Pengumuman

Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW 1448H

SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUR RASUL SAW 1448H

Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW 1448 Hijrah kepada seluruh warga dan Kepimpinan Tertinggi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), para saudara baharu, ahli, sukarelawan, penyumbang, rakan strategik serta seluruh umat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia.

Sesungguhnya, sambutan Maulidur Rasul SAW bukan sekadar memperingati kelahiran insan agung junjungan kita, Nabi Muhammad SAW, bahkan menjadi kesempatan terbaik untuk kita menyuburkan kembali rasa cinta kepada Baginda serta menghayati sirah, perjuangan, akhlak dan sunnah Rasulullah SAW sebagai pedoman kehidupan.

Allah SWT berfirman:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik…”
(Surah al-Ahzab, 33:21)

Rasulullah SAW merupakan uswah hasanah yang sempurna dalam membina kehidupan berteraskan iman, ilmu, kasih sayang, keadilan, kesederhanaan dan ihsan. Baginda mengajar umat agar menghormati sesama manusia, menyantuni golongan yang memerlukan, memelihara keharmonian masyarakat serta menyampaikan dakwah dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.

Dalam konteks perjuangan PERKIM, nilai-nilai tersebut amat dekat dengan amanah dakwah dan kebajikan yang menjadi teras organisasi sejak penubuhannya. Usaha membimbing saudara baharu, menyantuni masyarakat, memperkukuh kefahaman Islam serta membina jambatan persefahaman dalam masyarakat majmuk hendaklah sentiasa berlandaskan rahmah, hikmah dan akhlak Rasulullah SAW.

Justeru, marilah kita menjadikan Maulidur Rasul SAW 1448H sebagai momentum untuk memperbaharui tekad, memperkukuh ukhuwah dan mempertingkatkan khidmat kepada ummah.

Janganlah kecintaan kepada Rasulullah SAW sekadar dizahirkan melalui ungkapan dan sambutan, sebaliknya diterjemahkan melalui penghayatan sunnah, kemuliaan akhlak, keikhlasan berbakti dan kesungguhan menegakkan nilai Islam dalam kehidupan seharian.

Marilah kita bersama-sama memperbanyakkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, menghidupkan sunnah Baginda dan meneladani sifat siddiq, amanah, tabligh dan fatanah dalam setiap amanah yang dipikul.

Semoga kecintaan kita kepada Rasulullah SAW menjadi sumber kekuatan untuk terus memperkasa dakwah, memperluas kebajikan dan membina masyarakat yang lebih penyayang, bersatu padu serta saling menghormati.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda dan para sahabat Baginda seluruhnya.

Semoga kita semua memperoleh syafaat Baginda SAW dan dihimpunkan bersama Baginda di Jannatul Firdaus kelak.

اللهم صل وسلم على نبينا محمد

SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUR RASUL SAW 1448H

“Rasulullah SAW: Qudwah Hasanah, Rahmah Buat Sekalian Alam.”

Sekian, terima kasih.

YBhg Dato’ Dr. Haji Mohamad Marzuki Mohamad Omar
Setiausaha Agung Kehormat
Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM)

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button