Aktiviti Dakwah

Uwais Qorny Tadarus Bersama Mualaf PERKIM

10 JUL – KUALA LUMPUR. Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan mengalu-alukan kehadiran Pakar Kejurulatihan Quran Malaysia, YBhg Ustaz Uwais Qorny ke Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan, Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur pagi tadi.

Kehadiran Ustaz Uwais bersama-sama kru Studio Uwais Qorny disambut mesra oleh Timbalan Pengarah Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan (UPPP) PERKIM, YBhg Ustaz Yusof Ahmad; Pegawai UPPP, YBhg Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah, YBhg Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah, YBhg Ustaz Amran Anbarasu Abdullah dan YBhg Ustazah Munirah Sayed Mohd Hamdan.

Pada 6 Julai lalu, PERKIM Kebangsaan melalui Pasukan Digital Dakwah PERKIM (DIDIK) telah mengadakan lawatan ke Studio Uwais Qorny di Seri Kembangan, Selangor dengan hasrat untuk mendapat khidmat dan nasihat bagi mewujudkan sebuah studio penyiaran video dan siaran secara langsung menerusi media sosial.

Ustaz Uwais yang terkenal dengan rancangan Daily Quran di halaman facebooknya Uwais Qorny telah memasuki episod ke 887 dalam musim ke-5 dalam mengajar Al-Quran kepada masyarakat Islam menggunakan teknik santai dan efektif serta profesional.

Ustaz Uwais merupakan lulusan Sarjana Muda Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak dalam bidang Sains Kemanusiaan Major Sains Politik dan beliau juga m skrol syahadah Tahfiz Al-Quran dari Madrasatul Quran Kubang Bujuk, Terengganu.

Selain itu, Ustaz Uwais berkesempatan bertadarus bersama 16 saudara baru berlainan bangsa. Ada di antara mereka dari keturunan Cina, India, Iban, Kadazan dan juga dari warganegara Filipina dan Thailand.

Bapa Ustaz Uwais Qorny, Ustaz Idris juga merupakan tenaga pengajar di Institut Dakwah Islam PERKIM (IDIP), Pengkalan Chepa, Kelantan pada suatu ketika dahulu.

Saudara baru mendapat pengalaman memperbetulkan sebutan makhraj huruf, sifat huruf, tajwid dan dialek mulut mengikut seperti yang diajar oleh Ustaz Uwais.

Kru Studio Uwais Qorny juga berkesempatan melawat ruangan pejabat PERKIM Kebangsaan, Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL) dan Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan yang sesuai untuk dijadikan sebuah studio.

Di akhir lawatan, Ustaz Uwais menyerahkan beberapa helai baju Daily Quran kepada Ustaz Yusof sebagai cenderamata kenang-kenangan.

Related Articles

Back to top button