Aktiviti Pendidikan

Pemantapan Akidah OKU Penglihatan PERTIS Diperkasa, PERKIM-MAIWP Perkukuh Dakwah Inklusif

𝙤𝙡𝙚𝙝: 𝙈𝙊𝙃𝘿. 𝙎𝙔𝘼𝙃𝙍𝙄𝙇 𝙍𝙊𝙎𝘿𝙄 𝘼𝙃𝙈𝘼𝘿 𝙕𝘼𝙃𝙐𝘿𝙄

𝗞𝗨𝗔𝗟𝗔 𝗟𝗨𝗠𝗣𝗨𝗥, 𝟭𝟵 𝗦𝗘𝗣𝗧𝗘𝗠𝗕𝗘𝗥 𝟮𝟬𝟮𝟲 – Usaha memperkasa kefahaman Islam dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan terus diperkukuh menerusi Program Pemantapan Akidah OKU Cacat Penglihatan Siri II anjuran bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), yang menghimpunkan kira-kira 80 peserta terdiri daripada golongan asnaf dan saudara baharu Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dari Kuala Lumpur dan Selangor.

Berlangsung di Dewan Seminar Aras 1, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, program berkenaan menjadi wadah pengukuhan ilmu fardu ain, khususnya berkaitan akidah, ibadah dan pembentukan jati diri Muslim, selain memperlihatkan komitmen berterusan organisasi Islam dalam memastikan akses kepada ilmu agama dapat dinikmati oleh golongan OKU secara inklusif.

Fatin Akmal Aksah selaku pengacara majlis membuka tirai program sekali gus menjemput 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝟭 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗝𝗮𝗶𝘀 𝗠𝗮𝗿𝗶𝗮𝗽𝗽𝗮𝗻 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 menyampaikan slot ceramah pertama bertajuk Rukun Iman, tauhid serta kefahaman terhadap qada dan qadar sebagai teras pembinaan keyakinan seorang Muslim.


Ustaz Jais Mariappan turut mengingatkan bahawa iman bukan sekadar pengakuan di hati, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui amalan dan kehidupan seharian. Penekanan turut diberikan terhadap keikhlasan, tawakal kepada Allah SWT, kepercayaan kepada malaikat, kitab-kitab Allah, para rasul serta hari akhirat.

Dalam konteks kehidupan semasa, peserta turut digalakkan memperbanyakkan istighfar dan taubat, mendekati al-Quran, menuntut ilmu secara berterusan serta memainkan peranan dalam menyampaikan mesej kebaikan melalui medium yang bersesuaian termasuk media sosial.

Ustaz Jais Mariappan turut berkongsi pengalaman perjalanan pengislaman dan pendidikan agamanya sebagai gambaran bahawa usaha mendalami Islam memerlukan kesungguhan, kesabaran dan keikhlasan.

Beliau turut menyeru para peserta agar terus memperkukuh akidah, memperluas kefahaman agama, menjaga amalan dan memperbaiki hubungan dengan Allah SWT serta sesama manusia. Pegangan iman yang teguh diharapkan dapat menjadi panduan dalam menghadapi kehidupan, mendorong umat Islam melakukan kebaikan dan mempersiapkan diri untuk kehidupan di akhirat.


Pengisian diteruskan selepas solat Zohor dan jamuan tengah hari menerusi ceramah Ustaz Mohd Saiful Vijia Abdullah selaku Tenaga Pengajar Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK) yang memperincikan lima Rukun Islam serta kepentingan membina keyakinan terhadap perkara ghaib berlandaskan al-Quran dan sunnah menerusi Rukun Iman.

Beliau turut mengingatkan peserta supaya menjauhi amalan khurafat, kepercayaan kepada bomoh dan sebarang bentuk pergantungan yang bercanggah dengan akidah.

Dalam soal ikhtiar mendapatkan rawatan, peserta dijelaskan bahawa usaha manusia merupakan sebahagian daripada ikhtiar, manakala kesembuhan tetap dengan izin Allah SWT.

Aspek kehidupan selepas mati, alam barzakh, hari kiamat, kepentingan taubat serta penghormatan kepada ibu bapa turut disentuh.

Peserta juga digalakkan menghidupkan amalan seperti tahajud, solat taubat dan solat hajat sebagai usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT serta mensyukuri nikmat yang dikurniakan.


Sementara itu, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗡𝗶𝗸 𝗦𝘆𝗮𝗵𝗿𝗶𝗺𝗮𝗻 𝗡𝗶𝗸 𝗠𝗮𝘁 yang juga Tenaga Pengajar KPIPK menerusi sesi ketiga memberikan penekanan kepada aspek taharah dan ibadah praktikal, termasuk hadas, najis, istinjak, adab di tandas, jenis-jenis air, wuduk dan tayamum.

Pendekatan pengajaran yang mengambil kira keperluan peserta cacat penglihatan turut diberi perhatian supaya ilmu berkaitan kebersihan dan ibadah dapat difahami serta diamalkan secara praktikal.

Perbincangan mengenai perbezaan pandangan fiqah turut membuka ruang kepada peserta memahami kepelbagaian hukum dalam Islam secara beradab dan berasaskan ilmu.


Dalam ucapan aluannya, 𝗬𝗮𝗻𝗴 𝗗𝗶𝗽𝗲𝗿𝘁𝘂𝗮 𝗣𝗘𝗥𝗧𝗜𝗦, 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱 𝗙𝗮𝗶𝘇𝗮𝗹 𝗖𝗵𝗲 𝗬𝘂𝘀𝗼𝗳 merakamkan penghargaan kepada PERKIM dan MAIWP atas penganjuran program tersebut serta berharap inisiatif berkenaan dapat diteruskan secara berkala, termasuk sebagai program bulanan.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara PERTIS dan PERKIM dalam memperkukuh pendidikan agama serta pemerkasaan komuniti OKU cacat penglihatan, khususnya dalam aspek penyucian jiwa, penguasaan ilmu fardu ain dan pengukuhan akidah secara berterusan.

Ustaz Jais Mariappan selaku Penyelaras Program  juga mewakili Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg. Dato’ Dr. Haji Mohamad Marzuki Mohamad Omar berkata, program siri kedua itu merupakan kesinambungan usaha memperluas pengisian ilmu agama kepada komuniti berkenaan.

Menurut beliau, penguasaan fardu ain perlu diberikan perhatian seiring dengan pembelajaran al-Quran kerana ilmu berkaitan akidah dan ibadah menjadi asas kepada pembentukan kehidupan seorang Muslim.

Beliau turut berharap kerjasama antara PERKIM dan PERTIS dapat diperluas pada masa hadapan menerusi penganjuran program secara berkala, tertakluk kepada prosedur serta kemudahan yang tersedia.


Program berkenaan kemudian disempurnakan menerusi ucapan penutup oleh 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗲𝗿𝘂𝘀𝗶 𝗝𝗮𝘄𝗮𝘁𝗮𝗻𝗸𝘂𝗮𝘀𝗮 𝗛𝗮𝗹 𝗘𝗵𝘄𝗮𝗹 𝗠𝘂𝗮𝗹𝗮𝗳 𝗪𝗶𝗹𝗮𝘆𝗮𝗵 𝗣𝗲𝗿𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝘂𝗮𝗻, 𝗗𝗿. 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗔𝗻𝗻 𝗪𝗮𝗻 𝗦𝗲𝗻𝗴 yang mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur atas usaha menyediakan ruang pembelajaran agama yang berterusan kepada golongan OKU cacat penglihatan.

Beliau mengingatkan peserta supaya menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan kehidupan, di samping terus meningkatkan penguasaan ilmu fardu ain dan syariah.

Menurutnya, ibadah dalam Islam mempunyai ruang yang luas dan perlu diterjemahkan dalam kehidupan dengan kesedaran bahawa setiap amalan dilakukan dalam pengawasan Allah SWT atau muraqabah.

Turut disentuh ialah konsep Islam, Iman dan Ihsan, kepelbagaian pandangan dalam mazhab serta kepentingan perkongsian ilmu secara berterusan dalam membina kefahaman agama yang lebih menyeluruh.

Dalam konteks OKU cacat penglihatan, beliau turut membawa mesej bahawa keterbatasan penglihatan fizikal bukan penghalang untuk seseorang mengenali, memahami dan menghayati ajaran Islam, bahkan manusia mampu “melihat dengan hati” melalui ilmu, iman dan penghayatan terhadap kebesaran Allah SWT.

Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil kepada peserta oleh Dr. Ann Wan, selain penyampaian plak penghargaan PERKIM kepada Mohamad Faizal Che Yusof serta cenderamata kepada Dr. Ann Wan disampaikan oleh Ustaz Jais Mariappan.

Program yang turut dibantu urus setia PERKIM, 𝗛𝗮𝘀𝗵𝗶𝗺𝗮𝗵 𝗛𝗮𝘀𝗵𝗶𝗺, 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱 𝗔𝘇𝗿𝗼𝗹 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗔𝘇𝗺𝗶 dan 𝗡𝗼𝗿𝗹𝗮𝗶𝗹𝗶𝗮𝗹𝗽𝗶𝗻 𝗦𝘂𝗿𝗮𝘁𝗺𝗮𝗻 diakhiri dengan sesi bergambar, jamuan petang serta solat Asar.

Penganjuran siri kedua itu bukan sahaja memperkukuh kefahaman akidah dan ibadah peserta, malah memperlihatkan kepentingan pendekatan dakwah yang inklusif dalam memastikan golongan OKU cacat penglihatan terus mendapat ruang, akses dan sokongan untuk mendalami ilmu agama serta membina kehidupan sebagai Muslim yang berpengetahuan, berkeyakinan dan beramal.


Para urus setia dan sukalewan membantu proses pendaftaran Program Pemantapan Akidah Orang Kelainan Upaya (OKU) Cacat Penglihatan di Dewan Seminar Bangunan PERKIM, Kuala Lumpur.

 


Urus setia ke ruang meja makan bagi membantu proses pendaftaran peserta PERTIS.

 


Ustaz Jais Mariappan turut mengingatkan bahawa iman bukan sekadar pengakuan di hati, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui amalan dan kehidupan seharian.

 


Peserta PERTIS bersama-sama mengaminkan doa yang dipimpin oleh salah seorang peserta dari PERTIS.

 


Ustaz Jais Mariappan turut memberi penekanan terhadap keikhlasan, tawakal kepada Allah SWT, kepercayaan kepada malaikat, kitab-kitab Allah, para rasul serta hari akhirat.

 


Ustaz Saiful Hafiz memperincikan lima Rukun Islam serta kepentingan membina keyakinan terhadap perkara ghaib berlandaskan al-Quran dan sunnah menerusi Rukun Iman.

 


Aspek kehidupan selepas mati, alam barzakh, hari kiamat, kepentingan taubat serta penghormatan kepada ibu bapa turut disentuh oleh Ustaz Saiful Hafiz.

 


Peserta digalakkan menghidupkan amalan seperti tahajud, solat taubat dan solat hajat sebagai usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT.

 


Ustaz Nik Syahriman memberikan penekanan kepada aspek taharah dan ibadah praktikal, termasuk hadas, najis, istinjak, adab di tandas, jenis-jenis air, wuduk dan tayamum.

 


Pendekatan pengajaran yang mengambil kira keperluan peserta cacat penglihatan turut diberi perhatian supaya ilmu berkaitan kebersihan dan ibadah dapat difahami serta diamalkan.

 


Fatin Akmal Aksah selaku pengacara mengemudikan majlis perasmian penutup.

 


(Dari kiri:) Ustaz Jais Mariappan, Ann Wan Seng dan Faizal Che Yusof di majlis perasmian penutup.

 


Faizal Che Yusof selaku Yang Dipertua PERTIS dalam ucapan aluannya merakamkan penghargaan kepada PERKIM dan MAIWP atas penganjuran program tersebut serta berharap inisiatif berkenaan dapat diteruskan secara berkala.

 


Peserta OKU PERTIS yang menyertai program pemantapan akidah.

 


Menurut beliau, kerjasama antara PERTIS dan PERKIM adalah sangat penting dalam memperkukuh pendidikan agama serta pemerkasaan komuniti OKU cacat penglihatan.

 


Ustaz Jais Mariappan berucap bagi mewakili Dato’ Setiausaha Agung Kehormat PERKIM berkata, program siri kedua itu merupakan kesinambungan usaha memperluas pengisian ilmu agama kepada komuniti berkenaan.

 


Dr. Ann dalam ucapan perasmiannya berkata, keterbatasan penglihatan fizikal bukan penghalang untuk seseorang mengenali, memahami dan menghayati ajaran Islam, bahkan manusia mampu “melihat dengan hati”.

 


Dr. Ann mengingatkan peserta supaya menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan kehidupan, di samping terus meningkatkan penguasaan ilmu fardu ain dan syariah.

 

 


Dr. Ann menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Program Pemantapan Akidah OKU Penglihatan Siri 2 dengan lafaz kalimah “Bismillah”.

 


Dr. Ann menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta lelaki dari PERTIS.

 


Peserta wanita PERTIS menerima sijil penyertaan daripada Dr. Ann.

 


Ustaz Jais Mariappan menyampaikan plak penghargaan PERKIM kepada Faizal Che Yusof.

 


Ustaz Jais Mariappan turut menyampaikan sebakul buah tangan kepada perasmi, Dr. Ann Wan Seng.

 


Tetamu kehormat dan urus setia bergambar kenang-kenangan bersama peserta PERTIS di akhir program.

 

Related Articles

Back to top button