Aktiviti Dakwah

150 Mualaf Terima Duit Raya Aidilfitri PERKIM

ᵒˡᵉʰ: ˢᴿᶻ

𝗞𝗨𝗔𝗟𝗔 𝗟𝗨𝗠𝗣𝗨𝗥, 𝟮𝟲 𝗠𝗔𝗖 𝟮𝟬𝟮𝟱 – “Pentingnya komunikasi dalam Islam, terutama dalam kalangan saudara baharu yang berlainan bangsa dan bahasa,” kata 𝗬𝗕𝗵𝗴 𝗧𝗮𝗻 𝗦𝗿𝗶 𝗗𝗿 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗬𝘂𝘀𝗼𝗳 𝗡𝗼𝗼𝗿, 𝗦𝗲𝘁𝗶𝗮𝘂𝘀𝗮𝗵𝗮 𝗔𝗴𝘂𝗻𝗴 𝗞𝗲𝗵𝗼𝗿𝗺𝗮𝘁 Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM).

“PERKIM perlu mengenal pasti mereka yang kurang memahami bahasa Melayu agar dapat menyampaikan ilmu Islam dengan lebih berkesan.

“Komunikasi yang baik akan mewujudkan kemesraan dan memperkukuhkan persaudaraan sesama Muslim,” ucap beliau.


Dr Yusof Noor berucap ketika menyampaikan ucapan amanat di Majlis Penyampaian Sumbangan Duit Raya Aidilfitri 1446H Kepada Saudara Muslim bertempat di Dewan Seminar, Aras 1, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, dekat sini pada pagi Rabu.

Majlis itu dihadiri seramai 150 yang terdiri daripada saudara baharu berketurunan Cina, India, Sikh, Iban, Kadazan, Bidayuh, Murut serta warga negara dari Filipina, Kemboja, Myanmar dan England.

Dr Yusof Noor dalam ucapannya turut menyentuh tentang kefahaman terhadap ibadah dalam Islam, terutamanya puasa.

Beliau bertanya kepada saudara baharu sama ada berpuasa kerana kehendak sendiri atau hanya mengikut orang lain.

Puasa ini katanya, bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi juga melatih diri mengawal nafsu dan memperbaiki akhlak.

Dari sudut kesihatan, Dr Yusof Noor menjelaskan bahawa puasa membawa banyak manfaat, termasuk membantu mengekalkan kesihatan tubuh badan.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa Islam menggalakkan umatnya menjadi pemberi sumbangan, bukan hanya penerima.

Ujarnya, walaupun ada saudara baharu yang memerlukan bantuan, mereka harus berazam untuk menjadi pemberi suatu hari nanti.

Beliau menekankan konsep syukur atas rezeki yang diterima dan kepentingan menggunakan harta dengan bijak.

Menurut Dr Yusof Noor lagi, kesihatan adalah nikmat terbesar yang harus disyukuri kerana tanpa kesihatan, kekayaan sekalipun tidak bermakna.

Di penghujung ucapan, beliau mengingatkan bahawa kehidupan dunia adalah persediaan untuk kehidupan akhirat.

Beliau menasihatkan agar setiap Muslim berusaha menjadi insan yang lebih baik setiap hari dan memastikan amal ibadah mereka menjadi bekalan selepas mati.

“Saya berharap agar semua hadirin diberikan kesihatan dan peluang untuk terus berpuasa serta beribadah pada masa akan datang. Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin,” kata Dr Yusof Noor mengakhiri ucapannya.

Sebelum itu, saudara baharu diberi santapan rohani dalam sesi tazkirah perdana disampaikan oleh pendakwah bebas, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗙𝗮𝗶𝘇 𝗢𝘀𝗺𝗮𝗻.

Ustaz Faiz dalam takzirahnya berkata, apabila menjelang hari kiamat, tiada lagi sahabat yang dapat membantu satu sama lain kecuali mereka yang bertakwa.

Walaupun seseorang itu kaya, jika hatinya tidak ikhlas dan tidak tunduk kepada Allah, dia tetap akan menghadapi azab-Nya.

Di akhirat, manusia sanggup melepaskan ahli keluarga mereka ke dalam neraka demi memasuki syurga, namun Allah menegaskan bahawa pada hari itu, segala penebusan tidak lagi berguna.

Oleh itu, manusia harus berusaha mendapatkan syurga dengan ilmu dan amal soleh, bukan sekadar menanti bantuan atau ganjaran duniawi.

Jelas beliau lagi, Imam Ahmad bin Hanbal menegaskan bahawa selagi seseorang belum masuk syurga, dia tidak layak berehat.

Begitu juga dengan mualaf, mereka adalah golongan yang hatinya telah dijinakkan oleh Allah dan ilmu sangat penting dalam membimbing mereka.

Islam bukan sekadar lafaz syahadah tetapi memerlukan usaha berterusan dalam menuntut ilmu dan beramal.

Tambah Ustaz Faiz, Nabi Muhammad SAW sendiri menghadapi banyak cabaran, namun baginda mengajarkan bahawa dalam kesusahan, seseorang harus memperbanyakkan tasbih dan solat.

Dalam Ramadan, kita sering bersemangat di awalnya, namun semakin lama, ramai mula lalai.

Beliau menegaskan mualaf agar memperbanyakkan lagi ibadah di malam-malam terakhir Ramadan untuk berpeluang mendapat Lailatul Qadar, yang lebih baik daripada seribu bulan.

Ustaz Faiz juga berpesan supaya jangan sia-siakan Ramadan dengan hanya mengejar kegembiraan Syawal, sebaliknya manfaatkan waktu yang berbaki untuk beribadah dan memperbaiki diri.

Majlis diserikan lagi dengan penyampaian duit raya Aidilfitri kepada 150 saudara baharu disampaikan oleh Dr Yusof Noor diiringi Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun dan Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin.

Menurut salah seorang saudara baharu, Khadijah Chan, menerima duit raya pada Hari Raya Aidilfitri adalah satu pengalaman yang sangat menggembirakan dan penuh makna. Ia bukan sekadar tentang nilai wang yang diterima, tetapi lebih kepada rasa dihargai, diterima, dan disayangi oleh komuniti Muslim.

Firdaus Pompeyos pula berpendapat, duit raya melambangkan semangat memberi dalam Islam, yang menggalakkan umatnya untuk berkongsi rezeki dan menggembirakan sesama Muslim, terutama golongan yang memerlukan.

Kata seorang lagi saudara baharu, Noorazlina Abdullah, pemberian duit raya ini juga menjadi motivasi untuk terus berusaha memperbaiki diri dalam agama dan kehidupan.

Namun, lebih daripada sekadar menerima, saudara baharu juga haruslah berazam untuk suatu hari nanti menjadi pemberi pula supaya dapat berkongsi rezeki dengan orang lain seperti mana mereka pernah dibantu.

Duit raya mungkin tidak banyak, tetapi ia membawa kebahagiaan dan memberi makna bahawa kita sebahagian daripada keluarga besar Islam.

Semoga dengan rezeki yang diterima, kita dapat menggunakannya dengan baik dan terus berusaha menjadi Muslim yang lebih baik di masa hadapan.


Pendakwah bebas, Ustaz Faiz membuka tirai majlis dengan takzirah perdana di hadapan 150 mualaf.


Mualaf pelbagai bangsa hadir bagi penerimaan duit raya Aidilfitri sambil mendengar takzirah yang disampaikan.


Ustaz Faiz menegaskan mualaf agar memperbanyakkan lagi ibadah untuk berpeluang mendapat Lailatul Qadar.


Antara saudara baru yang hadir di majlis tersebut.


Ustaz Faiz berpesan kepada mualaf supaya jangan sia-siakan Ramadan dengan hanya mengejar kegembiraan Syawal bahkan menambahkan amal ibadah.


Dato’ Razali (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Ustaz Faiz.


Ustaz Jais memimpin bacaan doa pembuka majlis.


Saudara baharu menadah tangan ketika doa dibacakan.


Dr Yusof Noor menyampaikan ucapan amanat kepada 150 mualaf pelbagai bangsa.


Dr Yusof Noor menegaskan bahawa Islam menggalakkan umatnya menjadi pemberi sumbangan, bukan hanya penerima dan mereka haruslah berazam untuk menjadi pemberi suatu hari nanti.


Dato’ Abdul Hanif menyampaikan sumbangan duit raya kepada mualaf.


Dr Yusof Noor menyampaikan duit raya Aidilfitri kepada mualaf berbangsa India.


Mualaf berbangsa Cina menerima duit raya Aidilfitri daripada Dr Yusof Noor.


Saudara baharu bergembira ketika menerima duit raya Aidilfitri daripada PERKIM Kebangsaan.


150 saudara baharu bergambar bersama tetamu kehormat PERKIM di akhir majlis.

Related Articles

Back to top button