Sukaneka, Ziarah Mahabbah Erat Silaturahim PERKIM-MAIWP Bersama Komuniti Siam Kampung Behor Gelam
𝙤𝒍𝙚𝒉: 𝙈𝑶𝙃𝑫. 𝙎𝒀𝘼𝑯𝙍𝑰𝙇 𝙍𝑶𝙎𝑫𝙄 𝘼𝑯𝙈𝑨𝘿 𝙕𝑨𝙃𝑼𝘿𝑰
𝗔𝗥𝗔𝗨, 𝟮𝟲 𝗦𝗘𝗣𝗧𝗘𝗠𝗕𝗘𝗥 𝟮𝟬𝟮𝟲 — Nilai kasih sayang, kebersamaan dan keprihatinan terhadap masyarakat tanpa mengira latar belakang terus diterjemahkan menerusi Program Sukaneka dan Ziarah Mahabbah Komuniti Masyarakat Majmuk Siam Kampung Behor Gelam yang berlangsung dalam suasana penuh kemesraan di Kampung Behor Gelam, Arau, Perlis, hari ini.
Program anjuran bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama PERKIM Bahagian Negeri Perlis itu menghimpunkan penduduk kampung dalam suasana santai, ceria dan penuh nilai kekeluargaan menerusi aktiviti sukaneka pada sebelah pagi, sebelum diteruskan dengan ziarah kebajikan dari rumah ke rumah pada sebelah petang.
Lebih daripada sekadar aktiviti riadah dan penyampaian bantuan, program berkenaan menjadi wadah untuk mendekatkan PERKIM dan MAIWP dengan komuniti masyarakat majmuk Siam di kawasan berkenaan, selain membina hubungan yang lebih erat berasaskan nilai hormat-menghormati, saling memahami dan keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat setempat.

𝗣𝗲𝗻𝘆𝗲𝗹𝗮𝗿𝗮𝘀 𝗣𝗿𝗼𝗴𝗿𝗮𝗺, 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗝𝗮𝗶𝘀 𝗠𝗮𝗿𝗶𝗮𝗽𝗽𝗮𝗻 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵, berkata pendekatan turun padang yang dilaksanakan menerusi program seperti itu amat penting dalam memastikan usaha dakwah dan kebajikan sentiasa dekat dengan masyarakat.
Menurut beliau, masyarakat perlu disantuni secara berterusan melalui pendekatan yang mesra, terbuka dan tidak terlalu formal supaya hubungan yang dibina dapat berkembang menjadi satu bentuk jaringan kemasyarakatan yang kukuh.
Katanya, aktiviti sukaneka yang dilaksanakan bukan semata-mata bertujuan mengisi masa lapang, sebaliknya menjadi medium untuk menemukan masyarakat dalam suasana santai serta membina interaksi positif antara urus setia dengan penduduk kampung.
“Program seperti ini memberi peluang kepada kita untuk turun sendiri bertemu masyarakat, melihat keadaan mereka dan mendengar suara serta keperluan mereka secara lebih dekat.
“Dalam masa yang sama, pendekatan ziarah membolehkan kita menyampaikan bantuan secara terus kepada penduduk, di samping menunjukkan bahawa kebajikan dan kasih sayang merupakan tanggungjawab bersama yang perlu dipupuk tanpa mengira latar belakang masyarakat,” kata Jais Mariappan.
Jais Mariappan berkata, kesinambungan program berkenaan juga penting kerana hubungan yang baik dengan komuniti tidak seharusnya terhenti selepas sesuatu bantuan disampaikan.
Sebaliknya, katanya, hubungan berterusan perlu diwujudkan melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan, dialog, ziarah dan pengisian yang mampu mewujudkan persefahaman serta rasa saling menghargai antara satu sama lain.
Program yang bermula pada jam 9 pagi itu dimulakan dengan acara sukaneka yang membabitkan tiga kategori utama iaitu kanak-kanak, wanita dan lelaki.
Bagi kategori kanak-kanak, peserta mengambil bahagian dalam beberapa acara menarik termasuk membawa bola pingpong menggunakan sudu, kerusi berirama dan ikat kaki secara berpasangan.
Gelagat peserta cilik yang bersungguh-sungguh menyertai pertandingan menceriakan suasana program, manakala sorakan dan sokongan ahli keluarga serta penduduk kampung menjadikan kawasan aktiviti riuh dengan gelak tawa.
Bagi kategori wanita pula, pelbagai acara santai dan mencabar dianjurkan termasuk memasukkan benang ke dalam jarum, kerusi berirama, koyak kertas paling panjang, boling kelapa serta mengasingkan kekacang.
Acara berkenaan bukan sahaja menguji ketangkasan, tetapi turut mencetuskan interaksi dalam kalangan peserta yang hadir bersama keluarga masing-masing.
Sementara itu, kategori lelaki turut tidak kurang meriah apabila peserta berentap dalam acara kerusi berirama, boling kelapa dan mengasingkan kekacang.
Walaupun kebanyakan acara dilaksanakan dalam suasana santai dan penuh jenaka, penyertaan aktif penduduk memperlihatkan keterbukaan masyarakat kampung dalam menerima program yang dianjurkan bersama PERKIM dan MAIWP.
Sukaneka berkenaan turut dilawati 𝗡𝗮𝗶𝗯 𝗬𝗮𝗻𝗴 𝗗𝗶𝗽𝗲𝗿𝘁𝘂𝗮 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠, 𝗬𝗕 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗦𝗲𝗿𝗶 𝗗𝗿 Shahidan Kassim, yang berkesempatan menyantuni penduduk dan peserta serta melihat sendiri perjalanan program bersama komuniti setempat.
Kehadiran beliau turut memberi suntikan semangat kepada urus setia dan peserta, selain memperlihatkan komitmen kepimpinan PERKIM dalam memastikan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan dilaksanakan secara dekat dengan masyarakat.
Program turut dibantu 𝗧𝗶𝗺𝗯𝗮𝗹𝗮𝗻 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗴𝗶𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗣𝗲𝗿𝗹𝗶𝘀, 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗺𝘂𝗯𝗲𝗲𝗻 𝗬𝗮𝗻𝘆𝗮, yang memainkan peranan penting sebagai penterjemah Bahasa Thai bagi memastikan komunikasi antara urus setia dengan masyarakat setempat berjalan dengan lancar.
Keupayaan berkomunikasi dalam bahasa yang difahami masyarakat menjadi antara elemen penting dalam membina hubungan yang lebih mesra, khususnya ketika program melibatkan komuniti yang mempunyai latar bahasa dan budaya yang berbeza.
Turut menjayakan program ialah urus setia 𝗛𝗮𝘀𝗵𝗶𝗺𝗮𝗵 𝗛𝗮𝘀𝗵𝗶𝗺, 𝗔𝘇𝘂𝗿𝗮 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗥𝗮𝗵𝗺𝗮𝗻, 𝗙𝗮𝘁𝗶𝗻 𝗔𝗸𝗺𝗮𝗹 𝗔𝗸𝘀𝗮𝗵, 𝗔𝗶𝗻 𝗡𝗮𝘀𝘇𝘂𝗿𝗶𝗲𝗻 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗞𝗮𝗺𝗮𝗹 𝗱𝗮𝗻 𝗡𝗮𝘀𝘇𝗿𝗶 𝗢𝘀𝗺𝗮𝗻 bersama Ahli Jawatankuasa PERKIM Perlis serta barisan sukarelawan yang berganding bahu memastikan keseluruhan pengisian berjalan lancar.
Sementara itu, pada jam 3.30 petang, program diteruskan dengan sesi Ziarah Mahabbah dari rumah ke rumah di sekitar Kampung Behor Gelam.
Rombongan membawa bakul makanan sambil menyantuni dan bertanya khabar kira-kira 50 penduduk kampung dalam usaha menyampaikan bantuan secara terus kepada masyarakat yang memerlukan.
Sebelum rombongan bergerak menziarahi penduduk, Jais Mariappan terlebih dahulu memimpin bacaan doa bagi memohon kelancaran dan keberkatan sepanjang perjalanan serta keseluruhan aktiviti ziarah.
Walaupun hujan renyai mula turun, keadaan itu tidak sedikit pun mematahkan semangat urus setia, sukarelawan dan penduduk yang bersama-sama menjayakan misi kebajikan berkenaan.
Dengan menggunakan motosikal, rombongan bergerak dari satu rumah ke satu rumah melalui laluan yang bukan semuanya mudah untuk dilalui.
Juru pandu diketuai 𝗞𝗲𝘁𝘂𝗮 𝗝𝗮𝘄𝗮𝘁𝗮𝗻𝗸𝘂𝗮𝘀𝗮 𝗣𝗲𝗺𝗯𝗮𝗻𝗴𝘂𝗻𝗮𝗻 𝗱𝗮𝗻 𝗞𝗲𝘀𝗲𝗹𝗮𝗺𝗮𝘁𝗮𝗻 𝗞𝗮𝗺𝗽𝘂𝗻𝗴 (𝗝𝗣𝗞𝗞), 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗗𝗮𝗹𝗶 𝗝𝘂𝘀𝗼𝗵, bersama penduduk kampung yang turut membantu memastikan perjalanan rombongan berlangsung dengan selamat dan teratur.
Laluan di sebelah sawah padi, parit serta jalan tanah merah yang mencabar tetap diredah demi memastikan bakul makanan dapat disampaikan terus kepada penduduk yang diziarahi.
Keadaan itu memperlihatkan kesungguhan urus setia untuk memastikan bantuan bukan sekadar dikumpulkan di satu lokasi dan menunggu untuk diambil, sebaliknya dihantar sehingga ke hadapan rumah penerima.
Bakul makanan tajaan MAIWP yang disampaikan kepada penduduk mengandungi pelbagai keperluan asas harian termasuk beras, tepung, bihun, susu, kopi, teh, gula, minyak masak dan biskut.
Selain barangan makanan, bantuan turut merangkumi peralatan kebersihan badan bagi membantu memenuhi keperluan asas seharian penerima.
Dalam setiap kunjungan, rombongan turut meluangkan masa bertanya khabar, berbual dan mendengar keadaan penduduk, sekali gus menjadikan sesi ziarah itu lebih daripada sekadar penyampaian barangan bantuan.
Pendekatan tersebut memberi ruang kepada urus setia untuk memahami kehidupan masyarakat setempat secara lebih dekat, selain membina hubungan yang lebih manusiawi melalui pertemuan secara bersemuka.
Pada masa sama, urus setia turut menjemput penduduk kampung untuk menghadiri Program Dialog Harmoni Mahabbah Komuniti Masyarakat Majmuk Siam yang dijadualkan berlangsung pada Ahad, jam 3.30 petang di hadapan dewan serbaguna kampung berkenaan.
Program dialog tersebut diharapkan dapat menjadi kesinambungan kepada usaha mendekati masyarakat menerusi ruang interaksi dan perkongsian yang lebih terbuka.
Bagi penduduk Kampung Behor Gelam, kunjungan rombongan PERKIM dan MAIWP memberikan makna tersendiri apabila mereka bukan sahaja menerima sumbangan keperluan asas, malah turut disantuni secara langsung dalam suasana penuh kekeluargaan.

‘Bawa bola pingpong guna sudu’ merupakan acara pembukaan sukaneka kanak-kanak di Kampung Behor Gelam.

Acara ‘kerusi berirama’ merupakan acara yang digemari oleh kanak-kanak kampung.

Beberapa orang kanak-kanak tersingkir apabila ke semua peserta mendapat tempat duduk dalam acara ‘kerusi berirama’.

Acara ‘masuk benang dalam jarum’ merupakan acara sukaneka yang mencabar bagi kaum ibu.

Antara cabaran kepayahan wanita kampung dalam menyertai acara ‘masuk benang dalam jarum’.

Gelagat wanita Kampung Behor Gelam dalam menyertai acara ‘kerusi berirama’.

Kaum lelaki tidak terkecuali menyertai ‘kerusi berirama’.

Urus setia memerhati gelagat peserta dalam acara ‘koyak kertas terpanjang’.

Barisan urus setia mengukur kertas yang paling panjang dikoyakkan oleh peserta.

‘Boling kelapa’ antara acara yang digemari oleh kaum lelaki.

Kaum wanita tidak ketinggalan turut menyertai acara ‘boling kelapa’.

Urus setia mengira jumlah botol yang berjaya dijatuhkan oleh peserta kumpulan dalam acara ‘boling kelapa’.

‘Ikat kaki berpasangan’ antara acara sukaneka disertai oleh kanak-kanak.

Peserta lelaki bersungguh-sungguh mengasingkan kacang dalam acara ‘asing kekacang’ yang diadakan.

Acara yang mencabar bagi kaum wanita mengasingkan kekacang dengan menggunakan chopstik.

Pada sebelah petang, urus setia bersama sukarelawan dan orang kampung berhimpun sambil mengaminkan doa dibacakan oleh Jais Mariappan sebelum menziarahi penduduk Kampung Behor Gelam.

Urus setia, sukarelawan dan sebahagian orang kampung bersedia untuk menziarahi penduduk kampung dengan membawa bakul makanan.

Penduduk kampung membawa Jais Mariappan ziarah dengan menggunakan motosikal.

Jais Mariappan menyampaikan pek makanan asasi kepada penduduk kampung.

Naszri menyampaikan pek makanan tajaan MAIWP kepada penduduk kampung berbangsa Siam.

Hashimah bersama rombongan ziarah menyampaikan pek makanan asasi kepada penduduk kampung.

Jais Mariappan menyampaikan pek makanan tajaan MAIWP kepada penduduk Kampung Behor Gelam.

Fatin Akmal menyampaikan sumbangan pek makanan asasi tajaan MAIWP kepada penduduk kampung.

Azura bersama PERKIM Perlis menyampaikan pek makanan asasi tajaan kepada penduduk kampung.

Penduduk kampung menerima pek makanan tajaan MAIWP daripada Azura dan PERKIM Perlis.

Azura bersama PERKIM Perlis menziarahi penduduk kampung sambil menyampaikan pek makanan asasi tajaan MAIWP.



