Aidiladha Satukan Hati PERKIM Bersama Anak-Anak As-Siddiqin
ᵒˡᵉʰ: ˢᴿᶻ
𝐂𝐇𝐈𝐀𝐍𝐆 𝐑𝐀𝐈, 𝟖 𝐉𝐔𝐍 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Program Jaulah Dakwah dan Korban 2025 anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan meneruskan pelaksanaan ibadah korban melibatkan enam ekor lembu dan sembilan ekor kambing untuk diagihkan kepada masyarakat Islam bertempat di Madrasah Yayasan As-Siddiqin, Mae Pao, Phaya Mengrai dekat sini.

Menurut 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗮𝗿𝗮𝗵 𝗞𝗮𝗻𝗮𝗻 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗬𝗕𝗵𝗴. 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗥𝗮𝘇𝗮𝗹𝗶 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗦𝗵𝗮𝗵𝗮𝗯𝘂𝗱𝗶𝗻, Aidiladha merupakan simbolik ketaatan kepada Allah SWT, seperti mana yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s. yang sanggup mengorbankan anaknya, Nabi Ismail a.s. demi mematuhi perintah Allah SWT.
Tambah beliau, kehadiran mereka bersama 130 anak-anak Yayasan As-Siddiqin yang terdiri daripada anak-anak yatim, saudara baharu dan golongan kurang bernasib baik membuktikan bahawa ibadah korban bukan hanya bersifat ritual tetapi satu bentuk kasih sayang dan solidariti yang harus dilaksanakan di mana-mana sahaja umat Islam berada.
Setelah melaksanakan proses sembelihan haiwan korban, anak-anak As-Siddiqin bersama ahli keluarga dan masyarakat kampung bekerjasama melapah lembu dan kambing korban secara bergotong-royong.
Suasana majlis yang diserikan dengan Hari Terbuka Aidiladha nyata mengundang sebak apabila ahli keluarga dari pelbagai daerah termasuk dari negara jiran Laos datang bertemu anak-anak mereka setelah hampir setahun berpisah.
Dato’ Razali berkongsi bahawa ada antara ibu bapa yang bukan Islam menitiskan air mata melihat perubahan positif anak-anak mereka yang kini berakhlak mulia dan soleh.
Ada juga ahli keluarga yang terharu sehingga mula terbuka hati terhadap Islam.
Pada pagi semalam, seramai 18 ahli keluarga melafazkan dua kalimah syahadah, dipimpin oleh Pengasas Bersama Yayasan As-Siddiqin, Ustaz Yusuf Wanngoh.
Pelukan erat, ciuman penuh kasih dan linangan air mata mengiringi pertemuan dan perpisahan mereka.
Pada sebelah petang, rombongan PERKIM diberi peluang menziarahi Perkampungan Kabilah Muser.
Jarak perjalanan ke perkampungan tersebut memakan masa selama 15 minit dengan melalui jalan Kampung Mie Pao, Kabilah Mong serta mendaki kebun tanaman manga, mata kucing dan pisang menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
Rombongan PERKIM menyantuni penduduk kabilah Muser dengan bertanya khabar dan memberikan makanan ringan kepada anak-anak kampung.
Penduduk kampung berasa gembira setelah rombongan kami berkunjung dan bertemu sambil bergambar kenang-kenangan dengan mereka.
Pada sebelah malam pula, anak-anak As-Siddiqin menyampaikan persembahan nasyid dan hafazan al-Quran sambil memakai pakaian etnik suku utama tradisional Chiang Rai iaitu dari etnik Hmong, Muser, Akha, Karen, Lahu, Lisu, Yao/Mien, Palaung kepada rombongan PERKIM.
Pada majlis tersebut, Dato’ Razali turut berpesan kepada anak-anak supaya sentiasa mendoakan agar ibu bapa dan keluarga mereka diberi hidayah.
Beliau juga mendoakan agar usaha Yayasan As-Siddiqin dalam bidang dakwah, kebajikan dan pendidikan terus diberkati Allah.
“Semoga Allah SWT memberkati usaha dakwah kita dalam menyebar luaskan Islam di bumi Chiang Rai ini,” ujar beliau menutup ucapannya.
Di akhir majlis, Dato’ Razali berkesempatan menyampaikan sumbangan kepada Yayasan As-Siddiqin dan tenaga pengajar As-Siddiqin.
Turut hadir ialah Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah; Pegawai Kewangan PERKIM Kebangsaan, Mohd Aizat Rosli; Sukarelawan PERKIM, YBhg Dr Ruslan Said; Pengasas Kumpulan Jom Buat Baik, Ustaz Azatul Ridzuan Hassan; Mudir Yayasan As-Siddiqin, Ustaz Usman Che Mat serta Pengusaha Bersama Yayasan As-Siddiqin, Haji Roski Abdul Rahman.

Dato’ Razali (berkopiah) bersama urus setia bersiap sedia bergotong-royong memotong dan melapah daging korban.

Kambing dan biri-biri yang diternak dan dipelihara oleh Yayasan As-Siddiqin.

Dr Ruslan menyembelih kambing korban sambil dibantu oleh anak-anak As-Siddiqin.

Lembu yang akan dikorbankan di Yayasan As-Siddiqin.

Tuan Haji Roski menyembelih lembu korban.

Urus setia berkesempatan meluangkan masa bermain bola tampar bersama anak-anak As-Siddiqin.

Ziarah dakwah diteruskan ke Kampung Muser sejauh tiga kilometer daripada Yayasan As-Siddiqin.

Aizat menyampaikan bungkusan biskut kepada anak Kampung Muser.

Dato’ Razali berkesempatan menziarahi penduduk Kampung Muser.

Farhan Tee bertegur sapa dan menyampaikan makanan ringan kepada remaja Kampung Muser.

Rombongan PERKIM menziarahi dan bertanyakan khabar penduduk Kampung Muser sambil diterjemahkan oleh Ustaz Usman (berbaju biru).

Rombongan PERKIM berkesempatan bergambar bersama penduduk Kampung Muser.

Rombongan PERKIM turut merakamkan kenangan manis bergambar bersama anak-anak As-Siddiqin.

Rombongan PERKIM berhari raya bersama anak-anak As-Siddiqin yang terdiri daripada anak yatim, mualaf dan kurang bernasib baik.

Urus setia PERKIM bersama-sama anak-anak As-Siddiqin menunaikan solat fardu berjemaah diikuti takbir raya Aidiladha.

Dato’ Razali menyampaikan ucapannya pada pertemuan bersama anak-anak As-Siddiqin.

Anak-anak As-Siddiqin masing-masing mengenakan pakaian etnik suku utama tradisional perempuan Chiang Rai iaitu dari etnik Hmong, Muser, Akha, Karen, Lahu, Lisu, Yao/Mien, Palaung

Salah seorang anak As-Siddiqin memperdengarkan bacaan hafazan Surah Al-Qadr.

Sebahagian anak-anak As-Siddiqin berpakaian etnik suku utama tradisional Chiang Rai.

Salah seorang anak As-Siddiqin memperdengarkan bacaan hafazan Surah Ad-Dhuha kepada hadirin.

Anak-anak As-Siddiqin mempersembahkan nyanyian nasyid.

Dato’ Razali menyampaikan sumbangan daripada penyumbang kepada tenaga pengajar As-Siddiqin.

Tenaga pengajar As-Siddiqin menerima sumbangan daripada dermawan disampaikan oleh Dato’ Razali

Dato’ Razali menyampaikan sumbangan PERKIM kepada Ustaz Usman Che Mat bagi pengurusan dan perbelanjaan anak-anak Yayasan As-Siddiqin.



