Aktiviti Kebajikan

Dialog Harmoni PERKIM-MAIWP Perkukuh Jambatan Perpaduan Bersama Komuniti Cina Pulau Ketam

𝙤𝙡𝙚𝙝: 𝙈𝙊𝙃𝘿 𝙎𝙔𝘼𝙃𝙍𝙄𝙇 𝙍𝙊𝙎𝘿𝙄 𝘼𝙃𝙈𝘼𝘿 𝙕𝘼𝙃𝙐𝘿𝙄

𝗞𝗟𝗔𝗡𝗚, 𝟲 𝗦𝗘𝗣𝗧𝗘𝗠𝗕𝗘𝗥 𝟮𝟬𝟮𝟲 – Perpaduan dalam kepelbagaian terus diperkukuh apabila Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menganjurkan Dialog Harmoni Program Mahabbah Komuniti Masyarakat Majmuk Cina Pulau Ketam, di Dewan Komuniti Kampung Bagan Pulau Ketam, dekat sini pada pagi Ahad.

Program yang berlangsung dalam suasana penuh mesra itu bukan sekadar menjadi medan perkongsian ilmu dan pandangan, malah memperlihatkan pendekatan PERKIM dalam membina jambatan persefahaman bersama masyarakat pelbagai kaum menerusi komunikasi, kebajikan dan interaksi secara bersemuka.

Seawal pukul 8 pagi, urus setia program turut mengambil pendekatan mendekati masyarakat apabila menyediakan sarapan berupa nasi goreng dan minuman kepada orang ramai serta peserta yang melalui hadapan dewan.

Inisiatif sederhana itu mencerminkan semangat mahabbah yang menjadi teras program, iaitu mendekati masyarakat tanpa mengira latar belakang agama dan kaum melalui sentuhan kebajikan serta hubungan kemanusiaan.

Program berkenaan mendapat kerjasama PERKIM Bahagian Negeri Selangor, PERKIM Cawangan Klang dan Balai Islam Pulau Ketam.

Antara urus setia PERKIM Kebangsaan yang terlibat ialah 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗔𝗶𝘇𝗮𝘁 𝗥𝗼𝘀𝗹𝗶, 𝗛𝗮𝘀𝗵𝗶𝗺𝗮𝗵 𝗛𝗮𝘀𝗵𝗶𝗺, 𝗔𝘇𝘂𝗿𝗮 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗥𝗮𝗵𝗺𝗮𝗻, 𝗥𝗼𝗵𝗮𝗶𝘇𝗮 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗧𝗮𝗻, 𝗠𝘂’𝗮𝗹𝗶𝘀𝗵 𝗦𝗵𝗮𝗵 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗔𝗻𝘂𝗮𝗿, 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗔𝗶𝗱𝗶𝗹 𝗔𝗾𝗲𝗹 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗬𝘂𝘀𝗼𝗳𝗳 𝗱𝗮𝗻 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗙𝗮𝗶𝘇 𝗛𝗮𝘀𝗻𝗮𝗶𝗻 𝗟𝗼𝗸𝗺𝗮𝗻.

PERKIM Bahagian Negeri Selangor pula diwakili 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗬𝘂𝘀𝗼𝗳𝗳 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗔𝗵𝗺𝗮𝗱, 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗛𝗶𝘇𝗮𝗺 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗥𝗮𝗵𝗶𝗺, 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗦𝘂𝗯𝗸𝗶 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗥𝗮𝗵𝗺𝗮𝗻, 𝗛𝗮𝗷𝗮𝗵 𝗨𝗺𝗮𝗶𝘇𝗮𝗵 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 serta beberapa sukarelawan.

𝗣𝗲𝗻𝗴𝗲𝗿𝘂𝘀𝗶 𝗕𝗮𝗹𝗮𝗶 𝗜𝘀𝗹𝗮𝗺 𝗣𝘂𝗹𝗮𝘂 𝗞𝗲𝘁𝗮𝗺, 𝗖𝗶𝗸𝗴𝘂 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗔𝗻𝗮𝘀 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗠𝗮𝗻𝗮𝗻 ketika mengalu-alukan kehadiran peserta dialog merakamkan penghargaan kepada PERKIM Kebangsaan dan PERKIM Bahagian Negeri Selangor atas kesudian hadir serta meluangkan masa selama tiga hari dua malam bersama masyarakat Pulau Ketam.

Menurutnya, program seperti itu wajar diteruskan kerana membuka ruang kepada masyarakat luar mengenali budaya, kehidupan dan realiti komuniti Pulau Ketam secara lebih dekat.

Beliau turut menggalakkan penduduk memenuhi ruang dewan dan mengambil peluang untuk berdialog secara santai dengan pihak PERKIM, termasuk mengemukakan sebarang persoalan, pandangan atau perkara yang boleh diberi perhatian bersama.

Kemuncak program ialah Dialog Harmoni yang disampaikan sepenuhnya dalam bahasa Mandarin oleh 𝗦𝗲𝘁𝗶𝗮𝘂𝘀𝗮𝗵𝗮 𝗣𝘂𝗹𝗮𝘂 𝗞𝗲𝘁𝗮𝗺, 𝗖𝗵𝗲𝗿𝗿𝘆 𝗖𝗵𝗲𝘄 𝗦𝘇𝗲 𝗘𝗻 dan dimoderatorkan oleh 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗦𝘂𝗹𝗮𝗶𝗺𝗮𝗻 𝗗𝗶𝗻𝗴 𝗬𝘂 𝗭𝗵𝗼𝗻𝗴.

Cherry Chew mengajak masyarakat Pulau Ketam melihat sejarah sebagai jambatan yang menghubungkan peradaban dan masyarakat berbeza latar belakang.

Beliau antara lain menyentuh sejarah kedatangan Islam ke China sejak era Dinasti Tang serta hubungan sejarah China dengan Alam Melayu, termasuk peranan tokoh pelayaran terkenal Dinasti Ming, Zheng He atau Laksamana Cheng Ho, yang menjadi antara simbol penting hubungan antara kedua-dua wilayah sejak ratusan tahun lalu.

Cherry turut menekankan bahawa keharmonian sesebuah komuniti tidak terhasil melalui usaha pemimpin atau jawatankuasa kampung semata-mata, sebaliknya lahir daripada kerjasama seluruh masyarakat.

Katanya, hubungan antara pemimpin dan penduduk perlu sentiasa diperkukuh menerusi komunikasi terbuka, kesediaan mendengar pandangan serta keberanian menyuarakan sebarang persoalan demi kepentingan bersama.

Dalam konteks Pulau Ketam, semangat tersebut menjadi kekuatan kepada masyarakat untuk bersama-sama menjaga kemajuan, kebersihan, keselamatan dan kesejahteraan kampung.

Beliau berkata, perbezaan agama, kaum dan budaya tidak seharusnya menjadi tembok pemisah, sebaliknya perlu diraikan sebagai kekuatan yang membentuk identiti masyarakat Malaysia.

Dialog Harmoni itu turut membuka ruang kepada penduduk mengemukakan persoalan secara santai dan terus kepada pihak PERKIM, sekali gus memperlihatkan bahawa persefahaman dapat dibina apabila masyarakat bersedia untuk duduk bersama, saling mendengar dan menghormati antara satu sama lain.

Pendekatan sedemikian, katanya, penting bagi memastikan Pulau Ketam terus menjadi komuniti yang hidup dalam suasana aman, mesra dan saling menyokong.

Seusai Dialog Harmoni, 𝗙𝗮𝘁𝗶𝗻 𝗔𝗸𝗺𝗮𝗹 𝗔𝗸𝘀𝗮𝗵 selaku pengacara majlis memulakan majlis perasmian penutup.


Sementara itu, 𝗞𝗲𝘁𝘂𝗮 𝗞𝗮𝗺𝗽𝘂𝗻𝗴 𝗣𝘂𝗹𝗮𝘂 𝗞𝗲𝘁𝗮𝗺, 𝗧𝘀. 𝗥𝗶𝗰𝗵𝗮𝗿𝗱 𝗪𝗮𝗻𝗴 𝗞𝗵𝗲𝗻𝗴 𝗛𝘄𝗮 merakamkan penghargaan kepada PERKIM, NGO serta sukarelawan yang menjayakan program berkenaan.

Beliau berkata, kehadiran PERKIM ke Pulau Ketam memberi peluang kepada penduduk menerima pelbagai bentuk sumbangan dan perkhidmatan, selain mengeratkan hubungan antara masyarakat setempat dengan pertubuhan berkenaan.

Menurut Richard, PERKIM juga dilihat konsisten melaksanakan program kemasyarakatan di Pulau Ketam termasuk ketika sambutan Tahun Baharu Cina serta program berkaitan Aidilfitri dan Aidiladha.

Beliau berkata, penduduk Pulau Ketam, khususnya golongan berpendapatan rendah, amat menghargai kehadiran badan bukan kerajaan yang sudi turun padang untuk menyantuni mereka.

“Penduduk Pulau Ketam sangat bangga dan menghargai sumbangan seperti ini. Mereka sentiasa menantikan program yang dapat membantu masyarakat di sini,” katanya.

Richard turut menghargai peranan Balai Islam Pulau Ketam yang diketuai Cikgu Mohd Anas dalam membantu menjayakan pelbagai aktiviti bersama masyarakat, termasuk kerja kebajikan, gotong-royong, saringan kesihatan, kunjungan ke rumah penduduk Islam dan bukan Islam serta aktiviti kanak-kanak.

Katanya, program seperti itu menjadi ruang penting untuk masyarakat saling mengenali, mengukuhkan hubungan dan menyemarakkan semangat perpaduan dalam komuniti majmuk.


Dalam pada itu, 𝗣𝗲𝗻𝘆𝗲𝗹𝗮𝗿𝗮𝘀 𝗣𝗿𝗼𝗴𝗿𝗮𝗺, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗝𝗮𝗶𝘀 𝗠𝗮𝗿𝗶𝗮𝗽𝗽𝗮𝗻 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 berkata program yang berlangsung selama tiga hari dua malam itu memberi pengalaman bermakna kepada rombongan PERKIM untuk memahami kehidupan masyarakat Pulau Ketam secara lebih dekat.

Beliau berkata, aktiviti bermula dengan kerja gotong-royong di dua buah rumah penduduk yang sebahagian besarnya bekerja di laut, selain pembersihan di Balai Islam dan Dewan Komuniti.

“Alhamdulillah, sepanjang program ini kami melihat kerjasama yang sangat baik daripada masyarakat setempat, termasuk anggota polis dan wakil Klinik Kesihatan Pulau Ketam,” kata Ustaz Jais Mariappan yang juga Eksekutif Dakwah 1 PERKIM Kebangsaan.

Katanya, wakil Klinik Kesihatan turut memberikan taklimat berkaitan kepentingan penjagaan buah pinggang sebagai sebahagian daripada pengisian program.

Jais turut menegaskan bahawa sumbangan utama program berkenaan adalah daripada MAIWP, termasuk bakul makanan dan sumbangan wang tunai kepada penduduk yang memerlukan.

Beliau berkata, sambutan positif daripada masyarakat akan dibawa pulang sebagai laporan untuk pertimbangan program pada masa akan datang.

“Insya-Allah, jika diberikan sokongan dan peruntukan pada tahun depan, kami berharap dapat kembali lagi ke Pulau Ketam dengan program yang lebih tersusun dan memberi manfaat lebih besar kepada masyarakat,” katanya.


𝗡𝗮𝗶𝗯 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗲𝗿𝘂𝘀𝗶 𝟭 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗴𝗶𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗦𝗲𝗹𝗮𝗻𝗴𝗼𝗿, 𝗧𝘂𝗮𝗻 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗛𝘂𝘀𝗵𝗶𝗺 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗦𝗮𝗹𝗹𝗲𝗵 yang merasmikan majlis penutupan, turut menzahirkan penghargaan kepada penduduk Pulau Ketam kerana menerima kehadiran rombongan PERKIM dengan penuh mesra.

Haji Hushim yang juga Ahli Majlis PERKIM Kebangsaan berkata, penglibatan PERKIM bersama masyarakat Pulau Ketam bukan sekadar untuk menyampaikan bantuan, sebaliknya merupakan usaha membina hubungan kemanusiaan yang lebih dekat dan berterusan tanpa mengira latar belakang agama serta kaum.

Tambah beliau lagi, pendekatan turun padang seperti itu amat penting kerana hubungan antara masyarakat tidak boleh dibina hanya melalui pertemuan rasmi, sebaliknya perlu disuburkan menerusi interaksi secara langsung, aktiviti kebajikan, gotong-royong, kunjungan ke rumah penduduk serta program yang melibatkan seluruh komuniti.

“Bila kita datang ke sini, kita bukan datang sekadar untuk memberikan bantuan. Kita datang untuk mengenali masyarakat, mendengar pandangan mereka dan memahami kehidupan mereka. Inilah semangat yang kita mahu bawa melalui PERKIM,” katanya.

Menurut beliau, pengalaman sepanjang tiga hari dua malam di Pulau Ketam memberikan kesempatan kepada anggota dan sukarelawan PERKIM untuk melihat sendiri realiti kehidupan masyarakat setempat yang sebahagiannya bergantung kepada sektor perikanan dan pekerjaan di laut.

Beliau turut memuji keterbukaan masyarakat Pulau Ketam yang menerima kehadiran PERKIM dengan penuh mesra, termasuk memberikan ruang kepada rombongan untuk melaksanakan aktiviti kemasyarakatan, gotong-royong dan dialog bersama penduduk.

“Yang paling penting ialah kita dapat duduk bersama, berbual dan mengenali antara satu sama lain. Daripada pertemuan seperti inilah lahir rasa hormat, rasa percaya dan akhirnya hubungan yang lebih erat,” katanya.

“Kita berharap program ini bukan yang terakhir. Kalau ada peluang dan sokongan, kita mahu datang lagi. Kita mahu hubungan ini berterusan, bukan hanya ketika ada program, tetapi menjadi hubungan yang sentiasa hidup antara PERKIM dengan masyarakat Pulau Ketam,” katanya.

Majlis turut menyaksikan penyampaian plak cenderamata PERKIM kepada Ts. Richard Wang Kheng Hwa, wakil Polis Diraja Malaysia Pulau Ketam serta wakil Klinik Kesihatan Pulau Ketam sebagai tanda penghargaan atas kerjasama menjayakan program.

Dalam majlis sama, kanak-kanak yang menyertai aktiviti sukaneka pada hari sebelumnya turut menerima hadiah bagi acara kerusi berirama, membawa bola pingpong menggunakan sudu, larian berpasangan dengan kaki diikat serta pertandingan meniup belon paling besar.

Program kemudiannya diakhiri dengan penyampaian sagu hati kepada peserta, sesi fotografi kenang-kenangan dan jamuan makan tengah hari.

 


Urus setia mengagihkan bungkusan sarapan pagi dan air minuman kepada orang ramai yang melalui Dewan Komuniti Pulau Ketam.

 


Penduduk Muslim Pulau Ketam menerima bungkusan sarapan pagi daripada urus setia.

 


Urus setia mengagihkan sarapan pagi kepada penduduk kampung.

 


Anas Abdul Manan selaku Pengerusi Balai Islam Pulau Ketam mengalu-alukan kehadiran peserta dialog merakamkan penghargaan kepada PERKIM atas kesudian hadir serta meluangkan masa selama tiga hari dua malam bersama masyarakat kampung.

 


Cherry Chew dalam Program Dialog Harmoni menyentuh sejarah kedatangan Islam ke China sejak era Dinasti Tang serta hubungan sejarah China dengan Alam Melayu, termasuk peranan tokoh pelayaran terkenal Dinasti Ming, Zheng He atau Laksamana Cheng Ho.

 


Sulaiman Ding selaku moderator menterjemahkan dalam Bahasa Melayu bahawa perbezaan agama, kaum dan budaya tidak seharusnya menjadi tembok pemisah, sebaliknya perlu diraikan sebagai kekuatan yang membentuk identiti masyarakat Malaysia.

 


Dialog harmoni turut menekankan bahawa keharmonian sesebuah komuniti tidak terhasil melalui usaha pemimpin atau jawatankuasa kampung semata-mata, sebaliknya lahir daripada kerjasama seluruh masyarakat.

 


Antara tetamu yang hadir terdiri daripada wakil Balai Polis Pulau Ketam bersama masyarakat kampung.

 


Masyarakat kampung tekun mendengar dialog yang disampaikan.

 


Majlis perasmian penutup dihadiri oleh (dari kiri) Jais Mariappan, Haji Hushim, Ts. Richard dan Anas.

 


Fatin Akmal mengacarakan majlis perasmian penutup Program Mahabbah Komuniti Masyarakat Majmuk Cina Pulau Ketam.

 


Ts. Richard Wang selaku ketua kampung dalam ucapan aluannya berkata, kehadiran PERKIM ke Pulau Ketam memberi peluang kepada penduduk menerima pelbagai bentuk sumbangan dan perkhidmatan, selain mengeratkan hubungan antara masyarakat setempat dengan PERKIM.

 


Menurut Jais Mariappan, sepanjang program ini kami melihat kerjasama yang sangat baik daripada masyarakat setempat, termasuk anggota polis dan wakil Klinik Kesihatan Pulau Ketam.

 


Haji Hushim dalam ucapan perasmiannya berkata, penglibatan PERKIM bersama masyarakat Pulau Ketam bukan sekadar untuk menyampaikan bantuan, sebaliknya merupakan usaha membina hubungan kemanusiaan yang lebih dekat dan berterusan.

 


“Bila kita datang ke sini, kita bukan datang sekadar untuk memberikan bantuan. Kita datang untuk mengenali masyarakat, mendengar pandangan mereka dan memahami kehidupan mereka,”  ujar Haji Hushim.

 


Haji Hushim turut memuji keterbukaan masyarakat Pulau Ketam yang menerima kehadiran PERKIM dengan penuh mesra, termasuk memberikan ruang kepada rombongan untuk melaksanakan aktiviti kemasyarakatan, gotong-royong dan dialog bersama penduduk.

 


Haji Hushim menyampaikan plak cenderamata PERKIM kepada Ts. Richard Wang sebagai simbol penghargaan.

 


Wakil Balai Polis Pulau Ketam menerima plak cenderamata daripada Haji Hushim.

 


Haji Hushim menyampaikan plak cenderamata PERKIM kepada Azizah Zakaria selaku Jururawat Masyarakat Klinik Kesihatan Pulau Ketam.

 


Pemenang sukaneka kategori kanak-kanak menerima hadiah daripada Haji Hushim.

 


Haji Hushim menyampaikan hadiah sukaneka kepada pemenang sukaneka kategori kanak-kanak.

 


Aizat Rosli menerima hadiah sukaneka daripada Haji Hushim.

 


Haji Hushim berkesempatan menyampaikan wang sagu hati MAIWP kepada penduduk kampung.

 


Penduduk kampung menerima wang sagu hati MAIWP daripada Haji Hushim.

 


Tetamu kehormat bersama urus setia bergambar kenang-kenangan bersama penduduk Pulau Ketam di akhir majlis.

Related Articles

Back to top button