Tun Dr Mahathir Sampaikan Ucapan Amanat Khas Terakhir Selaku Yang Dipertua PERKIM
ᵒˡᵉʰ: ˢᴿᶻ
BANGI, 10 MEI 2025 – “Inilah ucapan terakhir saya dan saya menyeru ahli-ahli agar kekal bersatu dan berpegang teguh pada prinsip persaudaraan Islam,” kata YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad dalam nada yang menyentuh hati.

Tun Dr Mahathir berkata ketika menyampaikan ucapan amanat khas buat kali terakhir sebagai Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dalam Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-64 yang berlangsung di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), pada pagi Sabtu.
Mesyuarat tersebut dihadiri seramai lebih 300 delegasi-delegasi mesyuarat terdiri daripada perwakilan, pemerhati PERKIM bahagian negeri-negeri seluruh Malaysia, Badan Gabungan PERKIM dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Sarawak.
Mesyuarat membuka tirainya dengan nyanyian lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan disusuli dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran disampaikan oleh YB Dato’ Kapt (B) Haji Mohd Najmuddin Elias.
Turut hadir ialah Naib Yang Dipertua PERKIM, YB Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim, YBhg Tuan Haji Muhammad Fitri Abdullah, YBhg Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah dan YBhg Prof Dr Haji Ramle Abdullah; Ketua Wanita PERKIM Kebangsaan, YTM Tunku Puan Sri Dato’ Hajah Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Tun Dr Mahathir dalam amanatnya mengajak seluruh warga PERKIM untuk menilai keberkesanan perjuangan dan pencapaian PERKIM sepanjang lebih enam dekad kewujudannya.
Katanya, meskipun PERKIM berjaya bertahan selama 65 tahun, pencapaian itu perlu diteliti dari segi makna sebenar kewujudan dan kesan terhadap kumpulan sasar.
“Apakah objektif asal PERKIM telah dilaksanakan dan adakah ia memberi manfaat kepada golongan sasaran? Jika belum, kita perlu perbaiki segera,” tegas beliau.
Tun Dr Mahathir turut menyuarakan kebimbangannya terhadap salah faham berterusan tentang Islam, baik di kalangan umat Islam mahupun bukan Islam.
Beliau menegaskan bahawa Islam bukan hanya untuk akhirat, malah menuntut kejayaan di dunia.
“Islam menolak keganasan. Ucapan ‘Assalamualaikum’ itu sendiri membawa maksud keamanan,” katanya, sambil menyeru agar PERKIM memainkan peranan lebih besar dalam menjernihkan persepsi terhadap Islam, termasuk melalui bantuan kemanusiaan seperti untuk rakyat Palestin.
Beliau turut menyentuh pentingnya umat Islam menguasai ilmu dan mempraktikkan fardhu kifayah agar tidak terus ketinggalan berbanding masyarakat lain.
Beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan dan ahli PERKIM atas komitmen dalam melaksanakan dakwah dan kebajikan.
“Perpaduan adalah senjata terkuat kita. Semoga usaha kita mendapat keberkatan daripada Allah SWT,” kata Tun Dr Mahathir mengakhiri ucapannya dengan penuh harapan.

Sebelum itu, Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor dalam ucapan aluannya menzahirkan penghargaan terhadap kehadiran para delegasi yang memenuhi syarat kuorum iaitu sebanyak 194 orang terdiri daripada 49 Ahli Majlis Kebangsaan, 113 perwakilan dan 32 pemerhati sekaligus membolehkan persidangan dijalankan secara sah.
Beliau turut mengalu-alukan kehadiran perwakilan dari badan gabungan PERKIM termasuk Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) sambil menyatakan rasa syukur atas wujudnya suasana harmoni dan persaudaraan yang menjadi kekuatan organisasi sejak era Pengasas PERKIM, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Beliau menyifatkan mesyuarat kali ini sebagai istimewa kerana memperlihatkan penyerahan kepimpinan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Yang Dipertua baharu, satu peralihan bersejarah yang berlangsung dalam suasana penuh kasih sayang dan muafakat.
Dr Yusof Noor menyeru ahli-ahli PERKIM untuk terus mengekalkan semangat bersatu padu dan bekerjasama dengan pimpinan baharu demi kelangsungan dakwah dan kebajikan yang menjadi teras pertubuhan.
Beliau juga mengumumkan bahawa Tun Dr. Mahathir selepas ini akan berperanan sebagai Penasihat Khas PERKIM dan beliau menerima banyak permintaan daripada ahli-ahli PERKIM untuk mengadakan satu sesi khas bertemu Tun sebagai tanda penghargaan.
Akhir sekali, beliau merakamkan penghargaan kepada semua perwakilan atas kerjasama, adab dan semangat persaudaraan yang ditunjukkan sepanjang tempoh kepimpinan lalu.
Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-64 kemudiannya bersidang membincangkan beberapa agenda utama, usul-usul dan lain-lain hal.
Dr Yusof Noor membentangkan Minit Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-63 seperti yang terkandung di dalam buku minit untuk kelulusan daripada ahli mesyuarat.
Beliau turut meminta delegasi-delegasi mengesahkan sekaligus menerima Laporan Tahunan PERKIM Kebangsaan, PERKIM Bahagian-bahagian, Wanita PERKIM Kebangsaan dan Majlis Belia PERKIM.
Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun turut membentangkan Akaun Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2024 serta Anggaran Pendapatan dan Perbelanjaan bagi tahun 2026 diterima sekaligus diluluskan oleh ahli-ahli mesyuarat.
Seusai pembentangan, perwakilan PERKIM negeri-negeri, Wanita PERKIM dan Majlis Belia PERKIM menyampaikan ucapan penangguhan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Sarawak, YB Dato’ Hajah Hanifah Hajar Taib serta Yang Dipertua Persatuan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Haji Sapawi Haji Ahmad.

Ketibaan Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad disambut delegasi AGM.

Tun Yang Dipertua bersalaman bersama delegasi AGM PERKIM yang diadakan di ILIM.

Tun Yang Dipertua bersama barisan Ahli Majlis Kebangsaan berdiri tegak ketika menyanyikan lagu Negaraku.

Ahli Majlis Kebangsaan menyanyikan lagu Negaraku dengan penuh semangat dan patriotik.

Para perwakilan turut bersama menyanyikan lagu PERKIM Pacu Kemajuan.

Muhammad Farhan Tee selaku juruacara memulakan majlis.

Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Perak, YB Dato’ Kapt (B) Haji Mohd Najmuddin Elias menyampaikan bacaan ayat-ayat suci al-Quran al-Karim.

Naib Pengerusi Tetap, Tuan Haji Abd. Ghafar Mamat memulakan sidang mesyuarat agung.

Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor menyampaikan ucapan aluannya di mesyuarat tersebut.

Dr Yusof Noor menzahirkan penghargaan terhadap kehadiran para delegasi yang memenuhi syarat kuorum iaitu sebanyak 194 orang.

Tun Dr Mahathir menyampaikan ucapan dasar buat kali terakhir sebagai Yang Dipertua.

Beliau mengajak seluruh warga PERKIM untuk menilai keberkesanan perjuangan dan pencapaian PERKIM sepanjang lebih enam dekad kewujudannya.

Tun Dr Mahathir menegaskan bahawa Islam bukan hanya untuk akhirat, malah menuntut kejayaan di dunia.

Perwakilan PERKIM Negeri Sembilan mendengar ucapan Tun Yang Dipertua.

Perwakilan PERKIM Wilayah Persekutuan berpakaian seragam ketika hadir mesyuarat.

Tekun…Perwakilan PERKIM Negeri Johor mendengar ucapan yang disampaikan oleh Tun Yang Dipertua.

Tun Dr Mahathir merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan dan ahli PERKIM atas komitmen dalam melaksanakan dakwah dan kebajikan.

Tun Dr Mahathir menyeru agar PERKIM memainkan peranan lebih besar dalam menjernihkan persepsi terhadap Islam, termasuk melalui bantuan kemanusiaan seperti untuk rakyat Palestin.

Dr Yusof Noor membentangkan Minit AGM PERKIM yang lalu untuk mendapat kelulusan ahli-ahli.

Perwakilan PERKIM Negeri Selangor mendengar pembentangan yang disampaikan.

Antara perwakilan negeri yang menyokong supaya minit diluluskan.

Perwakilan menunjukkan isyarat bagus terhadap laporan yang dibentangkan.

Dr Yusof Noor meminta delegasi-delegasi mengesahkan sekaligus menerima Laporan Tahunan PERKIM Kebangsaan.

Dato’ Bendahari Kehormat turut membentangkan Akaun Bagi Tahun Berakhir 31 Disember tahun lalu.

Ahli-ahli mesyuarat mendengar pembentangan demi pembentangan yang disampaikan.



