PERKIM Rai Pasangan Pengantin Mualaf Cina, Muhammad Yan dan Nur Yi Ling
KUALA LUMPUR, 14 JUN 2024 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan menganjurkan Majlis Perkahwinan Saudara Baharu bertempat di Surau PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, petang tadi.
Majlis tersebut dihadiri seramai 150 orang terdiri daripada pelajar Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK) dan saudara baharu.
Dengan sekali lafaz, saudara baharu berbangsa Cina, Muhammad Yan, 41 telah sah menjadi suami kepada pasangan pengantin perempuan Nur Yi Ling, 25 selepas mereka diijab kabulkan oleh Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Ruju’, Ustaz Abdul Basir Mahadi dari Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga (BPPK), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Sebelum itu, Ustaz Abdul Basir telah menyampaikan khutbah nikah kepada pasangan pengantin.
Setelah selesai majlis akad nikah, Muhammad Yan turut membaca lafaz taklik dan menurunkan tanda tangannya pada surat nikah sekali gus memberikan mas kahwin sebanyak RM300 kepada isterinya, Nur Yi Ling.
Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin diiringi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Ustaz Mohd Saiful Hafiz Vijia Abdullah dan Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah turut menyampaikan sumbangan wang tunai perkahwinan MAIWP daripada sebanyak RM5,000 kepada pasangan pengantin.
Menurut Dato’ Razali, dalam soal perkahwinan ia masih boleh mengekalkan amalan budaya masing-masing kerana Islam itu adalah agama yang sempurna untuk semua bangsa di dunia ini.
“Walaupun di Malaysia budaya dominannya adalah budaya Melayu tetapi masyarakat atau bangsa lain masih boleh mengamalkan dan mengekalkan corak perkahwinan budaya masing-masing mengikut ketetapan dan syarak Islam.
“Perkara atau perkahwinan tidak semestinya perlu mengikut budaya Melayu kerana beranggapan untuk menghormati budaya itu di negara ini semata-mata,” kata Dato’ Razali.
“Dalam perkara ini, ia dapat meningkatkan imej dan martabat Islam pada pihak yang tidak jelas dengan sesuatu perkara tentang ajaran Islam itu sendiri malah memperlihatkan Islam sebagai sebuah agama bersifat sederhana dan menghormati kepelbagaian budaya dan bangsa dalam keluarga,” katanya.
Sementara itu pengarah program, Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan berkata, memeluk Islam bukan alasan untuk meninggalkan keluarga atau menyisihkan mereka kerana berlainan agama.
“Tanggapan demikian perlu dikikis dan keluarga mesti dihormati terutama kepada kedua ibu bapa yang masih mengamalkan ajaran agama dan budaya asal mereka.
“Walaupun sudah bergelar seorang Muslim, mereka perlu memupuk hubungan yang lebih baik lagi dengan adik-beradik dan keluarga,” jelasnya.
“Apabila sudah bergelar suami isteri, pasangan juga perlu menjaga persefahaman yang baik di antara satu sama lain supaya tidak timbul sebarang masalah dan persengketaan,” ujar Munirah yang juga selaku Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan.
Pasangan pengantin, Muhammad Yan dan Nur Yi Ling bersedia untuk diijab kabulkan.
Muhammad Yan bersedia dihadapan Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Ruju’, Ustaz Abdul Basir Mahadi.
Pasangan pengantin mendengar khutbah nikah yang disampaikan oleh Ustaz Abdul Basir (kanan).
Pasangan pengantin bersama saksi mendengar khutbah nikah yang disampaikan.
Dengan sekali lafaz akad nikah, Muhammad Yan telah bergelar suami kepada Nur Yi Ling.
Muhammad Yan dan Nur Yi Ling menadah tangan ketika doa kesyukuran nikah dibacakan.
Antara saudara baharu dan rakan-rakan yang hadir bagi memeriahkan majlis perkahwinan.
Muhammad Yan dibantu Muhammad Jais (kanan) membaca lafaz taklik.
Gembira…Muhammad Yan menyerahkan mas kahwin kepada isterinya, Nur Yi Ling.
Dato’ Razali (dua dari kanan) menyampaikan wang perkahwinan sumbangan daripada MAIWP sebanyak RM5,000 kepada pasangan pengantin.
Pasangan pengantin menerima wang sumbangan PERKIM Kebangsaan daripada Dato’ Razali sambil disaksikan oleh Pegawai Hal Ehwal Islam MAIWP, Ustaz Mohd Hafiz Vijia Abdullah (kanan).
Muhammad Yan dan Nur Yi Ling telah sah bergelar suami isteri.
Muhammad Yan mengambil lauk makanan untuk isterinya ketika sesi makan beradab.