Aktiviti Dakwah

PERKIM Sertai Program Amal Bina Masjid Pensiangan

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (at-Taubah : 71)

Baru-baru ini Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menyertai Majlis Makan Amal Masjid Pensiangan, Sabah bertempat di Dewan Utama, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Bandar Seri Iskandar, Tronoh, Perak pada 28 Mac 2014 lalu.

Program anjuran Pusat Islam An-Nur UTP dan Rakan Masjid UTP itu dihadiri lebih 100 tetamu terdiri daripada mahasiswa UTP, Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Universiti Selangor (UniSEL), Saudara Muslim dari Kampung Padang Sepulut dan Pensiangan Sabah.

Program itu turut mendapat sumbangan daripada Pejabat Menteri Besar Perak dan Masjid Seri Iskandar Perak, Masjid Batu Gajah Perak.

hamidah-ismailPenolong Pegawai Kewangan Perkim, Hamidah Ismail berkata, Perkim menyertai program tersebut kerana ianya merupakan susulan daripada program Ziarah Syahadah Perkim Ke Bumi Sabah yang telah diadakan pada Januari 2014 lalu di mana Pensiangan merupakan salah satu tempat yang telah diziarahi.

Program itu diadakan bagi mengumpul dana untuk mendirikan Masjid Syahadatul Muttaqin di Pensiangan di mana ianya di dalam proses pembinaan dan masih memerlukan dana untuk menampung kos pembinaannya.

Ianya diadakan untuk mengeratkan ukhwah persaudaraan dan silaturahim antara mereka sesama Saudara Muslim yang didatangkan khas dari pedalaman Sabah.

Jelas Hamidah, beliau turut diberitahu Saudara Muslim pedalaman Sabah tersebut juga telah di bawa melawat ke sekitar Kuala Lumpur dan Negeri Perak.

Hamidah turut menyampaikan sumbangan Perkim sebanyak RM1000 kepada Ustaz Mohd. Fadli Yusof bagi pembinaan masjid di Pensiangan.

Sebelum itu, Pengerusi Perkim Cawangan Bukit Damansara, Hj. Abdul Hanif Harun telah menyampaikan sumbangan RM1000 bagi membeli sebuah meja di majlis tersebut.

Majlis diserikan lagi dengan persembahan nasyid dan qasidah daripada kumpulan Diwani, Qasidah UTP dan Ustaz Muaz Ya Hannan.

ustaz-fadli-yusofPendakwah Pedalaman Sabah, Ustaz Mohd. Fadli Yusof pula menyampaikan ceramah multimedia mengenai Lambaian Syahadah dan Ekspedisi Iman 2.0 kepada tetamu yang hadir.

Mohd. Fadli dalam ceramahnya berkata, Allah SWT telah memerintahkan kita supaya menyampaikan Islam kerana agama Islam sahajalah yang diredai-Nya serta ia merupakan agama yang selamat di dunia dan di akhirat.

“Agama Islam merupakan agama yang selamat daripada keluh kesah, maksiat, dosa-dosa, kekacauan, peperangan manakala selamat di akhirat pula ialah selamat daripada azab kubur, tersiksa di padang Mahsyar dan api neraka serta kita pulang kepada Allah dengan hati yang sejahtera,” jelasnya.

Katanya, hari akhirat adalah hari di mana harta dan anak-anak tidak berguna lagi melainkan siapa yang kembali kepada Allah dengan membawa hati yang bersih lagi sejahtera.

Jelasnya, beliau memulakan dakwahnya di Pensiangan, Sabah pada Julai 2011 bersama isterinya, Aisyah Nordin selama beberapa bulan dengan menziarahi setiap rumah dan berjumpa setiap penduduk kampung sama ada kenal atau pun tidak kerana majoritinya masih belum Islam.

“Saya menggunakan perkataan ‘belum Islam’ berbanding perkataan ‘bukan Islam’ adalah kerana perkataan ‘belum Islam’ itu kita mengharapkan mudah-mudahan pada suatu masa nanti mereka akan mendapat hidayah dan menerima Islam manakala perkataan ‘bukan Islam’ seolah-oleh kita tidak mahu mereka memeluk Islam,” ujarnya.

Kami menziarahi mereka berkali-kali sambil menyampaikan mesej Islam iaitu Islam datang dengan kasih sayang, kemesraan dan menghilangkan segala kecurigaan sehingga seorang demi seorang menerima Islam.

Sebenarnya dakwah itu seperti kita membuka ladang iaitu permulaannya dengan menebang satu persatu hutan jahiliyyah, kemudian digemburkan tanah-tanah keimanan, dibajai dengan benih-benih akhlak dan akidah serta disirami dengan ilmu-ilmu Islam dan kasih sayang dengan cara berulang-ulang kali supaya ianya tumbuh pohon-pohon ketakwaan serta membuahkan Islam yang sempurna.

Jelasnya lagi, usaha-usaha dakwah bukan semudah seperti yang di sangka kerana ianya memerlukan pengorbanan, kesabaran dan jiwa yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT dengan cara sering menziarahi penduduk kampung berulang-ulang kali dengan menyampaikan Islam sehingga mereka terbuka hidayah untuk menerima Islam sebagai cara hidup.

Jelasnya, ‘Merentas Belantara, Merintis Jalan Ke Syurga’ merupakan tema kembara syahadah di mana usaha-usaha dakwahnya meliputi kawasan Keningau, Nabawan dan juga Pensiangan.

Misi kembara itu memakan masa empat jam setengah dari Kota Kinabalu menuju ke Kampung Padang Sepulut dan rombongan ziarah perlu melalui Kampung Salong menempuhi jalan lori balak, bukit bukau, tanah merah serta merentasi sungai menggunakan perahu selama empat jam setengah untuk tiba di Pensiangan di mana ianya berhampiran sempadan Kalimantan, Indonesia.

Cabaran yang dihadapi untuk menyampaikan Islam ialah ketika air sungai surut pada musim kemarau, ianya memakan masa kira-kira sembilan jam untuk tiba ke Pensiangan kerana penumpang kadang kala perlu turun bagi membetulkan posisi perahu dilaluannya dan kadang kala ia perlu ditolak.

Rintangan yang dilaluinya itu bukannya suatu halangan kerana Rasulullah SAW lebih susah dan payah berdepan dengan suasana seperti ini ketika baginda menyampaikan dakwah dari Mekah berhijrah ke Madinah bagi meneruskan perjuangan Islam.

Konsep berziarah beberapa kali, Allah SWT telah membuka hidayah kepada mereka untuk memeluk Islam mulai November 2011 iaitu seramai lima orang dan ianya kini bertambah seramai 312 orang di akhir Mac 2014.

Jelasnya, Rasulullah SAW berpesan tiga perkara dalam berdakwah iaitu ketika baginda menghantar Muaz bin Jabar pergi ke negeri Syam untuk berdakwah sambil berpesan, ajaklah mereka beriman kepada Allah, didiklah ibadah dan syariat serta jagalah kebajikan mereka.

“Saya tiba di Kampung Padang Sepulut pada Oktober 2011 yang dahulunya tidak ada masjid berbanding tahun 2013 yang mempunyai masjid tersergam indah,” kata Mohd. Fadli.

“Jelasnya, majlis ini bertujuan untuk mengumpul dana bagi masjid kedua yang terletak di Pensiangan sejauh 50 kilometer dari Kampung Padang Sepulut yang dibina masjid pertama iaitu Masjid As-Syahadah.

Kampung Padang Sepulut merupakan pintu keluar masuk bagi kerja-kerja pembalakan telah dibina Masjid As-Syahadah oleh Saudara Muslim kampung itu sendiri di mana mereka sendiri ingin memiliki rumah ibadah untuk menyembah Allah SWT. Mereka membanting tulang berusaha mendirikan masjid kesan daripada pembinaan iman dan pembentukan ibadah serta didikan Islam yang diajarkan kepada mereka.

Jelas Mohd. Fadli, sebelum ini beliau dan isterinya mendidik Saudara Muslim belajar solat di sebuah rumah tetapi ianya tidak muat kerana makin hari semakin ramai yang datang belajar sehingga ada penduduk yang menyarankan supaya mendirikan masjid.

Mereka sanggup bergotong-royong masuk ke dalam hutan menebang kayu untuk membina sebuah masjid yang telah diwakafkan tanahnya oleh Juliah Lindas.

aman-robert-singgahMohd. Fadli turut menceritakan kisah Robert Singgah atau nama Islamnya Abdul Aziz Abdullah (bergambar) dari Kampung Tinanduk yang pada mulanya sangat membenci akan Islam dan orang Islam tetapi kini beliau akan menghalang sesiapa yang cuba menghina Islam berdasarkan hidayah mimpi yang dialami beliau.

“Kejadian itu berlaku apabila Robert yang menganut Kristian Yesus Benar itu pulang dari gereja lalu tertidur akibat keletihan dan bermimpi. Robert telah dihadiri oleh seorang lelaki yang berjubah dan berserban putih memberitahu kepadanya bahawa jangan percaya kepada Yesus Benar kerana ianya tidak benar,” kata Mohd. Fadli.

“Robert di dalam mimpinya itu mahukan penjelasan lalu lelaki berserban itu membawanya ke sebuah tempat yang mempunyai jambatan di mana terdapat dua batang sungai dan di hujungnya terdapat masjid, lalu lelaki berserban itu menunjukkan kepada Robert masjid tersebut dan berkata, masjid itu adalah jalan yang benar,” ceritanya lagi.

Robert dalam mimpinya itu berasa kehairanan lalu menjawab kepada lelaki berserban tersebut masjid itu adalah tempat orang Islam lantas lelaki berserban memberitahu kepadanya bahawa Islam adalah yang benar.

Robert bertanyakan kepada lelaki itu, siapakah kamu? Lelaki di dalam mimpinya itu menjawab, saya ialah Nabi Muhammad.

“Robert kebingungan dan terus mencari saya dan bertanyakan siapakah Nabi Muhammad kerana beliau tidak pernah dengar dan mengetahui mengenai Nabi Muhammad,” jelas Mohd. Fadli.

“Walaupun lebih daripada sepuluh kali berjumpa Robert, beliau masih belum Islam tetapi anak-anak beliau seorang demi seorang telah memeluk Islam dengan hidayah Allah SWT,” ucapnya.

“Apabila pembinaan Masjid As-Syahadah telah selesai dan hendak digunakan pada keesokkan harinya, Robert bergegas dari Kampung Tinanduk ke Kampung Padang Sepulut yang memakan masa selama empat jam dengan menaiki perahu lalu berjumpa saya bersama anak, isteri serta menantu yang telah Islam dan memberitahu saya bahawa itulah masjid yang saya telah lihat di dalam mimpi yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad pada November 2011 lalu,” ulas Mohd. Fadli.

Katanya lagi, masjid tersebut mula dibina pada penghujung tahun 2012 dan ianya mula digunakan pada 9 Februari 2013.

Mohd. Fadli turut bertanya kepada Robert, adakah benar masjid ini yang kamu telah lihat di dalam mimpi? Lantas Robert menjawab: benar, inilah masjid telah saya lihat yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad di dalam mimpi saya.

Bertanya lagi Mohd. Fadli kepada Robert, adakah kamu betul mahu Islam? Robert menjawab, “saya percaya sekarang, saya yakin Islam adalah agama yang benar,” ucap Robert sambil mengucapkan dua kalimah syahadah diikuti oleh isterinya dan disusuli anak-anaknya.

“Saya yakin mimpi Robert adalah benar kerana beliau tiada kepentingan hendak bercerita tentang Nabi Muhammad SAW malah beliau sendiri tidak pernah mendengar nama Nabi Muhammad sebelum ini,” kata Mohd. Fadli.

Oleh sebab umat Islam makin bertambah kerana melihat keindahan syiar Islam di Pensiangan, akhirnya 100 orang memeluk Islam di kawasan yang jauh di hutan itu.

Disebabkan hal yang demikian, Saudara Muslim di situ memerlukan masjid, kerana penduduk di situ menggunakan bangsal budaya untuk belajar solat dan fardu ain yang dilihat tidak sesuai untuk aktiviti beribadah.

Kata Mohd. Fadli, apabila usaha-usaha pembinaan masjid itu sudah dimulakan, maka penduduk berlumba-lumba untuk mewakafkan tanah di mana tapak masjid tersebut berada di tengah-tengah Pensiangan.

Masjid yang diberi nama Masjid Syahadatul Muttaqin itu dimulakan pembinaannya dengan membersihkan tapak dan batu-batu sungai untuk membuat dinding bawah masjid itu telah diangkut oleh rombongan ziarah dari Persatuan Darul Fitrah Bahagian Negeri Terengganu, UTP, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), KUIN, UniSEL.

Melihat suasana yang membawa kepada hidayah kesan daripada aktiviti rombongan ziarah dan mengangkut batu-batu sungai ke tapak masjid, Allah SWT izinkan sebelas orang memeluk Islam pada 11 Februari 2014 lalu.

Ucapnya lagi, kita juga bertuah kerana dihadiri oleh Pamail iaitu seorang bekas paderi yang pernah berkhidmat di dalam agama Kristian selama 24 tahun di 13 buah gereja temasuk gereja di Pensiangan, kini telah memeluk Islam dan sedang menyambung pengajiannya di Institut Dakwah Islamiah Perkim bersama isteri dan anak-anaknya.

“Kita perlu bantu Saudara Muslim membina masjid di mana kos pembinaan diperlukan sebanyak RM200,000 disebabkan perjalanan kos pengangkutan yang sangat jauh dan sukar di pedalaman Sabah,” kata Mohd. Fadli.

Mereka yang ingin turut serta untuk menambah saham akhirat bagi pembinaan Masjid Syahadatul Muttaqin Pensiangan Sabah boleh turut serta menyalurkan ke akaun wakaf Maybank Pusat Pembangunan As Sabah bernombor 564427506145.

Majlis sebelum itu telah dirasmikan oleh Imam Masjid An-Nur UTP, Ustaz Dawi Cahyono Nurdin.

Turut hadir Pegawai Unit Dakwah dan Inovasi Perkim, Siti Munirah Sayed Mohd. Hamdan.

1606
Saudara Muslim pedalaman Sabah berketurunan Murut hadir di majlis tersebut.

2361
Saudara Muslim berketurunan Murut dari Kampung Padang Sepulut dan Pensiangan Sabah diterbangkan khas ke majlis tersebut bagi meraikan mereka.

4243
Antara wakil Perkim yang hadir di majlis tersebut.

6172
Ustaz Mohd. Fadli (dua dari kiri) menghidangkan makanan bagi meraikan Saudara Muslim pedalaman Sabah.

7161
Pendakwah-pendakwah pedalaman Sabah menikmati juadah yang disediakan.

8150
Pendakwah pedalaman Sabah menikmati hidangan sempena Majlis Makan Amal bagi pembinaan Masjid Pensiangan.

15104
Ustaz Mohd. Fadli bersama Ustaz Dawi (tiga dari kiri) memotong kek sempena meraikan Saudara Muslim pedalaman Sabah dan pembinaan Masjid Syahadatul Muttaqin Pensiangan Sabah.

9134
Mohd. Fadli Yusof menyampaikan ceramah multimedia bertajuk Lambaian Syahadah dan Ekspedisi Iman 2.0.

10131
Mohd. Fadli dalam pembentangan ceramahnya mengenai pembinaan masjid Pensiangan Sabah.

14118
Hamidah (kanan) menyerahkan cek sumbangan dari Perkim kepada Mohd. Fadli (kiri) bagi pembinaan masjid di Pensiangan sambil disaksikan oleh dua imam muda Suffian (dua dari kiri) dan Hakimi (dua dari kanan).

muaz-ya-hannan
Muaz Ya Hannan (kanan) bersama rakannya menyampaikan nasyid bertajuk ‘Islam Yang Telah Berkembang’.

diwani
Kumpulan Diwani turut menyampaikan lagu nasyid memuji Allah.

LAGI GAMBAR DI FACEBOOK PERKIM >>> MAJLIS MAKAN AMAL MASJID PENSIANGAN SABAH

Related Articles

Back to top button