Kursus Intensif Fiqh Wanita Siri 6 Perkasa Kefahaman Saudara Baharu Hadapi Isu Semasa dan Krisis
๐ค๐๐๐: ๐๐ถ๐๐ซ. ๐๐๐ผ๐ฏ๐๐ฐ๐ ๐๐ถ๐๐ซ๐ ๐ผ๐ฏ๐๐จ๐ฟ ๐๐จ๐๐ผ๐ฟ๐ฐ
๐๐จ๐๐๐ ๐๐จ๐ ๐ฃ๐จ๐ฅ, ๐ญ๐ด ๐ฆ๐๐ฃ๐ง๐๐ ๐๐๐ฅ ๐ฎ๐ฌ๐ฎ๐ฒ – Seramai 30 wanita saudara baharu terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum menyertai Kursus Intensif Fiqh Wanita Siri 6 anjuran bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Dewan Seminar Aras 1, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, di sini, semalam.
Peserta yang menyertai kursus tersebut terdiri daripada saudara baharu berbangsa Cina, India, Punjabi, Iban, Kadazan, Murut dan Bidayuh, selain warga negara Filipina, Thailand dan Indonesia.

Menurut ๐ฃ๐ฒ๐ป๐๐ฒ๐น๐ฎ๐ฟ๐ฎ๐ ๐ฃ๐ฟ๐ผ๐ด๐ฟ๐ฎ๐บ, ๐๐ฎ๐๐ถ๐ป ๐๐ฎ๐บ๐ถ๐๐ฎ๐ต ๐๐๐บ๐ฎ๐ถ๐น, penganjuran Siri 6 menjadi kesinambungan kepada usaha PERKIM Kebangsaan dan MAIWP menyediakan pengisian ilmu yang bersifat praktikal serta dekat dengan realiti kehidupan saudara baharu, khususnya dalam memahami hukum-hakam berkaitan wanita.
Katanya, pendekatan secara bersiri membolehkan peserta membina kefahaman fiqh secara berperingkat, bukan sahaja berkaitan ibadah asas, malah merangkumi aspek kehidupan berkeluarga, penjagaan diri, muamalat, kecantikan serta isu-isu semasa yang memerlukan pertimbangan hukum secara berhikmah.
โPengisian ini penting supaya saudara baharu wanita mempunyai asas ilmu yang kukuh dalam membuat keputusan berkaitan kehidupan seharian, terutama ketika berhadapan persoalan baharu yang mungkin dipengaruhi perkembangan teknologi, perubahan sosial dan trend semasa.
โIlmu fiqh juga perlu difahami dalam konteks kehidupan sebenar supaya setiap tindakan yang diambil dapat dipertimbangkan berdasarkan keperluan, maslahat dan panduan syariat, bukannya semata-mata mengikut kecenderungan atau pengaruh persekitaran,โ katanya.
Fatin Hamizah berkata, enam siri kursus yang dilaksanakan pada tahun ini merangkumi Siri 1: Fiqh Ibadah Wanita; Siri 2: Fiqh Taharah Wanita; Siri 3: Fiqh Munakahat; Siri 4: Fiqh Aurat dan Perhiasan Wanita; Siri 5: Fiqh Kewangan dan Muamalat Wanita; serta Siri 6: Fiqh Wanita dan Isu Semasa.
Majlis dimulakan dengan pengacaraan oleh Nur Syahirah Musa, sebelum diteruskan dengan bacaan doa yang dipimpin Norlailialpin Suratman.

Slot pertama bertajuk โ๐ญ๐๐๐ ๐พ๐๐๐๐๐ & ๐ฐ๐๐ ๐บ๐๐๐๐๐: ๐ด๐๐๐๐๐๐๐๐๐ ๐ด๐๐๐๐๐๐๐ ๐ด๐๐๐๐๐๐๐ ๐บ๐๐๐๐๐๐โ disampaikan oleh ๐ฆ๐ฎ๐น๐ถ๐ป๐ฎ ๐ ๐ฎ๐ฟ๐ต๐ฎ๐บ๐ฎ๐ต ๐ฆ๐ต๐ฎ๐บ๐๐๐ฑ๐ฑ๐ถ๐ป, ๐ฃ๐ฒ๐ด๐๐ฎ๐บ ๐ฆ๐๐ฎ๐ฟ๐ถ๐ฒ ๐ฑ๐ถ ๐ง๐ฒ๐๐๐ฎ๐ป ๐ฆ๐ฎ๐น๐ถ๐ป๐ฎ ๐ ๐ฎ๐ฟ๐ต๐ฎ๐บ๐ฎ๐ต.
Pengisian tersebut mengangkat pelbagai persoalan yang dekat dengan kehidupan Muslimah masa kini, khususnya berkaitan keperluan, kehendak serta hukum mengenai perubahan fizikal.
Salina menjelaskan bahawa setiap keputusan yang dibuat Muslimah tidak seharusnya didorong semata-mata oleh keinginan, kecenderungan semasa atau pengaruh persekitaran, sebaliknya perlu dipandu ilmu, niat yang tepat serta prinsip syariat.
Antara perkara utama yang diketengahkan ialah perbezaan antara hajah (keperluan) dan raghbah (kehendak).
Hajah merujuk kepada sesuatu yang jika tidak dipenuhi boleh membawa kesukaran atau kemudaratan yang nyata, manakala raghbah lebih menjurus kepada sesuatu yang diingini demi kesenangan, status sosial atau mengikut trend tanpa menimbulkan kemudaratan apabila ditinggalkan.
Menurut beliau, kefahaman terhadap perbezaan tersebut penting kerana syariat memberi perhatian kepada pemeliharaan perkara asas kehidupan, menghilangkan kesukaran dan pada masa sama memberikan ruang kepada kecantikan dalam batas yang ditetapkan.
Dalam kehidupan seharian, prinsip berkenaan dapat dilihat melalui pemilihan pakaian, penjagaan kecantikan dan keperluan kesihatan.
Menutup aurat dengan sempurna, katanya, merupakan keperluan syarie, berbeza dengan mengejar jenama mahal atau trend terkini.
Begitu juga rawatan terhadap masalah kulit yang menyakitkan mempunyai pertimbangan berbeza daripada prosedur yang dilakukan semata-mata untuk mengubah bentuk wajah.
Justeru, niat turut menjadi faktor penting dalam menentukan nilai sesuatu amalan kerana tujuan menjaga kesihatan mempunyai pertimbangan berbeza daripada keinginan mendapatkan pujian atau sekadar meniru budaya dan trend tertentu.
Perbincangan turut memberi perhatian terhadap hukum perubahan fizikal termasuk pembedahan bariatrik, liposuction, rhinoplasty, pembedahan plastik, kosmetik dan prosedur kecantikan.
Pembedahan bariatrik, misalnya, dibincangkan sebagai harus apabila bertujuan merawat obesiti kritikal atau penyakit metabolik, dilakukan atas nasihat doktor pakar serta berkaitan dengan pemeliharaan nyawa setelah usaha lain tidak berhasil.
Liposuction pula mempunyai pertimbangan berbeza apabila dilakukan atas tujuan kesihatan, termasuk mengurangkan risiko penyakit, berbanding prosedur yang dilakukan semata-mata untuk mengubah ciptaan Allah atau kerana bermegah-megah.
Bagi pembedahan hidung dan plastik, bahan pengajian menjelaskan bahawa perubahan yang semata-mata bertujuan kecantikan atau mengikut fesyen dan trend adalah dilarang, manakala perubahan atas keperluan perubatan, kecacatan akibat kemalangan, masalah kesihatan yang nyata atau keadaan psikologi serius akibat kecacatan boleh dipertimbangkan sebagai harus, tertakluk kepada keperluan serta nasihat doktor pakar.
Pendekatan tersebut memperlihatkan bahawa penilaian hukum bukan semata-mata berdasarkan bentuk sesuatu prosedur, sebaliknya mengambil kira tujuan, keperluan, mudarat dan maslahat.
Rawatan penyakit atau kecacatan yang mendatangkan kesukaran adalah diharuskan dan digalakkan, manakala penggunaan kosmetik dan solekan dibenarkan dengan syarat tertentu seperti tidak mengandungi bahan najis, tidak bertujuan menipu, tidak menyerupai golongan yang dilarang serta tidak menghalang wuduk dan solat.
Dalam konteks pembedahan pula, prosedur rekonstruktif bagi membetulkan kecacatan mempunyai pertimbangan berbeza daripada pembedahan estetik yang dilakukan semata-mata untuk mengubah ciptaan Allah tanpa keperluan syarie.
Dari sudut dalil dan kaedah fiqh, peserta turut didedahkan dengan hadis berkaitan larangan mengubah ciptaan Allah serta penjelasan bahawa larangan tersebut difahami dalam konteks perubahan yang dilakukan tanpa keperluan syarie.
Pada masa sama, rawatan bertujuan menghilangkan penyakit, kecacatan atau kemudaratan nyata diberikan pengecualian berdasarkan keperluan yang diiktiraf syarak.
Kaedah fiqh โmudarat mesti dihilangkanโ turut diketengahkan sebagai antara asas dalam menilai keharusan sesuatu rawatan atau prosedur.
Sebagai panduan, Muslimah disarankan menggunakan tiga tapisan utama iaitu Keperluan, Maslahat dan Syariat.
Pertama, mengenal pasti sama ada sesuatu perkara benar-benar merupakan hajah atau sekadar kehendak.
Kedua, meneliti sama ada perkara tersebut membawa kebaikan dan maslahat kepada kehidupan dunia serta akhirat.
Ketiga, memastikan kedudukannya dari sudut hukum syarak sama ada wajib, sunat, harus, makruh atau haram.
Selepas solat fardu Maghrib, Salina meneruskan Slot Kedua: โ๐ญ๐๐๐ ๐ฒ๐๐๐๐๐๐๐๐ ๐ด๐๐๐๐๐๐๐ ๐ซ๐๐๐๐ ๐ด๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐ ๐ฒ๐๐๐๐๐ & ๐ซ๐๐๐๐๐๐โ yang memberi pencerahan mengenai kepentingan penguasaan ilmu fiqh sebagai panduan kepada Muslimah ketika berdepan situasi krisis, bencana dan darurat.
Beliau menjelaskan bahawa fiqh bukan sekadar kefahaman mengenai hukum syarak berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah, bahkan menjadi panduan praktikal untuk membantu Muslimah menghadapi keadaan sukar dengan sabar, tenang dan rasional sambil terus berpandukan syariat.
Krisis yang dimaksudkan merangkumi pelbagai keadaan termasuk bencana alam, wabak, peperangan, kecemasan dan kekurangan keperluan asas.
Dalam keadaan sedemikian, Muslimah perlu memahami ruang kelonggaran yang diberikan syarak supaya kewajipan agama dapat dilaksanakan mengikut kemampuan.
Konsep darurat, menurut beliau, mempunyai pengertian khusus dan tidak boleh disamakan dengan keadaan susah, tidak selesa atau sekadar kesulitan biasa.
Darurat merujuk keadaan yang sekiranya tidak diberikan kelonggaran tertentu boleh membawa kemudaratan serius terhadap perkara yang dilindungi syarak.
Pendekatan tersebut berkait rapat dengan maqasid al-Syariah, khususnya pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Justeru, dalam keadaan krisis, keselamatan nyawa dan diri perlu diberikan keutamaan, diikuti keselamatan keluarga, pemenuhan keperluan asas seperti makanan, air dan tempat perlindungan serta pelaksanaan ibadah mengikut kemampuan.
Aspek kesiapsiagaan menghadapi krisis turut diberikan penekanan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab Muslimah dan ibu dalam memastikan keselamatan diri serta keluarga.
Antara persediaan yang dicadangkan termasuk kit kecemasan, bekalan air minuman dan makanan tahan lama sekurang-kurangnya tiga hingga tujuh hari, ubat-ubatan, kit pertolongan cemas, lampu suluh, bateri atau power bank, telefon dan pengecas, dokumen penting dalam bentuk fizikal serta digital, wang tunai dan pakaian bersesuaian.
Keperluan khusus wanita dan anak-anak seperti lampin, susu, makanan bayi, keperluan haid, pakaian dalam tambahan, tisu basah, sanitiser dan barangan kebersihan turut perlu diberi perhatian sekiranya berlaku gangguan bekalan atau perpindahan ke tempat selamat.
Muslimah juga digalakkan menyediakan โgrab bagโ atau beg keluar segera yang boleh dicapai dengan pantas ketika berlaku kecemasan.
Beg tersebut antara lain mengandungi dokumen penting, telefon dan power bank, ubat-ubatan, air dan makanan, keperluan anak-anak, keperluan haid, pakaian asas serta wang tunai.
Persediaan turut merangkumi pendidikan awal kepada anak-anak, khususnya mengajar mereka nama penuh ibu bapa, nombor telefon dan lokasi tempat berkumpul keluarga sekiranya berlaku kecemasan.
Pendekatan itu memperlihatkan bahawa ketahanan Muslimah bukan hanya berkaitan keupayaan menghadapi krisis ketika ia berlaku, malah bermula dengan persediaan terancang sebelum bencana melanda.
Dari perspektif hukum, beberapa kaedah fiqh utama turut diketengahkan, antaranya kaedah โal-darurat tubih al-mahzuratโ, iaitu darurat mengharuskan perkara yang dilarang, tertakluk kepada keadaan dan keperluan sebenar.
Turut dijelaskan kaedah memilih kemudaratan yang lebih ringan apabila berhadapan dua kemudaratan dengan mengambil kira kemudaratan lebih besar untuk dielakkan.
Pengisian turut menghubungkan persediaan kecemasan dengan pengurusan keperluan keluarga, termasuk keperluan menyimpan bekalan dan mengurus harta secara sederhana bagi menghadapi kemungkinan kesusahan pada masa hadapan.
Satu lagi perkara penting ialah rukhsah dalam ibadah, iaitu keringanan hukum syarak apabila seseorang berdepan kesukaran, sakit, musafir atau keadaan darurat yang menghalang pelaksanaan hukum asal.
Dalam keadaan tertentu, seseorang yang tidak mampu berdiri boleh menunaikan solat secara duduk, manakala tayammum boleh dilakukan apabila air tidak tersedia atau tidak boleh digunakan, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan syarak.
Konsep Solat Hormat Waktu bagi keadaan tertentu apabila seseorang kehilangan alat bersuci turut disentuh, termasuk ketetapan berkaitan pengulangan solat apabila keadaan kembali pulih sebagaimana dihuraikan dalam bahan pengajian.
Perbincangan turut memberi fokus kepada Solat Khauf, iaitu solat yang dilaksanakan ketika seseorang berada dalam keadaan takut atau berdepan ancaman.
Dalam keadaan peperangan atau situasi yang benar-benar menimbulkan ketakutan seperti kebakaran, ancaman binatang buas atau bahaya lain, pelaksanaan solat boleh disesuaikan mengikut keadaan.
Bagi keadaan Syiddatul Khauf, iaitu ketakutan yang jauh lebih genting, pelaksanaan solat diberikan ruang untuk disesuaikan apabila seseorang tidak mempunyai peluang berhenti atau melaksanakan pergerakan solat seperti biasa.
Keseluruhan perbincangan itu memperlihatkan keluasan syariat dalam memastikan kewajipan agama tetap dapat dilaksanakan tanpa mengabaikan keselamatan manusia.
Pada akhirnya, pengisian Fiqh Ketahanan Muslimah Dalam Menghadapi Krisis & Darurat membawa mesej bahawa ketahanan seorang Muslimah perlu dibina melalui gabungan ilmu, persediaan, ketenangan dan kefahaman terhadap rukhsah syarak.
Sesi berkenaan turut disusuli soal jawab antara peserta dan penceramah, sekali gus memberi ruang kepada peserta mendapatkan penjelasan terhadap persoalan yang berkaitan dengan situasi sebenar dalam kehidupan mereka.
Slot ketiga pula diisi dengan aktiviti dalam kumpulan dan kuiz yang dikendalikan dengan bantuan urus setia, terdiri daripada ๐ ๐ผ๐ต๐ฑ ๐๐ถ๐๐ฎ๐ ๐ฅ๐ผ๐๐น๐ถ, ๐ฆ๐ถ๐๐ถ ๐ ๐ฎ๐๐น๐ถ๐ฎ๐ป๐ฎ ๐ ๐ผ๐ต๐ฑ ๐๐ฟ๐ถ๐ณ๐ณ๐ถ๐ป dan ๐ ๐ผ๐ต๐ฑ ๐๐ถ๐ฟ๐ฑ๐ฎ๐๐ ๐ฃ๐ผ๐บ๐ฝ๐ฒ๐๐ผ๐ ๐๐ฏ๐ฑ๐๐น๐น๐ฎ๐ต.
Aktiviti berkenaan memberi peluang kepada peserta mengukuhkan kefahaman terhadap pengisian kursus menerusi pendekatan interaktif dan kerjasama dalam kumpulan.
Kursus Intensif Fiqh Wanita Siri 6 kemudian melabuhkan tirai dengan sesi fotografi bersama peserta dan urus setia serta selawat dan salam sebelum diteruskan dengan jamuan makan malam.

Kursus Intensif Fiqh Wanita Siri Ke-6 anjuran bersama PERKIM Kebangsaan dan MAIWP.

Peserta memeriksa nama dan menandatangani pada borang semasa sesi pendaftaran.

Nur Syahirah Musa membuka tirai kursus selaku pengacara majlis.

Antara wanita mualaf yang hadir pada siri keenam kursus fiqh wanita.

Norlailialpin Suratman memimpin doa pembuka majlis.

Wanita mualaf menadah tangan dan mengaminkan doa yang dibacakan.

Salina Marhamah menyampaikan ceramahnya bertajuk ‘Fiqh Wanita dan Isu Semasa : Membimbing Muslimah Memahami Syariat’.

Wanita mualaf mendengar sambil mencatatkan ilmu yang disampaikan.

Menurut Salina, Muslimah tidak seharusnya didorong semata-mata oleh keinginan, kecenderungan semasa atau pengaruh persekitaran sebaliknya perlu dipandu ilmu, niat yang tepat.

Salina menjelaskan kepada wanita mualaf bahawa, menutup aurat dengan sempurna merupakan keperluan syarie, berbeza dengan mengejar jenama mahal atau trend terkini.

Salina Marhamah turut menjelaskan hukum perubahan fizikal termasuk pembedahan bariatrik, liposuction, rhinoplasty, pembedahan plastik, kosmetik dan prosedur kecantikan.

Salina Marhamah meneruskan slot kedua bertajuk ‘Fiqh Ketahanan Muslimah dalam Menghadapi Krisis dan Darurat’.

Di akhir ceramah, Salina bersama urus setia berselawat sambil bersalaman bersama peserta kursus.

Salina Marhamah bersama urus setia dan peserta bergambar kenang-kenangan di akhir kursus.



