Aktiviti Kebajikan

PERKIM Ziarah, Santuni Penduduk Kampung Krudda Sempena Deepavali

ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ

𝐒𝐔𝐍𝐆𝐀𝐈 𝐒𝐈𝐏𝐔𝐓, 𝟏𝟕 𝐎𝐊𝐓𝐎𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Dalam mereka bersemangat meraikan perayaan cahaya tidak lama lagi, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menganjurkan Program Ziarah Muhibbah Masyarakat Majmuk India di Kampung Ladang Sungai Krudda, dekat sini, pada petang Jumaat.

Program tersebut menjadi kesinambungan kepada usaha PERKIM menyemarakkan nilai kasih sayang, keprihatinan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini, khususnya sempena sambutan Deepavali yang diraikan masyarakat India di seluruh negara.


Menurut 𝐏𝐞𝐧𝐲𝐞𝐥𝐚𝐫𝐚𝐬 𝐏𝐫𝐨𝐠𝐫𝐚𝐦, 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 𝐉𝐚𝐢𝐬 𝐌𝐚𝐫𝐢𝐚𝐩𝐩𝐚𝐧 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡, inisiatif ziarah kasih ini bukan sahaja bertujuan menyampaikan bantuan kebajikan kepada golongan yang memerlukan, tetapi juga sebagai wadah mendekati masyarakat bukan Islam dengan semangat kemanusiaan malah ia secara tidak langsung dapat menghormati antara agama.

“Program ini adalah manifestasi kepada dakwah bil hal yang ditekankan oleh PERKIM dalam menyantuni masyarakat melalui tindakan dan bukan sekadar kata-kata.

“Dalam suasana Deepavali yang membawa erti cahaya menyinari kegelapan, kami hadir demi menyalakan sinar kasih sayang dan keprihatinan sesama manusia,” kata Ustaz Jais Mariappan.

Tambah beliau, selain menghulurkan bantuan berbentuk barangan keperluan asas, matlamat utama program ini ialah membina jambatan persaudaraan antara masyarakat Islam dan bukan Islam, di samping menunjukkan bahawa Islam adalah agama rahmat yang membawa kesejahteraan untuk semua.

“Ziarah ini mengajak kita semua untuk melihat persamaan, bukan perbezaan. Dalam Islam, berbuat baik kepada jiran dan masyarakat tanpa mengira latar belakang adalah satu tuntutan.

“Kami mahu penduduk tempatan merasai bahawa kami datang bukan sebagai pemberi, tetapi sebagai saudara yang prihatin dan ingin berkongsi kegembiraan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa usaha turun padang seperti ini mampu memecahkan jurang sosial dan prasangka antara kaum.

Apabila masyarakat Islam tampil dengan keikhlasan membantu, persepsi terhadap Islam sebagai agama yang penuh kasih dan tolak ansur akan semakin kukuh.

“Perpaduan tidak datang dengan slogan, tetapi melalui tindakan kecil yang menghubungkan hati manusia.

“Program seumpama ini perlu dijadikan budaya, bukan sekadar aktiviti bermusim,” kata Ustaz Jais Mariappan dengan penuh harapan.

Program yang bermula pada tiga petang itu diketuai sendiri oleh Ketua Komuniti Kampung Krudda, Pandian Krishnan, bersama pasukan urus setia dan sukarelawan PERKIM.

Sebanyak 50 bakul makanan asas telah diagihkan kepada keluarga terpilih hasil sumbangan MAIWP.

Antara barangan yang disumbangkan termasuk beras, gula, minyak masak, teh, biskut, bihun, mi segera, sardin, susu pekat manis dan pelbagai barangan dapur lain yang menjadi keperluan harian.

Setiap rumah yang diziarahi disambut mesra oleh penduduk kampung yang menzahirkan rasa syukur dan terharu atas keprihatinan PERKIM terhadap komuniti mereka.

Suasana penuh kemesraan itu menggambarkan keindahan nilai kemanusiaan yang melangkaui sempadan agama dan bangsa.

“Penduduk menyambut kami dengan senyuman dan keramahan yang sangat tulus.

“Sambutan mereka menyerlahkan keindahan hubungan antara kaum dan membuktikan bahawa kasih sayang itu bahasa sejagat yang difahami semua,” kata Ustaz Jais Mariappan.

Program ziarah kasih yang berakhir sekitar jam 4.30 petang meninggalkan kesan mendalam dalam hati semua peserta.

Selain berjaya menghulurkan bantuan kepada keluarga yang memerlukan, aktiviti itu turut memperlihatkan nilai perpaduan nasional dan dakwah bil hal yang menjadi teras perjuangan PERKIM sejak penubuhannya.

Melalui pelaksanaan program ini, masyarakat dapat menyaksikan bagaimana nilai-nilai Islam diaplikasikan dalam bentuk tindakan, bukan sekadar teori atau ceramah.

Pendekatan yang lembut, penuh hormat dan kasih sayang telah memperlihatkan Islam sebagai agama rahmat dan kemanusiaan sejagat.

Ustaz Jais Mariappan menegaskan bahawa kejayaan program tersebut membuktikan kerja-kerja lapangan berasaskan keikhlasan dan kerjasama antara agama serta budaya mampu memperkukuh keharmonian sosial.

“Apabila kita mendekati masyarakat dengan hati terbuka, tanpa prejudis, mereka juga membuka hati untuk mengenali kita. Inilah erti sebenar dakwah yakni mengajak melalui contoh, bukan dengan tekanan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bersama menjayakan program ini termasuk MAIWP, komuniti Kampung Krudda, sukarelawan PERKIM negeri Perak serta urus setia PERKIM Kebangsaan yang bertungkus-lumus menjayakan misi kebajikan tersebut.

Antara yang hadir ialah Mohd Hani Waran Abdullah, Pembantu Tadbir PERKIM Perak; Ustaz Mohd Firdaus Shahrudin, Pengerusi PERKIM Cawangan Batu Gajah; Muhammad Aqil Amiruddin, Naib 2 Majlis Belia PERKIM Cawangan Batu Gajah serta Muhammad Adam, Pengerusi Belia Kampung Polah, Ipoh.

Turut hadir memeriahkan program ialah urus setia PERKIM Kebangsaan iaitu Rohaiza Mohamed Tan, Azura Abdul Rahman, Fatin Akmal Aksah dan Mohamad Fardly Johan, yang membantu menyelaraskan perjalanan aktiviti dengan penuh dedikasi.

Para sukarelawan bersama penduduk kampung berganding bahu dalam suasana harmoni, menyampaikan bakul sumbangan sambil beramah mesra dengan keluarga yang dikunjungi.

Momen ini bukan sahaja mengeratkan hubungan, malah membuka ruang dialog yang lebih baik antara masyarakat Islam dan bukan Islam.

“Program ini secara tidak langsung berjaya mencapai objektifnya dan ianya bukan sekadar menyalurkan bantuan material, tetapi menzahirkan makna sebenar perpaduan serta nilai ihsan yang diajar dalam Islam.

“Semoga program seumpama ini terus diperluaskan ke daerah-daerah lain agar cahaya perpaduan dan sinar kasih sayang terus bersinar di seluruh pelusuk tanah air.

“Ia tidak seharusnya terhenti pada musim perayaan, tetapi dijadikan amalan berterusan,” ujar Ustaz Jais Mariappan menutup bicara.

Dengan semangat gotong-royong dan kepedulian sosial yang ditunjukkan, PERKIM sekali lagi membuktikan komitmennya untuk menjadi penghubung keharmonian antara agama dan bangsa mendukung aspirasi Malaysia Madani yang menyanjung nilai kebajikan, perpaduan dan kemanusiaan sejagat.

Pada sebelah malam pula, rombongan ziarah berkesempatan melawat Pertubuhan Informasi Islam Negeri Perak (PIIN) yang diasaskan pada tahun 2016 oleh Ustaz Mohamad Noor PK Osman.

Pusat tersebut merupakan contoh unggul pusat dakwah dan pendidikan yang berperanan memperkasakan komuniti mualaf.

Tanah yang menjadi tapak PIIN diwakafkan oleh beliau atas iltizam menyebarkan ilmu dan memperkukuh hubungan kemasyarakatan berteraskan nilai Islam.

PIIN menganjurkan pelbagai aktiviti seperti kelas Fardu Ain dan bimbingan mualaf, sambutan hari kebesaran Islam, serta program komuniti yang membina kefahaman dan semangat perpaduan.

Digerakkan oleh tenaga pengajar sukarelawan dengan sokongan seorang dermawan tetap, PIIN turut menjalin kerjasama erat dengan Pejabat Agama Islam Negeri Perak bagi memastikan programnya selaras dengan dasar dakwah negeri.

Pusat yang dibiayai melalui sumbangan masyarakat, menjadi lambang keikhlasan dan semangat kebersamaan dalam memperkukuh syiar Islam serta membina komuniti mualaf yang berilmu, berakhlak dan berdaya tahan.

 


Ustaz Jais Mariappan bersama sukarelawan membawa beg makanan yang mengandungi beras, gula, minyak masak, teh, biskut, bihun, mi segera, sardin, susu pekat manis untuk disumbangkan kepada masyarakat India Kampung Krudda.

 


Ziarah kasih ini bukan sahaja bertujuan menyampaikan bantuan kebajikan kepada golongan yang memerlukan, tetapi juga sebagai wadah mendekati masyarakat bukan Islam.

 


Dalam suasana Deepavali yang membawa erti cahaya menyinari kegelapan, PERKIM hadir demi menyalakan sinar kasih sayang dan keprihatinan sesama manusia.

 


Ziarah ini secara tidak langsung membina jambatan persaudaraan antara masyarakat Islam dan bukan Islam.

 


Program ziarah ini mengajak kita semua untuk melihat persamaan, bukan perbezaan.

 


Kami mahu penduduk Kampung Krudda merasai bahawa PERKIM datang bukan sebagai pemberi, tetapi sebagai saudara yang prihatin dan ingin berkongsi kegembiraan.

 


Usaha ziarah muhibbah seperti ini mampu memecahkan jurang sosial dan prasangka antara kaum.

 


Ketua Komuniti Kampung Krudda, Pandian Krishnan (kiri) mengetuai rombongan ziarah rumah masyarakat India Kampung Krudda.

 


Apabila kita mendekati masyarakat dengan hati terbuka dan tanpa prejudis, mereka juga membuka hati untuk mengenali kita.

 


Pada sebelah malam, urus setia PERKIM berkesempatan melawat PIIN yang diasaskan oleh  Ustaz Mohamad Noor PK Osman.

 


Ustaz Mohamad Noor PK Osman menunjukan antara beberapa aktiviti yang dilaksanakan oleh PIIN.

Related Articles

Back to top button