Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Aktiviti DakwahAktiviti Wanita PERKIM

Ketua Wanita PERKIM Berkenan Terima Kunjungan PERKIM Cawangan Sri Aman

oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 7 NOVEMBER 2023 – Ketua Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YTM Tunku Puan Sri Dato’ Seri Hajah Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah berkenan dan mengalu-alukan ketika menerima kehadiran lawatan Jejak Ilmu 10 ahli PERKIM Cawangan Sri Aman bertempat di Bilik Mesyuarat Tingkat 4, Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan, Jalan Sultan Azlan Shah pada pagi Selasa.


Tunku Noor Hayati dalam titah ucapannya, beliau berterima kasih dan bersyukur kerana dapat dipertemukan dalam majlis yang dirahmati Allah SWT di mana sebelum itu pertemuan diadakan secara atas talian berikutan cawangan tersebut berada di Sarawak.

Jelasnya, semoga Allah SWT merapatkan lagi jurang di antara Wanita PERKIM Kebangsaan dengan PERKIM Cawangan Sri Aman sekali gus merahmati silaturahim dengan terbinanya ukhuwah Islamiyyah di antara kita.

Menurut Tunku Noor Hayati lagi, pakaian batik rasmi berwarna hijau dan putih yang diperagakan membakar lagi semangat Wanita PERKIM dalam meneruskan usaha dakwah dan kebajikan.

Tambahnya, walaupun dakwah tidak sebanyak kita usahakan, tetapi sedikit sebanyak menjadi pembuka kepada generasi yang akan datang untuk memeluk Islam serta memahami agama yang syumul ini.

Tunku Noor Hayati turut menyampaikan salam hormat daripada Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor kerana tidak dapat hadir disebabkan mempunyai tugasan di luar.

Menurutnya lagi, terdapat banyak masalah yang dilihat oleh pendakwah-pendakwah wanita PERKIM di seluruh negara.

Kini tiba masanya kita mengambil inisiatif untuk merekodkan dan mengambil data secara peribadi mereka yang menghadapi pelbagai masalah yang berlainan disebabkan oleh faktor sosio ekonomi serta budaya setempat.

Ia juga bersesuaian dengan matlamat dalam meramaikan lagi saudara-saudara seIslam, ia seharusnya dimulakan dengan menangani serta mempelajari kehidupan masyarakat mualaf serta memberi pencerahan kepada mereka dalam kes-kes murtad atau kehidupan yang menyalahi akidah Islam.

Data-data yang direkodkan ini akan dimajukan kepada jabatan berkaitan seperti Majlis Agama Negeri-Negeri, Jabatan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (JPWKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), agama, syariah dan juga jabatan-jabatan yang lain untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Pengerusi PERKIM Cawangan Sri Aman, Puan Hajah Dayang Meriana Haji Awang Yusop dalam ucapannya berterima kasih kerana menerima kunjungan kami seramai 10 orang dari Sri Aman, Sarawak.

Kunjungan yang dinamakan jejak ilmu kerana kami ingin mempelajari kaedah atau usaha PERKIM yang dijalankan di Semenanjung Malaysia di mana lawatan hari pertama kami melawat ke PERKIM Cawangan Klang dengan melihat sendiri perniagaan yang dijalankan di Restoran PERKIM Cawangan Klang serta mereka mengadakan infak makanan percuma dan pengurusan pejabat cawangan di Masjid Jamek Ar-Rahimah Klang.

Selain itu, kunjungan itu dapat mewujudkan hubungan yang lebih akrab di antara PERKIM Cawangan Sri Aman dengan Wanita PERKIM Kebangsaan dan bertukar-tukar pandangan serta idea bagi menggarap usaha dakwah, kebajikan dan pendidikan kepada mualaf di PERKIM Cawangan Sri Aman khususnya.

Kunjungan dua hala tersebut memberi input-input yang segar bagi merancang serta menjalankan program serta aktiviti dakwah, kebajikan dan pendidikan kepada saudara baharu.

Jelas Dayang Meriana lagi, kami akan bekerjasama dengan semua pihak sama ada agensi kerajaan atau badan-badan bukan kerajaan yang memberikan kekuatan kepada kami dalam menggerakkan aktiviti dan program dakwah selaras dengan agenda kerajaan serta misi atau visi sejajar dengan objektif PERKIM dalam kebajikan, pendidikan serta kerjasama kepada saudara baharu.

Diharap pertemuan tersebut dapat mempergiatkan lagi program dan aktiviti kolaborasi di antara Wanita PERKIM Kebangsaan dan PERKIM Cawangan Sri Aman.

PERKIM Cawangan Sri Aman turut diberi kesempatan melawat ke dalam kawasan Ibu Pejabat PERKIM di Bilik Pengislaman, Unit Dakwah dan Pembangunan Insan, Unit Pentadbiran, Pejabat Wanita PERKIM Kebangsaan, Perpustakaan Mini PERKIM dan Dataran Dakwah.

Di akhir majlis, Tunku Noor Hayati berkenan menyampaikan cenderahati plak PERKIM dan sebuah buku Warisan dan Wawasan 60 Tahun PERKIM kepada Dayang Meriana manakala Dayang Meriana turut menyampaikan cenderahati balas iaitu plak PERKIM Sri Aman kepada Tunku Noor Hayati.

Turut hadir ialah pimpinan Wanita PERKIM Kebangsaan iaitu Bendahari Kehormat, YBhg Dr Nur’azah Dato’ Abdul Manaf; Ahli Majlis, YBhg Datin Hajah Mawanchik Che Jais; YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad; Pegawai Wanita PERKIM Kebangsaan, Fatin Hamizah Ismail; Pegawai Perhubungan Awam Dalam dan Luar Negara PERKIM Kebangsaan, Safiyya Nur Sakeena Sallehuddin; Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan, Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan serta Setiausaha Kehormat PERKIM Cawangan Sri Aman, Khadijah Abdullah.


Tunku Noor Hayati berkenan menyambut ketibaan PERKIM Cawangan Sri Aman.


Tunku Noor Hayati dan Dayang Meriana menadah tangan ketika doa dibacakan.


Tunku Noor Hayati mengucapkan terima kasih dan bersyukur kerana dapat dipertemukan dengan rombongan PERKIM Cawangan Sri Aman.


Tunku Noor Hayati turut memuji pakaian batik rasmi berwarna hijau dan putih yang dipakai oleh PERKIM Cawangan Sri Aman.


Tunku Noor Hayati berkata, kita perlu menangani serta mempelajari kehidupan masyarakat mualaf serta memberi pencerahan kepada mereka dalam kes-kes murtad atau kehidupan yang menyalahi akidah Islam.


Dayang Meriani dalam ucapannya berkata, kunjungan jejak ilmu kerana ingin mengetahui dan mempelajari kaedah atau usaha PERKIM yang dijalankan di Semenanjung Malaysia.


Tunku Noor Hayati menyampaikan cenderahati sebuah buku Warisan dan Wawasan 60 Tahun PERKIM kepada Dayang Meriani.


Dayang Meriani bersama ahli-ahlinya menyampaikan cenderahati sebuah plak PERKIM Cawangan Sri Aman kepada Tunku Noor Hayati.


Tunku Noor Hayati turut menerima hadiah daripada Dayang Meriani.


Dua ahli rombongan mencuba memakai jubah yang digunakan sewaktu pengislaman sambil memegang al-Quran ketika melawat Bilik Hidayah PERKIM.


Rombongan PERKIM Sri Aman bergambar di pintu masuk Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan.


Rombongan PERKIM Sri Aman membaca buku ketika sesi melawat Perpustakaan Mini PERKIM.


Ahli rombongan turut mencari risalah PERKIM yang sesuai untuk disebarkan di Sri Aman.


Rombongan PERKIM Sri Aman berkesempatan bergambar di Dataran Dakwah, Bangunan PERKIM.


Rombongan PERKIM Cawangan Sri Aman bergambar kenang-kenangan bersama Tunku Noor Hayati di akhir majlis.

Related Articles

Back to top button