Mesyuarat Majlis Kebangsaan

Tun Mahathir Pengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan PERKIM Bil.1/62

oleh: SRZ

PUTRAJAYA, 30 APRIL 2024Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bilangan 1/62 bertempat di Yayasan Kepimpinan Perdana dekat sini, pada pagi Selasa.

Mesyuarat tersebut dihadiri oleh Timbalan Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim; Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, YBhg Ustaz Haji Muhammad Fitri Abdullah dan YBhg Prof Dr Ramle Abdullah.


Tun Mahathir di dalam ucapan dasarnya berkata, usia PERKIM telah menjangkau ke 64 tahun sejak penubuhannya oleh Perdana Menteri Malaysia pertama, YTM Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebagai satu gerakan untuk mengembangkan agama Islam.

Katanya lagi, kita harus ingat kepimpinan PERKIM perlu disusun dengan muka-muka baru dengan persediaan untuk menggerakkan hala tuju dakwah.

Tambah beliau, tidak lama lagi umur saya akan mencapai 99 tahun, sekiranya saya tidak lagi memimpin PERKIM, tetapi agenda PERKIM mesti diteruskan.

“PERKIM adalah satu gerakan dakwah dan kita lebih utamakan acara-acara yang tidak berkesan daripada segi dakwah Islamiah.

“Kita dapati di Malaysia ini di mana ramai penduduk bukan Islam tertarik dengan agama lain selain Islam.

“Kita perlu tahu kenapa orang bukan Islam di Malaysia banyak memilih agama lain selain daripada Islam sedangkan negara Malaysia dikuasai oleh orang Islam yang mempunyai banyak ruang dan peluang untuk mengembangkan agama Islam.

“Di Malaysia, walaupun negara kita ditadbir dan diurus oleh orang Islam, tetapi orang Islam tidak menarik penganut yang baru sebaliknya lebih tertumpu kepada nasib di akhirat.

“Usaha untuk mengembangkan agama Islam agak berkurangan kerana kita tidak nampak itu sebagai satu tugas kita,” ujar Tun Mahathir.

“Saya sudah menjemput pendakwah-pendakwah dan meminta mereka tunjukkan cara berdakwah supaya lebih menarik minat orang bukan Islam.

“Walaupun ilmu agama dan pengetahuan agama saya agak cetek dan tidak mendalam, saya fikir tumpuan PERKIM pada dakwah bukan sahaja perlu dikembangkan malah kita mahu supaya agama Islam itu diterima oleh orang bukan Islam sebagai agama yang baik.

“Kita perlu banyakkan aktiviti gerakan iaitu majlis syarahan berkenaan dengan agama dengan memilih syarahan agama yang memberi panduan kepada kita berkenaan dengan ajaran agama Islam yang sebenar.

“Saya dapati ajaran dan tafsiran orang-orang agama dengan ulama-ulama tidak sama di antara mereka yang menyebabkan mereka berpecah dan tidak ada perpaduan.

“Sebaliknya, Nabi Muhammad SAW memperkenalkan agama Islam dengan tujuan untuk menyatu padukan suku-suku kaum di kalangan orang Arab.

“Saya dapati, kita lebih utamakan pendapat kita sendiri supaya kita anggap orang yang dapat pelajaran agama daripada pihak lain sebagai tidak betul.

Tun Mahathir turut berpesan supaya berjaga-jaga dan menuntut ilmu berlandaskan dengan ajaran Islam sebenar supaya tidak mudah terpesong dengan ajaran-ajaran lain yang kononnya adalah ajaran Islam tetapi ia merupakan ajaran yang sesat.

Selain itu, mesyuarat turut membentang dan meluluskan Minit Mesyuarat Majlis Bilangan 3/61 lalu serta membentangkan perkara-perkara berbangkit.

Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun turut membentang Penyata dan Laporan Kewangan Semasa bagi tempoh sehingga 31 Disember 2023.

Mesyuarat juga turut membentangkan kertas cadangan Pusat Kaunseling PERKIM Kebangsaan, Laporan Semasa Jawatankuasa Petugas Khas Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) Kota Bharu.

Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Mohamad Nordin Ibrahim turut membentangkan Laporan Perkembangan Projek Dakwah Digital PERKIM Kebangsaan manakala Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor membentangkan Kertas Makluman Laporan Semasa Bangunan PERKIM, Laporan Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan kali ke-61, Laporan Keahlian serta Kewangan Semasa PERKIM Bahagian.

Mesyuarat ditangguhkan dengan hidangan jamuan makan Hari Raya Aidilfitri.

Turut hadir ialah Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, YBhg Dato’ Sri Hajah Rohani Abdul Karim, YBhg Dr Nur’azah Dato’ Abdul Manaf, YBhg Dr Haji Ann Wan Seng, YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa, YBhg Datuk Haji Ali Ab. Majid, YBhg Tuan Haji Hushim Haji Salleh, YBhg Tan Sri Dr Ismail Ibrahim, YBhg Tuan Haji Mohamad Shaiful Bahri Abdullah, YBhg Dato’ Haji Khairi Hasan dan YBhg Datin Paduka Hajah Norsiah Harun.


Mesyuarat dimulakan dengan bacaan doa.


Yang Dipertua PERKIM, Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan dasar di mesyuarat tersebut.


Tun Mahathir menggesa usaha untuk mengembangkan agama Islam kerana akhir-akhir ini orang yang memeluk Islam dilihat berkurangan.


Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Sembilan, YBhg Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim menyatakan pandangannya kepada mesyuarat.


Antara wajah-wajah Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM yang hadir di mesyuarat tersebut.


Pandangan dan cadangan untuk diteliti oleh sidang mesyuarat.


Tun Mahathir mendengar pandangan dan cadangan yang dikemukan oleh Ahli Majlis Kebangsaan.


Mesyuarat Majlis Kebangsaan PERKIM Bil.1/62 bersidang.


Dr Mohd Yusof Noor membentangkan Kertas Makluman Laporan Semasa Bangunan PERKIM dan Laporan Keahlian PERKIM.


Prof Dr Ramle Abdullah membentangkan Laporan Semasa Jawatankuasa Petugas Khas Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) Kota Bharu.


Ahli Majlis Kebangsaan menonton video Sumbangan Pembinaan Semula Asrama IDIP Kota Bharu.


Tun Mahathir memberi sumbangan ketika petugas membawa tabung sumbangan IDIP Kota Bharu.


Ahli Majlis Kebangsaan bergambar selepas selesai mesyuarat.


Ahli majlis menikmati juadah makanan Hari Raya Aidilfitri.


Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM berkesempatan bergambar ketika menikmati juadah bersama Tun Mahathir.

Back to top button