Aktiviti Dakwah

Lebih 300 Jemaah Hadir Menunaikan Solat Sunat Aidiladha 1446H di Surau PERKIM

πŠπ”π€π‹π€ π‹π”πŒππ”π‘, πŸ• 𝐉𝐔𝐍 πŸπŸŽπŸπŸ“ – Surau PERKIM di aras G, Bangunan PERKIM di Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur pagi ini dipenuhi dengan kira-kira lebih 300 jemaah lelaki dan perempuan yang terdiri daripada pelbagai lapisan masayarakat hadir menunaikan solat sunat Aidiladha.

Solat sunat Hari Raya Aidiladha dipimpin oleh Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah.

Umat Islam diseru agar menyemai nilai keikhlasan dan memperkukuh semangat pengorbanan dalam menjalani kehidupan seharian, sejajar dengan semangat Aidiladha yang mulia.

Seruan tersebut disampaikan oleh Ustaz Muhammad Jais ketika menyampaikan khutbah Hari Raya Aidiladha bertajuk β€œAidiladha 1446H: Menyubur Keikhlasan, Meraih Pengorbanan” selepas solat sunat Aidiladha.

Dalam khutbahnya, Ustaz Muhammad Jais menekankan bahawa Aidiladha bukan hanya sekadar perayaan, tetapi merupakan manifestasi ketaatan, keikhlasan dan kesediaan berkorban demi reda Allah SWT.

Beliau mengajak umat Islam mencontohi pengorbanan agung Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. yang sanggup menyerahkan segala-galanya demi menjalankan perintah Ilahi.

β€œAidiladha adalah waktu untuk memperteguh hubungan kita dengan Allah melalui ibadah korban yang bukan sekadar menyembelih haiwan, tetapi juga menyembelih sifat ego, tamak dan mementingkan diri sendiri,” tegas beliau dalam khutbah yang disampaikan.

Beliau turut menyentuh tentang kepentingan ikhlas dalam segala bentuk amalan, berpandukan firman Allah SWT dalam Surah Al-Hajj ayat 37 yang menyebut bahawa bukan darah atau daging korban yang sampai kepada Allah, tetapi keikhlasan dan ketakwaan hamba-hamba-Nya.

Khutbah turut menyentuh tiga amalan utama selepas Aidiladha yang disarankan oleh sunnah Nabi SAW, iaitu menghidupkan takbir sepanjang hari Tasyrik, menyempurnakan ibadah korban dengan adab dan keikhlasan, serta menyebarkan kegembiraan dan mengukuhkan silaturahim sesama umat Islam.

Seusai khutbah selesai, para jemaah disajikan dengan jamuan hari raya. Juadah disediakan ialah nasi minyak, ayam masak merah, daging masak kicap, acar serta kuih-muih.

Muhammad Jais selaku imam memimpin Solat Sunat Hari Raya Aidiladha di Surau PERKIM.

Jemaah menunaikan Solat Sunat Hari Raya Aidiladha di Dataran Dakwah.

Muhammad Jais membacakan khutbah bertajuk Aidiladha 1446H: Menyubur Keikhlasan, Meraih Pengorbanan.

Sebahagian jemaah perempuan yang hadir menunaikan Solat Sunat Hari Raya Aidiladha di Surau PERKIM.

Jemaah yang hadir beratur mengambil makanan yang disediakan.

Para tetamu yang hadir menikamti juadah yang dihidangkan.

Related Articles

Back to top button