53 Pegawai Sertai Retreat Pemantapan Organisasi PERKIM
oleh: SRZ
JELEBU, 25 OKTOBER 2023 – “Warga Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) merupakan warga yang bertuah dan istimewa kerana PERKIM telah diasaskan oleh Perdana Menteri Malaysia pertama, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang merupakan seorang banyak berjasa dan berbakti pada institusi Islam di Malaysia,” kata Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Mohamad Nordin Ibrahim.
Kata Datuk Nordin, Almarhum Tunku merupakan insan yang berperanan dalam menubuhkan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).
Tambahnya lagi, Almarhum Tunku turut mempengerusikan sebanyak 71 mesyuarat MKI selepas kemerdekaan negara.
Datuk Nordin berkata ketika menyampaikan ucapan penutup di program Retreat Pemantapan Organisasi PERKIM 2023 bertempat di Insititut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Jelebu, Kuala Klawang dekat sini.
Program berlandaskan motivasi, sahsiah, jatidiri dan rohani itu disertai seramai 53 pegawai PERKIM seluruh Malaysia yang terdiri daripada PERKIM Kebangsaan, PERKIM Bahagian Negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Terengganu, Kelantan, Sarawak, Insititut Dakwah Antarabangsa PERKIM (IDIP-KL) dan Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) Kelantan berlangsung selama tiga hari dua malam bermula pada 23 hingga 25 Oktober 2023 lalu.
Menurut Datuk Nordin, selepas menubuhkan PERKIM pada tahun 1960, Almarhum Tunku dalam kebijaksanaan ideanya turut mencipta serta mengasaskan program Tilawah Al-Quran, Musabaqah Al-Quran, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat yang kini dikenali sebagai Darul Quran di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Jelasnya, kita mengagumi perjuangan Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pemimpin Islam yang berani, tegas menyuarakan aspirasi Islam ketika umat Islam ditekan oleh negara barat dengan membunuh kanak-kanak dan wanita Islam yang tidak berdosa di Palestin.
Beliau merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada peserta serta mengharapkan warganya meneruskan legasi PERKIM dengan mencetuskan pelbagai idea dan inovatif bagi memantapkan serta menaik tarafkan Islam menerusi PERKIM.
Beliau berharap program itu dapat diadakan dengan lebih kerap lagi bagi meningkatkan ukhuwah Islamiah dan silaturahim tanpa ada jurang di antara PERKIM Kebangsaan dengan seluruh warga PERKIM di Malaysia.
Sebelum itu, Datuk Nordin memberikan taklimat mengenai Pengurusan PERKIM dengan membentangkan kertas Struktur Organisasi Pentadbiran PERKIM Kebangsaan bagi penyelarasan di antara PERKIM bahagian negeri-negeri.
Pegawai PERKIM Bahagian Negeri-negeri turut membuat pembentangan senarai tugas semasa serta membincangkan mengenai Projek Tadika PERKIM Negeri-negeri.
Kini, Tadika PERKIM beroperasi di empat buah negeri iaitu Tadika PERKIM Kampung Koh Perak, Tadika PERKIM Pulau Pinang, Tadika PERKIM Genius Terengganu dan Tadika PERKIM Kota Bharu Kelantan.
Sementara itu, penghulu program, Zafri Ismaiskandar Abdul Ghani dalam ucapannya berkata, ini merupakan program yang julung-julung kali diadakan dengan menghimpunkan semua di antara pegawai-pegawai PERKIM dari seluruh Malaysia dengan berbekalkan aktiviti yang dapat bukan sahaja mengenal nama di antara satu sama lain, malah dapat mengetahui umur serta kerjasama yang padu.
Secara tidak langsung, aktiviti sihat tersebut menangkis persepsi negatif di kalangan peserta terlibat dengan hanya sertai kumpulan tertentu sahaja.
Katanya, empat kumpulan yang dibentuk iaitu Warrior, Qawi, Taawon, dan An-Najah masing-masaing membentangkan nama, cogankata dan penerangan logo.
Turut diadakan aktiviti ‘Sabar Jela’ di mana peserta dikehendaki membawa bola ping pong melalui lima batang paip yang disambung-sambung sebelum dimasukkan ke dalam baldi manakala aktiviti lepas tali dan gari tali pula peserta dikehendaki melepaskan diri dari ikatan tali secara perseorangan atau berpasangan.
Seterusnya peserta diuji tahap kesabaran, fizikal dan emosi serta perlu mematuhi arahan di dalam aktiviti ‘Memimpin Si Buta’.
Peserta yang membimbing ‘Si Buta’ dikehendaki membawa peserta melalui beberapa cabaran atau halangan seperti bawah meja, anak tangga, longkang, semak, curam, celahan pokok, tiang di dalam keadaan tidak bersuara dan hanya menggunakan isyarat tepuk pada anggota badan ‘Si Buta’ hingga ke hentian penamat.
Pada sebelah malam, Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin turut membuat pembentangan berkenaan pascanilai, penyemakan dan penterjemahan daripada keseluruhan aktiviti yang disertai peserta melalui tayangan video yang diadakan.
Turut diadakan solat fardu berjemaah dan kuliah selepas solat disampaikan oleh Pensyarah IDIP, Ustaz Fauzi Sheikh Abdullah dan Pegawai Dakwah PERKIM Bahagian Negeri Kelantan, Ustaz Nordin Abdullah @ Noraden Anuraksas.
Majlis berakhir dengan penyampaian hadiah oleh Datuk Nordin kepada johan kumpulan An-Najah diwakili oleh Nik Muhd Affendy Nik Hassan manakala naib johan dimenangi kumpulan Warrior diwakili oleh Mohd Jogi Panjaitan Maruli.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Encik Zulkefli Arifin; Pengarah Pembangunan dan Aset PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Pengarah Pembangunan Pendidikan dan Operasi PERKIM Kebangsaan, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad serta Pengarah Komunikasi dan Media PERKIM Kebangsaan, Encik Firdaus Lokman Tah dan Pengarah ILIM Kampus Jelebu, Norawi Endut.
Datuk Nordin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada peserta serta mengharapkan warganya meneruskan legasi PERKIM dengan mencetuskan pelbagai idea dan inovatif.
Aktiviti ‘Membimbing Si Buta’ diadakan kepada peserta.
Peserta dikehendaki melalui laluan bawah meja dalam keadaan dipimpin melalui isyarat tepuk pada anggota dan tanpa suara.
‘Si Celik’ membawa ‘Si Buta’ meniti longkang.
‘Si Celik’ berusaha membawa ‘Si Buta’ meniti laluan longkang dalam keadaan gelap gelita.
Pasangan membawa ‘Si Buta’ menuruni bukit.
Pasangan membawa ‘Si Buta’ melalui pelbagai halangan dan cabaran.
Pelbagai rintangan dan halangan perlu ditempuhi.
Peserta memberi ‘Si Buta’ menikmati air bagi menghilangkan rasa dahaga.
Pasangan mengurut-urut kepala bagi melegakan ‘Si Buta’ ketika berada di dalam gelap.
Beberapa halangan perlu dilalui untuk meneruskan perjalanan yang masih jauh.
Pasangan membimbing ‘Si Buta’ dengan penuh berhati-hati.
Pasangan membawa ‘Si Buta’ melalui beberapa halangan.
‘Si Celik’ mengurut-urut kepala ‘Si Buta’ bagi mendapatkan kelegaaan sebelum ikatan mata dibuka.
Dato’ Razali menyampaikan cenderahati kepada Ustaz Jamal Zaidi Ismail selaku pemudah cara.
Ustaz Zulqarnain Hassan selaku pemudah cara retreat menerima cenderahati daripada Dato’ Razali.
“Syukur kerana nikmat penglihatan yang Allah SWT berikan kepada kita,” kata Dato’ Razali dalam sesi penerangan ‘Memimpin Si Buta‘ bersama peserta.
Pelbagai emosi dan reaksi peserta ketika meluahkan perasaan dalam aktiviti ‘Memimpin Si Buta’.
Sifat sabar dan memimpin dengan penuh kasih sayang diluahkan Hamidah Ismail dalam keadaan terharu.
Peserta ketawa ketika melihat telatah dan ragam dalam tayangan video ‘Memimpin Si Buta’.
Kewajipan solat merupakan tiang dan paksi agama Islam.
Ustaz Noradin Anuraksas Abdullah menyampaikan Kuliah Subuh kepada peserta.
Datuk Nordin turut menyampaikan taklimat mengenai Pengurusan PERKIM dengan membentangkan kertas Struktur Organisasi Pentadbiran PERKIM Kebangsaan.
Peserta mendengar taklimat yang disampaikan oleh Datuk Nordin iaitu Struktur Organisasi Pentadbiran PERKIM Kebangsaan.
Ustaz Zafri Ismaiskandar Abd Ghani menyampaikan peranan dan tugasannya di PERKIM Negeri Sembilan.
Tugasan dan peranan Pegawai PERKIM Johor disampaikan oleh Ustaz Mohd Ghazali Ismail.
Penghulu Program, Zafri Ismaiskandar berharap program seperti ini diadakan lagi dengan melibatkan semua kakitangan tidak kira pangkat.
Datuk Nordin menyampaikan hamper kepada Ketua Kumpulan Qawi.
Ketua Kumpulan Taawon menerima hamper daripada Datuk Nordin.
Ketua Kumpulan Warrior menerima hamper daripada Datuk Nordin.
Datuk Nordin menyampaikan hamper kepada Ketua Kumpulan An-Najah.
Datuk Nordin menyampaikan cenderahati kepada Pengarah ILIM Kampus Jelebu, Norawi Endut kerana kerjasama dan sokongan kepada PERKIM.
Pegawai PERKIM seluruh Malaysia bersalam-salaman bersama pemimpin PERKIM.
Kumpulan An-Najah selaku johan keseluruhan retreat bergambar kenang-kenangan di akhir program.
Naib johan disandang oleh Kumpulan Warrior membawa pulang hamper.
Kumpulan Qawi berkesempatan bergambar kenang-kenangan di akhir program.
Pimpinan PERKIM bergambar beramai-ramai di akhir penutupan retreat.