Dr Zaleha Sampaikan Skop Dakwah Pendidikan Rentas Sempadan
oleh: SRZ
KUALA LUMPUR, 3 NOVEMBER 2023 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan menerusi Insitut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIPKL) telah menganjurkan Siri Kuliah Dakwah Perdana (SKOP) siri keenam bertempat di Dewan Al-Ilm, 250, Bangunan Balai Islam, IDIPKL pada pagi Jumaat.
Majlis dihadiri seramai lebih 90 peserta terdiri dari kakitangan PERKIM Kebangsaan, IDIPKL, PERKIM Cawangan Bandar Tasik Puteri, Wanita PERKIM Cawangan Ulu Klang, Kelab PERKIM Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mahasiswa Universiti Malaya serta pelajar saudara baharu Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK).
Majlis dimulakan dengan ucapan disampaikan oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.
Dr Yusof Noor dalam ucapannya berkata dakwah ini bukan perkara baru kerana seruan kebaikan dan dakwah sudah berjalan lama hingga ke seluruh dunia lebih lebih lagi zaman perkembangan internet.
Tiada sebab orang mengatakan bahawa dia tidak tahu dakwah atau seruan yang baik dalam agama.
Kita tidak setuju dengan perkara-perkara yang melanggar ajaran agama seperti membunuh orang awam, membunuh wanita, membunuh orang tua dan membunuh kanak kanak.
Katanya, mengikut sumber terkini, sekumpulan orang di Gaza ditembak mati oleh tentera Israel ketika berkumpul untuk mengambil air di tangki kerana sumber air, elektrik dan makanan mereka telah disekat.
Hari ini kalian memakai mafla sebagai simbol solidariti kita kepada Palestin yang dizalimi oleh Israel.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang telah buat keputusan untuk menghentikan peperangan juga tidak diendah oleh Israel dan sekutunya Amerika Syarikat.
Mereka tahu tidak boleh membunuh tetapi mereka bunuh juga dan apa sudah jadi pada kepada dunia.
Saya fikir kita di Malaysia ini khususnya Muslim di Malaysia tanpa mengira kaum, kita tidak akan mengikut cara itu kerana Allah SWT berfirman di dalam Surah Fussilat, ayat 33 bermaksud : “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!”
Saya tersentuh bila melihat kekejaman Israel di mana darah kanak-kanak yang tidak berdosa, wanita dan rakyat Palestin ditumpahkan dalam pembunuhan beramai-ramai abad ini dan tidak ada ruang untuk perbincangan diplomatik.
Saya tak seronok kerana dunia hari ini tidak mengamalkan perkara yang baik, meski pun mereka bercakap baik mengenai hak kemanusiaan tetapi mereka juga melakukan kezaliman ke atas umat Palestin.
Tahukah anda, pelanggaran ini sudah berlaku bukan sehari tetapi sudah lebih daripada 70 tahun.
Anologi mudah, jika kita pergi ke rumah orang, kita perlu berterima kasih kepada tuan rumah kerana beri tempat tinggal kepada kita dan bukannya kita terus menetap seterusnya mengusir tuan rumah dari rumahnya.
Tambahnya, jika kita beriman dengan Allah SWT dengan sepenuh keyakinan, kita tidak akan terperangkap dengan mereka yang mengamalkan berkata baik tapi mereka tidak melakukannya.
Sejurus itu, Mantan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin menyampaikan tajuk ‘Dakwah: Pendidikan Tanpa Sempadan’.
Dr Zaleha berasal dari Raub, Pahang merupakan pemegang Ijazah Doktor Falsafah Undang-undang Keluarga Perbandingan (Sivil dan Syariah) Universiti London 1994 serta Sarjana Undang-undang Perbandingan (MCL) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) 1998.
Beliau berkongsi kisah dan usaha serta pengalamannya sehingga pernah menjadi Pelajar Terbaik Undang-Undang Islam di UIAM mendapat biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Selepas ditemuduga menjadi Penolong Pensyarah di UIA pada 1985 hingga 1990.
Ketika era YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri keempat, 10 mujahidin Afghanistan orang kelainan upaya (OKU) akibat peperangan antara usaha yang dilakukan oleh beliau untuk mereka belajar di UIAM.
Setelah Dr Zaleha beberapa tahun selepas menjawat Rektor UIAM pada tahun 2011, menerusi Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, beliau juga telah menerima 200 orang pelajar di mana 10 orang daripada kumpulan pertama itu tidak mempunyai kaki kerana terpijak periuk api.
Beliau pernah diberi sepucuk surat berhenti belajar daripada pelajarnya di mana kandungannya tertulis, “Saya tidak boleh duduk di sini ketika saudara-saudara saya berperang di Afghanistan, saya perlu menyertai bersama-sama mereka berjihad.”
Di UIAM, kita memberi sebaik-baik latihan dan pendedahan kepada pelajar-pelajar mujahidin Afghanistan untuk membina serta mendirikan semula negara mereka dengan semangat.
10 pelajar telah menamatkan pengajian di UIAM dan tiga daripada mereka menjadi Profesor di universiti yang sama iaitu Profesor Dr Mohammad Naqib Eishan Jan, Profesor Dr Wahabuddin Ra’ees dan Almarhum Profesor Dr Sayed Sikandar Shah Haneef.
Walaupun mereka masuk ke UIAM tanpa menguasai Bahasa Inggeris, tetapi dengan semangat juang dan usaha yang tinggi, akhirnya mereka dapat menggalas jawatan profesor.
Terdapat di antara pelajar yang pulang telah mendirikan kembali negara Afghanistan.
Katanya, jika beliau pergi ke Afghanistan, Uzbekistan atau Azerbaijan beliau ditunggu oleh pelajar-pelajarnya.
Kata beliau lagi, sewaktu beliau menamatkan Ijazah Doktor Falsafah Undang-Undang di London, belakunya konflik bersenjata di Bosnia Herzegovina.
Pada ketika itu, Tun Mahathir membawa wanita-wanita Bosnia untuk belajar di UIAM, ada di antara mereka yang beramal dengan Islam dan ada yang tidak.
Pelajar wanita Bosnia yang berkelulusan Universiti Al-Azhar Mesir telah menjadi mentor kepada UIAM.
Beliau turut menerima pelajar daripada Albania, Dagestan dan Turki di mana pendekatan kita ialah membantu saudara Islam melalui pendidikan rentas sempadan.
Walaupun dalam kaca mata kita lihat UIAM seperti universiti-universiti lain, tetapi UIAM juga institusi yang membangunkan ummah.
Sewaktu Dr Zaleha menjadi Rektor UIAM, beliau memanggil 200 pelajar Palestin dengan semangat jihad mereka.
Mereka berkongsi kisah untuk menjadi pejuang Hamas, mereka diwajibkan menghafal al-Quran kerana apabila al-Quran itu ada di dada, mereka boleh berjuang.
Terdapat pelajar Palestin juga telah mendapat tajaan biasiswa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar, Mesir.
“Bukan UIAM sahaja mendidik dan mengasah pelajar dari negara-negara untuk menjadi pemimpin, tetapi universiti-universiti lain juga patut menjadi contoh,” kata beliau sebelum mengakhiri kuliahnya.
Turut diadakan sesi soal jawab bersama peserta.
Di akhir majlis, Dr Yusof Noor menyampaikan cenderahati sebuah buku Warisan dan Wawasan 60 Tahun PERKIM dan plak PERKIM kepada Dr Zaleha.
Tetamu kehormat PERKIM hadir di SKOP Siri 6 untuk mendengar kuliah yang disampaikan.
Abdul Qawi Navine Abdullah melaksanakan tugasannya sebagai pengerusi majlis dan pembaca doa.
Peserta menadah tangan ketika doa dibacakan.
Antara PERKIM cawangan-cawangan yang hadir di SKOP Siri 6.
Dr Yusof Noor menyampaikan ucapan aluannya di SKOP siri ke-6.
Dr Yusof Noor dalam ucapannya berasa tersentuh bila melihat kekejaman Israel dengan mengebom kanak-kanak yang tidak berdosa, wanita dan rakyat Palestin.
Dr Zaleha menyampaikan tajuk Dakwah: Pendidikan Tanpa Sempadan.
Peserta di kalangan belia mendengar ceramah yang disampaikan oleh Dr Zaleha.
Dr Zaleha pernah menerima pelajar mujahidin daripada Afghanistan, Uzbekistan atau Azerbaijan, Albania, Dagestan, Palestin dan Turki di mana pendekatan dengan membantu mereka melalui pendidikan.
Muhammad Jais Mariappan mengemukakan persoalan kepada Dr Zaleha dalam sesi soal jawab.
Mahasiswa UM turut mengajukan soalan berkenaan solidariti Palestin kepada Dr Zaleha.
Dr Yusof Noor berkesempatan menyampaikan cenderahati sebuah buku Warisan dan Wawasan 60 Tahun PERKIM dan plak PERKIM kepada Dr Zaleha Kamarudin.
Kepimpinan PERKIM bersama Dr Zaleha bergambar kenang-kenangan dengan peserta di akhir program.