Zaidi Ramli, Shah Kirit Jayakan SKOP Bertajuk ‘Andainya Ini Ramadan Terakhirku’
oleh: SRZ
SEREMBAN, 20 MAC 2025 – “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan kerana memilih Seremban sebagai lokasi pertama di luar Kuala Lumpur.
“Surau Al-Fatihin juga turut berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama sekali gus menjadi tuan rumah,” kata Setiausaha Kehormat PERKIM Bahagian Negeri Sembilan, Aslam Nawabdin.
Aslam berkata ketika menyampaikan ucapannya aluannya di program Siri Kuliah Dakwah Perdana (SKOP) Siri Ke-16 bertempat di Surau Al-Fatihin, Taman Dusun Nyior dekat sini pada pagi Khamis.
Seramai lebih 350 orang yang hadir terdiri daripada Ahli PERKIM Bahagian Negeri Sembilan, Penduduk Taman Dusun Nyior serta mahasiswa Management and Science University (MSU) dan Universiti Islam Selangor (UIS).
Pegawai Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, Nur Syahirah Musa membuka tirai selaku pengacara majlis manakala Muhammad Jais Mariappan Abdullah memimpin bacaan doa.
Menurut Aslam, beliau mewakili Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Sembilan, YBhg Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim menyampaikan salam hormat kepada hadirin kerana tidak dapat hadir disebabkan mempunyai komitmen lain.
Aslam mengharapkan SKOP ke-16 ini akan memberi manfaat, terutama dalam persiapan Ramadan sekali gus mengambil peluang untuk bermuhasabah diri.
Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor memulakan ucapannya dengan menekankan kepentingan bercakap secara ringkas, terutama dalam bulan Ramadan, bagi menjaga pahala.
Beliau menegaskan bahawa PERKIM bukan sekadar organisasi untuk orang Melayu, tetapi terbuka kepada pelbagai kaum dan bahasa. PERKIM yang diasaskan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bertujuan untuk memperkukuh persaudaraan Islam tanpa mengira bangsa.
Kata Dr Yusof Noor, program ini dikenali sebagai SKOP diadakan setiap bulan sebagai platform dakwah dan penyebaran ilmu Islam.
Ia bukan hanya untuk umat Islam tetapi juga terbuka kepada bukan Islam yang ingin mengetahui tentang Islam.
Beliau turut menekankan pentingnya dakwah dilakukan dengan cara yang harmoni dan tanpa perbalahan, kerana perbalahan boleh menghalang penyebaran Islam.
Tan Sri Setiausaha Agung PERKIM juga mengingatkan bahawa Islam bukan hanya milik orang Melayu tetapi untuk sesiapa sahaja yang mendapat hidayah.
Beliau memuji PERKIM Negeri Sembilan kerana menjadi perintis dalam menganjurkan SKOP di peringkat negeri dan berharap program ini dapat diperluaskan ke negeri-negeri lain.
Kejayaan SKOP di Seremban menunjukkan minat masyarakat terhadap ilmu Islam dan perpaduan antara kaum.
Beliau turut mengingatkan tentang kepentingan sepuluh malam terakhir Ramadan yang penuh keberkatan, di mana umat Islam digalakkan memperbanyakkan ibadah dan doa untuk mencari malam Lailatulqadar.
Tan Sri menyeru semua untuk meningkatkan amalan ibadah, berdoa dengan bersungguh-sungguh, dan tidak hanya mengutamakan persiapan Aidilfitri.
SKOP ke-16 bertajuk ‘Andainya Ini Ramadan Terakhirku’ dipengerusikan oleh Muhammad Jais Mariappan Abdullah.
Ahli panelnya pula disampaikan oleh Mantan Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, YBhg Dato’ Ustaz Mohd Zaidi Ramli serta Presiden Global Unity Network, Shah Kirit Kakulal Govindji.
Jais Mariappan membuka tirai SKOP ke-16 dengan sebuah hadis riwayat Ibnu Hibban: “Barangsiapa yang bertemu dengan bulan Ramadhan tetapi tidak diampunkan baginya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah SWT. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin”.
Beliau juga menekankan kepentingan Ramadan dan bagaimana ia harus dimanfaatkan untuk meningkatkan ketakwaan.
Sementara itu, Dato’ Zaidi menjelaskan bahawa tujuan utama puasa adalah untuk melahirkan insan yang bertakwa.
Katanya, taubat adalah meninggalkan dosa yang telah dilakukan, manakala takwa adalah mengelakkan diri daripada melakukan dosa dan bulan Ramadan mengajar kita untuk menjaga diri daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT.
Jelas Dato’ Zaidi, merujuk kepada Imam al-Ghazali, takwa terdiri daripada beberapa aspek utama iaitu pertama, menjauhi syirik, iaitu tidak menyekutukan Allah; kedua, menghindari bidaah atau perkara yang tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW; ketiga, menjauhi maksiat, termasuk dosa zahir dan batin seperti riak, dengki, serta khianat serta keempat, mengelakkan pembaziran dalam perkara yang harus, seperti membeli makanan secara berlebihan di bazar Ramadan.
Dato’ Zaidi juga menekankan kesan positif takwa, termasuk memperoleh taufik daripada Allah, iaitu keinginan untuk melakukan kebaikan di mana Allah menyempurnakan amalan mereka yang bertakwa dan menerima ibadah mereka.
Beliau turut menegaskan kepentingan tidak berlebih-lebihan dalam perkara duniawi dan sebaliknya membantu golongan yang memerlukan.
Katanya, Ramadan adalah masa untuk membina ketakwaan dengan menjauhi syirik, bidaah, maksiat, serta sikap berlebih-lebihan dalam perkara harus.
“Dengan berpegang kepada prinsip ini, umat Islam dapat meningkatkan kualiti ibadah dan memastikan Ramadan benar-benar menjadi bulan penyucian jiwa serta peningkatan iman.
“Umat Islam diangkat oleh Allah sebagai umat yang mulia dengan tanggungjawab mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
“Cara terbaik untuk melaksanakan tugas ini adalah dengan memberikan contoh yang baik dalam kehidupan seharian.
“Dalam Islam, keimanan diumpamakan seperti pokok yang mempunyai cabang-cabangnya, yang mana semakin subur cabang-cabang ini, semakin kukuhlah iman seseorang.
“Selain ibadah khusus seperti solat dan puasa, antara cabang iman yang penting adalah berbuat baik kepada ibu bapa tanpa mengira agama mereka.
“Kebaikan ini bukan sahaja melaksanakan tanggungjawab sebagai anak, tetapi juga boleh menjadi sebab hidayah bagi ibu bapa yang belum memeluk Islam,” jelas Dato’ Zaidi.
Sebagai umat Islam, kita harus menampilkan akhlak yang baik agar orang bukan Islam tidak memandang serong terhadap agama ini. Banyak contoh menunjukkan bagaimana akhlak mulia seseorang mualaf menarik perhatian ahli keluarga mereka terhadap Islam.
Katanya, budaya amar makruf nahi mungkar harus diterapkan dengan penuh hikmah dan kelembutan agar masyarakat dapat menerima dakwah dengan hati terbuka.
Jika umat Islam dapat menonjolkan contoh terbaik dalam kehidupan seharian, insya-Allah masyarakat akan lebih mudah mendapat hidayah dan Islam akan terus berkembang dengan cara yang harmoni.
Shah Kirit selaku panelis kedua berkata, berpuasa merupakan salah satu ibadah yang sangat penting dalam Islam, tidak kira sama ada seseorang itu dilahirkan sebagai Muslim atau seorang mualaf yang baru memeluk agama Islam.
Cabaran utama bagi mualaf dalam belajar berpuasa adalah menyesuaikan diri dengan amalan menahan lapar dan dahaga sepanjang hari, namun dengan keyakinan dan usaha, mereka dapat melaluinya dengan baik.
Kata Shah Kirit lagi, Islam menuntut umatnya berusaha melakukan yang terbaik mengikut kemampuan masing-masing.
Jika seorang mualaf belum mampu berpuasa penuh sebulan, mereka boleh bermula secara berperingkat, seperti berpuasa setengah hari dahulu dan secara beransur-ansur meningkat ke tahap penuh.
Tambah beliau, selain menahan diri daripada makan dan minum, puasa juga melibatkan penjagaan anggota badan dan hati daripada perkara yang dilarang, seperti mengumpat dan berprasangka buruk.
Ujarnya, dengan latihan dan kesedaran, seseorang itu dapat meningkatkan tahap ketakwaannya kepada Allah.
“Umat Islam yang lahir dalam keluarga Islam sudah biasa berpuasa sejak kecil, tetapi bagi mualaf, ia mungkin sesuatu yang baharu dan mencabar,” kata beliau.
Oleh itu, sokongan daripada masyarakat Muslim amat penting dalam membantu mereka menjalani ibadah ini dengan lebih mudah.
Jais Mariappan menyeru kepada hadirin supaya dapat meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama mualaf kerana mereka mungkin tiada tempat untuk diraikan disebabkan keluarga mereka masih bukan Muslim.
“PERKIM sering menganjurkan sambutan Hari Raya khas bagi mualaf agar mereka dapat merasakan kemeriahan Syawal bersama saudara seagama.
“Ini membuktikan bahawa Islam adalah agama yang penuh kasih sayang dan sentiasa menyantuni sesiapa sahaja yang berusaha mendekatinya,” kata Jais Mariappan mengakhiri SKOP.
Di atas tanda penghargaan, Dr Yusof Noor berkesempatan menyampaikan cenderahati kepada dua panelis SKOP, Dato’ Zaidi dan Shah Kirit.
Dr Yusof Noor turut menyampaikan sumbangan cek cura bantuan peralatan kesihatan untuk asnaf PERKIM Bahagian Negeri Sembilan sebanyak RM10,000 tajaan Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kepada YBhg Dato’ Haji Ibrahim Che Mat selaku Pengerusi PERKIM Cawangan Jelebu.
Aslam turut menyampaikan cenderahati hamper kuih raya kepada Dr Yusof Noor manakala Dr Yusof Noor menyampaikan cenderahati PERKIM kepada Aslam.
Majlis berakhir dengan sesi fotografi dan salam-bersalaman sesama hadirin.
Sesi pendaftaran SKOP ke-16 bertajuk “Andainya Ini Ramadan Terakhirku”.
Dr Yusof Noor bersalaman bersama saudara baharu yang hadir di program SKOP.
Antara Ahli PERKIM Bahagian Negeri Sembilan, mahasiswa MSU dan penduduk setempat yang hadir.
Nur Syahirah Musa selaku pengacara majlis SKOP ke-16.
Ustaz Jais Mariappan memimpin bacaan pembuka majlis.
Barisan tetamu kehormat, ahli panel dan peserta menadah tangan ketika doa dibacakan.
Aslam selaku Setiausaha PERKIM Negeri Sembilan menyampaikan ucapan aluan.
Menurut Aslam, Surau Al-Fatihin juga turut berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama sekali gus menjadi tuan rumah.
“Program ini dikenali sebagai SKOP diadakan setiap bulan sebagai platform dakwah dan penyebaran ilmu Islam,” kata Dr Yusof Noor.
Dr Yusof Noor memuji PERKIM Negeri Sembilan kerana menjadi perintis dalam menganjurkan SKOP di peringkat negeri.
Ustaz Jais Mariappan mempengerusikan SKOP dalam bentuk forum.
Dato’ Zaidi berkata Ramadan adalah masa untuk membina ketakwaan dengan menjauhi syirik, bidaah, maksiat, sikap berlebih-lebihan serta beramallah seolah-olah kita akan mati esok hari.
Peserta mendengar majlis ilmu yang disampaikan oleh barisan ahli panel.
Menurut Shah Kirit, dengan latihan, kesedaran dan keinsafan seseorang itu dapat meningkatkan tahap ketakwaannya kepada Allah.
Salah seorang mualaf mengajukan soalan dalam sesi soal jawab.
Dr Yusof Noor menyampaikan hadiah cenderahati kepada Dato’ Zaidi.
Shah Kirit menerima hadiah cenderahati daripada Dr Yusof Noor.
Dr Yusof Noor menyampaikan sumbangan cek cura bantuan peralatan kesihatan untuk asnaf PERKIM Negeri Sembilan sebanyak RM10,000 tajaan Yayasan Taqwa kepada Dato’ Ibrahim Che Mat.
Dr Yusof Noor menyampaikan cenderahati PERKIM kepada Aslam.
SKOP ke-16 menutup tirainya dengan sesi fotografi bersama tetamu kehormat, barisan ahli panel dan peserta.