Aktiviti Dakwah

Disiplin Menjamin Kejayaan – SUA PERKIM

oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 7 JUN 2024 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan menghimpunkan lebih 50 orang terdiri daripada pimpinan, pegawai dan kakitangannya bertempat di Dataran Dakwah, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini, Jumaat.

Perhimpunan Bulanan Warga PERKIM merupakan tradisi bulanan pimpinan PERKIM bertemu dengan kakitangannya pada setiap bulan bagi penyampaian amanat oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan disusuli dengan bacaan doa dipimpin oleh Pengawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan, Muhammad Jais Mariappan Abdullah.

Perhimpunan tersebut disertai oleh pegawai dan kakitangan PERKIM Kebangsaan, Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL) dan Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE).

Majlis diserikan dengan penyampaian amanat oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.


Dr Yusof Noor dalam ucapannya mengucapkan rasa syukur kehadrat Allah SWT kerana dapat dipertemukan di dalam perhimpunan pada kali ini.

Katanya, Allah menurunkan Al-Quran menerusi Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad dan seterusnya kepada manusia untuk menjadikan manusia berdisiplin dan mengajar hambanya untuk memuji kepada Tuhan Yang Maha Pencipta.

Jelasnya, di dalam Islam, disiplin itu sangat penting kerana jika tidak ada disiplin berkemungkinan manusia akan menjadi liar dan ganas seperti mana tentera rejim Israel yang membunuh umat Islam mengikut nafsu dengan tidak mengambil kira sama ada kanak-kanak atau wanita di Gaza dan Palestin.

Tambahnya, jika kita tidak berdisiplin, maka kita tidak menghayati agama Islam dan kita tidak boleh menjalankan dakwah.

Menurut Dr Yusof Noor, bulan Zulhijjah ini kita akan menyambut Hari Raya Aidil Adha di mana Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim AS menyembelih anaknya iaitu Nabi Ismail AS tanpa sebarang bantahan seperti mana yang telah diperintahkan.

Hari Raya Haji merupakan satu peristiwa yang mengajar manusia menjadi contoh dan penekanan kepada disiplin. Hal demikian menyebabkan agama Islam dicemburui oleh agama-agama lain.

Ujarnya, jika dunia ini didisiplinkan, maka tidak ada ruang untuk Iblis bermaharaja lela.

Begitu juga di PERKIM, kita tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang perlu dipatuhi serta tidak digoda oleh hawa nafsu.

Kata Dr Yusof Noor lagi, warga PERKIM yang secara tidak langsung menjadi pendakwah, tidak semesti perlu mengubah cara pakaian untuk berdakwah, tetapi pergerakan, kata-kata, pertuturan dan cara membuat anggapan mestilah sesuai dengan kehendak dakwah.

“Saya bersyukur kepada Allah SWT, sejak saya berada di PERKIM saya nampak warga PERKIM mengamalkan disiplin dan jika tidak mengamalkannya, mereka masih ada ruang untuk mendisiplinkan diri mereka.

“Saya sudah biasa mendisiplinkan diri saya sejak saya berkhidmat dengan badan kerajaan pada tahun 1968 lagi.

“Saya minta warga PERKIM untuk memajukan misi dakwah dengan penuh disiplin.

“Saya percaya ahli PERKIM yang berjumlah hampir 40,000 dapat meningkatkan disiplin sekali gus mengukuhkan disiplin diri.

“Warga PERKIM perlu menyemak semula sama ada mereka mematuhi disiplin atau mereka bertindak melakukan sesuatu mengikut nafsu atau aturan yang bermotifkan kepentingan,” katanya.

Ulasnya lagi, peluang untuk meningkatkan disiplin masih ada dan disiplin ini merupakan satu pembawaan yang berkategori sama ada disiplin kelas tinggi atau kelas rendah.

Kita perlu berdisiplin seperti mana perintah Allah SWT yang wajib kita taati atau arahan daripada ketua yang perlu kita patuhi.

Beliau mengingatkan supaya warganya tidak ambil sikap menentang, jika menentang kecuali perkara yang bermaksiat adalah diumpamakan sebagai satu penderharkaan.

Bagi mereka yang menentang disiplin, ia dianggap penderhakaan kepada pekerjaan kerana mengamalkan disiplin akan menjamin kejayaan.

Katanya, semua aktiviti PERKIM jalankan akan dinilai hasilnya, bukan mengira jumlah kegiatan tetapi jika keberhasilan sesuatu program itu gagal, maka ia perlu diperbaiki.

Beliau turut menggesa warganya supaya meningkatkan disiplin dari semasa ke semasa kerana hanya dengan disiplin menjadikan kita pendakwah yang baik dan berjaya.

Beliau sekali lagi mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha yang menjadi lambang untuk patuh kepada disiplin kerana Hari Raya Haji merupakan satu peristiwa yang membuktikan bahawa Islam adalah agama yang berdisplin.

“Organisasi yang menjalankan tugas Islam adalah organisasi yang hormat pada disiplin,” kata Dr Yusof Noor mengakhiri ucapannya.

Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Mohamad Nordin Ibrahim; Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin; Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin; Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Pengarah Pendidikan dan Pembangunan Insan, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad serta Penyelaras Unit Penerbitan dan Media Baru, Encik Firdaus Lokman Tah.


Lebih 50 warga PERKIM berhimpun di Majlis Perhimpunan Bulan Jun 2024 di Dataran Dakwah.


Farhan Tee menjadi juru acara Majlis Perhimpunan Bulanan Warga PERKIM Kebangsaan.


Warga PERKIM berdiri tegak ketika menyanyikan Lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan.


Jais Mariappan membuka majlis dengan memimpin bacaan doa.


Kepimpinan PERKIM Kebangsaan menadah tangan ketika doa dibacakan.


Warga PERKIM mengaminkan doa yang dibacakan.


Dr Yusof Noor menyampaikan amanat di perhimpunan bersama warganya.


Warga PERKIM mendengar amanat yang disampaikan oleh SUA PERKIM.


Dr Yusof Noor berkata Hari Raya Haji merupakan satu peristiwa yang mengajar manusia menjadi contoh dan penekanan kepada disiplin


Dr Yusof Noor menggesa warganya supaya meningkatkan disiplin dari semasa ke semasa agar menjadi orang berjaya.

Related Articles

Back to top button