Aktiviti Kelab PERKIM

Lawatan Mahabbah KPU UniSZA & UIAM Gombak

oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI


“Saya amat berat hati untuk meninggalkan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) kerana PERKIM amat dekat sekali di hati saya,” jawab Yang Dipertua PERKIM, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor melontarkan soalan kepada Tun sama ada beliau akan meninggalkan PERKIM kerana memberikan tumpuan penuh kepada kepimpinan negara.

Kata Dr Yusof Noor lagi, Perdana Menteri Ketujuh itu tidak merancang untuk menjadi Perdana Menteri buat kali kedua dan beliau turut kekal menang tanpa bertanding sebagai Yang Dipertua PERKIM semasa Pemilihan Ahli Majlis Kebangsaan sesi 2019 – 2022 pada Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-58 lalu dan PERKIM merupakan satu-satunya pertubuhan yang diketuai oleh Perdana Menteri Malaysia.

Beliau turut mendoakan supaya Tun diberikan kesihatan serta dapat meneruskan kerjanya dengan baik kepada negara dan PERKIM.

Dr Yusof Noor berkata ketika menyampaikan ucapan perasmian di Majlis Lawatan Muhibbah Kelab PERKIM Universiti (KPU) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak bertempat di Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL), Jalan Sultan Azlan Shah Kuala Lumpur pada 21 Februari 2020 lalu.

Turut hadir ialah Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Datuk Hasbullah L Isa; Pengarah Program dan Pentadbiran PERKIM, Mamat Che Chik; Pengarah IDIP-KL, Dr Suariza Hidayah Muhammad; Timbalan Pengarah Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan (UPPP) PERKIM, Mohd. Yusof Ahmad serta Pegawai UPPP, Muhammad Farhan Tee Abdullah.

Seramai 80 mahasiswa KPU UniSZA dan UIAM Gombak bersama kepimpinan PERKIM turut mengaminkan bacaan doa, menyanyikan lagu Negaraku serta PERKIM Pacu Kemajuan.

Jelas Dr Yusof Noor lagi, syukurlah kerana mahasiswa memilih kelab PERKIM sebagai kelab utama tetapi dalam masa yang sama kelab lain juga perlu disertai kerana terdapat banyak kelab-kelab di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTS/IPTA).

Mereka yang menyertai KPU adalah insan yang mulia kerana mereka membawa mesej PERKIM dalam menggerakkan objektifnya iaitu kerja dakwah, kebajikan, pendidikan dan kerjasama.

Beliau turut menunjukkan mahasiswa dua gambar bangunan yang menjadi mercu tanda PERKIM di Kuala Lumpur iaitu Bangunan PERKIM dan Bangunan Balai Islam IDIP-KL yang mempunyai sejarahnya yang tersendiri.

Katanya, bangunan tersebut boleh memberi satu kekuatan minda untuk mengetahui lebih banyak mengenai hal di negara kita terutamanya berkaitan perkembangan agama Islam.

“Agama Islam bukan dianuti bukan sahaja orang Melayu, bahkan ia dianuti oleh semua bangsa di seluruh dunia sebagaimana diketahui Islam bukan milik orang Melayu malah agama Islam bebas dianuti oleh sesiapa pun,” jelas Dr Yusof Noor.

Tambahnya, bangunan tersebut tidak penting tetapi sejarahnya jika tidak ada seorang pemimpin yang menubuhkan PERKIM pada masa itu, pastinya tidak ada PERKIM dikenali sehingga ke hari ini.

PERKIM ditubuhkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama, AlMarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan ketika itu apabila pertubuhan diwujudkan perlunya ada sebuah bangunan.

Jelas beliau, Pada awal 60-an PERKIM memerlukan bangunan namun tidak mempunyai wang yang cukup, maka PERKIM bekerjasama dengan negara luar iaitu Libya yang mempunyai rancangan untuk menyebarkan Islam ke seluruh dunia.

Kalau tidak kerana rundingan Tunku bersama pemimpin Libya, pastinya Bangunan PERKIM tidak akan wujud.

Katanya, Bangunan PERKIM diberi sebagai pinjaman selama lebih 30 tahun perjanjian di antara PERKIM dan Lembaga Amanah Dakwah Libya-Malaysia Berdaftar dan kini menara setinggi 23 tingkat itu telah menjadi hak milik PERKIM sepenuhnya dengan kebijaksanaan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tambah Dr Yusof Noor, Bangunan IDIP-KL merupakan milik PERKIM, di mana bangunan tersebut pernah menjadi Ibu Pejabat PERKIM sekitar tahun 1970 hingga 1980an sebelum adanya Bangunan PERKIM yang sedia ada ini.

Dahulunya IDIP-KL di panggil Balai Islam dan pada asalnya bangunan tersebut dijadikan untuk tujuan komersial. Bangunan tersebut menjadi milik PERKIM di bawah kepimpinan seorang Bapa Pembangunan Malaysia iaitu Tun Abdul Razak.

Terdapat dua IDIP di bawah PERKIM iaitu Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) di Pengkalan Chepa, Kelantan dan satu lagi ialah tempat kita adakan program ini iaitu International Da’wah Institute PERKIM – Kuala Lumpur (IDIP-KL).

Ujar Dr Yusof Noor lagi, maklumat yang disampaikan ini, sedikit sebanyak berguna untuk KPU.

Beliau turut menyatakan sedikit harapan PERKIM, walaupun lazimnya setiap tahun di bulan Ramadan PERKIM mengadakan anugerah kecemerlangan kepada KPU yang dinilai dari segi prestasi, kepimpinan dan KPU terbaik.

Dr Yusof Noor berharap, setiap KPU dapat menganjurkan program yang berbeza serta uniknya kerana Islam itu bersifat syumul dan manfaatkan aktiviti sebaiknya untuk melakukan kebaikan dan berdakwah dalam kalangan masyarakat Muslim dan non-Muslim.

“Saya minta supaya kita dapat mengaplikasikan hasrat pengasas PERKIM, walaupun Tunku pengasas, tetapi Yang Dipertua PERKIM pertama bukan orang Melayu malah berbangsa India Muslim iaitu Allahyarham Tan Sri SOK Ubaidullah Kadir Basha,” ulas beliau di akhir ucapannya.

Terdahulu, Pegawai UPPP merangkap Penyelaras KPU, Siti Munirah Sayed Mohd. Hamdan turut menyampaikan taklimat kepada mahasiswa dan turut mencadangkan program atau aktiviti akan datang perlulah berteraskan dakwah, kebajikan dan pendidikan serta berkaitan dengan kerja-kerja yang dilaksanakan oleh PERKIM.

Jelas beliau lagi, kertas kerja program yang biasanya gagal adalah kerana ia tiada kaitan dengan perkara yang sejajar dengan visi dan misi PERKIM.

Pengarah Program dan Pentadbiran PERKIM, Haji Mamat Che Chik turut memberikan penerangan kepada mahasiswa mengenai organisasi, Ahli Majlis Kebangsaan, Mesyuarat Agung Tahunan dan dasar-dasar PERKIM.

Selain itu, Mamat turut membentangkan Program dan Aktiviti PERKIM Kebangsaan serta Kalender Pelaksanaan Bagi Tahun 2020 kepada mahasiswa.

Beliau turut mencadangkan mahasiswa supaya mendekati masyarakat pelbagai bangsa untuk menyampaikan dakwah lebih-lebih lagi dalam kawasan kampus dalam bentuk penyampaian ilmiah.

Akhir sekali ialah program Outreach Special Individual / Group iaitu mendekati golongan gelandangan, miskin, daif dan fakir dengan menghulurkan bantuan sambil berdakwah.

Selain mengajak dan berdakwah kepada mereka yang berjinak-jinak dengan Islam, kita perlu menjaga kebajikan dan pendidikan mereka serta membuat susulan setelah mereka memeluk agama Islam.

Pengarah IDIP-KL, Dr Suariza Hidayah Muhammad turut mengucapkan selamat datang dan mengalu-alukan kehadiran mahasiswa ke IDIP-KL yang merupakan pusat penyebaran Islam antarabangsa di Kuala Lumpur.

Kata Suariza lagi, Dr Yusof Noor dan Tun Dr Mahathir sendiri mahukan mahasiswa sekalian menjadi ejen PERKIM dan bermuamalah dengan golongan non-muslim.

Mahasiswa boleh juga menggunakan pendekatan bil-hikmah dengan meramaikan ahli KPU serta menguar-uarkan mengenai aktiviti atau program KPU supaya kawan-kawan yang bukan Islam turut serta.

“Saya kira itu adalah kejayaan yang besar sekiranya kita mampu menarik rakan-rakan IPTA/IPTS yang belum Islam menyertai KPU,” ujar beliau.

Selain itu, Suariza turut membentangkan Pelan Tahunan IDIP-KL Bagi Tahun 2020 kepada mahasiswa.

Majlis berakhir dengan penyampaian plak cenderahati kepada KPU UniSZA dan UIAM Gombak disampaikan oleh Dr Yusof Noor dan jamuan makan tengah hari.


Wajah-wajah kegembiraan mahasiswa KPU UniSZA dan UIAM Gombak setibanya di Bangunan IDIP-KL.

 


Muslimat KPU UniSZA dan UIAM yang hadir pada 21 Februari 2020 lalu

 


Tetamu kehormat menadah tangan dan mengaminkan bacaan doa.

 


Dr Yusof Noor memberi kata-kata semangat buat mahasiswa KPU UniSZA dan UIAM.

 


Dr Yusof Noor turut menceritakan detik bersejarah mengenai Bangunan PERKIM dan IDIP-KL kepada mahasiswa UniSZA dan UIAM.

 


Munirah menyampaikan taklimat kepada mahasiswa KPU.

 


Mamat turut membentangkan Program dan Aktiviti PERKIM Kebangsaan serta Kalender Pelaksanaan Bagi Tahun 2020.

 

 
Mahasiswa mendengar taklimat yang disampaikan.

 


Dr Suariza membentangkan Pelan Tahunan IDIP-KL Bagi Tahun 2020.

 


Dr Yusof Noor (kiri) menyampaikan plak cenderahati kepada mahasiswa KPU UIAM Gombak.

 


Mahasiswa KPU UniSZA menerima plak cenderahati daripada Dr Yusof Noor (kiri).

 


Tetamu kehormat PERKIM merakamkan gambar kenang-kenangan bersama mahasiswa KPU UniSZA dan UIAM Gombak di akhir majlis.

Related Articles

Back to top button