Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Aktiviti Kebajikan

PERKIM Raikan Pasangan Pengantin Mualaf India, Rahman dan Anisha

oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 26 JULAI 2024 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan menganjurkan Majlis Perkahwinan Saudara Baharu bertempat di Surau PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, dekat sini pada pagi Jumaat.

Majlis tersebut dihadiri seramai 30 orang terdiri daripada pelajar Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK), saudara baharu dan kedua-dua belah keluarga pengantin.

Dengan sekali lafaz, saudara baharu berbangsa India, Muhammad Rahman Abdullah, 18 telah sah menjadi suami kepada pasangan pengantin perempuan yang juga mualaf berbangsa India, Anisha Abdullah, 23.

Pasangan pengantin telah diijab kabulkan oleh Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Ruju’, Ustaz Abdul Basir Mahadi dari Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga (BPPK), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Sebelum itu, Ustaz Abdul Basir telah menyampaikan khutbah nikah kepada pasangan pengantin.

Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin; Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan (UDPI) PERKIM Kebangsaan, Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah serta Pembantu Pegawai UDPI, Ustaz Amran Anbarasu Abdullah turut menjadi saksi pernikahan yang diraikan secara sederhana.

Setelah selesai majlis akad nikah, Muhammad Rahman turut membaca lafaz taklik dan menurunkan tanda tangannya pada surat nikah sekali gus memberikan mas kahwin sebanyak RM300 kepada isterinya, Anisha.


Menurut Penyelaras Program, Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan, perkahwinan dalam perspektif Islam adalah suatu ikatan suci yang membawa keberkatan, tanggungjawab dan kasih sayang antara seorang lelaki dan seorang perempuan.

“Perkahwinan bukan hanya satu kontrak sosial, tetapi juga satu ibadah yang melibatkan ketundukan kepada perintah Allah SWT.

“Dalam perkara ini, ia dapat meningkatkan imej dan martabat Islam pada pihak yang tidak jelas dengan sesuatu perkara tentang ajaran Islam itu sendiri malah memperlihatkan Islam sebagai sebuah agama bersifat sederhana dan menghormati kepelbagaian budaya dan bangsa dalam keluarga,” katanya.

Tambah Siti Munirah lagi, memeluk Islam bukan alasan untuk meninggalkan keluarga atau menyisihkan mereka kerana berlainan agama.

“Tanggapan demikian perlu dikikis dan keluarga mesti dihormati terutama kepada kedua ibu bapa yang masih mengamalkan ajaran agama dan budaya asal mereka.

“Walaupun sudah bergelar seorang Muslim, mereka perlu memupuk hubungan yang lebih baik lagi dengan adik-beradik dan keluarga,” jelasnya.

“Pernikahan mualaf di kalangan masyarakat India memiliki keunikan tersendiri kerana melibatkan percampuran antara tradisi dan budaya asal dengan ajaran dan cara hidup Islam.

“Apabila sudah bergelar suami isteri, pasangan juga perlu menjaga persefahaman yang baik di antara satu sama lain supaya tidak timbul sebarang masalah dan persengketaan,” ujar Munirah yang juga selaku Pegawai UDPI PERKIM Kebangsaan.

Beliau yang mewakili PERKIM Kebangsaan turut mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada Muhammad Rahman Abdullah dan Anisha Abdullah.

Semoga ikatan pernikahan yang dibina ini akan berkekalan hingga ke syurga.

Majlis diakhiri dengan majlis jamuan makan beradab bersama kepimpinan PERKIM dan keluarga pengantin.

Turut hadir ialah Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Mohamad Nordin Ibrahim.


Muhammad Rahman mendengar khutbah nikah yang disampaikan oleh Ustaz Abdul Basir sambil disaksikan oleh Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin (berbatik hijau).


Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Ruju’, Ustaz Abdul Basir Mahadi dari Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga (BPPK), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyampaikan khutbah nikah kepada Muhammad Rahman.


Penyelaras program, Siti Munirah menemani pengantin perempuan, Anisha.


Dengan sekali lafaz, Muhammad Rahman telah sah bergelar suami kepada Anisha Abdullah.


Ustaz Abdul Basir mempimpin doa sambil diaminkan oleh pengantin dan saksi.


Anisha Abdullah bersama rakan mualaf menadah tangan tanda kesyukuran setelah bergelar isteri kepada Muhammad Rahman.


Jais Mariappan menandatangani selaku saksi penikahan kepada Muhammad Rahman.


Muhammad Rahman menyerahkan wang hantaran kepada isterinya, Anisha.


Muhammad Rahman menyarungkan cincin perkahwinan ke jari manis isterinya, Anisha.


Pengantin lelaki sedang menyarungkan cincin ke jari manis pengantin perempuan.


Kepimpinan PERKIM berkesempatan bergambar bersama pengantin baru mualaf.


Keluarga kedua-dua belah pengantin bergambar kenang-kenangan di hari bahagia mereka.


Muhammad Rahman dan Anisha yang merupakan mualaf, kini bergelar suami isteri.


Rakan saudara baharu turut menyampaikan ucapan tahniah dan bergambar bersama pasangan pengantin.


Siti Munirah menyampaikan wang saguhati perkahwinan kepada pasangan pengantin.


Warga PERKIM turut tidak melepaskan peluang mengambil gambar kenangan bersama pengantin baru.


Pasangan pengantin menyuap makanan ketika majlis jamuan makan beradab.


Datuk Mohamad Nordin Ibrahim selaku Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM (berbaju putih) turut meraikan pengantin di majlis jamuan makan.


Petugas PERKIM turut menghidangkan makanan bagi meraikan keluarga pengantin baru.

Related Articles

Back to top button