Aktiviti DakwahAktiviti Wanita PERKIM

FPI UKM Bentang Draf Pelan Wanita Mualaf Malaysia

  16 JUL – Kuala Lumpur. Ketua Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) merangkap Naib Yang Dipertua PERKIM, YTM Tunku Puan Sri Dato’ Hajah Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj berkenan menghadiri Pembentangan Pelan Pembangunan Wanita Mualaf Malaysia bertempat di Tingkat 4, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah di sini.

YTM Tunku dalam titah ucapannya mengalu-alukan kehadiran 10 orang pensyarah dari Fakulti Pengajian Islam (FPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang terlibat dalam projek kajian Pelan Pembangunan Wanita Mualaf Malaysia.

Turut hadir ialah Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Datuk Haji Mohd Nakhaie Haji Ahmad , YBhg Tuan Haji Muhammad Fitri Abdullah; Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa; Ahli Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan, YBhg Datin Mawanchik Che Jais dan YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad.

Titah YTM Tunku, walaupun disebabkan oleh penularan wabak COVID-19, kita tidak dapat menjemput lebih ramai Ahli Wanita PERKIM Kebangsaan.

Tunku juga mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Biro Pendidikan Wanita PERKIM Kebangsaan iaitu Datin Mawanchik, Dr. Suariza yang telah banyak membantu dan turun padang untuk menjayakan pelan ini.

Pada 13 Mac 2020 lalu, Wanita PERKIM Kebangsaan dan FPI UKM telah menandatangani Memorandum ‘Perjanjian Pelan Pembangunan Wanita Mualaf Di Malaysia’ bertempat di FPI UKM, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Setelah termeterai dua perjanjian itu akan ada lebih banyak lagi kerjasama strategik dapat dilaksanakan antara UKM dan Wanita PERKIM Kebangsaan pada masa akan datang sekali gus bersama-sama menggalas usaha dakwah Islamiah.

Titahnya, Pelan Pembangunan Wanita Mualaf Malaysia berfungsi sebagai mekanisma rujukan bagi membantu menyelesaikan masalah sama ada wanita mualaf PERKIM atau wanita mualaf di tempat lain dan ianya juga menjadi one-stop centre dakwah.

Tunku Noor berharap, ia dapat dijalankan dari semasa ke semasa bermula dengan penyelidikan, menghasilkan dasar-dasar, menghasilkan modul dan akhirnya menghasilkan jurulatih-jurulatih PERKIM yang berperanan menjaga kebajikan wanita mualaf seluruhnya.

Di atas keprihatinan tersebut, Wanita PERKIM Kebangsaan mengambil inisiatif untuk membukukan cadangan-cadangan tersebut.

Terdapat banyak pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, tetapi siapa yang sanggup membukukan cadangan yang ada sekarang untuk membangunkan pendidikan pada masa hadapan.

YBhg Dr Rosmawati Mohamad Rasit selaku Ketua Penyelidik & Pengerusi Pusat Kajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membentangkan Draf Pelan Pembangunan Wanita Mualaf Di Malaysia 2020 – 2025.

Dr Rosmawati berkata, beliau bersama sembilan rakan penyelidik sangat teruja datang ke Bangunan PERKIM kerana ianya merupakan lawatan kali pertama menjejakkan kaki ke bangunan ini.

Sebenarnya pelan pendidikan ini bermula bulan November 2019 dan sepatutnya tamat pada bulan April 2020. Namun, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh Kerajaan Malaysia berikutan penularan wabak COVID-19, kita tambah lagi tiga bulan iaitu sehingga 31 Julai 2020 untuk draf pertama untuk Buku Pembangunan Wanita Mualaf Malaysia.

Katanya, ini merupakan percaturan Allah SWT yang sangat baik apabila kita mula bertemu di satu program di Cameron Highlands lantas menjalinkan hubungan silaturahim bersama Wanita PERKIM Kebangsaan.

Saya yakin kolaborasi di antara pendidik UKM serta pendidik Wanita PERKIM Kebangsaan telah memberikan komitmen yang terbaik dalam menguasai Pelan Pembangunan Wanita Mualaf di Malaysia.

Sebenarnya saya berbangga dengan pendidik-pendidik yang dibawakan pada hari ini, iaitu YBhg Prof Dr Zainab Ismail, YBhg Prof Madya Dr Salasiah Hanin Hamjah, YBhg Prof Madya Dr Zuliza Mohd Kusrin, YBhg Prof Madya Dr Salmy Edawati Yaacob, YBhg Prof Madya Dr Adawiyah Ismail, YBhg Dr Hasanah Abd. Khafidza, YBhg Dr Nozira Salleh, YBhg Dr Nur A’thiroh Masyaa’il Tan, YBhg Dr Siti Jamiaah Abdul Jalil adalah sepuluh pendidik UKM yang memberikan komitmen yang sangat padu untuk menghasilkan Pelan Pembangunan Wanita Mualaf di Malaysia.

Pembentangan ini adalah untuk kita melihat pelbagai isu yang dihadapi di kalangan wanita mualaf sehingga memerlukan pembinaan Pelan Pembangunan Wanita Mualaf di Malaysia.

Wanita PERKIM Kebangsaan dan Wanita PERKIM di setiap negeri sangat membantu dari sudut menjalankan perbincangan meja bulat di semua negeri, di mana apabila mereka datang berjumpa kami sudah hampir siap kajiannya.

Secara kebetulan semua pendidik kami terdiri daripada kalangan wanita menjadikan ia lebih mudah untuk kami berfikir bagaimana kami hendak bantu wanita dari menerusi enam teras strategi utama iaitu Teras Hal Ehwal Agama; Teras Sosiobudaya; Teras Ekonomi dan Agama; Teras Syariah dan Perundangan; Teras Psikologi, Kaunseling dan Keluarga serta Teras Pendidikan.

Kenam-enam strategi tersebut adalah berkaitan dengan luahan perasaan dan pengalaman wanita mualaf PERKIM yang perlu diberi perhatian dan diambil tindakan segera.

Kelas ini dibentuk hasil daripada analisis data yang dijalankan oleh pendidik UKM dan daripada kelas ini kami bahagikan isu-isu yang muncul berdasarkan kelas tersebut.

Data yang kami perolehi adalahdari hasil perbincangan meja bulat. Jangkaan kami ini adalah fasa satu daripada hasil kajian kami kepada data mentah yang diberikan kepada kami. Untuk fasa seterusnya mungkin kami akan pelaksanaan hasil kajian kami akan menjadi prioriti kerana data-data ini kami bawa isu dan masalah wanita mualaf.

Kami tidak membina pelan ini dari kosong, namun dengan data sedia ada. Contohnya masalah kewangan yang dihadapi oleh ibu tunggal, jadi Dr Salmy mencadangkan agar ibu tunggal tersebut diberikan projek untuk membangunkan taraf ekonomi hidupnya.

Inilah yang kami ingin bawakan supaya wanita mualaf dalam apa-apa sitausi masalah, sama ada masalah berkaitan dengan agama, atau berkaitan dengan sosiobudaya atau ekonomi, psikologi keluarga dan syariah perundangan dan pendidikan serta apa-apa masalah sekalipun, mereka mampu mengendalikannya.

Masalah paling banyak di bawah teras ekonomi serta syariah perundangan. Terlalu banyak kes mahkamah. Kemungkinan isu-isu seperti ini boleh didahulukan tindakannya. Kami membuat keputusan, wanita mualaf yang boleh dibantu adalah wanita mualaf yang bermastautin di Malaysia sahaja serta warganegara Malaysia.

Majlis berakhir dengan jamuan makan petang.

Related Articles

Back to top button