Aktiviti Kebajikan

Dialog Harmoni Perkukuh Jalinan Masyarakat Siam dan Melayu Di Kampung Behor Gelam

𝙤𝒍𝙚𝒉: 𝙈𝑶𝙃𝑫. 𝙎𝒀𝘼𝑯𝙍𝑰𝙇 𝙍𝑶𝙎𝑫𝙄 𝘼𝑯𝙈𝑨𝘿 𝙕𝑨𝙃𝑼𝘿𝑰

𝗔𝗥𝗔𝗨, 𝟮𝟳 𝗦𝗘𝗣𝗧𝗘𝗠𝗕𝗘𝗥 𝟮𝟬𝟮𝟲 — Perbezaan agama, budaya dan bangsa bukan penghalang untuk masyarakat hidup dalam suasana aman dan saling menghormati, sebaliknya menjadi kekuatan yang memperkayakan keharmonian komuniti majmuk di negara ini.

Mesej itu terserlah menerusi Dialog Harmoni Program Mahabbah Komuniti Masyarakat Majmuk Siam Kampung Behor Gelam anjuran bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), yang berlangsung di perkarangan Dewan Serbaguna Kampung Behor Gelam, di sini, pada petang Ahad.

Program dengan kerjasama PERKIM Bahagian Negeri Perlis itu menjadi kemuncak rangkaian pengisian Program Mahabbah yang menghimpunkan masyarakat Siam dan Melayu menerusi aktiviti gotong-royong, sukaneka, ziarah mahabbah serta dialog sebagai wadah memperkukuh persefahaman dan hubungan kejiranan.

Dialog Harmoni berkenaan dimoderatorkan 𝗧𝗶𝗺𝗯𝗮𝗹𝗮𝗻 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗴𝗶𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗣𝗲𝗿𝗹𝗶𝘀, 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗺𝘂𝗯𝗲𝗲𝗻 𝗬𝗮𝗻𝘆𝗮, bersama ahli panel, 𝗗𝗮𝗿𝗮 𝗧𝗶𝗺, 𝗦𝗲𝘁𝗶𝗮𝘂𝘀𝗮𝗵𝗮 𝗝𝗮𝘄𝗮𝘁𝗮𝗻𝗸𝘂𝗮𝘀𝗮 𝗣𝗲𝗺𝗯𝗮𝗻𝗴𝘂𝗻𝗮𝗻 𝗱𝗮𝗻 𝗞𝗲𝘀𝗲𝗹𝗮𝗺𝗮𝘁𝗮𝗻 𝗞𝗮𝗺𝗽𝘂𝗻𝗴 𝗣𝗲𝗿𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝘂𝗮𝗻 (𝗝𝗣𝗞𝗞𝗣), dengan tajuk ‘𝑲𝒆𝒉𝒂𝒓𝒎𝒐𝒏𝒊𝒂𝒏, 𝑲𝒆𝒉𝒊𝒅𝒖𝒑𝒂𝒏 𝒅𝒂𝒍𝒂𝒎 𝑴𝒂𝒔𝒚𝒂𝒓𝒂𝒌𝒂𝒕’.

Antara perkara yang dibincangkan ialah bentuk aktiviti yang boleh dilaksanakan secara bersama bagi mendekati golongan muda masyarakat Siam, Melayu serta komuniti lain tanpa mengira latar belakang agama, budaya dan bangsa.

Dalam dialog itu, aktiviti sukan dikenal pasti antara medium paling berkesan untuk menghimpunkan masyarakat, termasuk bola sepak, sepak takraw dan memancing.

Perbincangan turut menyentuh kepentingan mewujudkan lebih banyak aktiviti bersama yang bersifat inklusif supaya golongan muda dapat berinteraksi, mengenali antara satu sama lain dan membina persahabatan dalam suasana santai.


Dara turut berkongsi pengalaman kehidupan bermasyarakat di Perlis yang memperlihatkan semangat saling membantu antara komuniti berbeza, khususnya ketika berdepan musibah seperti banjir dan bencana lain.

Menurutnya, ketika berdepan keadaan sedemikian, perbezaan agama dan bangsa tidak menjadi batas kerana masyarakat akan tampil bersama-sama membantu mereka yang memerlukan.

Beliau turut menekankan bahawa usaha memelihara keharmonian perlu bermula daripada institusi keluarga kerana ibu bapa merupakan pendidik pertama kepada anak-anak.

Katanya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam membimbing anak-anak mengenai cara bergaul dalam masyarakat, menghormati perbezaan serta memahami perkara yang wajar dan tidak wajar ketika hidup bersama dalam komuniti berbilang agama dan budaya.

Kesimpulan dialog itu memperlihatkan bahawa keharmonian Kampung Behor Gelam dibina atas asas saling menghormati, membantu, mengambil berat serta keterbukaan untuk hidup bersama secara aman, sekali gus memastikan hubungan silaturahim antara masyarakat Siam, Melayu dan seluruh penduduk kampung terus diperkukuhkan.

Sementara itu, dalam ucapan alu-aluan mewakili Pengerusi JPKKP, Chuntian Eam, Dara menzahirkan penghargaan kepada PERKIM Kebangsaan, MAIWP dan PERKIM Bahagian Negeri Perlis kerana menganjurkan program yang memberi ruang kepada masyarakat daripada pelbagai latar belakang untuk berinteraksi secara lebih dekat.

Beliau berkata pengisian seperti gotong-royong, sukaneka, ziarah ke rumah penduduk dan Dialog Harmoni berjaya mewujudkan suasana mesra serta mengeratkan tali persaudaraan dalam kalangan masyarakat setempat.


𝗣𝗲𝗻𝘆𝗲𝗹𝗮𝗿𝗮𝘀 𝗣𝗿𝗼𝗴𝗿𝗮𝗺, 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗝𝗮𝗶𝘀 𝗠𝗮𝗿𝗶𝗮𝗽𝗽𝗮𝗻 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵, ketika berucap mewakili 𝗦𝗲𝘁𝗶𝗮𝘂𝘀𝗮𝗵𝗮 𝗔𝗴𝘂𝗻𝗴 𝗞𝗲𝗵𝗼𝗿𝗺𝗮𝘁 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠, 𝗬𝗕𝗵𝗴. 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗗𝗿. 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱 𝗠𝗮𝗿𝘇𝘂𝗸𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱 𝗢𝗺𝗮𝗿, berkata program berkenaan dilaksanakan hasil sokongan dana daripada MAIWP kepada PERKIM untuk dibawa ke Kampung Behor Gelam sebagai wadah membina ukhuwah dan menyelami kehidupan masyarakat setempat.

Beliau menyifatkan sambutan penduduk kampung terhadap rombongan PERKIM sebagai amat menggalakkan dan menyentuh hati, khususnya menerusi penglibatan bersama dalam aktiviti gotong-royong sejak hari pertama program.

Katanya, masyarakat kampung tanpa mengira kaum dan agama turun bersama-sama membersihkan kawasan serta menguruskan sampah yang terkumpul, selain membersihkan dewan secara bergotong-royong.

“Walaupun kami ini daripada bangsa dan agama yang berbeza, apabila sampai di sini, seperti yang disebut oleh Puan Dara, agama dan kaum diketepikan. Kita hidup atas dasar kemanusiaan sebagai seorang insan, saling membantu dan menolong tanpa mengira kaum serta bangsa,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap penduduk kampung yang bukan sahaja menyertai aktiviti program, malah membantu rombongan PERKIM dalam urusan ziarah dari rumah ke rumah.

Menurutnya, keramahan penduduk Kampung Behor Gelam membuatkan rombongan berasa seolah-olah diterima sebagai sebahagian daripada keluarga walaupun baru pertama kali berkunjung ke kawasan berkenaan.

Jais berkata pengalaman tersebut membuktikan bahawa hubungan antara masyarakat dapat dibina melalui pertemuan, komunikasi dan kesediaan untuk saling mengenali.

Beliau berharap hubungan yang terjalin menerusi Program Mahabbah itu tidak terhenti setakat program berkenaan, sebaliknya dapat diteruskan melalui pelbagai aktiviti pada masa akan datang.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada PERKIM Bahagian Negeri Perlis, khususnya barisan pengurusan, pegawai, kakitangan dan sukarelawan yang bekerja keras memastikan kelancaran program.


Sementara itu, 𝗦𝗲𝘁𝗶𝗮𝘂𝘀𝗮𝗵𝗮 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗴𝗶𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗣𝗲𝗿𝗹𝗶𝘀, 𝗧𝘂𝗮𝗻 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗦𝗵𝘂𝗸𝗼𝗿 𝗦𝗵𝗮𝗺𝘀𝘂𝗱𝗱𝗶𝗻 ketika berucap pada majlis perasmian penutup berkata pihaknya berterima kasih kepada PERKIM Kebangsaan kerana memilih Perlis sebagai lokasi program mahabbah berkenaan.

Beliau yang berucap mewakili 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗲𝗿𝘂𝘀𝗶 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗴𝗶𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗣𝗲𝗿𝗹𝗶𝘀, 𝗬𝗕𝗵𝗴. 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗞𝗵𝗮𝗶𝗿𝗶 𝗛𝗮𝘀𝗮𝗻 berkata pemilihan Kampung Behor Gelam dibuat selepas pihaknya berbincang dengan beberapa komuniti dan wakil tempatan bagi mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk program tersebut.

Menurutnya, pada peringkat awal terdapat kebimbangan sama ada masyarakat setempat dapat menerima kehadiran rombongan PERKIM, namun kebimbangan itu ternyata tidak berasas apabila penduduk memberikan sambutan amat positif.

Katanya, masyarakat Malaysia sememangnya telah lama hidup dalam suasana masyarakat majmuk yang terdiri daripada Melayu, Siam, India, Cina dan pelbagai kelompok lain.

“Walaupun kita tahu seseorang itu beragama Islam, orang Thai, Cina atau daripada bangsa lain, kita tetap saling menghormati. Kita boleh duduk minum di kedai yang sama, bergaul dan menjalani kehidupan sebagai masyarakat yang aman,” katanya.

Beliau menyifatkan kepelbagaian masyarakat Malaysia sebagai suatu keunikan yang perlu dipelihara, ibarat sebuah pokok yang menghasilkan pelbagai jenis buah dengan rasa yang berbeza tetapi tetap tumbuh pada pokok yang sama.

Haji Shukor berkata sambutan penduduk terhadap aktiviti gotong-royong, sukaneka dan ziarah amat memberangsangkan, malah penduduk sendiri menawarkan diri membantu menyediakan peserta serta kemudahan yang diperlukan.

Beliau berharap hubungan yang terjalin dapat diteruskan melalui program susulan yang lebih banyak memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Dalam pada itu, beliau menyampaikan salam daripada Naib Yang Dipertua PERKIM, YB Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim yang tidak dapat hadir bagi merasmikan program kerana mempunyai urusan penting di Kuala Lumpur, manakala Dato’ Haji Khairi Hasan turut tidak dapat hadir atas faktor kesihatan.

Haji Shukor berkata semangat kerjasama yang ditunjukkan penduduk, termasuk penglibatan ibu bapa dan kanak-kanak dalam sukaneka, menjadi bukti bahawa aktiviti kemasyarakatan mampu merapatkan hubungan tanpa mengira latar belakang.

Beliau turut berkongsi pengalaman ketika berkhidmat dalam bidang kebajikan masyarakat di Perlis yang menyaksikan bantuan disalurkan kepada masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama, termasuk ketika berdepan bencana alam, kebakaran, masalah kesihatan, keperluan pendidikan serta golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Jais Mariappan turut menyampaikan plak penghargaan PERKIM sebagai cenderamata kepada Haji Shukor, Dara Tim dan Mohd Dali Jusoh.

Seusai Dialog Harmoni, majlis perasmian penutup yang dikendalikan oleh Fatin Akmal Aksah diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang sukaneka.

Sukaneka kategori kanak-kanak menyaksikan peserta mengambil bahagian dalam acara membawa bola pingpong menggunakan sudu, kerusi berirama dan ikat kaki secara berpasangan.

Bagi kategori wanita pula, antara acara yang dipertandingkan ialah memasukkan benang ke dalam jarum, kerusi berirama, koyak kertas paling panjang, boling kelapa dan mengasingkan kekacang.

Kategori lelaki pula menyaksikan persaingan dalam acara kerusi berirama, boling kelapa dan mengasingkan kekacang.

Keseluruhan acara berlangsung dalam suasana ceria apabila penduduk daripada pelbagai peringkat umur berganding bahu dan memberikan sokongan kepada peserta.

Program kemudiannya diakhiri dengan sesi fotografi bersama penduduk Kampung Behor Gelam sebelum para peserta menikmati sajian mi goreng dan minum petang.

Turut hadir 𝗕𝗲𝗻𝗱𝗮𝗵𝗮𝗿𝗶 𝗞𝗲𝗵𝗼𝗿𝗺𝗮𝘁 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗴𝗶𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗣𝗲𝗿𝗹𝗶𝘀, 𝗧𝘂𝗮𝗻 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗔𝗿𝘀𝗵𝗮𝗱 𝗗𝗮𝘂𝗱, 𝗱𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗲𝗿𝘂𝘀𝗶 𝗔𝗵𝗹𝗶 𝗠𝗮𝗷𝗹𝗶𝘀 𝗣𝗲𝗻𝗴𝘂𝗿𝘂𝘀𝗮𝗻 𝗞𝗼𝗺𝘂𝗻𝗶𝘁𝗶 𝗞𝗮𝗺𝗽𝘂𝗻𝗴 𝗣𝗲𝗿𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝘂𝗮𝗻 (𝗠𝗣𝗞𝗞𝗣) 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗣𝗲𝗿𝗹𝗶𝘀, 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗗𝗮𝗹𝗶 𝗝𝘂𝘀𝗼𝗵.

𝗣𝗿𝗼𝗴𝗿𝗮𝗺 𝘁𝘂𝗿𝘂𝘁 𝗱𝗶𝗴𝗲𝗿𝗮𝗸𝗸𝗮𝗻 𝗯𝗮𝗿𝗶𝘀𝗮𝗻 𝘂𝗿𝘂𝘀 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮 𝘁𝗲𝗿𝗱𝗶𝗿𝗶 𝗱𝗮𝗿𝗶𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗛𝗮𝘀𝗵𝗶𝗺𝗮𝗵 𝗛𝗮𝘀𝗵𝗶𝗺, 𝗔𝘇𝘂𝗿𝗮 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗥𝗮𝗵𝗺𝗮𝗻, 𝗙𝗮𝘁𝗶𝗻 𝗔𝗸𝗺𝗮𝗹 𝗔𝗸𝘀𝗮𝗵, 𝗔𝗶𝗻 𝗡𝗮𝘀𝘇𝘂𝗿𝗶𝗲𝗻 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗞𝗮𝗺𝗮𝗹 dan 𝗡𝗮𝘇𝗿𝗶 𝗢𝘀𝗺𝗮𝗻 bersama Ahli Jawatankuasa PERKIM Perlis serta sukarelawan.

Program Mahabbah Komuniti Masyarakat Majmuk Siam Kampung Behor Gelam yang berlangsung selama tiga hari itu akhirnya memperlihatkan bahawa keharmonian bukan sekadar slogan, sebaliknya dapat diterjemahkan melalui tindakan daripada gotong-royong membersihkan kawasan bersama, berkunjung ke rumah jiran, berkongsi kegembiraan dalam sukaneka hinggalah duduk semeja dalam dialog.

Dalam masyarakat yang berbeza agama, budaya dan bangsa, semangat hormat-menghormati, saling membantu dan mengambil berat menjadi jambatan yang menghubungkan setiap insan, sekali gus memperkukuh kehidupan bersama dalam sebuah komuniti yang aman dan bersatu padu.

 


Dialog Harmoni dimoderatorkan 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗺𝘂𝗯𝗲𝗲𝗻 𝗬𝗮𝗻𝘆𝗮, bersama ahli panel, 𝗗𝗮𝗿𝗮 𝗧𝗶𝗺 dengan tajuk ‘𝑲𝒆𝒉𝒂𝒓𝒎𝒐𝒏𝒊𝒂𝒏, 𝑲𝒆𝒉𝒊𝒅𝒖𝒑𝒂𝒏 𝒅𝒂𝒍𝒂𝒎 𝑴𝒂𝒔𝒚𝒂𝒓𝒂𝒌𝒂𝒕’.

 


Antara penduduk Kampung Behor Gelam yang hadir untuk mendengar dialog harmoni.

 


Dialog tersebut membincangkan perkara untuk mendekati golongan muda masyarakat Siam, Melayu serta komuniti lain tanpa mengira latar belakang agama, budaya dan bangsa.

 


Dara turut berkongsi pengalaman kehidupan bermasyarakat di Perlis yang memperlihatkan semangat saling membantu khususnya ketika berdepan musibah seperti banjir dan bencana lain.

 


Dialog tersebut turut memberi penekanan kepada ibu bapa dalam membimbing anak-anak mengenai cara bergaul dalam masyarakat serta menghormati dalam komuniti berbilang agama dan budaya.

 


Keharmonian Kampung Behor Gelam dibina atas asas saling menghormati, membantu, mengambil berat serta keterbukaan untuk hidup bersama secara aman.

 


Fatin Akmal mengacara majlis penutup Program Mahabbah Komuniti Masyarakat Majmuk Siam Kampung Behor Gelam.

 


Jais Mariappan dalam ucapannya mewakili Setiausaha Agung Kehormat PERKIM menyifatkan sambutan penduduk kampung terhadap rombongan PERKIM sebagai amat menggalakkan dan menyentuh hati, khususnya menerusi penglibatan bersama sejak hari pertama.

 


Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih terhadap penduduk kampung yang membantu dalam urusan ziarah dari rumah ke rumah.

 


Haji Abdul Shukor menyifatkan kepelbagaian masyarakat Malaysia sebagai suatu keunikan yang perlu dipelihara.

 


Haji Shukor berkata semangat kerjasama yang ditunjukkan penduduk, termasuk penglibatan ibu bapa dan kanak-kanak dalam sukaneka, menjadi bukti bahawa aktiviti kemasyarakatan mampu merapatkan hubungan tanpa mengira latar belakang.

 


Jais Mariappan menyampaikan plak penghargaan PERKIM kepada Haji Abdul Shukor.

 


Dara menerima plak cenderamata PERKIM daripada Jais Mariappan.

 


Jais Mariappan menyampaikan plak cenderamata PERKIM kepada Pengerusi Ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) Negeri Perlis, Mohd Dali Jusoh.

 


Sukarelawan kampung Aisyah Abdullah turut menerima plak cenderamata PERKIM daripada penyelaras program, Jais Mariappan.

 


Kanak-kanak kampung memenangi hadiah sukaneka acara ‘bawa bola pingpong guna sudu’.

 


Haji Abdul Shukor menyampaikan hadiah kepada kanak-kanak selaku pemenang sukaneka ‘kerusi berirama’.

 


Pemenang acara ‘kerusi berirama’ menerima hadiah daripada Haji Abdul Shukor.

 


Pemenang boling kelapa menerima hadiah daripada Haji Abdul Shukor.

 


Haji Abdul Shukor menyampaikan hadiah kepada pemenang ‘masukkan benang dalam jarum’.

 

 


Pemenang ‘boling kelapa’ menerima hadiah daripada Haji Abdul Shukor.

 


Haji Shukor menyampaikan hadiah kepada pemenang acara ‘kerusi berirama’.

 


PERKIM Kebangsaan dan PERKIM Perlis bergambar kenang-kenangan bersama penduduk Kampung Behor Gelam di akhir program.

 


Urus setia dari PERKIM Kebangsaan dan PERKIM Perlis bersama sukarelawan merakamkan kenangan manis sambil menunjukkan isyarat gaya bebas kepada lensa kamera.

 


Penduduk kampung terpilih menurunkan tanda tangan ketika menerima sagu hati tajaan MAIWP.

 


Urus setia menikmati hidangan jamuan petang selepas berakhirnya program.

 


Tatawud menerima sagu hati tajaan MAIWP daripada pihak urus setia.

Related Articles

Back to top button