Aktiviti Dakwah

Kontinjen Surau PERKIM Sertai Perarakan Maulidur Rasul 1446H Peringkat Masjid Amru Ibni Al-‘As

𝗼𝗹𝗲𝗵: 𝗦𝗥𝗭

𝗞𝗨𝗔𝗟𝗔 𝗟𝗨𝗠𝗣𝗨𝗥, 𝟮𝟵 𝗦𝗘𝗣𝗧𝗘𝗠𝗕𝗘𝗥 𝟮𝟬𝟮𝟰 – Surau Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) merupakan antara salah satu daripada 14 kontinjen yang menyertai Majlis Perarakan Sempena Maulidur Rasul SAW 2024 Peringkat Masjid Amru Ibni Al-‘As, Bandar Baru Sentul dekat sini pada pagi Ahad.

Pegawai Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah turut hadir bagi memastikan kontinjen Surau PERKIM berhimpun dan membuat persiapan terakhir sebelum berarak di sekitar Bandar Baru Sentul.

Menurut Farhan yang juga Setiausaha Surau PERKIM, seramai 34 mualaf terdiri daripada bangsa Cina, India, Iban, Kadazan, Bidayuh serta warga negara daripada Filipina, Kemboja dan Myanmar berpakaian baju Melayu serba hitam dan bersampin manakala berjubah hitam dan bertudung merah jambu membawa sepanduk Sambutan Maulidur Rasul 2024 dalam tulisan jawi mewakili kontinjen Surau PERKIM.

Kontinjen Surau PERKIM berarak sambil berselawat sepanjang beberapa kilometer di sekitar kawasan perumahan sambil membawa hiasan bunga manggar, tepak sireh dan paluan kompang.

Jelas Farhan lagi, Sambutan Maulidur Rasul merupakan hari memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW di mana acara tersebut biasanya melibatkan kegiatan perarakan besar-besaran, zikir, selawat, dan pelbagai aktiviti.

Perarakan ini menjadi momen penting untuk mempererat ukhuwah Islamiah di kalangan umat Islam, di mana masyarakat dari pelbagai latar belakang bergabung dalam satu acara besar.

Ulas beliau lagi, perarakan Maulidur Rasul tidak hanya sebuah perayaan tetapi juga momen untuk memperkuat cinta kepada Nabi Muhammad SAW dan meningkatkan keimanan serta keislaman dalam masyarakat.

Selain itu, sambutan itu juga menjadi tunjang untuk mempererat tali persaudaraan di kalangan komuniti Islam di Bandar Baru Sentul dengan semangat kesatuan dan kerukunan.

Farhan mewakili Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Surau PERKIM turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Masjid Amru Ibni Al-‘As kerana diberi kesempatan menyertai perarakan sempena Maulidur Rasul SAW.

Tambah beliau, tim perarakan Surau PERKIM tidak berjaya memperoleh hadiah pertandingan pada kali ini.

Namun kita memuji kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan oleh pasukan ini.

Mereka telah berlatih pelbagai jenis selawat dengan penuh kesungguhan diiringi dengan paluan kompang dan kerincing.

Ini merupakan pengalaman pertama mereka di dalam perarakan ini. InshaAllah, semoga ada rezeki mereka pada masa akan datang.

Antara kontinjen yang menyertai perarakan ialah Madrasah Al-Islah, Surau Quba’, Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia Wilayah Persekutuan, Perumahan Awam Seri Perak, Asrama Sentosa Sentul, Kawasan Rukun Tetangga dan Persatuan Penduduk Perumahan Awam Seri Negeri Sembilan, Surau Raudhatul Jannah, Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sentul, Sekolah Kebangsaan Seri Perak, Persatuan Kebajikan Guru-Guru KAFA, Pangsapuri Fasa 3 Bandar Baru Sentul.


Kontinjen Surau PERKIM terdiri daripada 34 saudara baharu pelbagai kaum menyertai perarakan Maulidur Rasul SAW.


Mualaf wanita berkesempatan bergambar di hadapan Masjid Amru Ibni Al’As sebelum perarakan bermula.


Farhan memakaikan mafla Palestin ke bahu ahli kontinjen Surau PERKIM.


Pasukan kontijen Surau PERKIM membuat persiapan terakhir.


Kontinjen Surau PERKIM berarak keluar daripada Masjid Amru Ibni Al-‘As.


Kontinjen Surau PERKIM berarak sambil berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.


Antara kontinjen yang menyertai perarakan Maulidur Rasul.


Kontinjen Surau Raudhatul Jannah Bandar Baru Sentul turut menyertai perarakan Sambutan Maulidur Rasul SAW.


Kontinjen yang mengambil bahagian berarak sambil berselawat.


Sepanduk yang dihiasi bunga warna warni dari Kontinjen Madrasah Al-Islah.


Kontinjen berselawat sambil memukul kompang.


Kontinjen terdiri daripada kanak-kanak perempuan mengangkat sepanduk tertera “We Love Muhammad”.


“I Love Rasulullah SAW” label yang dipegang oleh kontinjen wanita.


Sejauh lebih dua kilometer kontinjen Surau PERKIM berarak sambil mendendangkan selawat ke atas Nabi.


Selawat Badar antara selawat yang dialunkan sepanjang perjalanan perarakan.


Mualaf berselawat dengan penuh kesungguhan ketika berarak bersama berpuluh kontinjen lain.

Related Articles

Back to top button