Aktiviti Dakwah

PERKIM Anjur Sambutan Ma’al Hijrah 1446H Bersama Saudara Baharu

oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 25 JULAI 2024 – Bagi memperkukuhkan jati diri sebagai saudara baharu yang beriman dan bertakwa serta mengukuhkan perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan telah menganjurkan Majlis Sambutan Ma’al Hijrah 1446H bertempat di Dataran Dakwah, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini pada pagi Khamis.

Majlis itu dihadiri seramai lebih 150 orang terdiri daripada PERKIM Bahagian Negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, PERKIM Cawangan Kuala Muda; Majlis Dakwah Islam Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) serta Persekutuan Seruan Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan (JAM’IYAH).

Turut serta ialah pelajar Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK); saudara baharu berketurunan Cina, India, Iban, Kadazan, Murut, Sikh serta warga negara dari Filipina, Indonesia, Kemboja dan lain-lain.

Majlis yang mendapat kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu bertujuan untuk memberikan semangat baru dan motivasi dalam mengharungi tahun baharu Islam dengan penyampaian tazkirah, majlis penyerahan agihan i-asnaf mualaf kepada PERKIM seluruh Malaysia oleh Dana Asy-Syakirin serta wang penyerahan PERKIM Kebangsaan kepada PERKIM Negeri-negeri.

Sambutan Ma’al Hijrah PERKIM Kebangsaan membuka tirai dengan penyampaian lagu nasyid bertajuk ‘Satu Muharram’ dan ‘Rasulullah’ disampaikan oleh Kumpulan Tabayyun.

Majlis itu diacarakan sepenuhnya oleh Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah manakala bacaan doa dipimpin oleh Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah.

Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Yusof Noor telah menyampaikan ucapan aluannya pada majlis tersebut.


Dr Yusof Noor dalam ucapannya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Dana Asy-Syakirin kerana telah memberikan kepercayaan kepada kami untuk mengagihkan dana khusus kepada saudara baharu menerusi PERKIM Kebangsaan dan PERKIM Bahagian Negeri-negeri.

Sesuai dengan ajaran Islam, apabila kita beri sesuatu dengan tangan kanan tetapi tangan kiri tidak tahu.

Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada MAIWP yang juga merupakan penyumbang kepada PERKIM Kebangsaan untuk menjalankan kegiatan dakwah, kebajikan dan pendidikan kepada mualaf di sekitar Wilayah Persekutuan.

Katanya, sambutan Ma’al Hijrah di PERKIM lazimnya dibuat secara kecil-kecilan sahaja tetapi pada tahun kita raikan sambutan tahun baharu Islam dengan tazkirah dan Penyampaian Agihan Zakat i-Asnaf Mualaf serta beberapa pertandingan atau permainan kepada saudara baharu.

“Ketika saya berkhidmat bersama kerajaan 1987, Malaysia telah mengiktiraf dan memperkenalkan Sambutan Ma’al Hijrah bagi menyambut tahun baharu Islam menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sehingga ke hari ini,” ujar Dr Yusof Noor.

Beliau turut terbabit dalam sejarah penciptaan logo Ma’al Hijrah yang diguna pakai sehingga kini di mana logo tersebut membawa maksud tersendiri.

Jaringan di atas latar belakang kuning simbolik kepada sarang labah-labah di mana Allah SWT mengutuskan labah-labah untuk membuat sarangnya demi menyelamatkan Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar As-Siddiq ketika bersembunyi dari kafir Quraisy di Gua Tsur.

Latar belakang berwarna kuning bermaksud gambaran perjalanan di padang pasir yang panas terik tanpa pokok.

Huruf “Ha” dalam jawi melambangkan susah dan sulitnya perjalanan hijrah yang berliku-liku atau di padang pasir dan warna merah bermaksud keadaan cuaca yang panas manakala bayangan huruf “Ha” berwarna biru bermaksud perjalanan Rasulullah serta para sahabat dilindungi oleh rahmat Allah SWT.

Bulatan berwarna putih dan tulisan Ma’al Hijrah rumi diletakkan dilengkungan bawah manakala huruf jawi diletakkan dilengkungan atas yang melengkapkan logo tersebut.

Katanya, pentingnya perjuangan hijrah ini kerana kita nak mengelakkan daripada orang-orang Islam di Malaysia beri tumpuan kepada Hari Krismas.

Itu merupakan asbab utama Ma’al Hijrah diperkenalkan oleh Kerajaan Malaysia menggantikan dengan pilihan sejajar dengan Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa “Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan.”

Sambutan Ma’al Hijrah yang pertama di Malaysia pada 1987 turut menobatkan Tokoh Ma’al Hijrah Kebangsaan, Almarhum Syeikh Idris al-Marbawi yang merupakan seorang tokoh dalam bidang persuratan terutamanya dalam bidang Bahasa Arab, ilmu hadis, tafsir dan fekah.

Almarhum Syeikh Idris al-Marbawi merupakan tokoh yang pertama memperkenalkan kamus Bahasa Arab ke Bahasa Melayu.

“Ini antara perkara yang saya fikir dan syukur pada Allah kerana kita dapat bimbingan daripada Allah dan disokong oleh masyarakat dalam memperingati perjuangan Rasulullah SAW yang terhebat.

“Jika tiada ada Ma’al Hijrah, berkemungkinan PERKIM pun tiada,” kata Dr Yusof Noor mengakhiri ucapannya.

Sebelum itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Prof Madya Datuk Dr Luqman Haji Abdullah telah menyampaikan Tazkirah Ma’al Hijrah bertajuk ‘Semangat Menghayati Hijrah Dalam Kehidupan Seharian’.


Dr Luqman dalam tazkirahnya berkata, kaum Muhajirin keluar dari rumah tanpa harta demi Allah dan Rasul untuk membantu agama Islam dengan penuh keikhlasan semata-mata kerana Allah SWT.

Katanya, kebanyakan orang hanya mampu bercakap, tetapi tidak mampu melaksanakannya berbeza dengan kaum Muhajirin yang merupakan golongan hebat dan sanggup berkorban demi agama Islam serta mereka adalah kaum yang benar-benar soleh.

Penghijrahan Rasulullah SAW juga telah berjaya mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar.

Antara empat perkara yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kaum Muhajirin dan Ansar iaitu pertama ialah sebarkan salam di kalangan kamu di mana dengan salam manusia boleh saling berbaik, saling kenal mengenali antara satu sama lain.

Kedua ialah memuliakan tetamu dan memberi makan kepada tetamu manakala ketiga ialah menghubungkan silaturahim serta berbuat baik sesama manusia.

Keempat ialah menunaikan solat sunat di waktu malam ketika orang lain sedang tidur.

Dr Luqman juga menyarankan hadirin supaya menjaga hubungan baik dengan manusia dan menjaga hubungan dengan Allah SWT.

Beliau turut berkongsi kisah Ummu Salamah iaitu merupakan salah satu isteri Nabi Muhammad SAW dan dikenali sebagai seorang wanita yang cerdas dan beriman. Kisah hidupnya penuh dengan pengorbanan dan keberanian, terutama dalam peristiwa hijrah dari Mekah ke Madinah.

Salah satu peristiwa penting dalam hidup Ummu Salamah adalah hijrah ke Madinah. Abu Salamah dan Ummu Salamah adalah antara orang-orang pertama yang berhijrah, namun hijrah mereka penuh dengan cabaran.

Dr Luqman turut berkongsi kisah Suhaib Ar-Rumi di mana beliau merupakan seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang terkenal dengan kisah hijrahnya yang penuh pengorbanan dan keimanannya yang teguh.

Ketika Nabi Muhammad SAW dan para sahabat memutuskan untuk berhijrah ke Madinah, Suhaib berusaha untuk turut serta. Namun, orang-orang Quraisy berusaha menghalangnya dengan menyita harta dan kekayaannya. Mereka tidak ingin dia meninggalkan Mekah dengan membawa hartanya.

Dalam situasi yang sulit ini, Suhaib membuat keputusan yang luar biasa. Dia menawarkan semua harta kekayaannya kepada orang Quraisy dengan syarat mereka membiarkannya berhijrah ke Madinah.

Majlis turut diserikan lagi dengan ucapan dari Pengerusi Jawatankuasa Kerja Dana Asy-Syakirin, M Nasarudin Salleh.


M. Nasarudin dalam ucapannya berkata, beliau sedia maklum bahawa PERKIM di seluruh Malaysia sememangnya banyak memfokuskan usaha dakwah di kalangan bukan Islam dan para mualaf.

Katanya, PERKIM amat sinonim dengan peranannya dalam membantu dan meningkatkan kualiti mualaf dari segi pendidikan dan taraf hidup mereka.

“Kita melihat ramai mualaf berjaya yang menjadi ikon contoh kepada mualaf yang lain.

“Ada yang berjaya di dalam pendidikan, perniagaan, kerjaya hidup, melakukan gerakan dakwah melalui NGO-NGO, dan lain-lain.

“Contoh sebegini sememangnya memberi impak yang besar dalam meningkatkan imej Islam yang kadangkala disalahtafsir oleh segelintir masyarakat.

“Memeluk Islam bukan menjadi penghalang kepada kita untuk berjaya, malah agama Islam amat menganjurkan umat Islam untuk terus berjaya.

“Kemuliaan kita bukannya diukur di atas warna kulit, bahasa percakapan serta budaya, tetapi atas dasar takwa.

“Takwa dengan makna, siapa yang lebih baik dari segi kepatuhan kepada perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya,” jelas beliau.

Ujarnya, kami yakin terdapat segelintir di kalangan mualaf yang sedang bergelumang di dalam kesusahan hidup apabila nekad membuat keputusan untuk memeluk Islam.

Ada di antara mereka yang diusir keluarga, dipulau oleh masyarakat, dihina dengan pelbagai tohmahan, hilang punca pendapatan dan sebagainya.

Lebih kronik lagi apabila ada di kalangan mualaf yang telah berkeluarga dilihat begitu menyayat hati di dalam usaha meneruskan kehidupan yang penuh cabaran ini.

Bagaimana dengan pendidikan anak-anak, dapur pula tidak berasap, suami jatuh sakit malah ada yang menjadi ibu tunggal dan sebagainya.

Menurutnya lagi, pihaknya di dalam usaha untuk cuba meringankan sedikit sebanyak beban yang dihadapi mereka, termasuk sebagai tanda penghargaan kepada yang baru memeluk Islam.

Ulas M. Nasarudin lagi, Dana Asy-Syakirin telah meluluskan agihan zakat kepada asnaf mualaf di seluruh Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak.

Agihan ini hanyalah merupakan usaha kecil kami di dalam membantu setakat apa yang termampu.

“Saya dimaklumkan bahawa ramai di kalangan asnaf mualaf yang bakal menerima wang zakat ini terdiri dari mereka yang baru memeluk Islam sekitar lima tahun ke bawah.

“Saya mengucapkan tahniah kepada anda dan semoga terus dapat mengharungi kehidupan dengan baik mengikut garis panduan Islam.

“Saya doakan kepada yang sedang diuji musibah agar satu hari nanti anda akan terkeluar dari belenggu masalah yang dihadapi.

Yakinlah dengan firman Allah SWT di dalam Surah al-Insyirah, ayat 6 yang bermaksud: “Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan,” kata beliau mengakhiri ucapannya.

Majlis diserikan lagi dengan penyampaian cek cura Penyerahan Agihan Zakat i-Asnaf Mualaf Dana Asy-Syakirin berjumlah RM625,000 kepada PERKIM Kebangsaan disampaikan oleh M. Nasaruddin dan Pegawai Khas Dana Asy-Syakirin, Muhammad Amer Peter Abdullah kepada Dr Yusof Noor diiringi Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah dan Ustaz Haji Muhammad Fitri Abdullah.

Dr Yusof Noor bersama M. Nasaruddin turut berkesempatan menyampaikan cek cura PERKIM Kebangsaan kepada Pengerusi dan Setiausaha PERKIM Bahagian Negeri-negeri seluruh Malaysia serta Wanita PERKIM Kebangsaan.

Dr Yusof Noor juga menyampaikan plak cenderahati PERKIM kepada Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Dr Luqman Haji Abdullah dan M. Nasarudin.

Turut diadakan Pertandingan Kuiz Islam kepada pelajar KPIPK Asas, Pertengahan dan Lanjutan.

Selain itu, diadakan juga pertandingan permainan batu seremban, congkak, dam haji dan gubahan buah kepada saudara baharu dan pelajar KPIPK.

Majlis berakhir dengan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan.

Shamsiah Abdullah menjuarai pertandingan batu Seremban, manakala pertandingan congkak dijuarai oleh Faridah Peracho serta Iskandar Wong pula telah menjurai pertandingan dam haji.

Pertandingan Kuiz Islam kategori asas telah dijuarai oleh Muhammad Eman Daniel manakala Muhammad Yusuf Kalidas mendapat johan dalam kategori pertengahan dan Erna Uluk Abdullah menjuarai kategori lanjutan.

Kumpulan Tabayyun menutup tirai majlis dengan persembahan lagu Doa Iman.

Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Mohamad Nordin Ibrahim; Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin; Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa serta Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin.


Nyanyian lagu ‘Ma’al Hijrah’ dan ‘Rasulullah’ membuka tirai Majlis Sambutan Ma’al Hijrah 1446H PERKIM Kebangsaan disampaikan oleh penyanyi nasyid mualaf, Kumpulan Tabayyun.


Farhan Tee selaku pengacara majlis mengendalikan Sambutan Ma’al Hijrah PERKIM Kebangsaan.


Jais Mariappan memimpin bacaan doa pembuka majlis.


Kepimpinan PERKIM bersama hadirin berdiri tegak bagi menyanyikan lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan.


Antara tetamu kehormat yang hadir di majlis tersebut termasuk penceramah istimewa, Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Prof Madya Datuk Dr Luqman Haji Abdullah (berkopiah).


Lebih 150 orang yang hadir bagi menyambut Ma’al Hijrah peringkat PERKIM Kebangsaan.


Dr Luqman menyampaikan tazkirah Ma’al Hijrah bertajuk ‘Semangat Menghayati Hijrah Dalam Kehidupan Seharian’.


Hadirin mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan.


Hadirin mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan.


M. Nasarudin dalam ucapannya berkata beliau dalam usaha untuk cuba meringankan sedikit sebanyak beban yang dihadapi saudara baharu termasuk sebagai tanda penghargaan kepada yang baru memeluk Islam.


Dr Yusof Noor dalam ucapannya berterima kasih kepada pihak Dana Asy-Syakirin kerana telah memberikan kepercayaan kepada kami untuk mengagihkan dana khusus kepada saudara baharu menerusi PERKIM.


Dr Yusof Noor menunjukkan logo Ma’al Hijrah di mana pembabitan beliau dalam sejarah penciptaan logo tersebut yang diguna pakai sehingga kini.


M. Nasarudin (dua dari kiri) menyerahkan cek cura Agihan Zakat i-Asnaf Mualaf PERKIM daripada Dana Asy-Syakirin kepada kepimpinan PERKIM Kebangsaan.


Dr Yusof Noor (tengah) dan M. Nasarudin menyampaikan cek cura kepada PERKIM Bahagian Negeri Perlis.


PERKIM Bahagian Negeri Kedah menerima cek cura Agihan Zakat i-Asnaf Mualaf daripada Dr Yusof Noor dan M. Nasarudin.


PERKIM Bahagian Negeri Pulau Pinang menerima cek cura Agihan Zakat i-Asnaf Mualaf Dana Asy-Syakirin daripada Dr Yusof Noor dan M. Nasarudin sambil diiringi oleh Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Tuan Haji Muhammad Fitri Abdullah (dua dari kiri) serta YBhg Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah (kiri).


Kepimpinan PERKIM dan Pengerusi Dana Asy-Syakirin menyerahkan cek cura Agihan Zakat i-Asnaf Mualaf kepada PERKIM Bahagian Negeri Perak.


Dr Yusof Noor dan M. Nasarudin menyerahkan cek cura agihan zakat mualaf kepada PERKIM Bahagian Negeri Selangor.


Pengerusi PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, YBhg Datuk Haji Mohd Nakhaie Ahmad menerima cek cura Agihan Zakat i-Asnaf Mualaf Dana Asy-Syakirin daripada Dr Yusof Noor dan M. Nasarudin.


PERKIM Bahagian Negeri Sembilan menerima cek cura Zakat i-Asnaf Mualaf daripada Dr Yusof Noor dan M. Nasarudin.


M. Nasarudin bersama Dr Yusof Noor menyerahkan cek cura Agihan Zakat i-Asnaf Mualaf Dana Asy-Syakirin.


Dato’ Abdul Hanif, M. Nasarudin dan Dr Yusof Noor diiringi Muhammad Fitri dan Dr Ridhuan Tee bersama-sama menyerahkan cek cura Agihan Zakat i-Asnaf Mualaf Dana Asy-Syakirin kepada PERKIM Bahagian Negeri Johor.


PERKIM Bahagian Negeri Pahang menerima cek cura Dana Asy-Syakirin.


Kepimpinan PERKIM dan pihak Dana Asy-Syakirin menyampaikan cek cura kepada PERKIM Bahagian Negeri Terengganu.


PERKIM Bahagian Negeri Kelantan menerima cek cura Agihan Zakat i-Asnaf Mualaf daripada Dr Yusof Noor dan dan M. Nasarudin.


Dato’ Abdul Hanif menyampaikan cek sumbangan kepada Bendahari Wanita PERKIM Kebangsaan, Dr Nur’azah Dato’ Haji Abdul Manaf.


Dr Yusof Noor menyampaikan plak cenderahati PERKIM kepada Mufti Wilayah Persekutuan, Prof Madya Datuk Dr Luqman Abdullah.


M. Nasarudin menerima plak cenderahati PERKIM disampaikan oleh Dr Yusof Noor dan barisan kepimpinan PERKIM.


Kepimpinan PERKIM bersama lebih 150 hadirin berkesempatan bergambar kenang-kenangan di Dataran Dakwah Bangunan PERKIM.


Hadirin menikmati jamuan makan tengah hari disediakan.


Saudara baharu menyertai pertandingan dam haji yang diadakan.


Pertandingan permainan congkak diadakan terbuka kepada saudara baharu dan pelajar KPIPK.


Saudara baharu yang mengikuti pertandingan permainan batu seremban.


Mualaf yang mengambil bahagian dalam pertandingan gubahan buah.


Pelajar mualaf yang menyertai pertandingan kuiz pengetahuan Islam.


Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan menyampaikan hadiah kepada johan pemenang pertandingan kuiz pengetahuan Islam kategori asas, Muhammad Eman Daniel.


Muhammad Yusuf Kalidas menerima hadiah johan bagi pertandingan pengetahuan Islam kategori pertengahan daripada Hamidah Ismail.


Fatin Hamizah Ismail (kanan) menyampaikan hadiah kepada johan pemenang pertandingan pengetahuan Islam kategori lanjutan, Erna Uluk Abdullah.


Safiyya Sakeena Sallehuddin (kiri) menyampaikan hadiah kepada Shamsiah Abdullah selaku johan pertandingan batu seremban.


Faridah Peracho (kanan) selaku juara permainan congkak menerima hadiah beserta sijil daripada Nur Syahirah Musa.


Mohd Aizat Rosli menyampaikan hadiah kepada juara pertandingan dam haji, Iskandar Wong.


Jais Mariappan menyampaikan hadiah kepada johan pemenang pertandingan kumpulan gubahan buah.

Related Articles

Back to top button