PERKIM Dekati Pelancong Antarabangsa, Sampaikan Mesej Islam Di Lebuh Acheh
𝗣𝗨𝗟𝗔𝗨 𝗣𝗜𝗡𝗔𝗡𝗚, 𝟱 𝗦𝗘𝗣𝗧𝗘𝗠𝗕𝗘𝗥 𝟮𝟬𝟮𝟲 – Kepelbagaian pelancong antarabangsa yang mengunjungi George Town dimanfaatkan PERKIM sebagai ruang memperluas pendekatan dakwah secara lapangan menerusi Program Dakwah Lapangan di sekitar Lebuh Acheh, di sini, hari ini.
Program anjuran PERKIM Kebangsaan bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama PERKIM Bahagian Negeri Pulau Pinang itu memberi tumpuan kepada usaha menyantuni golongan bukan Islam melalui pendekatan secara bersemuka, santai dan berhemah.
Lebuh Acheh dipilih sebagai antara lokasi program berikutan kawasan berkenaan merupakan sebahagian daripada kawasan warisan George Town yang sering dikunjungi pelancong tempatan dan antarabangsa.
Pendekatan dakwah secara lapangan memberi peluang kepada para pendakwah dan sukarelawan berinteraksi secara langsung dengan mad‘u, di samping memperkenalkan mesej Islam menerusi komunikasi yang bersesuaian dengan latar belakang individu yang ditemui.
Program itu disertai 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗙𝗮𝗿𝗵𝗮𝗻 𝗧𝗲𝗲 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵; 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝟯 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗡𝘂𝗿 𝗦𝘆𝗮𝗵𝗶𝗿𝗮𝗵 𝗠𝘂𝘀𝗮; 𝗧𝗶𝗺𝗯𝗮𝗹𝗮𝗻 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗞𝗲𝘄𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻, 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗔𝘇𝗿𝗼𝗹 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗔𝘇𝗺𝗶; 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗴𝗶𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗣𝘂𝗹𝗮𝘂 𝗣𝗶𝗻𝗮𝗻𝗴, 𝗦𝗶𝘁𝗶 𝗡𝗮𝘀𝘆𝗿𝗮𝗵 𝗥𝗼𝘀𝗹𝗶; 𝗞𝗮𝗸𝗶𝘁𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗴𝗶𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗣𝘂𝗹𝗮𝘂 𝗣𝗶𝗻𝗮𝗻𝗴, 𝗡𝘂𝗿 𝗦𝘆𝗮𝗵𝗶𝗿𝗮𝗵 𝗜𝘀𝗺𝗮𝗶𝗹 serta sukarelawan.

Sebelum turun ke lapangan, Farhan Tee terlebih dahulu memberikan taklimat kepada para sukarelawan mengenai tatacara mendekati mad‘u, khususnya aspek komunikasi, adab dan pendekatan yang sesuai ketika menyampaikan dakwah kepada golongan bukan Islam.
Taklimat itu penting bagi memastikan setiap interaksi dilakukan secara sopan dan berhikmah, selain memberi kefahaman kepada sukarelawan mengenai kepentingan menghormati latar budaya, bahasa serta kepercayaan individu yang disantuni.
“Dakwah di lapangan memerlukan pendekatan yang berhikmah dan penuh adab. Kita bukan sekadar menyampaikan maklumat mengenai Islam, tetapi pada masa yang sama perlu memastikan komunikasi dengan mad‘u berlangsung dalam suasana yang baik, santai dan saling menghormati,” katanya.
Dalam sesi santunan itu, para sukarelawan turut menyerahkan Goodie Bag kepada mad‘u yang mengandungi pelbagai barangan seperti payung, set perjalanan, sudu dan garfu, beg batik serta kek coklat.
Goodie Bag berkenaan turut disertakan risalah mesej Islam sebagai bahan penerangan yang boleh dibawa pulang oleh mad‘u untuk mendapatkan maklumat asas mengenai Islam.

Penyelaras program, Syahirah Musa, berkata pendekatan dakwah lapangan membolehkan PERKIM mendekati golongan bukan Islam secara lebih terbuka, khususnya dalam suasana tidak formal.
“Tujuan program ini adalah untuk mendekati dan menyantuni golongan bukan Islam dengan pendekatan dakwah yang mesra serta berhemah. Kita mahu mewujudkan ruang interaksi yang baik supaya mesej Islam dapat disampaikan dengan cara yang mudah difahami dan diterima,” katanya.
Menurutnya, pertemuan secara langsung dengan mad‘u daripada pelbagai latar belakang juga memberikan pengalaman kepada para sukarelawan untuk menyesuaikan kaedah komunikasi berdasarkan situasi dan latar budaya individu yang ditemui.
Antara pelancong yang disantuni sepanjang program itu termasuk dari Sepanyol, Taiwan, Singapura, China, Amerika Syarikat, Brazil, India, Vietnam dan Thailand.
Kehadiran pelancong dari pelbagai negara itu sekali gus memberikan dimensi tersendiri kepada gerak kerja dakwah PERKIM, apabila mesej Islam dapat diperkenalkan kepada individu daripada latar budaya dan negara yang berbeza.

Farhan Tee berkongsi maklumat dan berdialog bersama pelancong dari Australia.

Pelancong mengisi mesej dan pandangan di sudut ‘Leave Your Message’ yang disediakan.

Petugas PERKIM menyampaikan cenderamata kepada pengunjung sebagai tanda penghargaan.

Petugas PERKIM berbual bersama penunggang motosikal dalam pendekatan dakwah secara santai.

Syahira Ismail berinteraksi dengan pelancong di sekitar Lebuh Acheh.

Sukarelawan PERKIM bergambar bersama pengunjung selepas sesi interaksi dakwah



