.

Bagi anugerah guru cemerlang pula diraih oleh Kahirunnizam Shahimi bagi tahap asas, Khadijah Monica Dingjan bagi tahap pertengahan, Muhammad Jais Mariappan Abdullah bagi tahap lanjutan dan tahap tahsin dianugerahkan kepada Nik Syariman Nik Mat manakala Khatijah Ishak bagi tahap umum.

Turut hadir ialah Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Mohamad Nordin Ibrahim; Setiausaha Kerja PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin; Pengarah Pembangunan Pendidikan dan Operasi, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad; Pengarah Unit Penerbitan dan Media Baru, Firdaus Lokman Tah serta Pegawai Hal Ehwal Islam MAIWP, Mohd Saiful Hafiz Vijia Abdullah.


Muhammad Farhan Tee Abdullah mengacarakan Majlis Anugerah Pelajar dan Aktiviti Cemerlang KPIPK 2022.


Lebih 80 terdiri daripada pelajar dan guru KPIPK hadir di majlis tersebut.


Majlis diserikan dengan ucapan Dr Yusof Noor.


Dr Yusof Noor menyampaikan ucapan tahniah kepada semua pelajar dan berharap agar mereka dapat menyebarkan Islam.


Dr Yusof Noor menyampaikan sijil penghargaan dan piala iringan kepada Nur Diyana Abdullah sebagai Pelajar Cemerlang Tahap Asas KPIPIK 2022.


Nur Azlin Mendoza selaku penerima anugerah Pelajar Cemerlang Tahap Pertengahan menerima sijil penghargaan, piala iringan dan barangan elektrik daripada kepimpinan PERKIM.


Dr Yusof Noor diringi Dato’ Razali menyampaikan hadiah anugerah Pelajar Cemerlang Tahap Lanjutan KPIPK 2022 kepada Ali Abdullah.


Mualaf Warganegara Myanmar, Nizar Khairunnisa menerima hadiah anugerah Pelajar Cemerlang Tahap Tahsin daripada kepimpinan PERKIM.


Darvindran Thevar Govindasamy (kanan) selaku pelajar belum Islam menerima Penghargaan Khas KPIPK daripada Dr Yusof Noor.


Dr Yusof Noor menyampaikan Penghargaan Khas KPIPK kepada pelajar belum Islam, Arvin Arputhan yang mendalami Islam di kelas PERKIM.


Dr Yusof Noor menyampaikan sijil penghargaan dan piala iringan kepada Muhammad Johnson Gantinius selaku johan pertandingan azan.


Dahlia Abdullah merupakan johan pertandingan hafazan al-Quran menerima sijil penghargaan daripada Tan Sri Setiausaha Agung Kehormat PERKIM.


Johan pertandingan pengetahuan Islam, Wani Saleha menerima sijil penghargaan dan piala iringan daripada Dr Yusof Noor.


Dr Yusof Noor menyampaikan sijil penghargaan, piala iringan dan barangan perkakasan dapur kepada naib johan pertandingan Tilawah al-Quran kategori Muslim asal, Darma Sari Andayani.


Dr Yusof Noor menyampaikan sebuah trofi dan sijil penghargaan kepada Kamarunnizam Shahimi selaku Guru Cemerlang Tahap Asas.


Khadijah Monica Dingjan selaku penerima Guru Cemerlang Tahap Pertengahan KPIPK 2022 menerima sebuah trofi dan sijil penghargaan daripada Dr Yusof Noor.


Dr Yusof Noor menyampaikan hadiah bagi Anugerah Guru Cemerlang Tahap Lanjutan KPIPK 2022 kepada Muhammad Jais Mariappan Abdullah.


Nik Syahriman Nik Mat selaku penerima anugerah Guru Cemerlang Tahap Tahsin KPIPK 2022 menerima hadiah daripada Dr Yusof Noor.


Dr Yusof Noor menyampaikan hadiah anugerah Guru Cemerlang Tahap Umum kepada Khatijah Ishak.


Dr Yusof Noor menyampaikan sijil penghargaan dan cenderahati kepada Mohd Saiful Hafiz Vijia, Pegawai Hal Ehwal Islam MAIWP di atas peruntukan dan sumbangan MAIWP kepada KPIPK.

Related Articles

Back to top button