PERKIM Semarak Ukhuwah Jaulah Dakwah Di Pergunungan Chiang Rai
ᵒˡᵉʰ: ˢᴿᶻ
𝐂𝐇𝐈𝐀𝐍𝐆 𝐑𝐀𝐈, 𝟗 𝐉𝐔𝐍 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan meneruskan misi kemanusiaan dan dakwahnya dengan Program Jaulah Dakwah dan Korban 2025 ke perkampungan suku kaum etnik Mong dan Muser di Ban Mong Paet Lang dan Chappa, berhampiran sempadan Thailand-Myanmar.

Sebelum itu, Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin menyerahkan bola sepak kepada anak-anak As-Siddiqin sebagai tanda gimik bermulanya aktiviti sukaneka.
Antara sukaneka yang diadakan ialah acara ‘tiup belon sampai pecah’, ‘bawa bola ping pong guna sudu’, bola sepak dan bola tampar.
Seusai aktiviti sukaneka, misi diteruskan dengan perjalanan yang mencabar sejauh 132 kilometer dari Yayasan As-Siddiqin ke Ban Mong Paet Lang melalui jalan berbukit, kampung-kampung kecil dan pergunungan.
Perjalanan itu mengambil masa selama tiga jam menggunakan tiga buah kenderaan pacuan empat roda.
Rombongan ziarah tiba rumah Aiyyo Kam, 54, yang merupakan bapa kepada Amirah Aiyyo, 14, salah seorang anak jagaan Yayasan As-Siddiqin.
Dalam suasana sederhana di rumah berdinding kayu dan beratapkan daun rumbia, beliau menyambut baik kedatangan tetamu, meskipun dalam serba kekurangan.
Aiyyo menyara hidup dengan mengutip hasil hutan serta bercucuk tanam.
Menurut Aiyyo, penduduk kampung Ban Mong Paet Lang terdiri daripada etnik Mong yang terkenal dengan budaya, bahasa dan amalan animisme.
Mudir Yayasan As-Siddiqin, Ustaz Usman Che Mat yang mahir berkomunikasi dalam bahasa Thailand menyampaikan dakwah kepada keluarga Aiyyo dan masyarakat setempat mengenai asas Islam, konsep Iman dan Ihsan serta kaedah sembelihan korban yang sah menurut syariat.
Seekor lembu yang dihadiahkan PERKIM kepada keluarga tersebut telah disampaikan bayarannya oleh Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah kepada Ketua Kampung Ban Mong Paet Lang, Sera Yut.
Lembu disembelih oleh Ustaz Usman manakala ahli rombongan dan penduduk kampung memotong, melapah daging lembu segar itu secara bergotong-royong sekali gus dimasak serta dinikmati bersama.
Suasana ini, secara tidak langsung dapat membina hubungan erat antara masyarakat setempat dan rombongan sekali gus merentas perbezaan agama dan budaya.
Program diteruskan ke Kampung Chappa di Thoet Thai Mae Fa Luang, sejam perjalanan dari Ban Mong Paet Lang.
Di sini, 15 anak-anak Yayasan As-Siddiqin berpeluang bertemu semula dengan keluarga mereka.
Kampung ini didiami suku kaum Muser yang kaya dengan tradisi unik dan berpegang kepada kehidupan komuniti berasaskan pertanian dan hasil hutan.
Suku Muser (atau “Musser”) adalah salah satu etnik yang tinggal di kawasan pergunungan utara Thailand, terutamanya di wilayah Chiang Rai dan sekitarnya.
Mereka adalah sebahagian daripada kumpulan etnik yang dikenali sebagai “Lahu” dalam konteks yang lebih luas namun mereka mempunyai identiti dan tradisi yang unik.
Solat jamak qasar ditunaikan dan rombongan dijamu dengan nasi bukit, sup sayur dan daging goreng.
PERKIM turut mengagihkan lebih 30 pek makanan serta daging korban kepada penduduk Chappa dan makanan ringan kepada kanak-kanak.
Selepas mengagihkan pek makanan, Ustaz Usman Che Mat turut menyampaikan dakwah kepada penduduk kampung supaya dapat membantu meningkatkan toleransi dan pemahaman antara masyarakat Muslim dan non-Muslim sekali gus memupuk keharmonian dalam perbezaan agama.
Jelas Ustaz Usman lagi, dalam memperkenalkan Islam sebagai agama yang damai, dakwah membetulkan tanggapan negatif dan memberi peluang kepada non-Muslim untuk memahami ajaran Islam dengan lebih mendalam.
Turut bersama dalam misi dakwah ialah Pegawai Kewangan PERKIM Kebangsaan, Mohd Aizat Rosli; Pengasas Kumpulan Jom Buat Baik, Ustaz Azatul Ridzuan Hassan; Guru Maahad Civilize Pittiya, Ustaz Hassan Ahmad serta sukarelawan Mohammad Nor Che Din.

Urus setia program mengadakan taklimat sambil bersarapan pagi.

Penyerahan sebiji bola sepak kepada anak-anak As-Siddiqin oleh Dato’ Razali tanda bermulanya acara sukaneka.

Anak-anak As-Siddiqin mengambil tempat masing-masing sebelum acara sukaneka dimulakan.

Membawa bola ping pong menggunakan sudu merupakan acara sukaneka kategori kanak-kanak.

Meniup belon hingga pecah merupakan acara sukaneka kategori remaja.

Urus setia menyampaikan bungkusan berisi makanan ringan kepada anak-anak As-Siddiqin.

Rombongan PERKIM menuju ke kawasan Ban Mong Paet Lang yang mengambil masa selama tiga jam perjalanan dari Yayasan As-Siddiqin.

Rombongan tiba di rumah Aiyyo di kawasan pergunungan Ban Mong Paet Lang

Aiyyo (kanan) menyambut baik kedatangan tetamu, meskipun dalam serba kekurangan.

Ustaz Usman Che Mat (berbaju merah) berkongsi mengenai Islam kepada keluarga Aiyyo dan masyarakat setempat dalam Bahasa Thailand.

Farhan Tee (berpakaian hitam) menyerahkan bayaran lembu hadiah kepada Ketua Kampung Ban Mong Paet Lang, Sera-Yut.

Sebahagian anak-anak As-Siddiqin dan urus setia bergambar kenangan bersama masyarakat Kampung Ban Mong Paet Lang.

Ustaz Usman menyembelih lembu hadiah untuk diagihkan dagingnya kepada penduduk kampung.

Daging lembu yang disembelih kemudiannya dipotong secara kecil-kecil untuk dimasak.

Penduduk kampung turut serta memotong daging lembu yang telah disembelih.

Ustaz Usman berkongsi kelebihan sembelihan haiwan menurut syariat Islam.

Urus setia mengagihkan menu daging goreng istimewa kepada penduduk kampung.

Urus setia bersama anak-anak As-Siddiqin menunaikan solat jamak qasar setibanya mereka di Kampung Chappa.

Urus setia bersama anak-anak As-Siddiqin menikmati juadah makanan sup sayur bersama daging korban.

Urus setia menyampaikan bungkusan makanan kepada anak-anak Kampung Chappa.

Urus setia mengagihkan daging hadiah kepada penduduk Kampung Chappa yang merupakan suku kaum Muser.

Urus setia mengagihkan bungkusan makanan kepada anak-anak penduduk Kampung Chappa Utara.

Ustaz Usman berkongsi bersama penduduk kampung mengenai keindahan Islam yang dianuti oleh anak-anak mereka yang belajar di Yayasan As-Siddiqin.

Anak-anak As-Siddiqin berpeluang bertemu bersama ahli keluarga mereka yang sekian lama tidak berjumpa.



