Aktiviti Kebajikan

PERKIM, RISEAP Santuni Penduduk Pedalaman Mae Pao, Chiang Rai Melalui Jaulah Korban dan Dakwah

ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ

𝗖𝗛𝗜𝗔𝗡𝗚 𝗥𝗔𝗜, 𝟮𝟴 𝗠𝗘𝗜 𝟮𝟬𝟮𝟲 – Program Jaulah, Dakwah dan Korban 2026 anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dengan kerjasama Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) serta kumpulan Facebook Jom Buat Baik terus memperkukuhkan usaha dakwah rentas sempadan apabila berjaya menyantuni masyarakat pedalaman di Mae Pao, Phaya Mengrai dekat sini.

Program yang berlangsung pada Hari Raya Aidiladha yang disambut dengan suasana yang meriah di Madrasah Yayasan As-Siddiqin pada jam 10.30 selepas menunaikan solat sunat Aidiladha diikuti dengan sarapan pagi bersama ana-anak Madrasah Yayasan As-Siddiqin dan umat Islam serta sebahagian penduduk kampung.


𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗙𝗮𝗿𝗵𝗮𝗻 𝗧𝗲𝗲 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 berkata, program tersebut bukan sahaja bertujuan menghidupkan syiar Aidiladha, malah menjadi medan mendekati masyarakat melalui pendekatan kebajikan dan dakwah.

“Alhamdulillah, kami dimaklumkan bahawa pada pagi ini pihak Madrasah As-Siddiqin akan melaksanakan ibadah korban melibatkan kira-kira 20 ekor lembu.

“Daripada jumlah tersebut, 17 ekor merupakan lembu korban manakala tiga lagi adalah lembu hadiah yang akan disumbangkan kepada penduduk kampung bukan beragama Islam supaya mereka juga dapat merasai nikmat sambutan Aidiladha,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurut beliau, program tersebut turut melibatkan tenaga pengajar, para pelajar madrasah, penduduk kampung, sukarelawan serta pihak penganjur yang bersama-sama bergotong-royong menjayakan ibadah korban.

Katanya, pendekatan menyantuni masyarakat tanpa mengira agama merupakan antara usaha penting dalam memperkenalkan keindahan Islam kepada masyarakat setempat.

“Lembu hadiah itu akan diberikan kepada keluarga bukan Islam di kampung-kampung sekitar kawasan ini sebagai tanda persahabatan dan kasih sayang sesama masyarakat,” ujarnya.

Turut hadir menyertai program berkenaan ialah 𝗦𝗲𝘁𝗶𝗮𝘂𝘀𝗮𝗵𝗮 𝗔𝗴𝘂𝗻𝗴 𝗞𝗲𝗵𝗼𝗿𝗺𝗮𝘁 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 merangkap 𝗦𝗲𝘁𝗶𝗮𝘂𝘀𝗮𝗵𝗮 𝗔𝗴𝘂𝗻𝗴 𝗥𝗜𝗦𝗘𝗔𝗣, 𝗬𝗕𝗵𝗴. 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗗𝗿. 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱 𝗠𝗮𝗿𝘇𝘂𝗸𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱 𝗢𝗺𝗮𝗿 yang disambut oleh Pengasas Bersama Yayasan As-Siddiqin, Tuan Haji Abdullah Othman selepas ketibannya di madrasah tersebut.

Dalam sesi ramah mesra bersama peserta program, Dato’ Marzuki menzahirkan rasa bangga kerana dapat bersama-sama menjayakan program dakwah dan kebajikan di utara Thailand itu.


“Saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam di Chiang Rai. Saya berasa bangga kerana mewakili PERKIM dan RISEAP untuk bersama-sama masyarakat di sini menjayakan sambutan Raya Korban.

“Inilah salah satu cara kita mendekati masyarakat di kawasan pedalaman melalui program kebajikan dan kemasyarakatan,” katanya.

Beliau berkata, program sedemikian telah diadakan sebanyak empat kali di Madrasah Yayasan As-Siddiqin dan kunjungannya kali ini merupakan lawatan kedua ke kawasan berkenaan.

Menurut beliau, pendekatan dakwah melalui ibadah korban dan ziarah kampung terbukti mampu merapatkan hubungan antara masyarakat Islam dan bukan Islam.

“Insya-Allah selepas ini kita akan masuk ke kampung-kampung untuk menyampaikan sedikit bantuan makanan dan mendekati masyarakat secara lebih dekat.

“Kita mendekati mereka secara peribadi, secara fizikal dan penuh hikmah. Mudah-mudahan usaha ini membuka ruang kepada masyarakat mengenali Islam dengan lebih dekat,” katanya.

Beliau turut berharap usaha dakwah dan kebajikan yang dilaksanakan secara berterusan mampu menarik lebih ramai masyarakat setempat untuk mendalami Islam pada masa hadapan.

Dalam program tersebut, Dato’ Marzuki turut menyaksikan proses penyembelihan lembu hadiah tajaan PERKIM dan RISEAP sebelum menyerahkan sumbangan berkenaan kepada 50 penduduk kampung bukan beragama Islam.

Hadir sama Eksekutif Kewangan PERKIM Kebangsaan, Mohd Aizat Rosli serta staf RISEAP iaitu Ahmad Azahari Mohd Sharif, Nur Fatihah Shedi dan Ameen Soleh.

Sementara itu, Dato’ Marzuki turut mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Penghulu Daerah Kecil Phaya Mengrai bagi menziarahi Ketua Mukim Mae Pao, Preecha Laksanakhan.

Dalam pertemuan tersebut, rombongan membawa daging hadiah hasil ibadah korban yang dilaksanakan pada pagi tadi sebagai tanda persahabatan dan hubungan baik antara komuniti pelbagai agama.

Menurut Preecha kini beliau bertanggungjawab menjaga kira-kira 20 kampung melibatkan hampir 200 rumah di bawah mukim berkenaan dan telah berkhidmat lebih 30 tahun sebagai ketua kampung sebelum dilantik sebagai ketua mukim.

Suasana ziarah berlangsung dalam penuh harmoni apabila masyarakat Islam dan bukan Islam saling membantu serta bekerjasama sepanjang sambutan Aidiladha.

Malah, masyarakat bukan Islam turut membantu urusan program korban manakala masyarakat Islam pula mengambil peluang menyampaikan hadiah dan bantuan kepada keluarga beragama Buddha di kawasan tersebut.

Menariknya, isteri Precha dikatakan merupakan antara pengeksport utama buah-buahan seperti mangga, mata kucing dan laici ke luar negara.

Turut menyertai ziarah tersebut ialah wakil Young Muslim Association of Thailand (YMAT) iaitu Ruslan Abdullah Saising, Hamas Budkek dan Kindey Osman.

Dalam perkembangan sama, Dato’ Marzuki turut menyampaikan 50 pek barangan makanan serta 50 pek goodies kepada kanak-kanak di Kampung Mae Nam Phon, Ban Sakae yang terletak kira-kira lima kilometer dari Yayasan As-Siddiqin.

Kampung tersebut majoritinya dihuni masyarakat daripada suku kaum Muser dan kehadiran rombongan PERKIM serta RISEAP nyata menggembirakan penduduk setempat, khususnya kanak-kanak yang teruja menerima sumbangan.

Pada sebelah petang pula, program diteruskan ke Kilang Pemprosesan Lembu dan Kerbau San Saard, Mukim Mai Ya, Daerah Phaya Mengrai bagi melaksanakan penyembelihan penyertaan korban melibatkan sebanyak 10 ekor lembu korban.

Turut bersama dalam program tersebut ialah Pengasas Kumpulan Jom Buat Baik, Ustaz Azatul Ridzuan Hassan serta Mudir Madrasah Yayasan As-Siddiqin, Ustaz Usman Che Mat.

Kesemua urus setia berganding bahu membantu urusan penyembelihan, melapah dan pengagihan daging korban dalam suasana penuh semangat gotong-royong dan ukhuwah Islamiah.

Ke semua daging dan tulang lembu tersebut kemudiannya di bawa pulang ke Madrasah As-Siddiqin sebagai stok makanan kepada 130 anak-anak Madrasah As-Siddiqin.

Program Korban 2026 itu dilihat berjaya menjadi platform memperkukuhkan ukhuwah, menyebarkan nilai kemanusiaan sejagat serta memperkenalkan wajah Islam yang penuh rahmah kepada masyarakat pelbagai agama di pedalaman Chiang Rai.


Ketibaan Dato’ Marzuki selaku Setiausaha Agung Kehormat PERKIM merangkap Setiausaha Agung RISEAP disambut mesra penduduk kampung di Madrasah Yayasan As-Siddiqin.

 


Dato’ Marzuki bersama rombongan RISEAP menikmati juadah sambil disambut mesra oleh pihak Madrasah Yayasan As-Siddiqin.

 


Urus setia Jaulah Dakwah dan Korban bersiap sedia menumbangkan lembu korban dan lembu hadiah.

 


Menurut Dato’ Marzuki, banyak perubahan dan penaik tarafan di Madrasah Yayasan As-Siddiqin ketika kunjungan kali keduanya di sini.

 


Penduduk kampung dan waris keluarga bersama anak-anak kecil Madrasah Yayasan As-Siddiqin mengikrarkan dua kalimah syahadah.

 


Ustaz Yusuf Wanngoh menterjemahkan maksud dua kalimah syahadah sambil diikuti oleh penduduk kampung dan waris keluarga.

 


Dato’ Marzuki menyembelih lembu hadiah RISEAP sempena Aidiladha.

 


Lembu hadiah PERKIM dan lembu korban turut disembelih di Madrasah Yayasan As-Siddiqin.

 

 


Urus setia PERKIM, RISEAP dan YMAT menikmati hidangan makan tengah hari yang disediakan.

 


Penduduk Islam kampung melapah dan memotong daging lembu korban.

 


Dato’ Marzuki mengagihkan daging lembu hadiah kepada penduduk kampung yang bukan Islam.

 


Dato’ Marzuki mengagihkan daging hadiah kepada ibu bapa yang tidak Islam.


Waris dan ibu bapa kepada anak-anak Madrasah Yayasan As-Siddiqin yang tidak Islam menerima pek makanan dan daging hadiah daripada Dato’ Marzuki.


Penduduk kampung, waris keluarga yang tidak Islam berkesempatan bergambar bersama-sama selepas mendapat bungkusan daging lembu hadiah dan pek makanan daripada Dato’ Marzuki.


Dato’ Marzuki bersama urus setia RISEAP dan PERKIM mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Penghulu Daerah Kecil Phaya Mengrai bagi menziarahi Ketua Mukim Mae Pao.

 


Dato’ Marzuki menghulurkan salam kepada Preecha Laksanakhan ketika mengadakan kunjungan hormat ke rumahnya.

 


Dato’ Marzuki diiringi urus setia PERKIM, RISEAP dan YMAT menyampaikan daging lembu hadiah kepada Preecha Laksanakhan.

 


Dato’ Marzuki bersama urus setia menziarahi penduduk Kampung Mae Nam Phon, Ban Sakae yang terletak kira-kira lima kilometer dari Yayasan As-Siddiqin.

 


Penduduk kampung entik Muser menerima pek makanan daripada Dato’ Marzuki.

 


Warga emas yang diziarahi menerima pek makanan daripada Dato’ Setiausaha Agung Kehormat PERKIM.

 


Young Muslim Association of Thailand (YMAT) iaitu Ruslan Abdullah Saising, Hamas Budkek dan Kindey Osman turut menyampaikan goodies bag kepada kanak-kanak kampung.

 


Dato’ Marzuki menunjukkan tanda hormat selepas menyampaikan bungkusan pek makanan kepada keluarga yang baru menerima cahaya mata.

 


Ustaz Farhan Tee turut tidak melepaskan peluang untuk menyampaikan pek makanan kepada penduduk kampung kabilah Muser.

 


Dato’ Marzuki bersama urus setia PERKIM, RISEAP dan YMAT merakamkan gambar kenang-kenangan di hadapan Madrasah As-Siddiqin di akhir program.

Related Articles

Back to top button