Aktiviti Dakwah

Lebih 250 Umat Islam Semarakkan Aidiladha Di Madrasah Yayasan As-Siddiqin Bersama PERKIM

ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ

𝗖𝗛𝗜𝗔𝗡𝗚 𝗥𝗔𝗜, 𝟮𝟴 𝗠𝗘𝗜 𝟮𝟬𝟮𝟲 – Suasana penuh syahdu, kesyukuran dan kegembiraan mewarnai sambutan Hari Raya Aidiladha anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan bersama anak-anak Madrasah Yayasan As-Siddiqin di Mae Pao, Phaya Mengrai dekat sini baru-baru ini.

Seawal pagi lagi, lebih 250 umat Islam berhimpun di perkarangan Madrasah Yayasan As-Siddiqin bagi menunaikan solat sunat Aidiladha sebelum bersama-sama menyaksikan pelaksanaan ibadah korban serta mengikuti program jaulah dakwah yang dianjurkan sempena hari kebesaran Islam itu.

Program berkenaan dianjurkan bersama Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) serta Kumpulan FB Jom Buat Baik.


𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗙𝗮𝗿𝗵𝗮𝗻 𝗧𝗲𝗲 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 berkata, sambutan yang diterima pada tahun ini amat menggalakkan apabila masyarakat Islam dari pelbagai latar belakang hadir memeriahkan program tersebut.

Menurut beliau, kehadiran lebih 250 orang itu terdiri daripada anak-anak yatim, golongan mualaf, ibu bapa, masyarakat kampung, warga penoreh getah dari selatan Thailand termasuk Pattani, Satun, Songkhla dan Narathiwat, selain jemaah tabligh, sukarelawan serta para penyumbang yang datang dari pelbagai tempat.

“Program seperti ini bukan sahaja menghidupkan syiar Islam, malah menjadi medan mengukuhkan ukhuwah sesama umat Islam serta menyantuni masyarakat pedalaman dan golongan yang memerlukan.

“Semangat pengorbanan yang dibawa melalui Aidiladha perlu diterjemahkan dalam bentuk kebersamaan, kasih sayang dan pengorbanan demi agama,” katanya.

Solat sunat Aidiladha bermula pada jam 8.30 pagi dan dipimpin oleh tenaga pengajar Yayasan As-Siddiqin, Ustaz Mukmin Abdullah.

Kehadiran para jemaah yang memenuhi kawasan madrasah sambil bertakbir raya jelas memperlihatkan keterujaan masyarakat Islam setempat untuk bersama-sama meraikan Aidiladha dalam suasana sederhana tetapi penuh bermakna.

Selesai menunaikan solat sunat Aidiladha, Mudir Yayasan As-Siddiqin, Ustaz Usman Che Mat turut berkesempatan menyampaikan duit raya kepada anak-anak madrasah yang berasal dari kawasan pergunungan Chiang Rai melibatkan etnik Akka, Mong, Muser dan beberapa etnik lain.

Wajah ceria dan senyuman anak-anak madrasah jelas menggambarkan kegembiraan mereka menerima sumbangan serta dapat meraikan Aidiladha bersama masyarakat Islam lain.

Sementara itu, Pengasas Bersama Yayasan As-Siddiqin, Ustaz Yusuf Wanngoh telah menyampaikan khutbah Aidiladha bertajuk “Ibrah Pengorbanan Nabi Ibrahim” yang menyentuh soal keikhlasan, pengorbanan dan kepatuhan mutlak kepada Allah SWT.

Dalam khutbahnya, beliau mengupas bagaimana pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS menjadi simbol ketaatan tertinggi seorang hamba terhadap perintah Allah SWT.

Beliau turut menjelaskan bahawa sebelum kedatangan Islam, masyarakat Jahiliah di Makkah melakukan pelbagai bentuk ibadah yang bercampur dengan amalan syirik dan tidak berlandaskan wahyu.

Menurutnya, Rasulullah SAW hadir membawa pembaharuan dengan mengajar umat manusia tatacara ibadah yang sebenar berpandukan syariat dan tauhid yang murni.

“Rasulullah SAW mengajar umat supaya berhenti daripada melakukan ibadah mengikut hawa nafsu dan adat semata-mata sehingga datang panduan yang benar daripada Allah SWT.

“Islam mendidik manusia supaya setiap ibadah dilakukan dengan ilmu, keikhlasan dan kepatuhan penuh kepada syariat,” kata Ustaz Yusuf.

Beliau turut mengingatkan para hadirin agar menghayati makna sebenar pengorbanan dalam kehidupan sebagai seorang Muslim.

“Kita perlu bertanya pada diri sendiri, apakah yang telah kita korbankan demi agama? Masa, tenaga, harta bahkan rasa selesa semuanya akan ditanya kelak,” tegasnya.

Ucapan penuh penghayatan itu ternyata menyentuh hati para hadirin apabila sebahagian mereka dilihat tunduk dalam penuh khusyuk dan khuduk, malah ada yang menitiskan air mata kerana menginsafi makna pengorbanan sebenar dalam kehidupan.

Program tersebut turut dihadiri Pengusaha Bersama Yayasan As-Siddiqin, Haji Roski Abdul Rahman; Pengasas Kumpulan FB Jom Buat Baik, Ustaz Azatul Ridzuan Hassan serta Eksekutif Kewangan PERKIM Kebangsaan, Mohd Aizat Rosli.

Penganjuran program berkenaan dilihat berjaya menyemarakkan sambutan Aidiladha dalam kalangan masyarakat Islam pedalaman di Chiang Rai selain memperkukuhkan usaha dakwah dan kebajikan rentas sempadan yang digerakkan oleh PERKIM Kebangsaan bersama rakan strategiknya.

 


Papan tanda Madrasah Yayasan As-Siddiqin yang baharu berada di dalam madrasah bersempena Aidiladha.

 


Anak-anak membawa berpuluh-puluh sejadah untuk dibentangkan di dataran Madrasah Yayasan As-Siddiqin.

 


Aizat Rosli bersama anak-anak As-Siddiqin membentang sejadah bagi persiapan solat sunat Aidiladha di dataran madrasah.

 


Penduduk Islam dari kampung berhampiran dan dari Pattani, Songkhla, Chiang Mai, Narathiwath berhimpun untuk menunaikan solat sunat Aidiladha di madrasah tersebut.

 


Mudir Madrasah Yayasan As-Siddiqin, Ustaz Ausman Che Din menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak madrasah dan kanak-kanak kampung yang hadir.


Umat Islam bersama-sama bertakbir raya bagi mengagungkan kebesaran Allah SWT di pagi 10 Zulhijjah.

 


Anak-anak Madrasah Yayasan As-Siddiqin turut bersama bertakbir beramai-ramai.


Guru Madrasah Yayasan As-Siddiqin, Ustaz Mukmin Abdullah memimpin solat Hari Raya Aidiladha.


Solat sunat Hari Raya Aidiladha dimulakan dengan tujuh takbir pada rakaat pertama manakala lima takbir pada rakaat kedua.

 


Lebih 250 jemaah menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha di dataran Madrasah Yayasan As-Siddiqin.

 


Pengasas Bersama Yayasan As-Siddiqin, Ustaz Yusuf Wanngoh telah menyampaikan khutbah Aidiladha bertajuk “Ibrah Pengorbanan Nabi Ibrahim”.

 


Ustaz Yusuf mengingatkan para jemaah agar menghayati makna sebenar pengorbanan dalam kehidupan sebagai seorang Muslim.

 


Anak-anak Madrasah Yayasan As-Siddiqin bersama penduduk kampung mendengar khutbah yang disampaikan.

 


Umat Islam bersalam-salaman dan bermaaf-maafan seusai khutbah Hari Raya Aidiladha di Madrasah Yayasan As-Siddiqin.

 


Warganegara Malaysia terdiri daripada PERKIM Kebangsaan, Kumpulan Jom Buat Baik dan jemaah Tabligh bergambar bersama kain rentang yang menjayakan program Jaulah Dakwah dan Korban Chiang Rai 2026.

Related Articles

Back to top button