PERKIM-MAIWP Santuni Penghuni Rumah Sejahtera Kaki Bukit
𝙤𝙡𝙚𝙝: 𝙈𝙊𝙃𝘿. 𝙎𝙔𝘼𝙃𝙍𝙄𝙇 𝙍𝙊𝙎𝘿𝙄 𝘼𝙃𝙈𝘼𝘿 𝙕𝘼𝙃𝙐𝘿𝙄
𝗞𝗔𝗞𝗜 𝗕𝗨𝗞𝗜𝗧, 𝟮𝟱 𝗦𝗘𝗣𝗧𝗘𝗠𝗕𝗘𝗥 𝟮𝟬𝟮𝟲– Keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan terus diterjemahkan menerusi Program Lawatan Ziarah Kebajikan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) ke Pusat Jagaan Rumah Sejahtera Kaki Bukit, berhampiran sempadan Malaysia-Thailand, pada pagi Jumaat.
Program anjuran bersama PERKIM Kebangsaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) serta kerjasama PERKIM Bahagian Negeri Perlis berkenaan bukan sekadar menyampaikan sumbangan berbentuk barangan keperluan, malah menjadi wadah memperkukuh hubungan silaturahim, menyemarakkan nilai kemanusiaan serta mendekati kehidupan penghuni pusat jagaan berkenaan secara lebih dekat.
Kunjungan itu turut memperlihatkan komitmen PERKIM dalam memperluas jaringan kebajikan dan menyantuni masyarakat tanpa mengira latar belakang, selaras dengan usaha membudayakan amalan saling membantu dan mengambil berat antara satu sama lain.
𝗣𝗲𝗻𝗮𝘂𝗻𝗴 𝗣𝘂𝘀𝗮𝘁 𝗝𝗮𝗴𝗮𝗮𝗻 𝗥𝘂𝗺𝗮𝗵 𝗦𝗲𝗷𝗮𝗵𝘁𝗲𝗿𝗮 𝗞𝗮𝗸𝗶 𝗕𝘂𝗸𝗶𝘁, 𝗗𝗮𝘁𝗶𝗻 𝗢𝗻𝗴 𝗞𝗶𝗺 𝗟𝗲𝗻𝗴 dan 𝗦𝗲𝘁𝗶𝗮𝘂𝘀𝗮𝗵𝗮 𝗣𝘂𝘀𝗮𝘁 𝗝𝗮𝗴𝗮𝗮𝗻 𝗥𝘂𝗺𝗮𝗵 𝗦𝗲𝗷𝗮𝗵𝘁𝗲𝗿𝗮 𝗞𝗮𝗸𝗶 𝗕𝘂𝗸𝗶𝘁, 𝗖𝗶𝗸𝗴𝘂 𝗖𝗵𝘂𝗻𝗴 𝗛𝗲𝗼𝗻𝗴 𝗠𝗶𝗻𝗴 bersama 25 warga emas mengalu-alukan kehadiran rombongan PERKIM di pusat berkenaan.
Hadir sama, 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗲𝗿𝘂𝘀𝗶 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗴𝗶𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗣𝗲𝗿𝗹𝗶𝘀, 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗞𝗵𝗮𝗶𝗿𝗶 𝗛𝗮𝘀𝗮𝗻; 𝗕𝗲𝗻𝗱𝗮𝗵𝗮𝗿𝗶 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗴𝗶𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗣𝗲𝗿𝗹𝗶𝘀, 𝗧𝘂𝗮𝗻 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗔𝗿𝘀𝗵𝗮𝗱 𝗗𝗮𝘂𝗱 dan 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗶𝗴𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗣𝗲𝗿𝗹𝗶𝘀, 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗺𝘂𝗯𝗲𝗲𝗻 𝗬𝗮𝗻𝘆𝗮.

𝗔𝗵𝗹𝗶 𝗝𝗮𝘄𝗮𝘁𝗮𝗻𝗸𝘂𝗮𝘀𝗮 𝗣𝘂𝘀𝗮𝘁 𝗝𝗮𝗴𝗮𝗮𝗻 𝗥𝘂𝗺𝗮𝗵 𝗦𝗲𝗷𝗮𝗵𝘁𝗲𝗿𝗮 𝗞𝗮𝗸𝗶 𝗕𝘂𝗸𝗶𝘁, 𝗧𝗮𝗻 𝗟𝗲𝗼𝗸 𝗣𝘂𝗶 ketika menyampaikan ucapan alu-aluan, menzahirkan penghargaan kepada PERKIM Kebangsaan dan MAIWP serta PERKIM Perlis atas kesudian berkunjung serta memberikan perhatian kepada penghuni pusat jagaan berkenaan.
Beliau berkata, kunjungan tersebut bukan sahaja mencerminkan keprihatinan terhadap keperluan penghuni, malah memberikan gambaran lebih dekat mengenai kehidupan, kebajikan dan keperluan mereka.
Katanya, jalinan kerjasama dan hubungan yang terjalin menerusi kunjungan itu diharapkan dapat terus diperkukuh serta dikekalkan pada masa akan datang.

Sementara itu, 𝗣𝗲𝗻𝘆𝗲𝗹𝗮𝗿𝗮𝘀 𝗣𝗿𝗼𝗴𝗿𝗮𝗺, 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗝𝗮𝗶𝘀 𝗠𝗮𝗿𝗶𝗮𝗽𝗽𝗮𝗻 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 berkata kunjungan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha PERKIM menyampaikan amanah sumbangan kepada rumah-rumah kebajikan hasil sokongan MAIWP.
Beliau berkata, sumbangan yang disampaikan pada program itu mungkin tidak besar dari segi nilai material, namun membawa makna yang jauh lebih besar sebagai tanda ingatan, kasih sayang dan keprihatinan sesama insan.
“Bagi kami, perkara utama bukanlah melihat kepada besar atau kecilnya jumlah sumbangan, tetapi kesempatan untuk bersama-sama mendekati mereka yang memerlukan, melihat keadaan mereka dan memahami kehidupan yang dilalui.
“Nilai sebenar ziarah ini ialah kemanusiaan. Kita membantu antara satu sama lain dan mudah-mudahan apabila tiba waktunya, Allah SWT akan memberikan bantuan serta kemudahan kepada kita pula,” katanya.
Jais Mariappan turut merakamkan penghargaan kepada MAIWP yang menyalurkan dana bagi membolehkan sumbangan kebajikan disampaikan kepada rumah-rumah kebajikan terpilih.
Beliau berkata, PERKIM akan terus berusaha memperkenalkan serta mengetengahkan pusat-pusat kebajikan yang memerlukan perhatian masyarakat supaya lebih ramai pihak berpeluang tampil menghulurkan bantuan.
Menurutnya, usaha memperkenalkan pusat jagaan seperti pusat tersebut kepada masyarakat secara lebih meluas berpotensi membuka ruang kepada lebih banyak bentuk sokongan, termasuk daripada individu, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak swasta.
“Apabila masyarakat mengetahui kewujudan pusat seperti ini dan melihat sendiri usaha yang dilakukan, mudah-mudahan akan lebih ramai tampil membantu. Kita mahu semangat kebajikan ini berkembang dan menjadi inspirasi kepada pihak lain,” katanya.
Dalam pada itu, Jais Mariappan turut menyampaikan penghargaan kepada pengurusan Pusat Jagaan Rumah Sejahtera Kaki Bukit yang disifatkannya sebagai sebuah pusat yang berada dalam keadaan baik serta memberikan perhatian terhadap kebajikan para penghuninya.
Program berkenaan turut diserikan dengan penyampaian kit makanan sumbangan MAIWP kepada 25 penghuni pusat jagaan disampaikan bersama oleh Dato’ Khairi dan Datin Ong Kim.
Sumbangan kit makanan tersebut mengandungi barangan keperluan seperti bijirin oat, susu Omega, biskut dan tuala.
Sumbangan berkenaan disampaikan sebagai tanda keprihatinan dan kasih sayang kepada penghuni pusat jagaan, selain menjadi simbol sokongan berterusan terhadap usaha pihak pengurusan menyediakan kebajikan serta penjagaan kepada mereka.
Turut berlangsung ialah penyampaian plak cenderamata PERKIM sebagai tanda penghargaan disampaikan oleh Dato’ Khairi kepada Datin Ong Kim atas kesudian menerima kunjungan rombongan manakala Datin Ong Kim menyampaikan plak penghargaan balas kepada Dato’ Ong Kim.
Turut menyertai rombongan urus setia PERKIM ialah 𝗛𝗮𝘀𝗵𝗶𝗺𝗮𝗵 𝗛𝗮𝘀𝗵𝗶𝗺, 𝗔𝘇𝘂𝗿𝗮 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗥𝗮𝗵𝗺𝗮𝗻, 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗺𝘂𝗯𝗲𝗲𝗻 𝗬𝗮𝗻𝘆𝗮, 𝗙𝗮𝘁𝗶𝗻 𝗔𝗸𝗺𝗮𝗹 𝗔𝗸𝘀𝗮𝗵 dan 𝗡𝗮𝘀𝘇𝗿𝗶 𝗢𝘀𝗺𝗮𝗻.
Rombongan PERKIM turut dibawa ke Galeri Pusat Jagaan Rumah Sejahtera yang memaparkan potret dan lukisan warga emas serta diberi peluang untuk melawat hostel bagi beramah mesra dan menyantuni warga emas.
Program tersebut mencerminkan usaha berterusan PERKIM Kebangsaan bersama rakan strategiknya untuk memperkasa agenda kebajikan menerusi pendekatan ziarah, santunan dan bantuan secara langsung kepada golongan yang memerlukan.
Lebih daripada sekadar menyampaikan sumbangan, kunjungan berkenaan menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat dengan golongan yang memerlukan perhatian, sekali gus menyuburkan budaya ihsan dan kepedulian sosial dalam kalangan masyarakat.
Sesungguhnya, nilai sebuah ziarah bukan hanya terletak pada apa yang diserahkan, tetapi pada kesediaan untuk hadir, mendengar, memahami dan berkongsi rasa dengan insan yang disantuni.

Rombongan PERKIM Kebangsaan bersama PERKIM Perlis tiba di Pusat Jagaan Rumah Sejahtera Kaki Bukit Perlis.

Dato’ Khairi Hasan (berbatik hijau) beramah mesra bersama warga emas.

Tan Leok Pui dalam ucapan aluannya menzahirkan penghargaan kepada PERKIM Kebangsaan dan MAIWP serta PERKIM Perlis atas kesudian berkunjung serta memberikan perhatian kepada penghuni.

Antara penghuni ditempatkan di Rumah Sejahtera Kaki Bukit, di sini.

Menurut Jais Mariappan, perkara utama bukanlah melihat kepada besar atau kecilnya jumlah sumbangan, tetapi kesempatan untuk bersama-sama mendekati mereka yang memerlukan, melihat keadaan mereka dan memahami kehidupan yang dilalui.

Dato’ Khairi menyampaikan kit makanan tajaan MAIWP kepada salah seorang penghuni.

Pengasas Pusat Jagaan Rumah Sejahtera, Datin Ong Kim Leng turut berkesempatan menyampaikan sumbangan kit makanan yang mengandungi susu omega, bijirin oat, biskut dan tuala kepada penghuni.

Rombongan PERKIM berkesempatan bergambar bersama pihak pengurusan Pusat Jagaan Rumah Sejahtera Kaki Bukit selepas melawat galeri pusat berkenaan.

Datin Ong Kim membawa Jais Mariappan mengelilingi asrama lelaki.

Penghuni sedang menikmati sarapan pagi yang disediakan.

Rombongan melawat ketika penghuni sedang berehat.

Rombongan PERKIM bersama warga dan penghuni Pusat Jagaan Rumah Sejahtera bergambar kenang-kenangan di akhir program ziarah.

Rombongan PERKIM bersama warga Pusat Jagaan Rumah Sejahtera bergambar bersama-sama sambil menunjukkan ‘mini love’ kepada lensa kamera.



